12/10/11

RM4.7 bilion dibazirkan untuk PLKN...


 
Sebanyak RM4.7 bilion dibelanjakan oleh kerajaan bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak ditubuhkan pada 2004 sehingga 31 Ogos tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, program itu berjaya memberi kesedaran awam kepada pelatih untuk menjadi warganegara yang baik melalui imej dan perlakuan positif dan tidak mudah terlibat dengan kes jenayah.

Dr Abdul Latiff berkata, peserta yang menyertai program PLKN didapati berjaya mengawal diri daripada terjebak dengan kes jenayah berdasarkan peningkatan pendaftaran pelatih dalam Pasukan Sukarela dari tahun ke tahun.

Bagi penulis, program ini bukanlah satu aktiviti yang mampu merubah pemikiran golongan remaja di negara ini, malah dengan pendekatan yang diambil tanpa pengukuhan dari aspek keagamaan, ia umpama perkara yang sia-sia.

Malah ia juga dibuat bukan atas dasar kerelaan pelatih kerana mereka dipaksa dan didakwa sekiranya gagal melaporkan diri pada program berkenaan.

Umum mengetahui bahawa ketika program berkenaan berlangsung terdapat banyak kes-kes salah laku melibatkan pelatih terutama melibatkan moral sebagai orang Islam.

Program berkenaan yang dijalankan secara bercampur gaul antara pelatih lelaki dan wanita dilihat langsung tidak membantu dalam pembentukan jati diri mereka terutamanya dari aspek keagamaan.

Ini kerana pendekatan yang dibuat secara bebas tanpa batasan pergaulan juga menjadi anatara punca utama golongan ini terdedah dengan gejala sosial.

Antara kes yang berlaku ketika program itu dijalankan ialah kejadian rogol seorang peserta PLKN oleh
seorang jurulatih di Kem Merang, Terengganu, pelatih melahirkan anak hingga menyebabkan kematian bayi itu di belakang sebuah asrama di kem Cancun Park, Pasir Mas, Kelantan, Pergaduhan antara pelatih di Kem Kisana Beach Resort, Pasir Puteh, Kelantan, kes cabul, potong rambut pelatih lain keracunan makanan dan juga kes kematian.

Dan banyak lagi kes-kes terpencil yang memang tak habis kalau nak dirungkaikan satu persatu dan ini dengan jelas menafikan dakwaan yang dibuat oleh Datuk Abdul Latiff Ahmad bahawa program PLKN itu berjaya memberi kesedaran kepada pelatih mengenai imej dan perlakuan positif.

Malah ia merupakan pembaziran yang tersangatlah besar melibatkan duit rakyat sedangkan pada masa kini ramai lagi rakyat menderita hidup dalam keadaan serba daif yang memerlukan bantuan.

Justeru, wajarlah kiranya program yang hanya membazirkan duit rakyat ini dibubarkan terus bagi memberi laluan kepada perkara yang lebih penting untuk kesejahteraan rakyat.

TERKINI: Satu lagi projek jual negara dikesan...



PAS hari ini berjaya mengesan satu operasi yang disyaki cuba memberikan warganegara kepada lebih 200 penduduk tetap (PR) di sebuah resort berhampiran Putrajaya di sini.

Kesemua yang majoritinya warga Indonesia itu didakwa dibawa dengan bas dari negeri Johor untuk diberi MyKad yang dipercayai ada kaitan untuk pengundian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Exco Pemuda PAS, Mohd Adram Musa (gambar) berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada perisikan jentera PAS berhubung perkara itu malam tadi yang mengatakan lapan buah bas membawa warga asing akan menuju ke Putrajaya untuk diberi MyKad.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Pemuda PAS bersama beberapa anggota dewan itu kemudiannya menunggu bas-bas tersebut yang tiba di Masjid Putra, Putrajaya kira-kira jam 7 pagi.

Bagaimanapun hanya enam buah bas didapati tiba di Putrajaya yang didapati beredar beberapa jam kemudian.

Mereka mengekori bas-bas tersebut sehingga ke sebuah resort di sini. Bas-bas berkenaan bagaimanapun beredar dari situ, dan meninggalkan kumpulan penumpang tersebut di resort berkenaan.

Petugas media yang kemudiannya tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengahari juga sempat melihat sebuah kereta Proton Tiara dipercayai membawa ‘ketua operasi’ itu memecut laju keluar dari resort melalui jalan belakang.

"Saya sendiri masuk ke dalam resort berkenaan, dan mendapati memang warga asing di dalamnya. Kita tanya mereka bagitahu datang untuk kursus," katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, kehadiran mereka bagaimanapun tidak disenangi ‘ketua’ rombongan itu dan mereka mengambil pendirian untuk keluar dari kawasan resort tersebut yang pagarnya kemudian dikunci pemilik resort.

Ekoran itu juga mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.
Turut serta pada sidang media di hadapan resort itu AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.

Menurut Mazlan, beliau turut mendapat maklumat dari sumber dalaman yang tidak mahu bersubahat dengan operasi jahat itu.

"Dia hubungi saya bagitahu terdapat dokumen tebal dalam bas serta mendengar cakap-cakap penumpang bas yang mendakwa akan mendapat MayKad hari ini.

"Dia bagitahu saya maklumat ini kerana beliau tidak mahu bersubahat," katanya.

Menurut Mazlan lagi, beliau juga dimaklumkan sewaktu bas berhenti di Masjid Putra, beberapa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara menemui ketua rombongan bas tersebut dan mengarahkan mereka ke sebuah resort di kawasan berdekatan ekoran rahsia operasi mereka didakwa sudah diketahui.

"Saya difahamkan ini trip ke sepuluh untuk operasi ini. Modus operandi mereka adalah untuk mengalahkan Pakatan Rakyat Selangor," tambahnya.

Dalam pada itu satu sidang media khas berhubung perkara itu akan diadakan di Parlimen esok.

Sumber: HARAKAH DAILY

11/10/11

Masih belum terlambat untuk berubah.....


 
Satu lagi taktik terbaru BN untuk menutup kelemahan mereka dalam merencanakan belanjawan bagi tahun 2012 dengan ‘mencipta’ satu lagi video seks yang didakwa memaparkan ketua umum parti PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia jelas merupakan satu lagi tindakan terdesak Umno untuk mengalih perhatian rakyat dari belanjawan yang langsung tidak memihak kepada rakyat secara keseluruhan.

Penggunaan taktik video seks ini bukanlah perkara baru malah ia telah digunakan sejak zaman pemerintahan Tun Mahathir lagi untuk menumbangkan seseorang pemimpin.

Malah tradisi hina ini terus diguna pakai dalam usaha untuk meraih kepercayaan rakyat bahawa pemimpin yang menjadi mangsa fitnah itu tidak bermoral.

Permainan ini sebenarnya membuatkan rakyat semakin jelak dan muak kerana ia bukan sahaja membawa imej negatif kepada negara malah turut mencemarkan agama.

Sudah tentu ada pihak dari negara luar yang sebelum ini memandang tinggi terhadap moral negara Malaysia sebagai negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi terhakis kepercayaan mereka.

Sudahlah video seks dijadikan sebagai senjata utama untuk berpolitik, ditambah pula dengan hidangan cerita-cerita seram yang penuh dengan unsur tahyul di kaca televisyen dan pawagam di negara ini.

Jadi tidak hairanlah jika universiti di negara ini langsung tidak tercatat dalam 400 universiti terbaik dunia. Apa tidaknya, jika sedari usia muda, golongan pelajar dan kanak-kanak dimomokkan dengan cerita seram dan skandal seks pemimpin, sudah tentu pemikiran mereka akan dipengaruhi oleh unsur negatif ini.

Yang bestnya, pihak yang bertanggungjawab menyebarkan video seks ini langsung tidak dikenakan tindakan malah tiada pun fail siasatan yang dibuka bagi membawa mereka ke muka pengadilan.

Sebab itulah pihak yang tidak bertanggungjawab ini semakin rancak mencipta dan menyiarkan rakaman aksi seks yang didakwa mereka melibatkan pemimpin pembangkang.

Kalaulah hukum Hudud dikuatkuasakan di negara ini, sudah pasti perkara fitnah-memfitnah, zina, korupsi dan juga jenayah-jenayah lain tidak akan berleluasa seperti sekarang.

Namun apakan daya, pemimpin yang mengaku dirinya Islam pun membangkang sekeras-kerasnya inikan pula rakyat marhaen yang sudah bertahun ditindas mahu bersuara menentang bangkangan itu.

Nak menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap proses pilihan raya pun dikenakan pelbagai tekanan termasuklah ditembak dengan meriam air dan juga gas pemedih mata.

Kalau rakyat betul-betul nak berubah, jadikanlah Pilihan Raya Umum ke-13 ini sebagai medan penentu untuk mengubah gaya hidup.

Magik: Belanja RM1 Juta dalam masa dua hari...




DS Najib sekali lagi membuat ‘magic’ apabila menghabiskan sebanyak RM1,072,213.22 ketika melawat Kazakhstan selama dua hari pada Jun lalu yang didakwa.

Hal ini didedahkan oleh Menteri Luar Negara Datuk Seri Anifah Aman ketika menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Dalam lawatan tersebut, DS Najib turut berjaya memeterai lima perjanjian antara Malaysia dan negara itu yang mana perbelanjaan bagi dokumen itu berjumlah RM323,268.19.

Manakala lawatan ke Perth pada 31 Ogos ingga 3 September lalu pula merupakan lawatan peribadi.
Bagaimanapun, katanya, DS Najib turut mengambil peluang bertemu pelajar Malaysia dan mengadakan perbincangan dengan wakil kumpulan Muslim di sana.

Banyaknya duit rakyat yang ‘berjaya’ dibazirkan. Bayangkan dalam masa dua hari sahaja sebanyak RM1 Juta duit rakyat lebur begitu sahaja.

Sedangkan jika rakyat biasa yang melancong ke Kazakhstan pun rasanya tak logik kalau mencecah RM10,000 inikan pula RM 1 juta. Duit sebanyak itu boleh tanggung keluarga penulis selama beberapa keturunan.

Ini dalam masa dua hari sahaja, apa yang dibelanjakan sampai sebanyak itu? Agak-agak kalaulah diberi satu juta, berapa lama boleh habiskan duit itu? Kalau dua hari juga, memang David Copperfield la....

Bob Lokman ditahan JAIS..



Salah seorang pejuang yang menegakkan agama Allah di negara ini, saudara Bob Lokman ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) malam tadi atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Beliau ditahan ketika berucap selepas solat Maghrib di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Ketika kejadian, beliau didatangi oleh seorang Pegawai Pejabat Agama sambil diiringi beberapa orang penguatkuasa (ada yang berambut merah katanya).

Seterusnya Pegawai itu menerangkan bahawa beliau telah melakukan kesalahan menyampaikan tazkirah tanpa tauliah yang dakwanya ia melanggar perintah sultan.

Apa yang pelik, dalam tazkirah yang disampaikan oleh beliau langsung tidak menyentuh soal politik sama ada berkenaan PAS mahupun Umno.

Yang penulis tahu, sultan bertitah agar tidak mempergunakan rumah Allah yakni masjid atau surau sebagai tempat untuk berpolitik.

Jadi apa motif pihak JAIS menahan orang yang menyampaikan tazkirah agama semata-mata tanpa sebarang unsur politik dan alasan menyampaikan tazkirah tanpa tauliah langsung tidak munasabah.

Salahkah seorang lelaki beragama Islam menyampaikan tazkirah agama kepada keluarganya walaupun lelaki itu tiada tauliah? Sedangkan ramai yang tahu bahawa pelajar-pelajar pondok dan juga madrasah (yang tidak ditauliah oleh kerajaan) lebih tinggi ilmu agamanya berbanding mereka yang ‘bertauliah’.

Kepada Abang Bob Lokman, teruskan perjuangan kerana ini hanya sedikit ujian dari Allah S.W.T. Kami sebagai saudara seagama akan terus menyokong pendirian Abang Bob untuk menegakkan agama Allah...ALLAHUAKBARR...!!!

7/10/11

Bajet 2012: Najib bidas diri sendiri...

 
Dalam sibuk membentangkan belanjawan bagi tahun 2012, DS Najib sempat membidas pihak yang menguar-uarkan konsep negara berkebajikan.

Dalam pembentangan itu Najib berkata pendekatan itu sudah dilaksanakan BN, melalui beberapa contoh subsidi kerajaan antaranya

Bagi setiap kilogram minyak masak, harga asal RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50. Subsidi Kerajaan berjumlah RM2.25 atau 47 peratus dari harga sebenar.

Apa dia ingat rakyat butakah? Bagi negara yang menjadi antara pengeluar utama minyak sawit dunia, harga yang dibayar oleh rakyat setelah diberikan subsidi itu tetap mahal jika dibandinghkan negara pengeluar yang lain.

Sudahlah mahal, pakai pula taktik yang sama. Mula-mula bekalan minyak masak secara tiba-tiba hilang dari pasaran dan diberi alasan oleh pengeluar bekalan tidak mencukupi, sedangkan beribu-ribu hektar tanah hutan diteroka dalam negara untuk penanaman kelapa sawit, mana pergi hasilnya?

Contoh kedua yang subsidi kerajaan Najib ialah gula di mana setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi Kerajaan berjumlah 20 sen atau 8 peratus dari harga sebenar.

Pun sama juga dengan apa yang berlaku pada bekalan minyak masak. Hampir musim perayaan sahaja, bekalan tiba-tiba tidak mencukupi sedangkan negara kita mempunyai empat pengeluar gula terbesar iaitu Malayan Sugar Manufacturing (MSM), Prai, Pulau Pinang, Central Sugar Refinery (CSR), Shah Alam, Selangor, Gula Padang Terap (GPT), Padang Terap, Kedah dan Kilang Gula Felda Perlis (KGFP), Chuping, Perlis.

Bila dah bekalan tidak mencukupi, tiba-tiba diumumkan pula kenaikan harga gula juga dengan alasan yang sama, harga gula mentah pasaran dunia naik.

Sepanjang penulis menjadi pengguna kepada bahan mentah ini, belum pernah lagi penulis terbeli gula yang tertera pada paket pembungkusnya yang ia diimport dari negara luar. Dan tidak pernah pula terperasan ada tulisan ‘Made In Switzerland’ dan yang sama waktu dengannya.

Contoh ketiga pula, bagi produk petroleum DS Najib berkata, setiap liter petrol RON95, harga asal RM2.75, rakyat hanya bayar RM1.90. Subsidi kerajaan berjumlah 85 sen atau 31 peratus dari harga sebenar.

Bagi setiap liter diesel pula, harga asal RM2.66, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi Kerajaan berjumlah 86 sen atau 32 peratus dari harga sebenar; dan

Setiap tong 14 kilogram gas memasak, harga asal RM48.02, rakyat hanya bayar RM26.60. Subsidi Kerajaan berjumlah RM21.42 atau 45 peratus dari harga sebenar.

Yang petroleum ni tak perlu penulis cerita panjang lebar sebab semua orang dah tahu apa itu PETRONAS dan dari negara mana asalnya...Nak bidas orang buta, pekak dan bisu bolehlah...Kononnya orang tiru dia hahahaha..dia yang tiru 1Israel tuh apa cerita..???

Bajet 2012: Untuk rakyat atau pilihan raya?

 
 
Intipati bajet yang dibentangkan oleh DS Najib hari ini agak mengecewakan kerana ia tidak memberi kelebihan kepada rakyat secara menyeluruh.

Kebanyakan belanjawan bagi tahun hadapan disalurkan ke arah kemajuan infrastruktur semata-mata tanpa mementingkan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

Bagi kakitangan kerajaan mereka boleh tersenyum namun tidak selebar yang diharapkan dengan pengumuman bonus setengah bulan gaji namun apa pula nasib kakitangan swasta dan juga golongan yang bekerja sendiri dengan pendapatan yang tidak seberapa?

Ramai yang menjangkakan kakitangan kerajaan pasti mendapat imbuhan sekurang-kurangnya sebulan gaji namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Dalam jangkaan penulis, walau setinggi manapun bonus atau kenaikan gaji yang diberikan kepada kakitangan kerajaan ia masih tetap sama.

Kalau tak percaya, tunggu selepas PRU-13 jika Umno/BN menang, pasti harga barangan akan naik, subsidi tentu ada yang ditarik balik dan segala apa yang dikatakan untuk membantu rakyat menanggung kos sara hidup sudah jauh tercampak ke laut.

Alasan yang diberi oleh pak menteri yang terlibat cukup mudah, "Kita menaikkan harga selaras dengan harga pasaran dunia." Yang peliknya takkan kenaikan harga kangkung pun nak kena ikut harga pasaran dunia.

Pembentangan bajet bagi penulis hanyalah salah satu drama lama yang diulang tayang setiap tahun di bulan Oktober. Seingat penulis, pada pembentangan belanjawan tahun lalu, kerajaaan turut mengumumkan pemansuhan yuran persekolahan tapi sekarang ibu bapa tetap dikenakan bayaran yang tukar hanyalah namanya sahaja.

Ada yang mengatakan bahawa bayaran itu dikenakan oleh pihak sekolah dan bukan ditetapkan oleh kerajaan. Jika benar mengapa kementerian pelajaran tidak mengambil tindakan ke atas pihak pengurusan sekolah terbabit?

Sebagaimana yang penulis katakan tadi, tidak semua yang menikmati ‘hasil’ pembentangan bajet bagi tahun 2012. Sebagai contoh, pasal pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi mengimport kereta hibrid serta elektrik yang akan dilanjutkan sehingga 2013. Berapa ramai rakyat Malaysia yang mampu beli kereta hibrid ni? Harganya paling bangang pun RM98,000.

Inilah yang yang penulis katakan ulang tayang filem lama, mana yang tak mampu nak fikir panjang tu sudah pasti tersenyum lebar dengan bonus setengah bulan. Yang lain pula ternganga la gigit jari. Apa yang penulis harapkan hanyalah pengumuman penurunan harga barangan, itu pun sudah cukup membuatkan seluruh rakyat marhaen tersenyum lega....namun, hampa juga..

Senang cerita, bajet ini bukan untuk rakyat tapi untuk undian rakyat....

INTIPATI BAJET 2012


Jumlah bajet - RM232.8 bilion
Perbelanjaan Operasi - RM181.6 bilion
Perbelanjaan Pembangunan - RM51.2 bilion

Tahun lalu, perkembangan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia paling kukuh di Asia bagi enam bulan pertama tahun ini dan mencecah RM21.2 bilion.

Kerajaan menjangkakan pertumbuhan ekonomi terus mantap antara 5 dan 5.5 peratus bagi tahun ini. Pertumbuhan bagi 2012 dijangkakan antara 5 dan 6 peratus, meskipun ekonomi global diramalkan perlahan.

Defisit bajet buat kali ke-15 akan diturunkan kepada 4.7 peratus daripada GDP 2012.
Ini lebih kecil daripada 5.4% bagi 2011. Defisit berjaya dikurangkan daripada 7.4 peratus pada 2009 kepada 5.6 peratus pada 2010.

Peruntukan rancakkan pembangunan
Kerajaan memperuntukan RM978 juta untuk merancakkkan pembangunan untuk lima projek: (1) lebuh raya JB-Nusa Jaya, (2) muzium warisan Taiping, (3) projek agropolitan Besut, (4) projek tandan sawit Lahad Datu dan (5) bekalan air Samalaju.

Kereta hibrid
Pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi mengimport kereta hibrid serta elektrik akan dilanjutkan sehingga 2013.

RM1 bilion untuk sekolah
Kerajaan akan wujudkan RM1 bilion untuk penambahkaikan sekolah.
RM500 juta diberikan pada sekolah kebangsaan.
Manakala RM100 juta diperuntukkan masing-masing kepada sekolah jenis kebangsaan (Cina), sekolah jenis kebangsaan (Tamil), sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

FELDA Global Ventures Holdings
Peneroka Felda akan terima "durian runtuh". Jumlahnya akan diumumkan sebelum Felda GVH disenarai di Bursa Malaysia sebelum pertengahan 2012.
Penyenaraian dilakukan dalam dalam usaha mengumpul dana menjadikan Felda syarikat konglomerat global.
RM400 juta diperuntuk untuk naik taraf infrastuktur bekalan air di kawasan Felda terpilih.

Yuran sekolah
Kerajaan memansuhkan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan.
Ini termasuk pemansuhan bayaran bagi kegiatan ko-kurikulum, insurans takaful dan sebagainya. Semua ini bermula penggal sekolah tahun depan.

Pencen
Seramai 600,000 pesara kerajaan akan menikmati kenaikan pencen tahunan sebanyak 2 peratus.
Umur wajib bersara dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Kakitangan awam
Kerajaan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimun lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus.
Kakitangan awam akan mendapat kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320.

Polis
RM200 juta peruntukan khas akan diberikan untuk perbelanjaan pembangunan polis, meliputi projek perumahan anggota, penambahbaikan balai dan pusat latihan.

Keluarga tentera
RM3,000 akan diberi secara one off kepada angggota keluarga, duda dan balu anggota berjumlah 62,000 orang.

Subsidi
Beras - Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan 60 sen.
Gula - bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen.
Minyak masak - harga RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50
Tepung - harga asal RM1.90, rakyat bayar RM1.35

Skim rumah pertama
Kerajaan cadangkan had maksimum harga rumah Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000.

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia
Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100,000 isu rumah. Pelabur boleh mohon pinjaman RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun.

Subsidi rumah
Kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000 untuk pembelian Program Rumah Mesra Rakyat.
Mereka yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usah boleh dapatkan pembiayaan untuk membeli rumah berharga RM65,000 dengan harga RM45,000. RM200 juta diperuntukkan untuk program ini.

Teksi persendirian
Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.
Pengecualian bayaran balik duti eksasis dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih tujuh tahun yang dijual atau tukar milik.
Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian.
Pemberian bantuan RM3,000 bagi melupuskan teksi lama berusia lebih tujuh tahun tetapi kurang 10 tahun. Bagi teksi berusia 10 tahun dan ke bawah, bantuan RM1,00 akan diberikan.

Perlindungan kepada gelandangan
Kerajaan menyediakan pusat khidmat sosial dikenali Anjung Singgah sebagai perlindungan sementara kepada gelandangan sekitar Kuala Lumpur.
Seramai 1,400 orang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 250 dengan Anjung Singgah.

Simpanan persaraan - KWSP
Caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.

Pinjaman TEKUN
Menteri kewangan mencadangkan peruntukan TEKUN ditambah sekali ganda daripada RM120 juta kepada RM300 juta.

Penjawat Awam
Tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM 500 ringgit untuk penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 ringgit kepada pesara kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011.

Meringankan Kos Sara Hidup
Bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit.
Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;
Bantuan persekolahan RM100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.
Pemberian baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

Rancangan Tebatan Banjir
Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit.
Di Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan.
Di Perak, tiga projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah.
Manakala bagi Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.

6/10/11

Bila ulama ditolak ke tepi...




Pelakon komedi Enot, mengakui sangat tertekan apabila dikecam gara-gara TERSILAP mengeluarkan kenyataan tentang hukum HUDUD di akhbar Sinar Harian, semalam.

Selain dikecam menerusi twitter dan facebook, perniagaan keknya turut terjejas, apabila ada pelanggan yang menarik balik tempahan GARA-GARA kurang senang dengan komennya. Enot turut kesal apabila arwah ibu bapanya turut dicemuh.

Dalam pertemuan dengan Sinar Harian sebentar tadi, Enot menyatakan kekesalannya dan memohon maaf di atas kesilapan itu. Ikuti kenyataan selanjutnya dalam akhbar Sinar Harian esok.

Inilah jadinya kalau bertuhankan hiburan semata-mata, agama ditolak ke tepi. Sepatutnya dalam isu agama ini orang yang lebih layak untuk bersuara dan diminta pandangan ialah golongan ulama dan juga mufti yang bertauliah.

Namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya, natijahnya sang artis yang langsung tidak tahu pasal hukum agama membuat kenyataan semberono tanpa merujuk dahulu dari mana-mana pihak terpaksa menerima tamparan hebat.

Dalam kes ini, pada pandangan penulis, kita tidak boleh menyalahkan artis terbabit semata-mata, wartawan dan juga pihak editorial Sinar Harian sepatutnya lebih peka mengenai isu sensitif ini.

Takkanlah tiada seorang pun editor atau kakitangan Sinar Harian yang arif dalam agama hinggakan ada yang menjadi mangsa keadaan. Namun artis berkenaan juga ada silapnya, beliau tidak sepatutnya dengan yakin memberi komen terhadap isu yang beliau sendiri tidak tahu.

Pihak Karangkraf juga sepatutnya tidak mengambil mudah dengan meminta pandangan artis semata-mata terhadap sesuatu isu. Jika benarpun mahu menarik pembaca atau ada agenda tersembunyi, janganlah buat hingga nampak diri sendiri yang bodoh.

Sekarang tengok apa dah jadi, artis yang jahil ini menjadi mangsa keadaan. Pihak Sinar Harian seharusnya membuat kenyataan maaf secara terbuka kerana ramai yang terguris dengankenyataan sensitif artis terbabit.

Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata hinggakan ada yang merana. Ingatlah semua sumber rezeki itu adalah dari Allah S.W.T. Walau sekaya dan sebanyak mana sekalipun harta yang diperoleh, itu hanyalah pinjaman dunia semata-mata.

Jika Allah nak tarik balik nikmat itu, Dia boleh menariknya sekelip mata. Justeru gunakan akal fikiran yang waras dan berfikir dahulu sebelum melakukan apa-apa tindakan jika tidak mahu perkara ini berulang.

Terlajak perahu boleh diundur, tapi terlajak kata buruk padahnya.

Guna duit rakyat untuk tembak rakyat...



Sejumlah 262 kanister gas pemedih mata telah digunakan untuk menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai, demikian menurut satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menjawab soalan ahli parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng, Kementerian Dalam Negeri berkata 226 peluru gas pemedih mata (TS Shell) dan 36 bom gas pemedih mata (TS Grenades) digunakan ke atas penunjuk perasaan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kos TS Shell TS dan TS Grenades ialah masing-masing RM79.76 dan RM135 (tiap satu).

Katanya, kerajaan membelanjakan RM22,855.76 untuk membelinya.

Dahsyat bukan? Untuk satu PERHIMPUNAN AMAN sahaja, sebanyak hampir RM23,000 dibelanjakan untuk tembak rakyat sedangkan ketika itu langsung tiada demonstrans yang melepaskan tembakan, membaling molotov cocktail, merejam lembing atau buluh runcing jauh sekali memanah.

Apa tujuannya? Dan atas dasar apa duit sebanyak itu dihabiskan semata-mata nak menyuraikan satu PERHIMPUNAN AMAN? Ini salah satu pembaziran duit rakyat yang tidak sepatutnya berlaku.

Rakyat tidak membayar cukai yang tinggi semata-mata untuk ditembak dan disembur dengan meriam air, tapi duit cukai itu diamanahkan kepada pemimpin untuk memaju dan memakmurkan negara bukan memenuhkan tembolok sendiri.

Walaupun jumlah sebanyak itu kecil sahaja bagi pihak kerajaan namun ia lebih wajar dibelanjakan untuk membantu mereka yang lebih memerlukan sebab bagi golongan miskin RM22,855.76 bukanlah satu nilai yang kecil.

Sedangkan Rejim Zionis menggunakan gas pemedih mata ke atas bangsa yang asing bagi mereka untuk menakluk negara orang, ini sudahlah menggunakan duit rakyat, untuk tembak rakyat sendiri pula itu.

Drama menikus musim kedua...

 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan ‘suami’nya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan tampil ke mahkamah sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan kes liwat II.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang hari ini menolak sepina yang menuntut mereka hadir sebagai saksi pembelaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membenarkan permohonan Najib dan Rosmah bagi mengketepikan sepina itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, memutuskan mereka adalah tidak relevan dan bukan saksi utama dalam perbicaraan itu.

Jika sebelum ini, beliau dengan lantang bak perajurit yang sedia untuk berkorban demi negara mengatakan bahawa beliau tidak takut dan boleh bersemuka dengan DS Anwar bila-bila masa sahaja, tapi sekarang lain pula jadinya.

Pihak pembelaan telah cuba mewawancara Najib dan Rosmah pada Ogos lalu tetapi mereka enggan menjadi saksi pembelaan dan berkata akan hanya tampil jika disepina.

Namun apabila sepina dikeluarkan, mereka memilih untuk mengketepikannya pula.

Sepina meminta perdana menteri tampil itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung mesyuarat pada 24 Jun 2008, berikutan satu pertemuan yang diaturkan oleh pembantu Najib, Datuk Khairil Annas dengan pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini jelas sekali menunjukkan Najib hanya berani dan lantang di belakang tabir sahaja namun bila diminta tampil di barisan hadapan, beliau dengan menikus menyorok dan enggan tampil.

Pemimpin beginikah yang perlu disokong oleh rakyat? Rasanya kalaulah berlaku perang dalam Malaysia, orang pertama yang akan melarikan diri ke luar negara dengan pesawat Boeing A319 tidak lain dan tidak bukan Najib dan ‘suaminya’.

Bukan beliau pun yang akan didakwa, beliau hanya perlu hadir dan beri keterangan sahaja di mahkamah takkan itu pun nak takut. Sebelum itu beriya sangat nak kena ada Sepina baru nak pergi mahkamah, tapi bila dah disepina, menikus pula.

Berani kerana benar, takut kerana penakut...

Yang seorang pun gagal didakwa...



Pihak polis sekali lagi menunjukkan ke’profesional’an mereka apabila gagal mendakwa anggotanya yang dikenal pasti melanggar SOP ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0.

Walaupun anggota tersebut telah DIKENALPASTI, namun tiada pendakwaan yang boleh dibuat ke atasnya kerana mendakwa ketiadaan saksi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin menyatakan pihak polis telah mengenal pasti SEORANG anggotanya dari 11,045 anggota polis yang dikerahkan untuk menyurai perhimpunan tersebut.

Hari ini pula, tiada dakwaan yang boleh dibuat ke atas anggotanya yang seorang ini kerana ketiadaan saksi. Pusing, putar, belit dan lingkup, senang cerita tiada seorang pun anggota polis yang melanggar SOP pada perhimpunan itu.

Jadi segala siasatan dan pengumpulan video dari saksi dan internet adalah sia-sia belaka. Pada penulis, segala video yang tersebar di internet sudah cukup untuk dijadikan sebagai bukti, namun dibelit dan putar jadi ketiadaan saksi.

Pada penulis, kenyataan yang dibuat oleh pihak berkenaan dalam menangani isu ini hanyalah sekadar melepas batuk di tangga dan langsung tidak bertanggungjawab.

Yang paling pelik, boleh dikatakan hampir semua anggota polis kecuali pegawai atasan tidak memakai nombor badan yang sepatutnya wajib dipakai oleh anggota polis.

Apabila soalan ini diajukan kepada Hishammuddin dalam satu sesi temuramah, beliau mendakwa anggota polis berkenaan adalah polis simpanan dan tidak perlu memakai tanda nombor sebagai anggota.

Seingat penulis, bukan setakat polis simpanan sahaja yang mempunyai nombor di badan, malah anggota polis bantuan bagi mana-mana organisasi pun memiliki nombor ini.

Apakah ia salah satu cara yang digunakan pihak berkenaan untuk mengelakkan anggota mereka dikenalpasti melanggar SOP? Jika benar, ia pastinya perancangan yang bijak kerana mereka sudah pun berjaya ‘meloloskan’ diri dari sebarang pendakwaan.

Ini seorang, bagaimana pula anggota lain yang secara terang-terangan melanggar SOP sebagaimana yang ditayangkan dalam ratusan video di laman Youtube?

5/10/11

Nampak sangat bohongnya..

 
 
Seramai 11,045 anggota polis dikerah dari seluruh negara bagi menyuraikan demonstrasi Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Namun dalam ribuan anggota polis itu hanya seorang sahaja dikenalpasti telah melanggar Standard Operation Procedure (SOP) ketika cuba menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 di Hospital Tung Shin.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien kejadian berkenaan telah diperbesar-besarkan dan polis tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya terhadap situasi semasa perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya itu.

Nampak tak apa yang sedang berlaku sekarang? Siapa yang tak nampak? Nampak ke tidak? Penulis nampak dengan jelas. Apa yang penulis nampak? Penulis nampak dengan jelas dan nyata Hishammudddin sedang kencing bersepah.

Nampak sangat bohongnya..bukan setakat dalam Youtube, malah boleh dikatakan ribuan gambar kekejaman pihak polis ketika menyuraikan perhimpunan itu tersebar di internet.

Jangan ingat rakyat buta dan pekak dalam menilai setiap tindak tanduk dan apa sahaja yang berlaku dalam negara ini. Sememangnya media arus perdana memainkan peranan penting dalam menyebarkan apa yang berlaku pada ketika itu kepada umum.

Namun harus diingat, tidak semua media arus perdana itu menjadi pilihan pembaca kerana terlalu banyak penipuan dan putar belit yang dimainkan mereka. Tak perlulah penulis menerangkan satu persatu tentang etika kewartawanan sebab dalam negara ini etika tersebut ibarat sampah. Langsung tiada guna.

Maka internetlah menjadi wadah utama pembaca untuk mendapatkan berita yang benar-benar telus mengenai apa sahaja isu hangat dalam negara.

Kalau tahun 70-an dan 80-an boleh dikatakan tidak semua yang mempunyai kemudahan internet di rumah tapi sekarang bukan setakat di rumah, malah di kedai-kedai mamak mahu pun restoran makanan segera sudah mempunyai akses.

Kini boleh dikatakan juga setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya sebuah komputer dan juga talian internet. Itu di rumah, tidak termasuk komputer riba milik anak-anak mereka yang belajar di universiti dan juga komputer riba 1Malaysia pemberian kerajaan.

Kepada pihak yang berkenaan, bukalah mata dan minda anda. Jangan ingat rakyat akan menerima setiap kenyataan yang dibuat secara bulat-bulat. Semuanya akan dinilai dan disiasat kesahihannya melalui internet.

Sebagai seorang pengamal media, penulis malu dan kesal kerana etika sebenar kewartawanan tidak dapat dipraktikkan di negara kita. Inilah realiti sebenar sebuah negara yang bernama Malaysia.

4/10/11

Patutlah naik bas, rupa-rupanya...



Dalam usaha untuk memenangi hati rakyat, Najib dan ‘suaminya’ Rosmah Mansor baru-baru ini sanggup mencemar duli menaiki bas menjelajah negeri Perak untuk bertemu rakyat.

Namun apa yang menjadi pertikaian sesetengah pihak ialah bas yang digunakan oleh Perdana Menteri itu tersangatlah mewah dan jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan bas yang menjadi pengangkutan seharian rakyat marhaen.

Ruang dalaman bas itu boleh disamakan dengan ruang jet peribadi yang lengkap dengan sofa. Kos bagi membina sebuah bas mewah itu bukanlah murah.

Namun bukan isu bas yang sedang bermain di fikiran penulis sekarang tapi berkenaan pesawat peribadi Airbus A319 yang digunakan oleh Perdana Menteri dan ‘suaminya’ ketika BERCUTI di Perth Australia pada Hari Kemerdekaan baru-baru ini.

Kos penyewaan pesawat berkenaan berjumlah RM9.1 juta yang mana menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kekerapan penggunaan pesawat itu adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara.

Nazri berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam Dewan Rakyat.

Menurut Nazri, kos penggunaan berjumlah RM9.1 juta itu meliputi kos bahan api pesawat, caj tempat dan kendali, sajian serta logistik krew pesawat.

Nazri juga mendedahkan pesawat itu disewa daripada Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) itu bermula 3 Ogos 2007 lagi untuk kegunaan pemimpin terpenting di dalam kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Patutlah langsung tiada pengumuman rasmi bahawa perdana menteri sedang bercuti sebagaimana lazim dilakukan oleh pejabatnya.

Lepas tu cuba nak kelentong rakyat dengan mengesahkan bahawa Najib memang berada di Perth bagi mendapat rawatan fisioterapi berikutan pembedahan di lututnya dan juga untuk bercuti.

Persoalannya ialah adil atau tidak bagi seseorang perdana menteri untuk bercuti dengan menggunakan dana kerajaan dan kapal terbang milik negara.

Kapalterbang Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) itu adalah dimiliki sepenuhnya oleh badan pelaburan kerajaan persekutuan Khazanah Nasional Bhd.

Sebelum ini, Dewan Rakyat tahun lalu juga dimaklumkan bahawa Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membelanjakan RM21.4 juta wang rakyat bagi pelbagai lawatan di luar negara sejak 2008.

Cincin hikmat misteri tengah cari tuan...


Isu cincin berlian bernilai RM24 Juta yang didakwa mempunyai kaitan dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kini kembali hangat apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan cincin berlian RM24 juta yang didakwa dibeli Rosmah benar-benar wujud.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tiada pembelian dibuat terhadap cincin itu. Ini bermakna, cincin berkenaan hanya ‘singgah’ sebentar di Malaysia untuk meninjau keadaan negara ini.

Pelik tapi benar. Bagaimana cincin yang bernilai tinggi itu mempunyai rekod kemasukan dalam negara ini namun ia tiada pembeli. Apakah ia sedang melancong, atau ia sebentuk cincin hikmat yang masih tercari-cari orang yang layak memilikinya.

Mungkin disebabkan terlalu banyak pengaruh-pengaruh tahyul yang kini banyak disiarkan di kaca televisyen menerusi slot drama dan juga filem-filem terkini.

Itulah...cakap ulama semua tak nak dengar. Orang suruh sokong ulama semua tarik muka. Sekarang bila dah timbul isu misteri ini tiada siapa yang dapat merungkai kemisterian cincin itu.

Kan dah susah, sekarang siapa nak jawab? Takkan nak mengharapkan bomoh-bomoh cabul yang ‘banyak’ dalam negara ni. Tak percaya cuba la belek-belek akhbar. Tahun ini sahaja dah berapa ramai ‘bomoh cabul’ kena tangkap.

Tapi yang membongkarkan kemisterian cincin hikmat yang mahal ini bukanlah bomoh atau pawang tapi hanyalah bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin yang langsung tiada ilmu-ilmu ghaib.

Badrul dapat mengesan kemasukan cincin itu bukanlah dari geluk air sakti atau mangkuk jampi tapi melalui INTERNET pada Julai lalu yang mana dakwanya ia diperoleh menerusi rekod kastam.

Dakwanya, rekod itu menunjukkan nama Rosmah dimuatkan dalam ruang penerima dalam borang pelanggan, yang didakwanya bukti menunjukkan pembabitan ‘suami’ Datuk Seri Najib Razak itu.

Badrul Hisham yang juga pengerusi NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melaporkannya kepada SPRM pada 13 Julai lalu.

Rosmah bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak mahu melayannya selepas dua minggu ia ditimbulkan.