Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
mengambil langkah drastik mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan
sektor awam.
Antaranya ialah kerajaan akan mengurangkan elaun keraian
sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama
Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.
Selain itu, kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred itu
juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus selain
beberapa lagi langkah yang dibuat bagi ‘menjimatkan’ perbelanjaan di sektor
awam.
Namun adalah tindakan yang dibuat pada ‘last minute’ ini
mampu mengubah persepsi rakyat terhadap Najib yang sudah jelas mencalarkan kepercayaan
rakyat melalui perbuatan beliau yang memungkiri janji yang dibuat pada PRU13
lalu?
Dalam tempoh masa tidak sampai setahun ini, rakyat tidak
senyanyuk itu untuk lupa kepada semua janji-janji manis yang ditabur oleh
Najib. Iya…pada kempen pilihan raya sememangnya mulut beliau manis bak madu,
cuma bernasib baik tak kena diabetis dek kerana terlalu tinggi kandungan gula
pada bibir beliau.
Tindakan Najib seolah-olah baru bangkit dari tidur setelah
rakyat mula menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap kenaikan kos sara hidup
yang melampau. Namun apa yang penulis gusarkan ialah, ketidakpuasan hati atau
rasa terbeban ini hanya sementara sahaja. Benar kata Mantan Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad, MELAYU MUDAH LUPA.
Apatah lagi siri kenaikan ini baru sahaja berlaku selepas
PRU13 di mana rakyat perlu menunggu lagi empat tahun untuk memilih kerajaan.
Dalam tempoh masa ini, banyak benda yang boleh kerajaan buat untuk mencekik
rakyat dan bila hampir kepada PRU, rakyat sekali lagi digula-gulakan dengan
janji manis.
Ini bukanlah perkara baru kerana siri penipuan ini sudah pun
berlarutan sejak 40 tahun lalu. Senang cerita, kaum Cina sudah menyatakan
pendirian mereka melalui PRU12 lalu di mana mereka menzahirkannya melalui
kertas undi hingga berlakunya TSUNAMI POLITIK yang menjadi ketakutan pimpinan
UMNO/BN.
Rata-rata kawasan yang tewas adalah majoritinya penduduk
dari kaum Cina dan paling menyedihkan, Melayu masih berada di takuk lama.
Buktinya, boleh dilihat di kawasan-kawasan Felda yang majoritinya terdiri
daripada kaum Melayu. Memang sukar untuk UMNO/BN tumbang walaupun ditipu dan
dicekik hidup-hidup.
Bukan niat penulis untuk menghina golongan Melayu atau
peneroka Felda, bahkan penulis sendiri pun memang berasal dari Felda,
beribubapakan peneroka dan juga orang Melayu. Apa yang cuba penulis zahirkan di
sini ialah betapa mudahnya orang Melayu lupa yang diri mereka sering
diperkotak-katikkan pemerintah.
Dek kerana terdesak dengan kos sara hidup ini juga, rakyat
memainkan peranan melalui laman sosial menyatakan ketidakpuasan hati tanpa berselindung
lagi.
Malah, Najib dalam ucapan tahun baru melalui akaun Facebook
beliau, menerima tamparan hebat apabila semua komen yang diterima berunsur
sinis dan tidak kurang juga yang terang-terang menyatakan rasa tidak puas hati
dengan pemerintahan beliau.
Di sini dapat penulis rumuskan bahawa populariti Najib yang
sememangnya semakin merosot sebelum PRU13 semakin jelas merudum teruk ekoran
tindakan beliau yang mengumumkan siri kenaikan yang melampau.
Keadaan ini menimbulkan kemarahan rakyat apatah lagi setelah
rakyat dengan jelas melihat sendiri gaya hidup isteri beliau yang tersangat
mewah dan terbaru pembelian kondo yang didakwa oleh anak Rosmah di UK bernilai
RM110 juta membuatkan rakyat semakin berang.
Penulis sendiri terfikir bagaimanakah pandangan Najib ke
atas dompet rakyat? Adakah beliau melihat dompet rakyat berkepuk dipenuhi
dengan duit?? Walhal, hakikat sebenar yang hari-hari dilihat rakyat pula ialah
dompet kering yang penuh berhabuk.
Hakikat ini pun beliau gagal untuk sedari, ditambah pula
dengan kos kenaikan yang menggila sudah pasti membangkitkan amarah rakyat.
Tindakan Najib hari ini mencipta 11 langkah itu juga sudah terlambat kerana ia
bukanlah apa yang rakyat mahukan.
Walau banyak mana sekalipun pemotongan terhadap perbelanjaan
sektor awam dibuat, ia tidak sedikit pun mengubah realiti sebenar kehidupan
rakyat yang kian tersepit. Langkah yang dibuat pula jelas tidak memberi apa-apa
sumbangan kepada rakyat dalam mengurangkan beban akibat kos sara hidup yang
tinggi.
Apa yang rakyat mahukan ialah penurunan kos sara hidup
melalui penurunan minyak, tol, tarif elektrik, bil air dan segala jenis utiliti
yang dinaikkan dengan sewenangnya sebelum ini. Adakah pada fikiran Najib dengan
membuat langkah penjimatan ini mampu mengubah dendam kesumat rakyat?
Sudah
pastinya tidak sama sekali..!!