26/09/11

Gimik terdesak di ambang PRU-13



Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA sekali lagi menunjukkan belang mereka apabila bertindak ganas ke atas beberapa penyokong PAS pada sambutan Aidilfitri dan ceramah Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu di Seremban malam tadi.

Semuanya bermula apabila kira-kira 100 penyokong PERKASA mula berhimpun di tepi jalan utama yang terletak kira-kira 60 meter dari pentas ceramah setengah jam sebelum acara bermula.

Mreka juga bertindak membawa sepanduk dan kain rentang seperti "Mat Sabu Pembohong", "Mat Sabu Perosak Bangsa" dan "Mat Sabu Hina Pejuang".

Namun ketika Mohamad Sabu mula menyampaikan ceramah pada jam 10.15 malam, ahli pertubuhan itu mula bergerak ke arah pentas untuk memporak-perandakan keadaan.

Mereka bagaimanapun dihalang oleh penyokong PAS dan akibatnya berlaku tolak-menolak dan keadaan menjadi tidak terkawal. Ketika itu, kira-kira 800 orang menghadiri majlis berkenaan.

Tindakan mereka yang berlagak samseng sudah diketahui umum kerana ini bukanlah kali pertama mereka menunjukkan belang. Inikah yang didakwa mereka sebagai pejuang Melayu?

Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka (mendakwa) berpegang kepada perjuangan yang menuntut hak dan keistimewaan orang Melayu, yang jelas penyokong PAS yang terlibat dalam insiden ini rata-ratanya orang Melayu.

Oleh kerana terdesak (nama pun kumpulan pendesak) untuk meraih populariti dan publisiti murahan di ambang pilihan raya umum, mereka langsung tidak mengambil kira dan bertindak sesuka hati mengikut nafsu amarah.

Ini semua gimik politik semata-mata. Rasanya mereka tidak perlu malah langsung tidak sepatutnya mengganggu-gugat majlis orang lain. Sudahlah kedatangan mereka tidak dijemput, sanggup pula buat kacau hingga mendatangkan kecederaan.

Pihak berwajib perlu mengambil tindakan ke atas mereka yang mendatangkan kecederaan ke atas orang lain. Golongan ini tidak boleh dibiarkan melakukan apa sahaja sesuka hati.

Ingat, politik dan parti bukanlah lesen untuk sesiapa sahaja (termasuk penulis) untuk melakukan jenayah dan kekerasan ke atas orang lain.

Tiada ulasan: