
11/09/12
Saham FGVH terus merudum...!!
Semakan pagi ini menunjukkan harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) terus merudum.
Pada jam 11.30 pagi ini, harga saham itu berada pada tahap RM4.58 – turun 10 sen berbanding harga ketika kaunter ditutup semalam.
Setakat ini, saham itu mencatat harga paling rendah di tahap RM4.57, menghampiri harga tawaran pemulaannya pada RM4.55.
Trend ini berterusan walaupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja terus meningkatkan pegangannya daripada lima peratus kepada 6.8 peratus.
Jun lalu, FGV mengeluarkan IPO kedua paling besar di dunia.
Harga saham itu turun melampaui tahap psikologi RM5 minggu lalu dan trend itu berterusan sejak Julai lalu.
Dagangan saham di Bursa Malaysia jatuh 15 mata daripada 1,618 mata ketika berita ini ditulis.
Sumber: Malaysiakini.com
FGVH: kejatuhan dan pujuk rayu pegawai Felda
![]() |
Carta saham FGVH mencatatkan penurunan di paras RM4.70 pada 10 September 2012. |
Saham Felda Global Ventures Holding terus mencatatkan
penurunan sehingga ke paras RM4.70 pada 10 September 2012 serta mencatatkan RM4.60 pada 11 September 2012 dan dijangka akan terus jatuh.
Keadaan ini mungkin membingungkan para peneroka yang tahu
serba sedikit mengenai permainan saham namun bagi peneroka yang hanya mengikut trend sahaja
sudah pastinya melopong.
Melihatkan kepada kesungguhan Isa Samad dan DS Najib ‘memujuk’
peneroka mengambil bahagian dalam pembelian saham itu pun sudah menunjukkan ada
udang di sebalik batu.
Penulis sendiri telah beberapa kali meyakinkan peneroka di
tanah kelahiran penulis yang merupakan tanah rancangan Felda agar berfikir
banyak kali sebelum membuat keputusan membeli saham ini.
Namun apa yang menyedihkan, mereka tetap dengan keputusan
mereka untuk meneruskan pembelian saham alaupun sudah diterangkan mengenai
musibah yang bakal mereka alami jika berlaku penurunan.
Tidak semua warga peneroka ini berpendidikan tinggi, malah
rata-rata yang memilih untuk mengambil bahagian dalam pembelian saham ini hanya
ikutan trend di mana apabila melihat ramai yang mengambil bahagian di tambah
pula dengan ‘rasuah’ sebanyak RM15,000 yang merupakan duit mereka sendiri tanpa
mereka sedari menambahkan lagi ‘gelap mata’.
Penulis kecewa kerana segala penerangan sudah pun penulis
perjelaskan kepada peneroka di kampung halaman penulis. Hanya bapa penulis
sahaja yang enggan berganjak dengan keputusan untuk tidak menerima ‘durian
runtuh’ dan saham ini.
Itu pun setelah dijelaskan oleh penulis dengan penerangan
ringkas yang mudah difahami bagi memberi gambaran sebenar apa itu saham FGVH
dan ‘durian runtuh’ yang didakwa ‘pemberian’ DS Najib.
Dalam kes melibatkan bapa penulis, beliau berterusan diasak
oleh pegawai Felda di tanah rancangan itu yang tidak putus asa dan berterusan
memujuk rayu beliau untuk menerima durian runtuh macam orang gila talak layaknya.
Keadaan ini memaksa penulis membuat
keputusan untuk menulis surat rasmi menyatakan bahawa bapa penulis tidak akan
menerima ‘durian runtuh’ dnegan alasan masih ramai lagi golongan yang
memerlukan duit itu.
Biarlah ‘durian runtuh’ itu disalurkan kepada pihak yang
memerlukan. Alhamdulillah, setelah surat berkenaan dihantar kepada pejabat
Felda, bapa penulis tidak lagi didatangi oleh pegawai Felda ini.
Dalam usaha memujuk itu, penulis melihat sendiri kesungguhan
mereka yang menerangkan bahawa tiada tanah peneroka yang akan tergadai, apa
yang dicagarkan ialah tanah plantation Felda.
Itulah omongan yang dijelaskan kepada penulis dan bapa,
namun bila penulis jelaskan bahawa penulis sendiri pernah melihat dan menyemak
setiap surat perjanjian serta menyatakan bahawa penulis ialah seorang petugas
media, serta merta air muka pegawai Felda ini berubah dan terus meminta diri
untuk berlalu pergi.
Mungkin pegawai Felda itu menyangka bahawa penulis hanyalah
pekerja kilang biasa kerana selama ini bila pulang ke kampung halaman, penulis
tidak pernah menyatakan pada sesiapa tentang pekerjaan hakiki penulis. Sekadar
menyatakan bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur.
Mungkin ramai yang
termakan dengan kata-kata penulis, bukan niat untuk berbohong apatah lagi menipu
tapi penulis lontarkan ia dalam bentuk gurauan tanpa menyatakan pekerjaan
sebenar .
Tambahan pula, pegawai Felda berkenaan ternampak kad petugas
media yang memang sentiasa tergantung dalam kereta penulis, lagilah menambahkan
riak cemas pada wajah beliau.
Itu antara peristiwa yang tidak dapat penulis lupakan
tentang kesungguhan pegawai Felda berkenaan. Mungkin pegawai berkenaan termakan
dengan bonus yang diperolehnya atau mungkin juga mereka menerima komisen dari
pujukan ini. Wallahuallam.
Melihatkan kepada kejatuhan saham FGVH sekarang ini, penulis
sendiri tidak sabar untuk pulang ke kampong dan berjumpa pegawai Felda
berkenaan. Mungkin sekadar bertanya khabar di samping mengeratkan silaturahim
sahaja.
Sama-samalah kita nantikan perkembangan selanjutnya saham
FGVH ini. Buat para peneroka yang terjebak dengan saham ini, bersabarlah. Mungkin
ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Siapa tahu mungkin dalam dua tiga hari
nanti tiba-tiba saham melonjak naik pula.
Langgan:
Catatan (Atom)