8/02/12

Hapuskan JKKK songlap..



Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turun padang dan memainkan peranan membuat laporan bagi mengetahui masalah penduduk yang memerlukan bantuan. 

Menurut beliau, golongan ini (JKKK) merupakan orang yang terdekat dengan masyarakat dan mereka harus lebih peka terhadap sebarang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

Sebagai seorang rakyat biasa, penulis terpanggil untuk menyatakan apa yang dihadapi oleh sebahagian daripada rakyat terutamanya di kawasan luar Bandar dalam berhadapan dengan JKKK.

Ada sesetengah JKKK yang dilihat terlalu berat sebelah dan memilih bulu dalam mengagihkan sebarang bantuan serta mengambil tindakan terhadap golongan yang bermasalah.

Penulis pun tidak tahu sama ada kes ini adalah terpencil atau sebaliknya namun hakikatnya, JKKK perlu memainkan peranan secara telus dan tidak berat sebelah dalam menyelesaikan masalah penduduk.
Ada juga yang sanggup menangguk di air keruh dengan menggelapkan wang bantuan yang sepatutnya diagihkan kepada golongan yang memerlukan. 

Ada satu kes yang berlaku di daerah Kemaman di mana seorang warga emas yang tinggal seorang diri di sebuah rumah usang memerlukan bantuan kewangan bagi membaik pulih kediaman, namun apa yang menyedihkan ialah, golongan yang dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan bantuan berkenaan bertindak menggelapkan wang tersebut. 

Bantuan yang sepatutnya diterima sebanyak RM10,000, namun jumlah yang sampai ke tangan warga emas berkenaan hanyalah sebanyak RM5,000 sahaja. Ke mana hilangnya separuh daripada jumlah wang berkenaan?

Pendek kata,pelantikan seorang JKKK perlu ditapis semula bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada orang yang sepatutnya dengan jumlah yang betul.

Itu bagi yang memerlukan bangtuan, ada juga segelintir JKKK yang boleh dilabel sebagai ‘makan gaji buta’. Sebelum pilihan raya, semua tak menang tangan turun padang malah mereka sendiri bertindak mencari golongan susah untuk diberikan bantuan, namun selepas pilihan raya, ada yang langsung tidak nampak batang hidung hinggakan masyarakat sendiri pun tidak pernah kenal dengan JKKK yang dilantik. 

Masalah ini menimbulkan pelbagai persepsi negatif masyarakat terhadap kerajaan apatah lagi golongan ini (JKKK) merupakan wakil yang dilantik oleh kerajaan.

Justeru, sebagai orang yang diamanahkan untuk membantu rakyat, JKKK wajar memainkan peranan mereka dengan telus. Jangan hanya buat kerja sekadar melepas batuk di tangga, kelak orang tak suka, malah parti juga binasa...