2/05/12

Media dibelasah: Alasan polis tak masuk akal...





Ketua Polis Negara pada hari ini (2 Mei 2012) memohon maaf kepada jurugambar akhbar The Malay Mail, Muhammad Arif Kartono yang mendakwa dirinya dikasari polis ketika membuat liputan pada perhimpunan BERSIH 3.0 Sabtu lepas.

Beliau memberi alasan bahawa polis bertindak demikian kerana tidak dapat membezakan antara peserta perhimpunan dan media dalam kekalutan itu.

Sabtu lepas, Muhammad Arif cedera di muka dan anggota badan setelah dikatakan dikasari polis ketika membuat liputan perhimpunan badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang di Dataran Merdeka.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh menyarankan kepada media agar menggunakan pakaian khas seperti ‘vest media’ bagi mengelakkan insiden tidak diingini seperti pada Sabtu lepas.

Mohmad turut mengulas bahawa insiden wartawan dan jurugambar dikasari bukan disengajakan kerana keadaan kelam-kabut serta sukar untuk dikawal menjadikan pihak polis sukar membezakan antara orang awam dan pengamal media.  

"Saya rasa cara itu (memakai vest media) merupakan cara terbaik buat masa ini kerana pihak polis boleh membezakan antara media dan peserta perhimpunan sekiranya berlaku tindakan di luar kawalan," katanya.

Semua sedia maklum bahawa dalam kejadian keganasan itu, pihak media sudahpun menunjukkan kad pengenalan media mereka kepada polis, namun ada yang bertindak menarik kad media tersebut hingga putus dan jatuh ke lantai dan bertindak menendang kad media ke arah wartawan itu.

Kebanyakan petugas media yang mendakwa menjadi mangsa kekejaman polis pada hari berkenaan telah pun menunjukkan kad media masing-masing namun ia langsung tidak diendahkan oleh polis malah terus dibelasah.

Bukan itu sahaja, petugas media turut mendakwa dihalang merakam sebarang keganasan polis pada hari kejadian. Malah ada anggota polis yang bertindak merampas dan merosakkan kamera serta merosakkan kad memori yang dipercayai mengandungi gambar keganasan polis.             

Keadaan ini juga secara terang-terangan menafikan hak petugas media dalam melaporkan berita yang telus dan benar kepada masyarakat dan peranan Kad Media untuk membezakan orang awam dan petugas media nyatakan diketepikan. 

Jika perkara ini berlarutan, tidak mustahil warga media di negara ini akan memboikot sebarang liputan membabitkan polis dan juga kerajaan kerana ia nyata satu arahan dari pihak atasan.  

Jadi, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur dan KPN nyata tidak boleh diterima akal. Penulis yang turut berada di tempat kejadian dapat mengecam dengan mudah petugas media walaupun terpaksa menahan keperitan terhidu gas pemedih mata.

Mungkin pihak polis perlu mengadakan tapisan bagi memeriksa sama ada terdapat anggota yang cacat atau mempunyai masalah penglihatan.

Tiada ulasan: