21/09/11

Mana penting nyawa atau harta?


 
Penulis agak terkesan dengan kenyataan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkenaan isu kilang memproses nadir bumi di Kuantan.

Umum mengetahui bahawa kilang ini boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif akibat radioaktif yang sudah pastinya mampu membuatkan rakyat kita melahirkan ‘anak Ninja Turtle’ (Kalau dah tak cukup jari, bukan ninja turtle ke namanya?).

Tuduhan tidak berasas yanag dilemparkan oleh beliau ke atas pembangkang bahawa protes itu hanyalah merupakan satu tindakan politik untuk menewaskan BN dalam pilihan raya akan datang.

Boleh diterima akalkah jika apa yang boleh mengancam nyawa seperti kesan radioaktif itu dipolitikkan sedangkan apa yang cuba dibuat oleh pemprotes hanyalah bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa bahana kerakusan pihak tertentu.

Malah beliau turut menyatakan kerajaan tidak sepatutnya takut untuk meneruskan projek tersebut, memanglah kerajaan tidak perlu takut sebab tak ada seorang pun pemimpin yang berani untuk bina banglo mereka di kawasan sekitar kilang itu. Kalau ada yang berani pun hanyalah di Seksyen 7, Shah Alam aje.

Jangan kerana terlalu mengejar kebendaan, nyawa rakyat jadi taruhan. Logik atau tidak jika negara Australia yang begitu luas memiliki kawasan gurun yang sudah tentunya tidak berpenghuni dan jauh dari kawasan penempatan manusia enggan membina kilang itu di tempat mereka sebaliknya Malaysia dipilioh dengan alasan lokasinya strategik.

Sedangkan dengan keluasan kawasan gurun tandus yang tidak berpenghuni boleh sahaja didirikan kilang tersebut. Itu lebih strategik tanpa memberi apa-apa risiko kepada manusia.

Dah sah-sah kawasan Gebeng tu juga ada penempatan manusia di sekitar, inilah yang menjadi punca mengapa ada pihak yang memprotes pembinaan kilang itu.

Jika kilang itu tidak memberi apa-apa kesan kepada manusia, penulis yakin takkan ada pihak yang memprotes. Lihat sahaja loji memproses petroleum di Gebeng, setakat ini penulis tidak pernah dengar ada bantahan pembinaannya.

Yang paling tidak boleh diterima akal, Tun Dr Mahathir turut berkata, "Kita perlu berhati-hati dengan bahan radioaktif. Tetapi kita tidak boleh membiarkan aktivis politik dan pencinta alam sekitar yang palsu menghalang kita daripada keuntungan ekonomi yang ditawarkan nadir bumi."

Nah..!!! Sila gunakan mata kepala dan akal yang waras untuk menilai kenyataan yang dibuat oleh mantan Perdana menteri ini. Apakah keuntungan ekonomi lebih penting daripada risiko yang terpaksa dihadapi oleh rakyat jika kilang ini dibina? Mana beliau tahu bahawa aktivis politik dan pencinta alam sekitar itu palsu?

Dalam pada itu, beliau turut memberi contoh daripada bencana radioaktif yang berlaku sebelum ini seperti kebocoran reaktor Chernobyl di Ukraine dan juga Fukushima di Jepun.

"Walaupun loji nuklear Chernobyl masih berbahaya, Kiev (ibu kota Ukraine) masih selamat daripada radiasi," katanya yang menyifatkan kadar radiasi tersebut "sangat rendah."

Nak tergelak pun ada...jangan bandingkan negara kita dengan negara yang sudah sedia maju. Mereka memiliki kepakaran dan teknologi yang mampu mengatasi masalah sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini di negara mereka.

Di negara kita pelajar luar negara pun enggan balik berkhidmat di negara sendiri atas alasan bayaran gaji tidak setaraf dengan kelulusan mereka, dalam erti kata lain gaji yang ditawarkan kerajaan terlalu rendah. Ini ada hati nak bina kilang yang berisiko dan sudah pasti memerlukan tenaga profesional dari luar.

Musim ‘janji manismu’ hampir tiba...



Demam PRU dah hampir tiba, ini juga salah satu tanda besar kehadiran PRU-13. Banyak sangat janji dan tuntutan rakyat yang sudah dikota sampai penulis sendiri naik hairan dengan ‘kemurahan’ pemimpin untuk bersetuju dengan rakyat.

Jika dulu puak-puak BN tidak leka dan alpa serta tidak memandang rendah tahap pemikiran rakyat sudah pasti negeri Selangor dan beberapa negeri lain tidak akan jatuh ke tangan pembangkang.

Kemaruk benar kerajaan BN/Umno untuk merampas kembali negeri Selangor sampai perlu mengumpulkan 240 wakil rakyat mereka untuk ‘berkubu’ di Kuala Selangor.

Ini tidak lain, pastinya salah satu pelan mereka yang merangka strategi untuk merampas kembali negeri yang dahulunya ‘didakwa’ sebagai kubu kuat BN.

Dan sudah pastinya pelbagai janji manis akan ditabur sama sebagaimana yang kita lalui pada siri pilihan raya yang lepas. Seronok melihat gelagat pemimpin yang akan turun padang dan di sini kita boleh lihat betapa caknanya mereka kepada golongan marhaen.

Inilah masa untuk kita imbas kembali sewaktu kita berada di zaman kepayahan di mana harga minyak dinaikkan dengan sewenangnya, cukai yang dikenakan tanpa memikirkan nasib golongan bawahan dan segala macam bentuk penindasan hinggakan hampir lemas kita dibuatnya.

Namun apakah rentak permainan yang dimainkan itu sama seperti siri-siri pilihan raya terdahulu? Cukup-cukuplah menyempitkan kotak pemikiran yang sedia sempit. Sebagai rakyat yang mampu berfikir, seharusnya setiap apa yang dikatakan oleh pemimpin pada musim ini harus dijadikan peringatan.

Sebelum ini segala tuntutan rakyat langsung tidak diendahkan hinggakan rakyat terpaksa mengambil pendekatan untuk mengadakan demonstrasi jalanan. Ini perlu diingat oleh setiap rakyat, jangan hanya kerana tertunai secebis tuntutan, maka jiwa sudah terbeli.

Perlu diingat, mungkin selepas pilihan raya rakyat akan kembali menjalani kehidupan perit dengan kenaikan sana-sini dan mungkin rakyat hanya dipandang sebelah mata sahaja sebagaimana yang kita semua lalui sebelum ini. Kini sudah masuk zaman ‘janji manismu’.

Cuba ingat balik kalau-kalau janji yang ditabur pada pilihan raya umum sebelum ini masih ada yang belum tertunai. Fikirkanlah...

Belum pukul canang dah menyerah kalah...




Tindakan Perdana Menteri, DS Najib dan isteri memfailkan permohonan bagi mengetepikan sepina yang menghendaki mereka hadir sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes liwat DS Anwar mengundang pelbagai persepsi rakyat.

Jika sebelum ini beliau menyatakan hanya akan hadir di Mahkamah untuk memberi keterangan sebagai saksi jika sepina dikeluarkan oleh Mahkamah, namun setelah sepina dikeluarkan lain pula jadinya.

Penulis teringat pada Konvensyen BN Selangor yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini beliau dengan lantangnya mengisytiharkan bahawa beliau langsung tidak takut, gentar dan gerun untuk berdepan dengan DS Anwar.

Yang paling penting, beliau turut menyatakan bahawa beliau berani berdepan dengan DS Anwar bila-bila masa dan di mana sahaja. Namun belum pun gong dipalu, beliau secara menikusnya memperlihatkan siapa dirinya yang sebenar.

Jika sebelum ini DS Najib beraksi ‘kool’ di konti radio, kini yang dikatakan ‘kool’ itu sudah ‘hangat-hangat taik ayam’. Jika sebelum ini beliau dengan lantang menyatakan bahawa beliau berani untuk berdepan dengan DS Anwar, tapi sekarang apa dah jadi?

Gelanggang pun belum dibuka, sudah ‘berani’ menyatakan untuk berundur. Mana hilangnya suara lantang beliau secara tiba-tiba? Itu baru naik Mahkamah, belum lagi dicabar untuk berdebat. Agak-agak berani ke Mat Monggol bibir merah ni menyahut cabaran untuk berdebat dengan DS Anwar? Semua sudah tahu jawapannya.

Kalau nak ke Mahkamah pun beliau tak berani, nak berdebat lagi la. Namun sekelumit pun tidak pernah timbul rasa hairan di fikiran penulis sebab bukan sekali ini sahaja pembohongan secara terang-terangan dibuat oleh beliau.

Cuma yang penulis pelik, dalam duk menipu tu masih ada lagi yang ambil peduli dan tetap menyatakan pendirian tegar menyokong beliau walaupun dah terang-terangan ‘dikencing’ oleh beliau. Hai..bukalah mata dan minda, jangan berterusan menjadi katak bawah gelas.

Sudah ‘dirompak’ ditipu pulak tu. Kalau kata b*d* kang marah, kata pandai kang jadi fitnah pulak. Iyelah kalau betul-betul pandai tak apa, ini tidak. Kalau pandai takkan selama berpuluh tahun ditipu dan dirompak tapi masih tak sedar-sedar. 

Cerita lama, tajuk serupa...



Pertama sekali tahniah penulis ucapkan kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) kerana telah ‘berjaya’ membuka minda untuk membuatkan DS Najib sanggup bertukar fikiran dan memansuhkan terus akta zalim ini.

Ini bermakna segala perih jerih yang dilalui oleh mereka yang terlibat dengan demonstrasi Anti-ISA sebelum ini nyata berbaloi dan membuahkan hasil.

Namun dalam pengumuman yang dibuat mengenai pemansuhan ini, DS Najib turut menyatakan akan menggubal dua akta baru bagi menggantikan ISA yang mana ia berfungsi sama seperti akta itu iaitu bagi mengekang sebarang bentuk aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

Pelbagai reaksi timbul apabila DS Najib mengumumkan detik bersejarah ini namun tidak kurang pula yang menguntumkan senyum sinis tatkala melihat golongan berkenaan bersorak gembira dengan pengumuman itu.

Apa yang bermain di fikiran penulis, bagaimanakah dua bentuk akta baru yang bakal digubal itu? Dan kini, sedikit persoalan itu telah pun terjawab. Mendengar sahaja kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, penulis sudah dapat menjangkakan apa permainan yang sedang dimainkan.

Nazri dalam kenyataannya menyatakan bahawa amalan penahanan tanpa bicara akan tetap diteruskan walaupun ISA telah dimansuhkan. Katanya ia bagi menjamin keselamatan dalam negara dari anasir-anasir luar yang ingin melihat negara kita kacau bilau.

Tapi bagaimana dengan hak asasi manusia jika amalan itu diteruskan? Wajarkan ISA dimansuhkan sedangkan amalan yang sama tetap diteruskan. Inilah yang penulis katakan cerita lama dengan tajuk baru.

Sebelum ini banyak kes penangkapan tanpa bicara di bawah akta ISA dikenakan terhadap orang yang tidak bersalah. Cuba bayangkan mereka terpaksa meringkuk di Kem Kamunting tanpa sebarang bicara bukan hanya seminggu dua malah ada yang bertahun-tahun.

Natijahnya, anak isteri dan keluarga mereka yang menanggung bahana kerana hilang tempat bergantung kerana si bapa inilah yang bekerja menanggung keluarga.

Tidak mustahil jika amalan kejam ini diteruskan, ia juga akan menjadi satu alat politik sama sebagaimana akta ISA yang digunakan sebelum ini oleh rejim pemerintah.  Yang pasti, pemansuhan ISA hanya satu gimik mainan politik semata-mata memandangkan PRU semakin dekat.