Yang ini diambil tindakan.. |
Pelbagai tanggapan negatif dan persepsi yang berbeza
dilontarkan saat penulis mengutarakan isu berkenaan dengan undang-undang di
Malaysia dan pengamal undang-undang.
Namun ia bukanlah diutarakan pada sidang DUN atau di
Parlimen, hanya sekadar cakap-cakap kosong seorang rakyat biasa di kedai kopi
sahaja.
Namun ia dikongsi bukan dengan calang-calang orang, tetapi
jika nama mereka disebut di sini sudah pasti ramai yang terperanjat dan
terkesima..namun tak perlulah penulis menyebut nama-nama rakan-rakan minum kopi
penulis yang tersohor dalam arena dunia media tanah air.
Berbalik kepada persepsi masyarakat tentang perundangan di
Malaysia, ramai yang mencebik dan tidak kurang juga yang menjuihkan bibir bak
Angelina Jolie disuntik lagi dengan botox layaknya.
“Benci dan marah betul deme nih, ” getus penulis dalam hati.
Namun bila difikirkan sejenak memang wajarlah timbul perasaan demikian dalam
hati mereka sebagai rakyat di negara ini.
Yang ini diambil tindakan.. |
Masakan tidak, lihat sahaja dengan kadar peratusan jenayah
dalam negara kini. Banyak menimbulkan kecelaruan. Ada yang kata betul tak
kurang juga yang membangkang kenyataan tersebut.
Tapi dalam benak penulis, rakyat tidak perlu bergantung
kepada peratusan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu sahaja dalam menentukan
benar atau tidak peratusan yang dinyatakan.
Jika benar, mengapa saban hari rakyat dihidangkan dengan
pelbagai kes jenayah malah ada juga yang langsung tidak dapat diterima akal
perlakuan jenayahnya.
Nak tahu kebenaran tidak sukar, ambil masa dalam seminggu,
beli akhbar berlainan setiap pagi dalam tempoh masa seminggu itu dan tandakan
berapa banyak berita jenayah yang melibatkan pelbagai perlakuan di luar norma
manusia waras.
Mudah bukan? Jadi jangan hanya bergantung kepada peratusan
yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak sahaja sedangkan kesahihannya diragui.
Berbalik kepada sistem perundangan di Malaysia, setelah
pelbagai kejadian dan isu hangat yang membabitkan sistem perundangan
terutamanya apabila ia berkaitan dengan politik, ramai yang menidakkan
ketelusan pihak berwajib dalam usaha menegakkan undang-undang dan keadilan
dalam negara.
Terkini, isu tunjuk punggung di Dataran Merdeka baru-baru
ini. Mengikut sejarah terdekat, perkara ini bukanlah perkara baru malah ia
pernah ‘dipraktikkan’ kepada gambar-gambar pemimpin pembangkang.
Yang membezakannya ialah perlakuannya yang tidak serupa tapi
kedua-duanya sama tidak senonoh. Gambar pemimpin negara dan isteri hanya
ditunjukkan punggung, tetapi gambar pemimpin pembangkang dikencingnya, bukan
secara tersorok tetapi secara LIVE!
Bagaimana dengan yang ini?? |
Namun hanya tindakan menunjuk punggung pada gambar pemimpin
sahaja disiasat dan menyebabkan salah seorang pelakunya ditahan. Berbeza pula
dengan senario yang sama tapi perlakuannya berbeza melibatkan pemimpin
pembangkang. Gambar dikencing namun hingga kini tiada sebarang tindakan malah
langsung tidak menjadi isu.
Dari satu isu ini sahaja sudah menggambarkan betapa hebatnya
sistem perundangan dalam negara ini diperkotak-katikkan oleh golongan
pemerintah zalim yang secara terang-terangan membuatkan timbangan keadilan
berat sebelah.
Itu hanya sekelumit isu yang jelas berat sebelah dan
menyimpang dari norma sistem perundangan yang adil dan telus. Kes yang lain
rasanya tak perlu penulis tintakan di sini sebab ia mungkin akan merosakkan
papan kekunci komputer penulis dek kerana terlalu banyak kebobrokan yang
berlaku.
Persoalannya? Sampai bila ketelusan berat sebelah ini akan
menjadi wadah yang perlu ditatap sebagai makan pagi harian rakyat di Malaysia?
Kebimbangan dengan kadar jenayah yang semakin meningkat dan berleluasa tidak
pernah lekang dalam hati sanubari setiap lapisan masyarakat.
Namun dek kerana hanya mementingkan isu remeh hingga
siasatan dan misi mencari buruan pun memakan masa yang sangat singkat sedangkan
banyak lagi kes jenayah berat yang masih belum tentu punca musababnya.
Dan yang ini?? |
Bila dah terlampau banyak kes beku yang gagal diselesaikan,
akhirnya ia dilupakan dan kes ditutup. Penjenayah dengan senang hatinya lepas
bebas dan kebarangkalian untuk mengulangi perbuatannya itu pasti tinggi
melangit.
Yang terpaksa menanggung ialah rakyat sendiri yang
berterusan hidup dalam ketakutan kerana jenayah berlaku di sana sini. Ibu bapa
juga risau dengan keselataman anak-anak dan juga kediaman masing-masing.
Itu belum kira jenayah yang boleh berlaku ketika berada di
luar. Jelas sekali masyarakat kita kembali kepada kehidupan jahiliyah malah
tidak keterlaluan jika penulis katakan kita kembali ke zaman puntung berasap di
mana seolah-olah undang-undang rimba digunapakai.
Apa yang penting ialah dahulukan kemahuan rakyat yang ingin
hidup dalam persekitaran bebas jenayah dan jangan sesekali biarkan rakyat
merasa rugi kerana membayar cukai yang langsung tidak memberi apa-apa makna
kepada mereka.