18/07/12

Pro dan kontra kebenaran pelajar bawa telefon bimbit ke sekolah



Isu berkenaan kebenaran pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kini kian hangat diperkatakan. Ada yang bersetuju malah tidak kurang juga yang tidak bersetuju dengan pelbhagai alasan yang diberi.

Ada yang menyatakan ia wajar kerana pelajar dapat mengaplikasikan teknologi yang ada pada telefon bimbit dalam pelajaran malah dapat merekod setiap aktiviti pembelajaran di kelas.

Tidak terkecuali juga yang membantah di mana banyak yang memikirkan soal penyalahgunaannya terutama apabila timbul kes rakaman video tidak senonoh pelajar sekolah menggunakan kamera telefon bimbit.

Namun bagi penulis apa yang perlu diberi perhatian ialah bukan masalah penyalahgunaan gajet komunikasi itu sendiri tetapi melibatkan soal keselamatan anak-anak kita.

Kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah bagi penulis wajar diberi pertimbangan sebetulnya memandangkan keadaan negara masa kini yang tidak pernah lari dengan aktiviti jenayah.

Lihat sahaja di dada akhbar, saban hari menghidangkan berita-berita jelik yang melibatkan pelajar sekolah menjadi mangsa. Terbaru ialah beberapa siri cubaan menculik menggunakan van putih.

Kes yang menggunakan modus operandi ini dianggap selesai setelah beberapa penculik yang menculik kanak-kanak warga Belanda, Nayati Moodliar berjaya ditahan.

Namun perkara ini masih berulang dan ia mungkin dijalankan oleh pelaku berlainan tetapi menggunakan modus operandi yang sama.

Keadaan inilah pada penulis menjadikan isu kebenaran membawa telefon bimbit di sekolah wajar. Perlu diingat ia hanya KEBENARAN MEMBAWA telefon bimbit di sekolah dan bukanlah KEBENARAN MENGGUNAKANNYA dalam sesi pembelajaran.

Malah, kebenaran membawa telefon bimbit pada pelajar sekolah ini juga perlu diiringi dengan syarat atau peraturan tertentu dan bodohlah jika hanya memberi kebenaran semata-mata tanpa syarat atau peraturan.

Pelajar mungkin hanya dibenarkan menggunakan gajet komunikasi ini diluar sesi pembelajaran dan semua telefon bimbit perlu diserahkan kepada guru yang bertugas dalam satu-satu masa sahaja.

Malah telefon yang dibawa itu juga perlulah terhad aplikasinya yang mana ia hanya boleh digunakan untuk panggilan dan sistem pesanan ringkas (SMS) sahaja.

Larangan yang perlu dikuatkuasakan ialah penggunaan telefon berteknologi tinggi yang mana ia mampu merakam video atau gambar bagi mengelakkan ia disalahgunakan oleh pelajar.

Pihak sekolah juga perlu mengehadkan penggunaannya di kawasan tertentu sahaja seperti di ruang menunggu ibu bapa selepas tamat sesi persekolahan untuk menghubungi ibu bapa penjaga selepas pulang dari sekolah.

Ini pada pandangan penulis amat perlu dalam usaha untuk ibu bapa memantau pergerakan anak mereka dan memastikan mereka berada dalam keadaan selamat ketika pulang dari sekolah.

Bukan itu sahaja, malah banyak lagi peraturan yang perlu diberi perhatian bila perkara ini mahu dilaksanakan di sekolah-sekolah Malaysia.

Ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) serta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu duduk semeja dan memperbincangkan tentang pro dan kontra jika hal ini dilaksanakan.   

Ada yang menyatakan bahawa dulu tidak pelajar terutamanya di kawasan luar bandar tidak perlu dan mampu membawa telefon bimbit kemana-mana sahaja namun tetap berjaya dalam pelajaran.

Ini sedikit sebanyak menggeletek hati penulis sebenarnya. Pihak berkenaan perlu memikirkan tentang situasi semasa yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia kini dan tidak membandingkan zaman tok kaduk dulu dengan masa kini.

Suatu ketika dahulu, ibu bapa tidak perlu risau malah langsung tidak mempedulikan tentang pergerakan anak-anak mereka kerana situasi jenayah suatu ketika dahulu tidak seruncing sekarang.

Malah penulis sendiri di zaman kanak-kanak dulu juga tidak mampu nak bertelefon bimbit tetapi penulis dan rakan seusia bebas meneroka setiap ceruk hutan, baruh (paya), sungai, laut dan air terjun tanpa perlu dipantau oleh ibu bapa penulis.

Ibu bapa juga memberi kebebasan sepenuhnya untuk penulis kemana-mana sahaja bersama rakan sebaya kerana mereka tidak perlu bimbang tentang isu keselamatan membabitkan jenayah.

Tapi itu dulu, jauh sekali perbezaannya jika mahu dibandingkan dengan zaman sekarang jadi buatlah pilihan tepat yang terbaik untuk anak-anak generasi kita yang bakal mewarisi negara.