Amy (kiri) suatu ketika dahulu pernah berjumpa dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. |
Legenda rock tanah air, Amy Search atau nama sebenarnya
Suhaimi Abd Rahman, menyertai Umno kerana yakin perpaduan orang Melayu hanya
mampu dikekalkan jika parti itu terus mentadbir negara.
"Hanya Umno sahaja yang mampu membuat rakyat kembali
bersatu. Saya lihat Umno merupakan sebuah parti yang mampu menjamin masa depan
negara dan rakyat melalui segala usaha yang dilakukan
pemimpin-pemimpinnya," kata Amy, 54, kepada pemberita selepas menyerahkan
borang keanggotaan menyertai Umno bersama Mus May atau Mustaffa Din dan Ibnor
Riza Ibrahim di ibu pejabat Umno di sini hari ini.
Ditanya tindakan sesetengah artis menyertai PAS atas alasan
agama, beliau berkata Umno juga memperjuangkan agama dengan cara lebih baik dan
tidak terlalu ekstrem.
"Bagi saya, jika nak perjuangkan agama tidak semestinya
menyertai PAS. Umno juga memperjuangkan agama, dan dalam pentadbiran, Umno juga
tidak mengetepikan golongan ulamak.
Jika nak perjuangkan agama, bagi saya tidak
semestinya sokong parti yang ahlinya berjubah sahaja," katanya.
Sementara itu, Mus, 44, berkata beliau menyertai Umno
selepas menyedari hanya parti itu mampu memberikan yang terbaik untuk negara
selama ia memerintah.
"Umno sudah matang dan sudah lama memerintah negara...
Sudah banyak yang dilakukan kerajaan bagi menjaga dan memberi keselesaan kepada
rakyat Malaysia," katanya.
Bagi Ibnor Riza, 51, beliau telah lama bercadang untuk
menyertai Umno setelah sedar akan kemampuan parti itu dalam memberi masa depan
yang cerah, khususnya kepada pembangunan negara.
Borang mereka diterima Setiausaha Kerja Umno pusat Datuk Ab
Rauf Yusoh, dan ketiga-tiga artis akan menjadi anggota Umno Cawangan Dataran
Merdeka dalam Bahagian Bukit Bintang.
Ab Rauf berkata Umno sentiasa menyokong langkah penggiat
seni tanah air menyertai parti itu, dan mereka boleh bertindak sebagai duta
Umno.
"Penggiat seni tanah air yang menyertai Umno ini saya
lihat akan menjadi duta kepada Umno dalam menarik minat masyarakat di luar sana
untuk masuk ke dalam keluarga Umno," katanya.
Kini terdapat 43 anggota Umno Cawangan Dataran Merdeka dalam
Bahagian Bukit Bintang yang terdiri daripada artis, antaranya Tan Sri Jins
Shamsudin dan Jamal Abdillah. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan