1/11/11

Waran tangkap dikeluarkan ke atas Bob Lokman...




Jabatan Agama Islam Selangor telah mendapat waran tangkap ke atas saudara Bob Lokman atas dakwaan menyampaikan ceramah tanpa tauliah.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin memberitahu wartawan di Shah Alam bahawa waran tangkap itu dikeluarkan pada 28 Oktober lalu yang membolehkan Bob ditangkap jika dikesan di negeri itu.

Bob ditahan di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 10 Oktober lalu kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah kepada kira-kira 70 hadirin.

Meskipun diminta tampil memberi keterangannya oleh JAIS, Bob yang kini bergiat aktif bersama PAS berkata tiada sebab untuknya bekerjasama kerana tindakan itu tidak ada kepentingan untuk Islam.

Ekoran pendiriannya itu, beliau sanggup menghadapi sebarang tindakan, termasuk kemungkinan menghadapi waran tangkap daripada mahkamah.

"Nak tangkap, tangkaplah. Saya tidak akan hadir. Sifat (JAIS) begini bukan hendak jaga keharmonian agama," katanya sambil memberitahu dia akan hanya berserah pada Allah.

Bob nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, disiasat mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Ini bukan kes pertama seumpama itu, sebelum ini Dr Asri Zainul Abidin yang sah-sah mempunyai terlebih tauliah (Bekas Pensyarah UIAM) turut berhadapan dengan tuduhan yang sama.

Hinggakan ada yang mengatakan tindakan JAIS itu tidak wajar dan langsung tidak masuk akal. Apa tidaknya, Dr Asri yang memang berkelulusan dari sebuah universiti di Mesir dikatakan tidak layak untuk mengajar dan didakwa tidak mempunyai tauliah. Memang tidak masuk akal.

Kini Bob pula yang menerima tuduhan sama walhal setahu penulis, Bob hanya diundang pada majlis ilmu tersebut untuk menceritakan pengalaman beliau dalam industri hiburan dan bukanlah menyampaikan ceramah ilmiah.

US 1.7 bilion mengalir ke negara seberang



Pekerja Indonesia di Malaysia mengirim pulang ke tanah air mereka wang berjumlah US$1.7 bilion di suku ketiga tahun ini (2011), demikian menurut catatan bank pusat, Bank Indonesia (BI).

Angka itu mewakili lebih daripada separuh jumlah wang sebanyak US$2.91 bilion yang dikirim pulang oleh tenaga kerja Indonesia (TKI) yang bekerja di kawasan Asia Pasifik.

Jurucakap BI, Difi Johansyah berkata, kiriman wang oleh pekerja Indonesia di luar negara ke tanah air mencapai US$5.05 bilion atau kira-kira Rp43 trilion sepanjang suku ketiga tahun ini dan TKI yang bekerja di kawasan Asia mengirim pulang paling banyak wang.

"TKI di kawasan Asia Pasifik mengirim wang ke Indonesia mencapai US$2.91 bilion. Terbesar dibandingkan kawasan lain," kata Difi seperti yang dipetik detikfinance di portal berita detik.com di Jakarta, hari ini.

Beliau berkata, TKI yang bekerja di kawasan Timur Tengah dan Afrika mengirim pulang wang berjumlah US$2.01 bilion dan daripada jumlah itu mereka yang bekerja di Arab Saudi menyumbang jumlah paling besar iaitu sebanyak US$1.68 bilion.

Itu antara angka yang mengalir keluar ke negara Indonesia hasil titik peluh bekerja di Malaysia, belum termasuk ringgit yang mengalir keluar negara hasil perbelanjaan mewah DS Najib anak beranak...

Lepas mak, anak dia pulak...



Dalam suasana rakyat yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang menggila, pemimpin masih lagi belum bangkit dari tidur dan terus menerus hanyut dibuai kemewahan.

Belum pun reda isu cincin bernilai RM24 juta yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor, kini timbul pula isu yang membabitkan anak perempuan beliau.

Akhbar The West Australian, mendakwa anak gadis perdana menteri membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia.

Walaupun DS Najib dilihat gagal sebagai Perdana Menteri untuk merangka strategi dalam membantu rakyat dan menghalang ketirisan serta pembaziran sebagaimana yang diumumkan laporan audit, ia tidak menghalang beliau dan kerabatnya untuk bermewah di saat rakyat dirundung kesukaran.

Kerana kegagalan beliau itu, ada pihak bertindak memfailkan satu usul untuk memotong gaji perdana menteri ekoran "masalah dan kepincangan" yang berlaku sejak Datuk Seri Najib Razak menjawat jawatan sebagai perdana menteri pada April 2009.