9/05/12

Cerita untuk mudahkan peneroka faham tentang Durian Runtuh & FGVH

 
Cerita untuk direnungkan para peneroka....
09 Mei 2012

Di sebuah kampung, Allah kurniakan tanah yang amat subur kepada penduduknya.

Segala yang ditanam akan menghasilkan buah dan pulangan. Walaupun tanah itu tidaklah besar, tapi hasil pertaniannya cukup untuk menyara sebuah kampung malah ada lebihan.

Pada satu hari, datang seorang ahli perniagaan kaya, yang berkata kepada penduduk, ada pelan untuk durian runtuh, dapat duit dengan cepat.

Pelannya begini:

Penduduk cagarkan tanah yang subur itu kepada peniaga - dengan 2 syarat:

1. peniaga akan bayar balik sejumlah wang dan

2. "batu istimewa" akan dijualkan kepada pengguna - "batu istimewa" ini dijamin peniaga akan meningkat nilai pasarannya buat selama-lamanya.

Penduduk kena membeli "batu istimewa" ini yang diwar-warkan sebagai telur emas, dengan pinjaman atau duit sendiri.

Asalkan penduduk tidak menjual "batu istimewa" tersebut, "batu istimewa" tersebut akan menghasilkan wang tunai, sekiranya peniaga untung besar.

Di sebalik itu, yang tidak diketahui penduduk kampung tersebut ialah - peniaga yang mencagarkan tanah tersebut mendapat RM50. Yang diberi balik pada peneroka hanyalah RM15, bersama satu "batu istimewa" yang dijamin dapat membawa pulangan lumayan.

Ada pihak B yang kenali sikap peniaga ini cuba menasihati penduduk kampung ini, tapi penduduk kampung hanya nampak kebesaran RM15.

Pihak B memberitahu penduduk - faham maksud cagaran. Peniaga kaya itu memberitahu tanah itu masih milik penduduk kampung - betul kata pihak B, sekiranya tiada masalah berlaku.
Sekiranya apa-apa berlaku kepada peniaga kaya tersebut, tanah itu akan hilang daripada penduduk kampung, kerana ia hak milik orang lain, pihak yang membayar peniaga kaya untuk tanah itu.

Penduduk kampung yang tertarik dengan tawaran tersebut, disuruh menandatangani satu perjanjian secara cepat - di mana perjanjian tersebut tertulis "jika berlaku kerugian, penduduk kena tanggung semua, dan tak boleh saman peniaga."

Penduduk teruja dengan tawaran tersebut kerana tanah yang Allah kurniakan hanya dapat menghasilkan RM2 sebulan.

Kini, peniaga beri RM15 sekaligus, 7 bulan hasil. Tapi mereka lupa, RM15 ini sekali sahaja, RM2 yang dijana adalah berterusan sampai bila-bila sehingga generasi kedua atau ketiga.

Bukan main seronok penduduk berterima kasih kepada peniaga ketika menerima RM15. Tapi keperitan datang selepas setahun, dua apabila "batu istimewa" yang dijanjikan tidak mendatangkan hasil, tanah yang dicagarkan peniaga bukan lagi milik sendiri.

Peniaga berkata perjanjian dah kata dengan jelas, kerugian perlu ditanggung sepenuhnya oleh penduduk kampung dan anda tak boleh saman.

Menangislah penduduk, menyuruh orang pihak B menyelamatkannya. Nak selamat macam mana?

Ini sekadar cerita luahan untuk renungan bersama. Alhamdulilah, ada masa untuk menceritakannya untuk dikongsikan.

------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat dan juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Sumber:  http://www.tranungkite.net