19/07/12

Wabak penyakit di musim perayaan



MUSIM perayaan sudah tidak jauh lagi. Tinggal beberapa selekoh aje lagi untuk kita memenuhi lebuh raya dan jalan-jalan utama untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Apa yang terlintas di fikiran penulis bila sebut sahaja musim perayaan ketika ini ialah mengenai bekalan gula serta bahan mentah seperti ayam, daging dan gula.

Apakah masalah yang sama bakal berulang seperti tahun-tahun yang sudah? Kebiasaannya, penggunaan gula pasti meningkat di musim perayaan.

Dan sudah pasti masyarakat bakal berhadapan dengan krisis gula yang tidak pernah berkesudahan. Buat masa ini semuanya Nampak terkawal dan tiada sebarang masalah untuk mendapatkan bekalan bahan pemanis makanan itu.

Tapi kita tunggu dan lihat pada pertengahan bulan Ramadhan nanti. Sudah pasti akan berlaku kekurangan bekalan.

Penulis sudah mengikuti perkembangan masalah kekurangan bekalan ini sejak beberapa tahun yang lalu di mana ia semakin memuncak di musim perayaan. 


Yang pastinya masalah kekurangan bekalan sudah tentu akan berkesudahan dengan peningkatan harga yang melambung-lambung. Masalah ini sepatutnya dipantau oleh pihak berkenaan bagi mengelakkan ia daripada timbul.

Namun sebelum ini, apabila berlakunya masalah kekurangan bekalan seperti gula media kerajaan akan memainkan peranannya untuk ‘menenangkan’ keadaan. Maka timbullah iklan dan pelbagai kempen yang meminta rakyat mengurangkan pengambilan gula.

Mengapa kempen ni hanya rancak diwar-warkan di kala krisis kekurangan bekalan meruncing? Bahkan ketika ini pun tiada sebarang kempen membabitkan kesihatan atau apa jua yang berkaitan dengan pengambilan gula berlebihan.

Terang-terangan ia hanyalah dakyah yang diadakan untuk menutup mulut masyarakat dari mengomel tidak puas hati dengan kenaikan harga barangan mentah secara mendadak. 

Itu baru isu tentang barangan keperluan, belum masuk lagi isu masalah kekurangan bekalan air di Selangor. Jika difikirkan memang tidak masuk akal...hujan mencurah-curah, kemarau pun tidak tapi paras air untuk kegunaan rakyat Selangor tiba-tiba susut dan meruncing...

Namun yang peliknya dalam masyarakat kita, walau seteruk mana pun ditipu dan dimomokkan dengan perkara mungkar, golongan kuffar ini tetap disokong. Itu yang pelik.

Kalau perkara ini terus terusan berlaku, bila kita nak mencapai perubahan? Siapa yang nak bantu kita di kala dilanda masalah ekonomi yang meruncing dengan kos sara hidup yang meningkat dan juga peningkatan kadar jenayah yang tidak pernah surut? Tepuk dada, tanyalah iman….