25/09/11

Hudud: Rupanya ada yang takut pada bayang sendiri...


DS Najib sekali lagi membuat kenyataan yang agak mengejutkan penulis. Menurut beliau, undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakat di Malaysia tidak mengizinkan undang-undang itu dilaksanakan.

Menurutnya, beliau menerima hakikat bahawa ia adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam dan ia mestilah berpaksikan kepada realiti jika undang-undang itu mahu dilaksanakan.

Mengapa agaknya bila sebut sahaja hudud, ramai yang panas punggung dan seolah-olah takut sangat dengan hukum Allah ini. Seolah-olah golongan yang menentang hudud merupakan pesalah yang akan menjalani hukuman berdasarkan hukum itu jika ia dilaksanakan.

Yang paling tidak boleh penulis terima bila ada yang menyatakan perlaksanaan hudud ini tidak sesuai dijalankan di negara ini bagi menghormati perpaduan kaum yang pelbagai.

Namun hakikatnya bukan hanya Malaysia sahaja yang memiliki rakyat terdiri dari pelbagai kaum dan agama malah banyak lagi negara lain yang melaksanakan hukum hudud dan rakyatnya juga berbilang puak dan agama.

Lihat sahaja negara Iran yang majoriti penduduknya memang  beragama Islam namun bukan seluruhnya. 89 peratus daripada penganut Islam di negara Iran tergolong dalam mazhab Syiah manakala selebihnya adalah Sunnah Waljamaah.

Ada juga agama lain yang dianut oleh rakyat Iran seperti majusi, yahudi, bahai, mandean dan kristian dan mereka juga berbilang kaum dan puak. Lebih kurang 70 peratus daripada populasinya adalah bangsa Iran, sebuah kumpulan etnik yang menggunakan bahasa Iran.

Suku-suku yang tergolong dalam bangsa ini ialah suku Parsi, suku Kurdis, suku Gilaki, suku Mazandarani, suku Lur, dan suku Balochi. Kumpulan etnik lain ialah bangsa Turki seperti suku Azeri, Turkmenn dan Qashqai. Selebihnya adalah orang Semitik seperti Arab, Assyria dan Yahudi dan juga Indo-Eropah seperti Armenia.

Kalau ikutkan, Iran memiliki lagi banyak rangkaian suku dan puak serta agama yang berbeza. Namun negara ini tetap mengamalkan hukum hudud tanpa timbul sebarang permasalahan yang mengaitkan tentang jumlah keseimbangan rakyat.

Tapi di Malaysia ada yang takut sangat bila soal perlaksanaan hukum Allah ini dibangkitkan seolah-olah takut pada bayangan sendiri.

Atau mungkinkah golongan penentang ini bimbang mereka akan menerima hukuman sekiranya perlaksanaan hukum hudud dijalankan di negara kita? Kalau rasa tidak pernah buat salah mengapa harus takut, berani kerana benar, takut kerana salah.

Takkan kena potong tangan tu kalau tak pernah mencuri, tapi kalau dah buat kerja mencuri dan merompak macam lanun terutamanya harta dan dana awam, memang patutlah mereka takut sangat.