12/10/11

RM4.7 bilion dibazirkan untuk PLKN...


 
Sebanyak RM4.7 bilion dibelanjakan oleh kerajaan bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak ditubuhkan pada 2004 sehingga 31 Ogos tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, program itu berjaya memberi kesedaran awam kepada pelatih untuk menjadi warganegara yang baik melalui imej dan perlakuan positif dan tidak mudah terlibat dengan kes jenayah.

Dr Abdul Latiff berkata, peserta yang menyertai program PLKN didapati berjaya mengawal diri daripada terjebak dengan kes jenayah berdasarkan peningkatan pendaftaran pelatih dalam Pasukan Sukarela dari tahun ke tahun.

Bagi penulis, program ini bukanlah satu aktiviti yang mampu merubah pemikiran golongan remaja di negara ini, malah dengan pendekatan yang diambil tanpa pengukuhan dari aspek keagamaan, ia umpama perkara yang sia-sia.

Malah ia juga dibuat bukan atas dasar kerelaan pelatih kerana mereka dipaksa dan didakwa sekiranya gagal melaporkan diri pada program berkenaan.

Umum mengetahui bahawa ketika program berkenaan berlangsung terdapat banyak kes-kes salah laku melibatkan pelatih terutama melibatkan moral sebagai orang Islam.

Program berkenaan yang dijalankan secara bercampur gaul antara pelatih lelaki dan wanita dilihat langsung tidak membantu dalam pembentukan jati diri mereka terutamanya dari aspek keagamaan.

Ini kerana pendekatan yang dibuat secara bebas tanpa batasan pergaulan juga menjadi anatara punca utama golongan ini terdedah dengan gejala sosial.

Antara kes yang berlaku ketika program itu dijalankan ialah kejadian rogol seorang peserta PLKN oleh
seorang jurulatih di Kem Merang, Terengganu, pelatih melahirkan anak hingga menyebabkan kematian bayi itu di belakang sebuah asrama di kem Cancun Park, Pasir Mas, Kelantan, Pergaduhan antara pelatih di Kem Kisana Beach Resort, Pasir Puteh, Kelantan, kes cabul, potong rambut pelatih lain keracunan makanan dan juga kes kematian.

Dan banyak lagi kes-kes terpencil yang memang tak habis kalau nak dirungkaikan satu persatu dan ini dengan jelas menafikan dakwaan yang dibuat oleh Datuk Abdul Latiff Ahmad bahawa program PLKN itu berjaya memberi kesedaran kepada pelatih mengenai imej dan perlakuan positif.

Malah ia merupakan pembaziran yang tersangatlah besar melibatkan duit rakyat sedangkan pada masa kini ramai lagi rakyat menderita hidup dalam keadaan serba daif yang memerlukan bantuan.

Justeru, wajarlah kiranya program yang hanya membazirkan duit rakyat ini dibubarkan terus bagi memberi laluan kepada perkara yang lebih penting untuk kesejahteraan rakyat.

TERKINI: Satu lagi projek jual negara dikesan...



PAS hari ini berjaya mengesan satu operasi yang disyaki cuba memberikan warganegara kepada lebih 200 penduduk tetap (PR) di sebuah resort berhampiran Putrajaya di sini.

Kesemua yang majoritinya warga Indonesia itu didakwa dibawa dengan bas dari negeri Johor untuk diberi MyKad yang dipercayai ada kaitan untuk pengundian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Exco Pemuda PAS, Mohd Adram Musa (gambar) berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada perisikan jentera PAS berhubung perkara itu malam tadi yang mengatakan lapan buah bas membawa warga asing akan menuju ke Putrajaya untuk diberi MyKad.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Pemuda PAS bersama beberapa anggota dewan itu kemudiannya menunggu bas-bas tersebut yang tiba di Masjid Putra, Putrajaya kira-kira jam 7 pagi.

Bagaimanapun hanya enam buah bas didapati tiba di Putrajaya yang didapati beredar beberapa jam kemudian.

Mereka mengekori bas-bas tersebut sehingga ke sebuah resort di sini. Bas-bas berkenaan bagaimanapun beredar dari situ, dan meninggalkan kumpulan penumpang tersebut di resort berkenaan.

Petugas media yang kemudiannya tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengahari juga sempat melihat sebuah kereta Proton Tiara dipercayai membawa ‘ketua operasi’ itu memecut laju keluar dari resort melalui jalan belakang.

"Saya sendiri masuk ke dalam resort berkenaan, dan mendapati memang warga asing di dalamnya. Kita tanya mereka bagitahu datang untuk kursus," katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, kehadiran mereka bagaimanapun tidak disenangi ‘ketua’ rombongan itu dan mereka mengambil pendirian untuk keluar dari kawasan resort tersebut yang pagarnya kemudian dikunci pemilik resort.

Ekoran itu juga mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.
Turut serta pada sidang media di hadapan resort itu AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.

Menurut Mazlan, beliau turut mendapat maklumat dari sumber dalaman yang tidak mahu bersubahat dengan operasi jahat itu.

"Dia hubungi saya bagitahu terdapat dokumen tebal dalam bas serta mendengar cakap-cakap penumpang bas yang mendakwa akan mendapat MayKad hari ini.

"Dia bagitahu saya maklumat ini kerana beliau tidak mahu bersubahat," katanya.

Menurut Mazlan lagi, beliau juga dimaklumkan sewaktu bas berhenti di Masjid Putra, beberapa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara menemui ketua rombongan bas tersebut dan mengarahkan mereka ke sebuah resort di kawasan berdekatan ekoran rahsia operasi mereka didakwa sudah diketahui.

"Saya difahamkan ini trip ke sepuluh untuk operasi ini. Modus operandi mereka adalah untuk mengalahkan Pakatan Rakyat Selangor," tambahnya.

Dalam pada itu satu sidang media khas berhubung perkara itu akan diadakan di Parlimen esok.

Sumber: HARAKAH DAILY