30/12/13

PRU-13 belum sampai setahun, rakyat tidak senyanyuk itu…




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengambil langkah drastik mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam.

Antaranya ialah kerajaan akan mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.

Selain itu, kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred itu juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus selain beberapa lagi langkah yang dibuat bagi ‘menjimatkan’ perbelanjaan di sektor awam.

Namun adalah tindakan yang dibuat pada ‘last minute’ ini mampu mengubah persepsi rakyat terhadap Najib yang sudah jelas mencalarkan kepercayaan rakyat melalui perbuatan beliau yang memungkiri janji yang dibuat pada PRU13 lalu?

Dalam tempoh masa tidak sampai setahun ini, rakyat tidak senyanyuk itu untuk lupa kepada semua janji-janji manis yang ditabur oleh Najib. Iya…pada kempen pilihan raya sememangnya mulut beliau manis bak madu, cuma bernasib baik tak kena diabetis dek kerana terlalu tinggi kandungan gula pada bibir beliau.   

Tindakan Najib seolah-olah baru bangkit dari tidur setelah rakyat mula menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap kenaikan kos sara hidup yang melampau. Namun apa yang penulis gusarkan ialah, ketidakpuasan hati atau rasa terbeban ini hanya sementara sahaja. Benar kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, MELAYU MUDAH LUPA.

Apatah lagi siri kenaikan ini baru sahaja berlaku selepas PRU13 di mana rakyat perlu menunggu lagi empat tahun untuk memilih kerajaan. Dalam tempoh masa ini, banyak benda yang boleh kerajaan buat untuk mencekik rakyat dan bila hampir kepada PRU, rakyat sekali lagi digula-gulakan dengan janji manis.

Ini bukanlah perkara baru kerana siri penipuan ini sudah pun berlarutan sejak 40 tahun lalu. Senang cerita, kaum Cina sudah menyatakan pendirian mereka melalui PRU12 lalu di mana mereka menzahirkannya melalui kertas undi hingga berlakunya TSUNAMI POLITIK yang menjadi ketakutan pimpinan UMNO/BN.

Rata-rata kawasan yang tewas adalah majoritinya penduduk dari kaum Cina dan paling menyedihkan, Melayu masih berada di takuk lama. Buktinya, boleh dilihat di kawasan-kawasan Felda yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu. Memang sukar untuk UMNO/BN tumbang walaupun ditipu dan dicekik hidup-hidup.

Bukan niat penulis untuk menghina golongan Melayu atau peneroka Felda, bahkan penulis sendiri pun memang berasal dari Felda, beribubapakan peneroka dan juga orang Melayu. Apa yang cuba penulis zahirkan di sini ialah betapa mudahnya orang Melayu lupa yang diri mereka sering diperkotak-katikkan pemerintah.

Dek kerana terdesak dengan kos sara hidup ini juga, rakyat memainkan peranan melalui laman sosial menyatakan ketidakpuasan hati tanpa berselindung lagi.      

Malah, Najib dalam ucapan tahun baru melalui akaun Facebook beliau, menerima tamparan hebat apabila semua komen yang diterima berunsur sinis dan tidak kurang juga yang terang-terang menyatakan rasa tidak puas hati dengan pemerintahan beliau.

Di sini dapat penulis rumuskan bahawa populariti Najib yang sememangnya semakin merosot sebelum PRU13 semakin jelas merudum teruk ekoran tindakan beliau yang mengumumkan siri kenaikan yang melampau.

Keadaan ini menimbulkan kemarahan rakyat apatah lagi setelah rakyat dengan jelas melihat sendiri gaya hidup isteri beliau yang tersangat mewah dan terbaru pembelian kondo yang didakwa oleh anak Rosmah di UK bernilai RM110 juta membuatkan rakyat semakin berang.

Penulis sendiri terfikir bagaimanakah pandangan Najib ke atas dompet rakyat? Adakah beliau melihat dompet rakyat berkepuk dipenuhi dengan duit?? Walhal, hakikat sebenar yang hari-hari dilihat rakyat pula ialah dompet kering yang penuh berhabuk.

Hakikat ini pun beliau gagal untuk sedari, ditambah pula dengan kos kenaikan yang menggila sudah pasti membangkitkan amarah rakyat. Tindakan Najib hari ini mencipta 11 langkah itu juga sudah terlambat kerana ia bukanlah apa yang rakyat mahukan.

Walau banyak mana sekalipun pemotongan terhadap perbelanjaan sektor awam dibuat, ia tidak sedikit pun mengubah realiti sebenar kehidupan rakyat yang kian tersepit. Langkah yang dibuat pula jelas tidak memberi apa-apa sumbangan kepada rakyat dalam mengurangkan beban akibat kos sara hidup yang tinggi. 

Apa yang rakyat mahukan ialah penurunan kos sara hidup melalui penurunan minyak, tol, tarif elektrik, bil air dan segala jenis utiliti yang dinaikkan dengan sewenangnya sebelum ini. Adakah pada fikiran Najib dengan membuat langkah penjimatan ini mampu mengubah dendam kesumat rakyat? 

Sudah pastinya tidak sama sekali..!!