22/02/12

Debat Anwar-Najib: Tengku Adnan buka pekung sendiri...




Pihak kerajaan telah menyatakan pendirian mereka untuk menolak cadangan debat antara Perdana Menteri, DS Najib dan Ketua Pembangkang, DS Anwar kerana di dakwa tiada keperluan.

Tetapi apa yang dikatakan oleh pihak kerajaan ialah DS Anwar sepatutnya berdebat dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kenyataan itu dibuat oleh Tengku Adnan Mansor yang sebelum ini membuat kenyataan kesediaan pihak kerajaan untuk berdebat dengan DS Anwar.

“Saya bukan maksudkan sokong atau mahu realisasikan debat antara Perdana Menteri dan Anwar. Saya juga tidak rela PM buang masa berdebat kosong dengan Anwar. Banyak lagi urusan penting yang perlu beliau selesaikan,” katanya.

Yang pastinya, DS Najib tidak akan berani turun ke gelanggang untuk berdebat dengan DS Anwar dan di sini, Tengku Adnan telah menunjukkan kebodohannya sendiri.

Jika debat antara DS Najib dan DS Anwar adalah tidak perlu dan membuang masa, bagaimana pula dengan debat antara DS Anwar dengan bekas pembantu beliau, Saiful Bukhari Azlan itu member faedah kepada rakyat?

Siapakah yang menerajui Umno dan kerajaan persekutuan, DS Najib atau Saiful Bukhari? Debat antara DS Najib dan DS Anwar sudah pasti akan menjelaskan apa isu-isu yang perlu diketahui oleh rakyat berkenaan dengan masalah ekonomi dan isu semasa negara.

Ketua Kerajaan VS Ketua Pembangkang barulah kena dengan kedudukan dan tempatnya. Kalau Ketua Pembangkang VS Bekas Pembantu, apa yang rakyat dapat??? 

Kebebasan Media: Malaysia di tangga ke-122




Media Malaysia sekali lagi menunjukkan pretasi buruk dengan menduduki tangga ke-122 dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2011/2012 yang direkodkan oleh Reporters Without Borders.

Ini tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun pada tahun 2010, indeks tersebut mencatatkan Malaysia berada di tangga ke-141

Namun, disebalik rekod yang agak buruk itu, Malaysia dilihat mendahului negara serantau lain seperti Singapura (135), Thailand (137), Filipina (140) dan Indonesia (146).

Finland dan Norway bersama-sama menduduki tempat teratas dalam kajian kebebasan akhbar yang melibatkan 179 negara, diikuti Estonia dan Belanda yang terikat di tempat ketiga, manakala Austria di tempat kelima.

Lima lagi antara 10 negara teratas daripada segi kebebasan akhbar adalah Iceland dan Luxembourg di tempat keenam, Switzerland (lapan), Cape Verde (sembilan), serta Kanada dan Denmark yang terikat bersama di tempat ke-10.

Menduduki tempat terbawah dalam senarai adalah Turkmenistan (177), Korea Utara (178) dan Eritrea (179).

Menurut laporan itu, Pakistan (151) merupakan negara paling bahaya bagi wartawan untuk tahun kedua berturut-turut.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat, yang menduduki tempat ke-47, jatuh 27 tempat daripada tahun sebelumnya berikutan penahanan ramai wartawan semasa membuat liputan tunjuk perasaan bantahan "Occupy Wall Street".

Mengulas Indeks Kebebasan Akhbar tahun ke-10, Reporters Without Borders berkata: "Indeks pada tahun ini menyaksikan banyak perubahan kedudukan, perubahan yang menggambarkan perkembangan pesat dan drastik terutamanya di dunia Arab."

Ia menyatakan banyak media terpaksa menanggung risiko tinggi bagi membuat liputan aspirasi demokrasi.

"Tahun yang berlalu juga memperlihatkan peranan yang diterajui pengguna Internet dalam menghasilkan dan menyebarkan berita," menurut pertubuhan, yang turut memaklumi penyertaan Cape Verde dan Namibia dalam kalangan 20 negara teratas.

Jelas sekali ia menunjukkan bahawa Malaysia belum lagi layak diiktiraf sebagai negara yang mengamalkan kebebasan media sepenuhnya.

Apa yang berlaku ini adalah hasil daripada kawalan ketat yang dibuat oleh pihak kerajaan bagi memastikan survival politik mereka dalam negara.

Ini juga membuktikan bahawa media di Malaysia masih lagi dicengkam oleh pemerintahan kuku besi yang menjadikan media terutamanya media arus perdana sebagai wadah untuk mereka memperluaskan empayar dengan menyebarkan berita-berita yang telah dimanipulasikan untuk kepentingan politik.

Timbul persoalan dalam diri penulis, sampai bila agaknya media akan terus menerus diperkotak-katikkan untuk kepentingan mereka. Umum mengetahui bahawa kelulusan bagi lessen untuk penerbitan sesebuah akhbar atau operasi stesen televisyen terletak pada Kementerian Dalam Negeri yang diterajui oleh Menterinya, Hishammuddin Tun Hussein.

Sepanjang pembabitan penulis dalam dunia media juga, dapat penulis lihat betapa ketatnya kawalan yang dikenakan ke atas setiap bilik berita. Segalanya dikawal oleh KDN, yang mana tugas sebenar KDN adalah memantau media agar tidak menyiarkan sebarang berita yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum serta maklumat yang boleh mengancam keselamatan negara.

Namun apa yang diwar-warkan oleh media tanah air kini jelas terpesong dari etika kewartawanan yang sebenarnya. Apa tidaknya, jika berita-berita yang berkaitan dengan parti pembangkang dimanipulasikan bagi memperbodohkan rakyat.

Mungkin bila kerajaan pusat bertukar tangan, barulah media di Malaysia dapat menikmati sepenuhnya kebebasan serta hak mereka dalam melaporkan setiap berita dengan tepat dan telus.