20/09/11

Salam Ukhuwah Dari Pena Marhaen..

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Terlebih dahulu salam perkenalan penulis ucapkan kepada para pejuang yang bersungguh-sungguh sejak dulu dan kini memperjuangkan hak sebagai warganegara atau rakyat di negara ini.

Dan di kesempatan ini, penulis juga ingin mengucapkan salam perkenalan kepada blogger sekalian. Walaupun ruangan (blog) ini baru sahaja ‘dilahirkan’ namun ingin sekali penulis memohon sokongan yang padu daripada rakan seperjuangan sekalian sebagai semangat untuk penulis meneruskan perjuangan.

Ya...agak lama penulis meninggalkan aktiviti kegemaran penulis ini kerana kekangan masa yang tidak mengizinkan. Tuntutan tugas sebagai pengamal media sedikit sebanyak membataskan ruangan untuk penulis terus berkarya, namun berkat lahirnya ruangan Pena Marhaen ini, Insya-Allah akan terluang juga masa untuk penulis meneruskan kritikan berkisar tentang politik, hal-ehwal dunia serta isu semasa.

Melakari tinta di ruangan maya ini jauh sekali bezanya berbanding dengan coretan di atas kertas. Namun walau jauh mana sekalipun perbezaannya, ia tidak membatasi daripada maksud tersurat atau tersirat yang cuba disampaikan.

Walaupun sebelum ini penulis hanya berkarya melalui media cetak sahaja, ia bukanlah penghalang untuk penulis meneruskan perjuangan selangkah ke hadapan di alam siber.

Bercakap pasal perjuangan, sebenarnya banyak sekali corak perjuangan malah setiap insan mempunyai cara dan gaya mereka tersendiri dalam memperjuangkan hak sebagai rakyat.

Bukan setakat turun berdemonstrasi di jalan raya, amalah pelbagai medium lain boleh dijadikan perantaraan seperti ruangan siber dan media umumnya. Namun ada juga segelintir daripada kita yang memilih untuk berjuang tidak secara terang-terangan sebagaimana yang dibuat oleh sesetengah pihak.

Ada yang memperuntukkan wang ringgit serta bantuan tenaga kerja dalam usaha untuk menegakkan keadilan dan juga menjadi nadi untuk rakyat bersuara dan membangkitkan pihak yang berkenaan dari ‘tidur’ yang lena.

Namun walau apa sekalipun medium yang digunakan, ia tetap menjadi salah satu penyumbang kepada kekuatan rakyat dalam menentukan siapa yang layak menerajui tampuk pemerintahan negara.

Umum mengetahui bahawa kita sekarang sedang leka dalam berteka-teki. Sudah pasti apa yang bermain di benak setiap rakyat kini ialah bila tarikh pilihanraya umum ke-13 yang akan menjadi medan penentu siapa yang akan mengambil alih Putrajaya.

Lihat saja kebelakangan ini, pelbagai isu yang dimainkan oleh pihak kerajaan mahupun pembangkang dalam usaha untuk meraih sokongan daripada rakyat. Ada yang busuk dan tidak kurang juga isu yang mampu membuatkan tekak kita loya dek kejijikan propaganda yang diatur oleh pihak tertentu.

Sebagai rakyat, kita tidak boleh menerima sebarang berita, isu mahupun agenda yang dimainkan mentah-mentah tanpa sebarang usul periksa. Kita ada medium yang boleh membekalkan sumber namun tidak semestinya sumber itu boleh diguna pakai. Ia perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum diterima akal fikir kita.

Firman Allah, "Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.." (Al-Qur’an,al-Hujurat (49):6).

Itulah pentingnya menyelidik dahulu sumber yang ada bagi mengelakkan timbul fitnah dan menjuruskan kita ke dalam lembah kejahilan dan kebodohan dek kerana terlalu mengikutkan nafsu semata. Segala dugaan dan cabaran dalam perjuangan haruslan di tempuh dengan yakin kerana Allah S.W.T.

Tapi harus diingat, sehebat mana sekalipun dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi sepanjang perjuangan, jangan sesekali mudah mengalah. Bangkitlah berjuang dan berdirilah dengan teguh di saf hadapan dalam usaha untuk menegakkan agama Allah, bangsa dan negara kita yang tercinta ini.

Diharap dengan lahirnya ruangan Pena Marhaen ini, semua dapat memanfaatkan segala isi kandungan, artikel dan penulisan yang bakal dihasilkan. Insya-Allah...