29/09/11

Beza antara kita dan mereka...



 
Pada zaman yang serba canggih ini masih ada lagi segelintir rakyat di Malaysia yang terperangkap dalam pemikiran yang dangkal yang mana mereka sanggup bertindak seperti manusia di zaman purba.

Golongan ini langsung tiada pendirian yang kukuh dalam setiap apa yang diperjuangkan di atas tiket memperkasakan Melayu. Namun apa yang jelas, pemikiran politik serta tindakan mereka yang langsung tidak menampakkan mereka masyarakat yang moden dan terbuka.

Apa yang diperlihatkan oleh golongan ini hanyalah pemikiran dangkal dunia keempat yang mana mereka terlalu asyik dalam dunia samseng dan suka dengan pergaduhan.

Yang peliknya, mereka hanya berani jika jumlah ‘geng’ mereka lebih besar daripada pihak lawan, dan
jika sebaliknya, mereka hanya menikus dan mengambil pendekatan untuk ‘bersiar-siar sahaja di Taman Tasik Titiwangsa.

Inikah golongan pejuang yang mendakwa diri mereka memperkasakan bangsa dan agama? Apa yang penulis nampak mereka hanya lebih kepada memalukan bangsa dan agama sendiri.

Jika benar mereka pejuang bangsa, mengapa hanya bangsa sendiri yang berbeza idealogi dan pendapat dari segi perjuangan dan juga politik yang menjadi sasaran mereka?

Ini lebih kepada perjuangan yang mementingkan agenda politik khususnya dalam memberi sokongan kepada Umno dan langsung tiada usaha ke arah memeperjuangkan nasib bangsa dan rakyat sendiri.

Yang nyata, ahli mereka hanya akan memberi komitmen penuh jika mereka dijanjikan wang ringgit sebagai menyatakan sokongan mereka dalam sesuatu isu. Lihat sahaja ketika berlangsungnya perhimpunan BERSIH 2.0.

Sebelum perhimpunan lagi, golongan inilah yang lantang membantah rakyat daripada bangkit menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.

Namun bila tiba sahaja hari perhimpunan, ketua mereka tanpa rasa malu mengarahkan agar semua ahli bersiar-siar di Taman Tasik Titiwangsa.

Sudah tentu mereka sepatutnya merasa gerun dengan gelombang rakyat yang bangkit memperjuangkan hak bersuara. Apa yang lebih membanggakan, golongan rakyat yang turun ke jalanan pada BERSIH 2.0 langsung tidak diberi apa-apa insentif mahupun bayaran.

Apa yang pasti, mereka bukanlah terdiri daripada golongan yang kaya dan rata-ratanya hanyalah berpendapatan sederhana dan rendah, namun berkat dari keberkatan dan kesungguhan dalam memperjuangkan agama Allah, bangsa dan hak, mereka sanggup turun.

Umum mengetahui beberapa hari sebelum perhimpunan, semua akses untuk memasuki Kuala Lumpur disekat sepenuhnya sebagai usaha untuk menghalang kemaraan rakyat.

Namun apa kuasa mereka untuk menyekat ketentuan Allah S.W.T? Segala urusan golongan pejuang ini dipermudahkan. Malah ada segelintir yang menceritakan mereka seolah-olah ‘halimunan’ ketika melalui setiap sekatan jalan raya yang diadakan.

Terang bukan, segala apa yang diperjuangkan dengan niat ke jalan Allah sudah pasti akan dipermudahkan segala urusan oleh-Nya. Inilah perbezaan yang jelas antara kita dan mereka...

28/09/11

Barang Naik kembali lagi...


 
Dalam duk sibuk-sibuk pasal politik, isu hudud, isu gereja, isu liwat, isu Ahmad Sarbaini dan pelbagai isu lain, dalam senyap-senyap sempat juga ‘menyelitkan’ kenaikan harga.

Harga minyak sudah, susu tepung sudah, gula pun sudah, tarif elektrik sudah, Astro pun sudah, kali ini harga telur ayam pula yang naik. Bukan sesetengah gred, tapi harga telur ayam bagi semua gred dinaikkan sebanyak dua sen sebiji.

Alasan bagi kenaikan ini ialah kekurangan bekalan. Kenaikan itu menjadikan peningkatan RM2 untuk setiap 30 biji telur dari peringkat ladang, borong serta runcit.

Harga baru bagi telur ayam gred AA peringkat runcit meningkat kepada RM32.50 untuk 30 biji berbanding RM30.50 sebelum ini manakala telur gred A berharga RM32 berbanding RM30 bagi jumlah sama dan telur gred B RM31 berbanding RM29.

Sementara itu, harga untuk 30 biji telur ayam gred C ialah RM30 berbanding RM28 manakala gred D RM29 berbanding RM27. Kenaikan itu sudah tentu disambut baik oleh penyokong Umno di felda-felda, kampung-kampung, peniaga kuih berasaskan telur dan banyak golongan lain termasuk mereka yang berpendapatan rendah.

Angin tidak, ribut pun tidak tiba-tiba dinaikkan harga. Ketika ini, antara barangan keperluan yang naik di pasaran ialah bawang besar, bawang putih, kacang dal, rempah, ayam, daging, daging kambing, ikan, udang, sayur-sayuran, tepung beras, susu pekat manis, biji kopi dan serbuk teh.

Pasti ramai yang tersenyum terutama cai-cai Umno yang sememangnya menunggu berita kenaikan harga barangan ini. Sudah terang dan nyata, kerajaan mempunyai agendanya sendiri untuk mengumpul kekayaan dengan memerah hasil rakyat sementara masa masih ada sebelum PRU-13.

Mungkin kerana mereka takut dengan bayang-bayang sendiri bila memikirkan nasib yang bakal mereka hadapi jika gagal mempertahankan Putrajaya kelak. Dan mereka seharusnya berterima kasih kepada barangan runcit serta minyak petrol yang banyak membantu mereka menjadi kaya-raya.

Mana-mana penyokong Umno terutamanya di luar bandar, inilah masanya untuk anda berterima kasih dengan pemimpin yang selama ini leka menjerut leher rakyat.

Yang pastinya, akibat kenaikan harga barangan yang melampau itu, penulis sendiri turut menerima kesannya yang mana kini penulis sedang mengalami masalah kenaikan tekanan darah.

27/09/11

ZZzzZZ...Nak raih..zzZZzz undi aje tu..ZZzzz....



Lepas Shafie Apdal, Tun Abdullah juga tidak mahu ketinggalan untuk membuat kenyatakaan berhubung isu hudud yang hangat diperkatakan kini.

Dalam kenyataannya, beliau berkata isu pelaksanaan hudud yang dibangkitkan PAS baru-baru ini dilihat sebagai usaha parti itu menarik perhatian dan sokongan rakyat, memandangkan pilihan raya umum boleh diadakan bila-bila masa.

Menurut beliau yang baru bangkit dari tidur, ia kerana bukan sahaja pelaksanaan hudud, bahkan PAS sudahpun tidak mengambil peduli tentang penubuhan negara Islam sejak ia ‘berkawan’ dengan DAP.

Alahai..Tun..Tun..Nak bersuara tapi masih dalam keadaan mamai. Tak sedarkah Tun, siapa yang sibuk nak bangkitkan isu hudud ni kalau bukan Umno.

Gerakan sendiri pun enggan menerima hudud malah sanggup ‘bercerai’ dengan Umno. Semuanya kerana apa? Golongan bukan Islam dalam kalangan pemimpin Umno sendiri pun pada penulis masih belum mengerti apa sebenarnya hukum Hudud.

Malah mereka masih lagi berpaksikan kepada tanggapan negatif terhadap hukum Allah ini. Langsung tiada sebarang usaha oleh pihak yang mengaku Islam di dalam Umno untuk menerangkan apa sebenarnya hukum Allah ini.

Bukan sahaja tidak diberi penerangan, ditambah pula dengan momokan-momokan negatif yang membuatkan golongan bukan Islam ‘kecut perut ‘ bila mendengarnya.

Terima kasih buat Umno yang mengaku Islam hingga berjaya memberi penerangan mengenai kaedah sebenar hukum Allah ini kepada golongan bukan Islam hinggakan bak kata Tok Guru Nik Aziz, dengar saja hudud, takut macam jumpa hantu.

Cermin diri sebelum 'sound' orang lain...



Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menempelak ‘demokrasi’ pembangkang berhubung perbalahan mereka dalam isu pelaksanaan hukum hudud yang dakwanya bertentangan dengan kebebasan bersuara dan demokrasi yang dilaung-laungkan selama ini.

Shafie berkata, pakatan pembangkang terdiri DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat sentiasa berkata mereka memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara, namun mereka sendiri sebenarnya menyekat hak untuk bersuara bagi anggota mereka.

Terlebih dahulu, penulis ingin bertanya, siapa yang terlebih dahulu menghancurkan sistem Demokrasi di Malaysia, pembangkan atau kerajaan yang dinaungi oleh Umno?

Sebelum ini, hak kebebasan bersuara untuk rakyat secara terang-terangan dinafikan oleh kerajaan. Rakyat langsung tidak berpeluang menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan.

Seperti biasa, polis digunakan oleh kerajaan untuk menidakkan hak rakyat dalam kebebasan bersuara sedangkan dalam demokrasi termaktub bahawa rakyat boleh menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka. Tapi ia dinafikan dengan sekeras-kerasnya oleh pihak pemerintah.

Ini jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi yang didakwa diamalkan di Malaysia. Mungkin mereka tidak faham apa yang dimaksudkan dengan demokrasi sebenar.

Biar penulis jelaskan, konsep demokrasi adalah mengenai kerajaan yang dikawal oleh rakyat. Untuk berlakunya sistem sedemikian, pengundi yang mengetahui isu-isu semasa amat penting. Untuk mengetahui pula, tidak harus ada batasan berkenaan laluan maklumat dan idea.

Di negara ini langsung amalan demokrasi langsung tidak wujud kerana mereka yang berkuasa boleh memanipulasikan pengundi dengan menghalang maklumat dan menyekat kritikan.

Hak kebebasan bersuara pun dinafikan, inikan pula nak berhujah pasal demokrasi sedangkan ia diiktiraf sebagai hak asasi manusia di dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politikal (ICCPR).

ICCPR mengiktiraf hak kebebasan bersuara sebagai "hak mendapatkan pendapat tanpa gangguan. Kesemua manusia akan mempunyai hak untuk menyatakan pendapat".

Jadi kepada pihak yang berkenaan, jika nak bersuara sekalipun cermin diri dahulu sebelum menempelak orang lain..!! 

26/09/11

Antara bas kita dan bas mereka...

 
Penulis gamam melihat keunikan dan kemewahan bas yang membawa DS Najib serta ‘suami’nya ketika rombongan itu melawat negeri Perak baru-baru ini.

Tersangat-sangat-sangat jauh bezanya dengan bas yang membawa rakyat ke hulu ke hilir, pendek kata dalam bas tu dah macam rumah siap dengan sofa empuk, bukan macam bas rakyat, naik kematu bontot dibuatnya.

Agaknya berapalah kos untuk menyiapkan sebuah bas yang dah rupa banglo tu. Patutlah DS Najib dan ‘suami’ tak hairan sangat untuk jelajah Perak dengan bas, bas pun dah tak rupa bas, macam jet peribadi pun ada.

Cuba bandingkan dengan bas yang digunakan oleh rakyat marhaen setiap hari, memang jauh panggang dari ayam yang nak dipanggang!!

Dengan pendingin hawanya tak berapa nak sejuk, tempat duduk pula boleh disamakan dengan pangkin kayu yang terbiar dekat taman-taman bunga, kerasnya tak ingat.

Yang tak boleh diterima ialah jumlah penumpang kadang-kadang melebihi kesanggupan enjin bas itu untuk bergerak. Kalaulah bas itu boleh bercakap tentu bas tu mengeluh, "lambatnya sampai, lambatnya sampai".

Itu enjin bas, tak masuk lagi kewangian aroma yang menusuk tajam ke rongga hidung dek bau badan penumpang-penumpang lain. Maklumlah, bila dah terhimpit-himpit sambil berdiri, tangan yang memaut pemegang tu sudah tentu jaraknya melebihi 90 darjah!!

Tambah pula bila pendingin hawa yang sepoi-sepoi bahasa menyeburkan hawanya ke arah celah lengan tu, perghhh...tak dapat penulis bayangkan, satu bas boleh pitam..!!

Namun itulah hakikat yang perlu ditanggung oleh rakyat. Pemimpin dengan senang-lenang ke hulu ke hilir naik kereta mewah, kalau naik bas pun dah tak ada rupa bas dengan mudahnya menyarankan agar rakyat menggunakan pengangkutan awam ketika kenaikan harga minyak diumumkan.

Cuba pemimpin ambil pendekatan rasa sendiri apa yang dirasai oleh rakyat, kalau naik bas jangan naik yang mewah, tapi gunakan bas harian yang ada loceng tu tengok boleh tahan ke tidak.

Cakap bermodalkan air liur memang senang, yang menanggung rakyat juga.

Tak mungkin, impossible dan mustahil...




Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo memberi keterangan kepada Mhakamah dengan menyatakan bahawa pembelian dua lot tanah termasuk sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di Shah Alam daripada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni adalah dengan harga pasaran (RM3.5 Juta).

Harga belian itu katanya dipersetujui oleh Shamsuddin sendiri sebelum ataupun semasa kedua-dua mereka menandatangani perjanjian jual beli bagi urusan pembelian rumah itu pada Mei 2007.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Seisi alam mengetahui bahawa harga bagi belian hartanah tidak mungkin jatuh dan akan naik, naik dan terus naik sejajar dengan motto BN (Barang Naik).

Jadi bagi penulis tidak logik jika Ditamas Sdn Bhd yang membelanjakan sebanyak RM6.5 Juta untuk membeli hartanah itu sanggup mengalami kerugian dengan menjualnya pada harga RM3.5 Juta.

Lihat sahaja lot-lot rumah yang baru dibina. Bukaan harga pada awalnya memang agak rendah, namun dalam jangka masa enam hingga tujuh bulan sahaja, harga rumah itu akan naik mencanak melebihi separuh daripada harga asal.

Apakah Pengarah Ditamas itu sanggup mengambil risiko kerugian semata-mata atau didesak oleh Khir bagi membolehkan Shamsuddin bersetuju dengan harga belian RM3.5 juta.

Yang pasti, perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Bukti Bik Mama loves his ‘wifes’...

 
Fuhhh...syahdu mendengar alunan lunak suara yang gemersik dendangan Bik Mama khas buat isterinya Puan Seri Najib Tun Razak yang banyak menabur bakti menyumbang duit rakyat kepadanya.

HAHAHAHAHA...Sepanjang bertahun-tahun pengalaman penulis dalam dunia media, ini kali pertama penulis melihat isteri kepada seorang Perdana Menteri membuat video muzik khas buat suaminya.

Syabas Bik Mama, ini menunjukkan Bik Mama ‘suami’ yang baik dan taat kepada ‘isterinya’. Agak-agaklah Bik Mama oi..Kalau nak tunjukkan rasa sayang kat suami sekalipun boleh aje buat video muzik hasil dendangan sendiri pada suami. Itu tanda sayang.

Namun yang jadi persoalan, perlu ke video muzik ini dimuat naik ke laman Youtube??...Ni dah jadi lain. Ini khas untuk ‘isterinya; ke atau saja nak tunjuk kat rakyat yang mereka ni ‘Loving Couple’??

Lain kali rekod, burn saja pada DVD lepas tu pasang saja sekuat-kuat alam kat rumah ketika berdua-duan ngan 'isteri', tak perlu nak muat naik ke laman umum.

Tak perlu nak melobi dengan loyar buruk macam ni, kelak malu diri sendiri...

Gimik terdesak di ambang PRU-13



Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA sekali lagi menunjukkan belang mereka apabila bertindak ganas ke atas beberapa penyokong PAS pada sambutan Aidilfitri dan ceramah Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu di Seremban malam tadi.

Semuanya bermula apabila kira-kira 100 penyokong PERKASA mula berhimpun di tepi jalan utama yang terletak kira-kira 60 meter dari pentas ceramah setengah jam sebelum acara bermula.

Mreka juga bertindak membawa sepanduk dan kain rentang seperti "Mat Sabu Pembohong", "Mat Sabu Perosak Bangsa" dan "Mat Sabu Hina Pejuang".

Namun ketika Mohamad Sabu mula menyampaikan ceramah pada jam 10.15 malam, ahli pertubuhan itu mula bergerak ke arah pentas untuk memporak-perandakan keadaan.

Mereka bagaimanapun dihalang oleh penyokong PAS dan akibatnya berlaku tolak-menolak dan keadaan menjadi tidak terkawal. Ketika itu, kira-kira 800 orang menghadiri majlis berkenaan.

Tindakan mereka yang berlagak samseng sudah diketahui umum kerana ini bukanlah kali pertama mereka menunjukkan belang. Inikah yang didakwa mereka sebagai pejuang Melayu?

Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka (mendakwa) berpegang kepada perjuangan yang menuntut hak dan keistimewaan orang Melayu, yang jelas penyokong PAS yang terlibat dalam insiden ini rata-ratanya orang Melayu.

Oleh kerana terdesak (nama pun kumpulan pendesak) untuk meraih populariti dan publisiti murahan di ambang pilihan raya umum, mereka langsung tidak mengambil kira dan bertindak sesuka hati mengikut nafsu amarah.

Ini semua gimik politik semata-mata. Rasanya mereka tidak perlu malah langsung tidak sepatutnya mengganggu-gugat majlis orang lain. Sudahlah kedatangan mereka tidak dijemput, sanggup pula buat kacau hingga mendatangkan kecederaan.

Pihak berwajib perlu mengambil tindakan ke atas mereka yang mendatangkan kecederaan ke atas orang lain. Golongan ini tidak boleh dibiarkan melakukan apa sahaja sesuka hati.

Ingat, politik dan parti bukanlah lesen untuk sesiapa sahaja (termasuk penulis) untuk melakukan jenayah dan kekerasan ke atas orang lain.

25/09/11

Hudud: Rupanya ada yang takut pada bayang sendiri...


DS Najib sekali lagi membuat kenyataan yang agak mengejutkan penulis. Menurut beliau, undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakat di Malaysia tidak mengizinkan undang-undang itu dilaksanakan.

Menurutnya, beliau menerima hakikat bahawa ia adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam dan ia mestilah berpaksikan kepada realiti jika undang-undang itu mahu dilaksanakan.

Mengapa agaknya bila sebut sahaja hudud, ramai yang panas punggung dan seolah-olah takut sangat dengan hukum Allah ini. Seolah-olah golongan yang menentang hudud merupakan pesalah yang akan menjalani hukuman berdasarkan hukum itu jika ia dilaksanakan.

Yang paling tidak boleh penulis terima bila ada yang menyatakan perlaksanaan hudud ini tidak sesuai dijalankan di negara ini bagi menghormati perpaduan kaum yang pelbagai.

Namun hakikatnya bukan hanya Malaysia sahaja yang memiliki rakyat terdiri dari pelbagai kaum dan agama malah banyak lagi negara lain yang melaksanakan hukum hudud dan rakyatnya juga berbilang puak dan agama.

Lihat sahaja negara Iran yang majoriti penduduknya memang  beragama Islam namun bukan seluruhnya. 89 peratus daripada penganut Islam di negara Iran tergolong dalam mazhab Syiah manakala selebihnya adalah Sunnah Waljamaah.

Ada juga agama lain yang dianut oleh rakyat Iran seperti majusi, yahudi, bahai, mandean dan kristian dan mereka juga berbilang kaum dan puak. Lebih kurang 70 peratus daripada populasinya adalah bangsa Iran, sebuah kumpulan etnik yang menggunakan bahasa Iran.

Suku-suku yang tergolong dalam bangsa ini ialah suku Parsi, suku Kurdis, suku Gilaki, suku Mazandarani, suku Lur, dan suku Balochi. Kumpulan etnik lain ialah bangsa Turki seperti suku Azeri, Turkmenn dan Qashqai. Selebihnya adalah orang Semitik seperti Arab, Assyria dan Yahudi dan juga Indo-Eropah seperti Armenia.

Kalau ikutkan, Iran memiliki lagi banyak rangkaian suku dan puak serta agama yang berbeza. Namun negara ini tetap mengamalkan hukum hudud tanpa timbul sebarang permasalahan yang mengaitkan tentang jumlah keseimbangan rakyat.

Tapi di Malaysia ada yang takut sangat bila soal perlaksanaan hukum Allah ini dibangkitkan seolah-olah takut pada bayangan sendiri.

Atau mungkinkah golongan penentang ini bimbang mereka akan menerima hukuman sekiranya perlaksanaan hukum hudud dijalankan di negara kita? Kalau rasa tidak pernah buat salah mengapa harus takut, berani kerana benar, takut kerana salah.

Takkan kena potong tangan tu kalau tak pernah mencuri, tapi kalau dah buat kerja mencuri dan merompak macam lanun terutamanya harta dan dana awam, memang patutlah mereka takut sangat.

24/09/11

Tak pernah naik bas rupenye....



Najib buat pertama kalinya mengambil pendekatan menaiki bas dalam lawatan kerjanya ke negeri Perak. Menurutnya, ia adalah percubaannya untuk merasai bagaimana tidak ada protokol antara pemimpin dan rakyat.

Lawatan itu melibatkan perjalanan dari Ipoh sehingga ke Sungai Siput sejauh kira-kira 50 km di mana Perdana Menteri mendekati serta bermesra dengan rakyat berbilang kaum termasuk kaum Orang Asli di Lasah, Sungai Siput.

Sepatutnya dari dulu lagi semua pemimpin kerajaan kena naik bas kalau nak ke pejabat atau ke mana-mana hatta shopping di luar negara sekalipun.

Sebelum ini, golongan pemimpin inilah yang sibuk mencanangkan kepada rakyat agar berkongsi kenderaan dan gunakan pengangkutan awam ketika kenaikan harga minyak diumumkan.

Duk sibuk mencanang tapi diri sendiri pun tak pernah merasa naik bas, jangan main cakap sahaja, buatlah sekali apa yang dicanangkan itu barulah adil pada rakyat.

Pandai sangat naikkan harga minyak sampai mencanak-canak sedangkan mereka sendiri pun naik kereta mewah, walaupun untuk ke rumah rakyat yang hampir nak roboh (konon cakna sangat nasib rakyat), yang menanggung azab ialah rakyat.

Kalau semua rakyat nak guna pengangkutan awam, jawabnya pecah dan robohlah semua tren LRT, Komuter, bas dan teksi. Apa tidaknya, berapa kerat sangat jumlah pengguna yang mampu ditampung oleh pengangkutan awam dalam satu-satu masa.

Itu belum lagi ditambah dengan aroma wangi-wangian yang terhasil dari badan yang lencun dengan peluh terutamanya golongan yang baru dapat kerakyatan dan IC baru (especially Bangla). Bukan nak menghina tapi itulah kenyataannya, sekali melintas depan kita, kembang kecut lubang hidung dibuatnya.

NRC11 dan tabung buluh...




Pelbagai usaha dan pendekatan diambil bagi memenangi hati golongan muda. Terbaru, DS Najib menubuhkan satu kelab yang dikenali sebagai NRC11 (Najib Razak Club 2011 kot..).

Namun apa yang penulis perhatikan tindakan Najib menubuhkan kelab itu untuk golongan muda agak ketinggalan kerana PAS terlebih dahulu mengambil pendekatan untuk meraih sokongan dari golongan muda.

Kelab itu katanya ditubuhkan sebagai satu alternatif untuk memupuk semangat dan nilai-nilai aspirasi Najib. Macam-macam yang dibuat oleh Umno bagi meraih undi. Tapi yang peliknya bila dah dekat sangat pilihan raya, barulah nak dibuat semua ini.

PAS pula tak tunggu pilihan raya pun, malah berterusan mengadakan program tarbiyyah dan majlis ilmu khusus kepada golongan muda. Agak ketinggalan DS Najib ni, maklumlah sibuk sangat teman Bik Mama shopping kat seberang laut sampai lupa nak bodek pengundi.

Tapi penulis tak setuju dengan kenyataan beliau bahawa penubuhan kelab itu langsung tiada kaitan dengan sebarang parti politik. Habis tu aspirasi Najib ni apa? Bukankah aspirasi beliau hanya untuk kepentingan dan survival dalam politik semata-mata.

Apa dia ingat rakyat buta ke? Dah sah-sah kalau kelab itu menyokong transformasi perdana menteri, sudah tentu akan melibatkan survival politik yang menjadi kepentingan mereka sejak zaman-berzaman.

Cukup-cukuplah ‘memperkencingkan’ rakyat, dah hancing satu negara dah dari dulu sampai sekarang tak ada kerja lain selain duk kencing aje untuk penuhkan poket sendiri.

Bagi penulis, daripada mengikut aspirasi Najib, lebih baik golongan muda ikut aspirasi Bik Mama. Belajar menabung sedari usia muda, manalah tahu untung-untung boleh beli cincin RM24 juta hasil dari ‘menabung’.

23/09/11

Cerita lucah lagi...


Lagi video lucah disebarkan oleh sebuah blog cai Umno yang mendakwa ia membabitkan seorang pegawai kastam dan seorang wanita Mohd Salleh (Mat Salleh @ disebut OMPUTASTE).

Kali ni pihak Kastam pula yang kena kerana Blog tersebut (theunspinners) mendakwa lelaki tersebut adalah pegawai Kastam dan wanita itu pelacur rakyat Rusia.

Penulis blog tersebut juga mengaitkan rakaman tersebut dengan kematian seorang pegawai Kastam di Bangunan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan 6 April lalu (Ahmad Sarbaini).

Cai Umno yang telah kekeringan idea kini mengambil pendekatan mudah dengan menyiarkan video lucah di internet untuk mewujudkan ketidakpercayaan rakyat terhadap sesebuah pihak.

Amalan ini selari dengan kepimpinan mereka yang terlalu kotor dalam bermain politik hinggakan sanggup mewujudkan konspirasi fitnah dalm beberapa siri video lucah terbitan mereka sendiri.

Guru kencing berdiri, murid kencing berlari, anak murid kencing merangkak, cai Umno pula kencing bersepah...Bila dah semua kaki kencing, ada sahaja yang dicipta, yang direka.

Ini kalau masuk pertandingan invention kat mana-mana universiti luar negara pasti menang nih. Paling koman pun sure dapat raih sebutir pingat, tak pun sijil penyertaan ok la dari tak ade langsung. Alahai....

SPR terlondeh lagi...



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi memecahkan tembelangnya apabila akur dengan bantahan yang dibuat oleh PAS Paya Jaras pada Selasa dan Rabu lalu.

PAS Paya Jaras membantah 222 orang yang memegang kod 71 dalam kad pengenalan penduduk tetap (PR) iaitu kad pengenalan merah dan daripada jumlah itu, seramai 220 akan dikeluarkan oleh SPR daripada rang daftar pemilih di Selangor.

Dah makin berat sebelah nampaknya suruhanjaya ini. Makin hampir dengan pilihan raya, makin banyak kepincangan SPR yang berjaya didedahkan oleh pihak PAS.

Pada pendapat penulis, SPR tidak lagi layak untuk menjadi sebuah suruhanjaya bagi mengawal pilihan raya kerana kepincangan demi kepincangan berjaya berjaya dilondehkan oleh pihak PAS.

Tindakan patut diambil ke atas suruhanjaya ini yang terang-terangan melakukan kesalahan dan tidak lagi telus dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.

Apa agaknya komen orang kerajaan dalam isu ini..Setakat ini belum ada apa-apa komen yang dibuat oleh pemimpin yang kita ‘sanjungi’ (Burghhweeekkk: Maaf penulis termuntah.).

Itu baru pendedahan yang baru dibuat setakat hari ini, mungkin esok atau lusa atau hari-hatri mendatang lebih banyak lagi yang akan berjaya ‘dilondehkan’. Kalau dah SPR sendiri lagu ni, pada siapa lagi kita nak harapkan untuk meraih kepercayaan rakyat terhadap pilihan raya yang telus.

Bukan tak boleh buat, tapi saja tak nak buat....




Muhyiddin Yasin menyakatan bahawa rakyat di negeri Selangor ‘terseksa’ selama berada di bawah pemerintahan pembangkang, namun ia jelas sekali jauh menyimpang dengan dakwaan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu.

Penulis sendiri menetap di negeri ini sejak sebelum tampuk pemerintahaan kerajaan negeri jatuh di tangan Pakatan Rakyat (PR) lagi. Sepanjang berada di negeri ni ketika di bawah pemerintahan PR, belum ada lagi sebarang ketidakpuasan hati yang dihadapi penulis.

Malah penulis berterima kasih kepada kerajaan PR kerana banyak pembaharuan yang dibuat selaras dengan manifesto pilihan raya yang diperjuangkan PR. Bukan niat nak membodek, lagi pun penulis tak dapat apa-apa pun sekiranya memuji dan mengagungkan PR di laman ini.

Apa yang penulis luahkan di sini adalah kebenaran. Contohnya, kalau sebelum ini, bil air di rumah penulis tidak kurang dari RM100 untuk sebulan, walhal isi rumah ketika itu hanyalah penulis dan isteri (masa baru kahwin beberapa tahun lalu). Jika difikirkan maka langsung tidak dapat diterima akal.

Bil air ketika itu dah hampir sama dengan bil air di restoran dan tidak keterlaluan jika penulis katakan ia lebih kurang sama dengan Car Wash. Namun zaman kegelapan itu telah berlalu, dan kini penulis langsung tidak ambil kisah ketika menerima bila air.

Malah penulis mampu tersenyum tatkala melihat bil air yang mungkin pada hemat penulis ketika itu ‘tidak munasabah’ kerana jarak antara nilai bil itu sebelum dan selepas amatlah jauh berbeza.

Ini menandakan bahawa, jika pihak kerajaan sebelum PR prihatin dengan nasib rakyat yang sudah lama dibebani kos sara hidup yang tinggi, sudah tentu pendekatan ini telah lama diambil bagi kesejahteraan rakyat.

Bukan mereka tidak bOleh laksanakan sebelum ini, tapi kerana mengaut keuntungan dan mementingkan kroni semata-mata, pihak kerajaan sebelum PR langsung tidak ambil pendekatan yang sama dengan apa yang PR buat.

Bila PR sudah mulakan, pelbagai reaksi negatif yang mereka timbulkan bahkan mereka pernah mendakwa dengan pengurangan tarif air yang dilaksanakan PR boleh menyebabkan kerajaan negeri bangkrap.

Namun semua itu dapat disangkal oleh PR dan telah dilaksanakan dengan sempurna, namun itu baru sedikit sahaja pembaharuan yang dibuat, DS Anwar sendiri pernah berjanji akan menurunkan harga minyak jika PR berjaya menakluk Putrajaya.

Janji ini pada hemat penulis bukan janji kosong kerana pemimpin yang memerintah tidak boleh berjanji dengan sewenangnya jika tahu kemampuan mereka setakat mana. Ini boleh menjejaskan kekuatan undi di masa akan datang, sama yang dihadapi oleh BN kini.

Mungkin manifesto yang diperjuangkan oleh PR pada pilihan raya umum 2008 masih belum lengkap sepenuhnya, tapi ia bukanlah kerana pihak kerajaan negeri itu sendiri yang tidak melaksanakan tetapi ia tidak dapat dibuat kerana kekangan yang bersangkut paut dengan kerajaan persekutuan.

Tak apalah, orang kata ‘pelan-pelan kayuh’, sekarang ni pun bukan main sejahtera lagi rakyat Selangor, cuma mana yang tidak puas hati tu mungkin cai-cai Umno yang seronok sangat hidup dengan duit tiga empat ratus pemberian pemimpin Umno (walaupun 5 tahun sekali baru nak bagi).

Tengok saja isu air ni, bukan kerajaan sebelum PR ni tak boleh buat tapi saja tak nak buat takut kroni dan diri sendiri rugi..

22/09/11

Pukul anak, sindir menantu??




Penulis tersenyum bila membaca teguran dibuat oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada wakil rakyat BN supaya mengubah imej mewah yang ditonjolkan hingga menyebabkan rakyat berasa jijik dengan parti itu.

Macam ketam nak ajar anak jalan lurus, begitulah lebih kurang apa yang bermain di fikiran penulis ketika ini. Beliau menegur wakil rakyat BN yang berimej kaya tapi lupakah beliau darah dagingnya sendiri yang juga wakil rakyat BN memiliki aset yang begitu banyak.

Ibarat meludah ke langit juga perumpamaan tepat bagi teguran yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir. Banyak sangat perumpamaan yang boleh disamakan dengan apa yang beliau buat, sudahnya jadi kamus perumpamaan dah blog ini. Apa yang penting ialah rakyat faham dengan apa yang cuba penulis sampaikan.

Kata beliau, faktor tersebut merupakan salah satu sebab BN merekodkan prestasi buruk pada 2008 – yang masih belum dapat dipulihkan hingga kini.

Macam mana nak pulih kalau semua wakil rakyat BN masih lagi berimej mewah, berseluar yankee, berkaki ayam. Rakyat juga manusia biasa yang ada akal fikiran. Mereka mampu menilai baik buruk sikap yang ditonjolkan oleh wakil rakyat.

Bila dah jadi wakil rakyat, sudah tentu akan menjadi public figure. Mana-mana pergi pasti akan jadi tumpuan (terutamanya kaki bodek) dan pastinya segala kelakuan, sikap dan perangai mereka akan dinilai.

Dah terang tak payah nak suluh-suluh lagi...




Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya bersetuju untuk menggugurkan 52 nama yang disyaki warga asing daripada daftar pemilih di kawasan Shah Alam dan ia adalah daripada 58 nama yang disenaraikan dalam bantahan PAS kepada SPR.

Sudah nyata, terang dan tak perlu nak disuluh-suluh lagi kerana inilah yang cuba diperjuangkan oleh pihak BERSIH bagi mengelakkan berlakunya penipuan terutama dalam pilihan raya.

Hal ini tidak sepatutnya timbul kerana SPR sebagai sebuah suruhanjaya perlu telus dan adil dalam melaksanakan tugas mereka dalam pilihan raya.

Namun ini bukan perkara baru dalam pilihan raya, malah portal Wikileaks pernah mendedahkan tentang penyelewengan dalam pilihan raya yang berlaku di Sabah pada tahun 90-an.

Menurut portal itu, Kabel diplomatik Amerika Syarikat yang bocor mendedahkan, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengakui pernah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu kepada pekerja asing di Sabah sekitar 90-an, atas arahan Umno.

Kabel yang dimuat naik di portal Wikileaks memetik bekas ketua NGO pemantau pilihan raya Mafrel, Malek Husin sebagai mendakwa Rashid mengakui perkara itu dalam pertemuan peribadi di rumahnya pada 25 Oktober, 2006.

Jika tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang, namun itu hanyalah sekelumit politik kotor yang terdedah, yang belum dilondehkan bagaimana? Asyik duk londeh cerita dalam kain orang sahaja, tapi kain sendiri terselak sampai ke pusat, siapa mahu jawab?

Apa yang penulis hairan, DS Najib tetap dengan selambanya membuat kenyataan bahawa kerajaan tidak tahu bagaimana hendak menipu rakyat apatah lagi menyeleweng fakta sejarah seperti mana yang dilakukan pembangkang.

Sedangkan rakyat yang kini sudah celik dengan agenda dan mainan politik Umno telah pun menyedari bahawa mereka ditipu sejak puluhan tahun dulu.

Mungkinkan akibat terlalu kerap ke luar negara dan sibuk dengan aktiviti yang boleh mendatangkan keuntungan, DS Najib tak nampak atau ‘buat-buat tak nampak’ dengan kemajuan rakyat dari segi pemikiran dan penggunaan aplikasi teknologi yang ada.

21/09/11

Mana penting nyawa atau harta?


 
Penulis agak terkesan dengan kenyataan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkenaan isu kilang memproses nadir bumi di Kuantan.

Umum mengetahui bahawa kilang ini boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif akibat radioaktif yang sudah pastinya mampu membuatkan rakyat kita melahirkan ‘anak Ninja Turtle’ (Kalau dah tak cukup jari, bukan ninja turtle ke namanya?).

Tuduhan tidak berasas yanag dilemparkan oleh beliau ke atas pembangkang bahawa protes itu hanyalah merupakan satu tindakan politik untuk menewaskan BN dalam pilihan raya akan datang.

Boleh diterima akalkah jika apa yang boleh mengancam nyawa seperti kesan radioaktif itu dipolitikkan sedangkan apa yang cuba dibuat oleh pemprotes hanyalah bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa bahana kerakusan pihak tertentu.

Malah beliau turut menyatakan kerajaan tidak sepatutnya takut untuk meneruskan projek tersebut, memanglah kerajaan tidak perlu takut sebab tak ada seorang pun pemimpin yang berani untuk bina banglo mereka di kawasan sekitar kilang itu. Kalau ada yang berani pun hanyalah di Seksyen 7, Shah Alam aje.

Jangan kerana terlalu mengejar kebendaan, nyawa rakyat jadi taruhan. Logik atau tidak jika negara Australia yang begitu luas memiliki kawasan gurun yang sudah tentunya tidak berpenghuni dan jauh dari kawasan penempatan manusia enggan membina kilang itu di tempat mereka sebaliknya Malaysia dipilioh dengan alasan lokasinya strategik.

Sedangkan dengan keluasan kawasan gurun tandus yang tidak berpenghuni boleh sahaja didirikan kilang tersebut. Itu lebih strategik tanpa memberi apa-apa risiko kepada manusia.

Dah sah-sah kawasan Gebeng tu juga ada penempatan manusia di sekitar, inilah yang menjadi punca mengapa ada pihak yang memprotes pembinaan kilang itu.

Jika kilang itu tidak memberi apa-apa kesan kepada manusia, penulis yakin takkan ada pihak yang memprotes. Lihat sahaja loji memproses petroleum di Gebeng, setakat ini penulis tidak pernah dengar ada bantahan pembinaannya.

Yang paling tidak boleh diterima akal, Tun Dr Mahathir turut berkata, "Kita perlu berhati-hati dengan bahan radioaktif. Tetapi kita tidak boleh membiarkan aktivis politik dan pencinta alam sekitar yang palsu menghalang kita daripada keuntungan ekonomi yang ditawarkan nadir bumi."

Nah..!!! Sila gunakan mata kepala dan akal yang waras untuk menilai kenyataan yang dibuat oleh mantan Perdana menteri ini. Apakah keuntungan ekonomi lebih penting daripada risiko yang terpaksa dihadapi oleh rakyat jika kilang ini dibina? Mana beliau tahu bahawa aktivis politik dan pencinta alam sekitar itu palsu?

Dalam pada itu, beliau turut memberi contoh daripada bencana radioaktif yang berlaku sebelum ini seperti kebocoran reaktor Chernobyl di Ukraine dan juga Fukushima di Jepun.

"Walaupun loji nuklear Chernobyl masih berbahaya, Kiev (ibu kota Ukraine) masih selamat daripada radiasi," katanya yang menyifatkan kadar radiasi tersebut "sangat rendah."

Nak tergelak pun ada...jangan bandingkan negara kita dengan negara yang sudah sedia maju. Mereka memiliki kepakaran dan teknologi yang mampu mengatasi masalah sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini di negara mereka.

Di negara kita pelajar luar negara pun enggan balik berkhidmat di negara sendiri atas alasan bayaran gaji tidak setaraf dengan kelulusan mereka, dalam erti kata lain gaji yang ditawarkan kerajaan terlalu rendah. Ini ada hati nak bina kilang yang berisiko dan sudah pasti memerlukan tenaga profesional dari luar.

Musim ‘janji manismu’ hampir tiba...



Demam PRU dah hampir tiba, ini juga salah satu tanda besar kehadiran PRU-13. Banyak sangat janji dan tuntutan rakyat yang sudah dikota sampai penulis sendiri naik hairan dengan ‘kemurahan’ pemimpin untuk bersetuju dengan rakyat.

Jika dulu puak-puak BN tidak leka dan alpa serta tidak memandang rendah tahap pemikiran rakyat sudah pasti negeri Selangor dan beberapa negeri lain tidak akan jatuh ke tangan pembangkang.

Kemaruk benar kerajaan BN/Umno untuk merampas kembali negeri Selangor sampai perlu mengumpulkan 240 wakil rakyat mereka untuk ‘berkubu’ di Kuala Selangor.

Ini tidak lain, pastinya salah satu pelan mereka yang merangka strategi untuk merampas kembali negeri yang dahulunya ‘didakwa’ sebagai kubu kuat BN.

Dan sudah pastinya pelbagai janji manis akan ditabur sama sebagaimana yang kita lalui pada siri pilihan raya yang lepas. Seronok melihat gelagat pemimpin yang akan turun padang dan di sini kita boleh lihat betapa caknanya mereka kepada golongan marhaen.

Inilah masa untuk kita imbas kembali sewaktu kita berada di zaman kepayahan di mana harga minyak dinaikkan dengan sewenangnya, cukai yang dikenakan tanpa memikirkan nasib golongan bawahan dan segala macam bentuk penindasan hinggakan hampir lemas kita dibuatnya.

Namun apakah rentak permainan yang dimainkan itu sama seperti siri-siri pilihan raya terdahulu? Cukup-cukuplah menyempitkan kotak pemikiran yang sedia sempit. Sebagai rakyat yang mampu berfikir, seharusnya setiap apa yang dikatakan oleh pemimpin pada musim ini harus dijadikan peringatan.

Sebelum ini segala tuntutan rakyat langsung tidak diendahkan hinggakan rakyat terpaksa mengambil pendekatan untuk mengadakan demonstrasi jalanan. Ini perlu diingat oleh setiap rakyat, jangan hanya kerana tertunai secebis tuntutan, maka jiwa sudah terbeli.

Perlu diingat, mungkin selepas pilihan raya rakyat akan kembali menjalani kehidupan perit dengan kenaikan sana-sini dan mungkin rakyat hanya dipandang sebelah mata sahaja sebagaimana yang kita semua lalui sebelum ini. Kini sudah masuk zaman ‘janji manismu’.

Cuba ingat balik kalau-kalau janji yang ditabur pada pilihan raya umum sebelum ini masih ada yang belum tertunai. Fikirkanlah...

Belum pukul canang dah menyerah kalah...




Tindakan Perdana Menteri, DS Najib dan isteri memfailkan permohonan bagi mengetepikan sepina yang menghendaki mereka hadir sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes liwat DS Anwar mengundang pelbagai persepsi rakyat.

Jika sebelum ini beliau menyatakan hanya akan hadir di Mahkamah untuk memberi keterangan sebagai saksi jika sepina dikeluarkan oleh Mahkamah, namun setelah sepina dikeluarkan lain pula jadinya.

Penulis teringat pada Konvensyen BN Selangor yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini beliau dengan lantangnya mengisytiharkan bahawa beliau langsung tidak takut, gentar dan gerun untuk berdepan dengan DS Anwar.

Yang paling penting, beliau turut menyatakan bahawa beliau berani berdepan dengan DS Anwar bila-bila masa dan di mana sahaja. Namun belum pun gong dipalu, beliau secara menikusnya memperlihatkan siapa dirinya yang sebenar.

Jika sebelum ini DS Najib beraksi ‘kool’ di konti radio, kini yang dikatakan ‘kool’ itu sudah ‘hangat-hangat taik ayam’. Jika sebelum ini beliau dengan lantang menyatakan bahawa beliau berani untuk berdepan dengan DS Anwar, tapi sekarang apa dah jadi?

Gelanggang pun belum dibuka, sudah ‘berani’ menyatakan untuk berundur. Mana hilangnya suara lantang beliau secara tiba-tiba? Itu baru naik Mahkamah, belum lagi dicabar untuk berdebat. Agak-agak berani ke Mat Monggol bibir merah ni menyahut cabaran untuk berdebat dengan DS Anwar? Semua sudah tahu jawapannya.

Kalau nak ke Mahkamah pun beliau tak berani, nak berdebat lagi la. Namun sekelumit pun tidak pernah timbul rasa hairan di fikiran penulis sebab bukan sekali ini sahaja pembohongan secara terang-terangan dibuat oleh beliau.

Cuma yang penulis pelik, dalam duk menipu tu masih ada lagi yang ambil peduli dan tetap menyatakan pendirian tegar menyokong beliau walaupun dah terang-terangan ‘dikencing’ oleh beliau. Hai..bukalah mata dan minda, jangan berterusan menjadi katak bawah gelas.

Sudah ‘dirompak’ ditipu pulak tu. Kalau kata b*d* kang marah, kata pandai kang jadi fitnah pulak. Iyelah kalau betul-betul pandai tak apa, ini tidak. Kalau pandai takkan selama berpuluh tahun ditipu dan dirompak tapi masih tak sedar-sedar. 

Cerita lama, tajuk serupa...



Pertama sekali tahniah penulis ucapkan kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) kerana telah ‘berjaya’ membuka minda untuk membuatkan DS Najib sanggup bertukar fikiran dan memansuhkan terus akta zalim ini.

Ini bermakna segala perih jerih yang dilalui oleh mereka yang terlibat dengan demonstrasi Anti-ISA sebelum ini nyata berbaloi dan membuahkan hasil.

Namun dalam pengumuman yang dibuat mengenai pemansuhan ini, DS Najib turut menyatakan akan menggubal dua akta baru bagi menggantikan ISA yang mana ia berfungsi sama seperti akta itu iaitu bagi mengekang sebarang bentuk aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

Pelbagai reaksi timbul apabila DS Najib mengumumkan detik bersejarah ini namun tidak kurang pula yang menguntumkan senyum sinis tatkala melihat golongan berkenaan bersorak gembira dengan pengumuman itu.

Apa yang bermain di fikiran penulis, bagaimanakah dua bentuk akta baru yang bakal digubal itu? Dan kini, sedikit persoalan itu telah pun terjawab. Mendengar sahaja kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, penulis sudah dapat menjangkakan apa permainan yang sedang dimainkan.

Nazri dalam kenyataannya menyatakan bahawa amalan penahanan tanpa bicara akan tetap diteruskan walaupun ISA telah dimansuhkan. Katanya ia bagi menjamin keselamatan dalam negara dari anasir-anasir luar yang ingin melihat negara kita kacau bilau.

Tapi bagaimana dengan hak asasi manusia jika amalan itu diteruskan? Wajarkan ISA dimansuhkan sedangkan amalan yang sama tetap diteruskan. Inilah yang penulis katakan cerita lama dengan tajuk baru.

Sebelum ini banyak kes penangkapan tanpa bicara di bawah akta ISA dikenakan terhadap orang yang tidak bersalah. Cuba bayangkan mereka terpaksa meringkuk di Kem Kamunting tanpa sebarang bicara bukan hanya seminggu dua malah ada yang bertahun-tahun.

Natijahnya, anak isteri dan keluarga mereka yang menanggung bahana kerana hilang tempat bergantung kerana si bapa inilah yang bekerja menanggung keluarga.

Tidak mustahil jika amalan kejam ini diteruskan, ia juga akan menjadi satu alat politik sama sebagaimana akta ISA yang digunakan sebelum ini oleh rejim pemerintah.  Yang pasti, pemansuhan ISA hanya satu gimik mainan politik semata-mata memandangkan PRU semakin dekat.

20/09/11

Salam Ukhuwah Dari Pena Marhaen..

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Terlebih dahulu salam perkenalan penulis ucapkan kepada para pejuang yang bersungguh-sungguh sejak dulu dan kini memperjuangkan hak sebagai warganegara atau rakyat di negara ini.

Dan di kesempatan ini, penulis juga ingin mengucapkan salam perkenalan kepada blogger sekalian. Walaupun ruangan (blog) ini baru sahaja ‘dilahirkan’ namun ingin sekali penulis memohon sokongan yang padu daripada rakan seperjuangan sekalian sebagai semangat untuk penulis meneruskan perjuangan.

Ya...agak lama penulis meninggalkan aktiviti kegemaran penulis ini kerana kekangan masa yang tidak mengizinkan. Tuntutan tugas sebagai pengamal media sedikit sebanyak membataskan ruangan untuk penulis terus berkarya, namun berkat lahirnya ruangan Pena Marhaen ini, Insya-Allah akan terluang juga masa untuk penulis meneruskan kritikan berkisar tentang politik, hal-ehwal dunia serta isu semasa.

Melakari tinta di ruangan maya ini jauh sekali bezanya berbanding dengan coretan di atas kertas. Namun walau jauh mana sekalipun perbezaannya, ia tidak membatasi daripada maksud tersurat atau tersirat yang cuba disampaikan.

Walaupun sebelum ini penulis hanya berkarya melalui media cetak sahaja, ia bukanlah penghalang untuk penulis meneruskan perjuangan selangkah ke hadapan di alam siber.

Bercakap pasal perjuangan, sebenarnya banyak sekali corak perjuangan malah setiap insan mempunyai cara dan gaya mereka tersendiri dalam memperjuangkan hak sebagai rakyat.

Bukan setakat turun berdemonstrasi di jalan raya, amalah pelbagai medium lain boleh dijadikan perantaraan seperti ruangan siber dan media umumnya. Namun ada juga segelintir daripada kita yang memilih untuk berjuang tidak secara terang-terangan sebagaimana yang dibuat oleh sesetengah pihak.

Ada yang memperuntukkan wang ringgit serta bantuan tenaga kerja dalam usaha untuk menegakkan keadilan dan juga menjadi nadi untuk rakyat bersuara dan membangkitkan pihak yang berkenaan dari ‘tidur’ yang lena.

Namun walau apa sekalipun medium yang digunakan, ia tetap menjadi salah satu penyumbang kepada kekuatan rakyat dalam menentukan siapa yang layak menerajui tampuk pemerintahan negara.

Umum mengetahui bahawa kita sekarang sedang leka dalam berteka-teki. Sudah pasti apa yang bermain di benak setiap rakyat kini ialah bila tarikh pilihanraya umum ke-13 yang akan menjadi medan penentu siapa yang akan mengambil alih Putrajaya.

Lihat saja kebelakangan ini, pelbagai isu yang dimainkan oleh pihak kerajaan mahupun pembangkang dalam usaha untuk meraih sokongan daripada rakyat. Ada yang busuk dan tidak kurang juga isu yang mampu membuatkan tekak kita loya dek kejijikan propaganda yang diatur oleh pihak tertentu.

Sebagai rakyat, kita tidak boleh menerima sebarang berita, isu mahupun agenda yang dimainkan mentah-mentah tanpa sebarang usul periksa. Kita ada medium yang boleh membekalkan sumber namun tidak semestinya sumber itu boleh diguna pakai. Ia perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum diterima akal fikir kita.

Firman Allah, "Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.." (Al-Qur’an,al-Hujurat (49):6).

Itulah pentingnya menyelidik dahulu sumber yang ada bagi mengelakkan timbul fitnah dan menjuruskan kita ke dalam lembah kejahilan dan kebodohan dek kerana terlalu mengikutkan nafsu semata. Segala dugaan dan cabaran dalam perjuangan haruslan di tempuh dengan yakin kerana Allah S.W.T.

Tapi harus diingat, sehebat mana sekalipun dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi sepanjang perjuangan, jangan sesekali mudah mengalah. Bangkitlah berjuang dan berdirilah dengan teguh di saf hadapan dalam usaha untuk menegakkan agama Allah, bangsa dan negara kita yang tercinta ini.

Diharap dengan lahirnya ruangan Pena Marhaen ini, semua dapat memanfaatkan segala isi kandungan, artikel dan penulisan yang bakal dihasilkan. Insya-Allah...