2/05/12

Media dibelasah: Alasan polis tak masuk akal...





Ketua Polis Negara pada hari ini (2 Mei 2012) memohon maaf kepada jurugambar akhbar The Malay Mail, Muhammad Arif Kartono yang mendakwa dirinya dikasari polis ketika membuat liputan pada perhimpunan BERSIH 3.0 Sabtu lepas.

Beliau memberi alasan bahawa polis bertindak demikian kerana tidak dapat membezakan antara peserta perhimpunan dan media dalam kekalutan itu.

Sabtu lepas, Muhammad Arif cedera di muka dan anggota badan setelah dikatakan dikasari polis ketika membuat liputan perhimpunan badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang di Dataran Merdeka.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh menyarankan kepada media agar menggunakan pakaian khas seperti ‘vest media’ bagi mengelakkan insiden tidak diingini seperti pada Sabtu lepas.

Mohmad turut mengulas bahawa insiden wartawan dan jurugambar dikasari bukan disengajakan kerana keadaan kelam-kabut serta sukar untuk dikawal menjadikan pihak polis sukar membezakan antara orang awam dan pengamal media.  

"Saya rasa cara itu (memakai vest media) merupakan cara terbaik buat masa ini kerana pihak polis boleh membezakan antara media dan peserta perhimpunan sekiranya berlaku tindakan di luar kawalan," katanya.

Semua sedia maklum bahawa dalam kejadian keganasan itu, pihak media sudahpun menunjukkan kad pengenalan media mereka kepada polis, namun ada yang bertindak menarik kad media tersebut hingga putus dan jatuh ke lantai dan bertindak menendang kad media ke arah wartawan itu.

Kebanyakan petugas media yang mendakwa menjadi mangsa kekejaman polis pada hari berkenaan telah pun menunjukkan kad media masing-masing namun ia langsung tidak diendahkan oleh polis malah terus dibelasah.

Bukan itu sahaja, petugas media turut mendakwa dihalang merakam sebarang keganasan polis pada hari kejadian. Malah ada anggota polis yang bertindak merampas dan merosakkan kamera serta merosakkan kad memori yang dipercayai mengandungi gambar keganasan polis.             

Keadaan ini juga secara terang-terangan menafikan hak petugas media dalam melaporkan berita yang telus dan benar kepada masyarakat dan peranan Kad Media untuk membezakan orang awam dan petugas media nyatakan diketepikan. 

Jika perkara ini berlarutan, tidak mustahil warga media di negara ini akan memboikot sebarang liputan membabitkan polis dan juga kerajaan kerana ia nyata satu arahan dari pihak atasan.  

Jadi, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur dan KPN nyata tidak boleh diterima akal. Penulis yang turut berada di tempat kejadian dapat mengecam dengan mudah petugas media walaupun terpaksa menahan keperitan terhidu gas pemedih mata.

Mungkin pihak polis perlu mengadakan tapisan bagi memeriksa sama ada terdapat anggota yang cacat atau mempunyai masalah penglihatan.

Kalau ada apa-apa, jangan cari media…!!!



SETELAH lima hari berlalu, pelbagai reaksi tersebar di internet baik dari peserta mahupun dari pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri. Semuanya saling menuding jari mencari kesalahan masing-masing. 

Malah rakyat yang tidak terlibat turut memberi pendapat mereka dalam ruangan akhbar untuk disiarkan secara umum. Namun tahukah mereka apa sebenarnya yang berlaku? Atau mereka hanya menyebarkan khabar angin yang didengar dari mulut ke mulut sahaja?

Adakah pendapat mereka ini yang langsung tidak berada di tempat kejadian dan hanya mengikut rentak laporan media arus perdana sahaja boleh diterima pakai oleh masyarakat?

Tidak kurang juga yang cuba menunjukkan kejaguhan masing-masing apabila memberi reaksi macam nak bergaduh untuk menunjukkan betapa marahnya mereka kepada BERSIH 3.0.

Hakikat sebenarnya amat jauh menyimpang dari apa yang dilaporkan oleh media arus perdana. Malah kenyataan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga bertentangan dengan apa yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Menurut Hishammuddin, tindakan polis yang merampas dan merosakkan kamera milik petugas media pada BERSIH 3.0 merupakan Standard Operation Procedure (SOP) polis. Namun kenyataan ini bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh Ismail Omar bahawa tindakan itu bukanlah SOP polis.

Malah, sepanjang  penulis menceburi dunia media ini, tidak pernah didengar dalam mana-mana benua sekalipun bahawa polis berhak merampas kamera atau peralatan dan menghalang petugas media di mana-mana situasi sekalipun selagi tidak melanggar undang-undang.

Petugas media hanya memainkan peranan mereka dalam melaporkan situasi terkini dan apa sebenarnya yang berlaku kepada umum dan mereka juga mengikut arahan dari bilik berita untuk bertugas.

Bukan mereka saja suka-suka untuk turun ke lokasi kejadian. Tanyalah mana-mana wartawan sekalipun sudah tentu mereka tidak suka jika ditugaskan dalam keadaan sebegini. Sudahlah panas, terpaksa bersesak-sesak mengharungi lautan manusia dan menghidu gas pemedih mata pula.

Kali ini petugas media sendiri berdepan dengan provokasi dari polis seolah-olah mereka seorang pesalah yang melakukan jenayah berat. Walhal, mereka hanya cuba merakamkan situasi dari sudut pandang media sahaja.

Mungkin pihak polis juga menerima arahan tertentu dari pihak atasan agar provokasi dan tindakan ganas polis tidak dirakam dan tersebar di internet serta portal media-media alternatif lain.

Pada pendapat penulis, tidak wajar petugas media diperlakukan sebagaimana pesalah jenayah. Jika enggan perbuatan ganas mereka dirakam, janganlah menimbulkan provokasi dan bertindak ganas. Mudah bukan?

Kini pihak kerajaan terpaksa memainkan peranan mereka untuk ‘memujuk’ kembali pihak media kerana bimbang tidak akan mendapat liputan pada PRU-13 nanti. Senang saja, lepas pukul separuh mati, minta maaf.

Yang menerima padah dan menanggung azab dibelasah dan juga kerugian akibat kerosakan peralatan ialah petugas media sendiri. 

Apakah petugas media yang cedera ini akan menerima pampasan? Sudah tentu tidak. Menteri yang melawat pun tak bawa buah tangan, inikan pula nak mendapat pampasan walaupun petugas media ini mengalami kerugian yang besar.

Memetik kata-kata dua anggota polis yang tidak dibenarkan buang air di dalam sebuah premis pada BERSIH 3.0 baru-baru ini:

“KALAU ADA APA-APA, JANGAN CARI MEDIA”  …..!!!!!