16/07/12

Ramadhan: Peniaga jangan ambil kesempatan...



PENULIS ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak. Minta maaf jika ada terkasar bahasa terkhilaf bicara sepanjang berblog ni.

Dalam debaran menanti Ramadhan, penulis nak juga sentuh beberapa isu yang memang dah tak boleh lari lagi dari dihadapi oleh masyarakat kita.

Biasanya bila tiba Ramadhan sudah pasti banyaklah bazaar yang tumbuh bak cendawan tumbuh lepas hujan. Namun yang menarik perhatian penulis ialah HARGA yang perlu dibayar oleh masyarakat yang berkunjung di bazaar ini.

Kebiasaannya, sebelum Ramadhan, pastinya semua dapat melihat juadah seperti lauk pauk dan kuih muih yang boleh dikatakan ‘tembam-tembam’ saiznya. Malah rasanya juga pasti tidak lari dari kebiasaan.

Namun bila menjelangnya bulan rahmat ini, semuanya adalah jauh berbeza. Dari segi saiz sudah tentu semuanya akan ‘mengecut’. Kalau apam pun kita lihat sebelum Ramadhan ‘sihat-sihat’ belaka saiznya, tapi bila sampai Ramadhan semuanya dah slim mengalahkan orang puasa.

Murtabak misalnya, sebelum puasa memang tak kalah dari segi saiz, malah intinya juga padat dengan daging dan telur tapi masuk bulan puasa tidak keterlaluan kalau penulis samakan dengan kertas tisu tandas yang dilipat dua tiga lapis….nipis semacam aje.

Intinya pula memang menghampakan, boleh dikira ketulan daging atau ayam yang menjadi ‘tulang belakang’ makanan kegemaran ramai ini.  

Dari segi rasa pun tidak kurang hebatnya. Jauh tergelincir daripada asal. Sebelum tu semua juadah yang ada di kedai-kedai dan gerai makan memang sedap dan boleh membuatkan kita berulang dua tiga kali ke kedai sama.

Tapi bila masuk sahaja bulan puasa, rasanya sangat menghampakan. Mungkin tukang masak puasa, jadi beliau tak boleh nak rasa sama ada cukup ke tidak rencah yang dimasukkan dalam hidangan.

Pada hemat penulis, rata-rata peniaga hanya mementingkan keuntungan sahaja dengan mengambil kesempatan bulan yang mulia ini. Kalau benar nak untung sekalipun biarlah kena dengan harga yang dibayar.

Bila ditanya kepada peniaga kenapa saiz atau rasanya agak kurang ‘kick’, jawapan klise yang biasa penulis dengar setiap tahun…”Harga barang dah naik dik, semuanya kena cut ”…

Nak kejar untung tidak siapa pun melarang tapi biarlah berhemat agar perniagaan yang dijalankan dengan keuntungan yang diperolehi pun mendapat berkat.

Tiada ulasan: