28/02/12

Lynas: Suka hati dialah nak sokong siapa....




Insiden wartawan tercedera dalam perhimpunan anti-Lynas di Pulau Pinang semalam meletus akibat provokasi dan penampilan mereka sendiri, yang digambarkan mengambil sikap memihak, dakwa Pemuda Umno setempat.

Dakwaan Umno terhadap wartawan  Kwong Wah Jit Poh, Adam Chew sebagai kurang ajar dilihat langsung tidak berasas.

Timbalan Ketua Pemuda Umno Bukit Gelugor, Novandri Hasan Basri yang mengatakan bahawa tindakan Adam menjadi banteng manusia untuk melindungi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika perhimpunan Hijau menimbulkan kemarahan langsung tidak masuk akal.

Malah Novandri berkata, tindakan Adam menjadi banteng manusia itu memperlihatkan sokongan sebenar Adam terhadap Lim Guan Eng dan menimbulkan kemarahan anak muda Melayu.

Bagi penulis tindakan Adam melindungi Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak semestinya menunjukkan sokongan beliau terhadap mana-mana pihak.

Wartawan juga mempunyai tanggungjawab bukan sekadar melaporkan berita, malah wartawan turut memiliki tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan.

Apa yang Adam buat itu hanya melindungi Ketua Menteri Pulau Pinang sahaja dan jika benar sekalipun beliau menyokong Lim Guan Eng, salahkah beliau? Bukankah Umno sendiri mewar-warkan demokrasi dalam negara, jadi suka hati dialah nak sokong belah mana pun.

Mungkin Novandri sendiri rasa terkesan bila mana orang media pun mengambil tindakan menyokong pembangkang tapi beliau tidak sepatutnya membuat kenyataan bodoh sebegitu rupa.

Dah nama negara demokrasi, Adam mempunyai hak untuk menyokong parti mana sekalipun selagi ia tidak mengganggu gugat ketenteraman awam dan juga keselamatan negara, jadi Novandri jangan cepat melatah dan ambil tindakan membabi buta kelak diri sendiri yang nampak bodoh. 

The Star: Pemimpin terus jadi boneka



Satu demi satu penghinaan terhadap orang Islam dilakukan oleh akhbar rasmi MCA, The Star dan setiap kali selepas melakukan perbuatan itu, The Star hanya perlu memohon maaf sahaja dalam ruang yang tidak sampai setengah inci di akhbar itu.

Nampaknya semakin hari akhbar lidah CSL itu terus maju dengan agendanya tersendiri. KDN sekali lagi digesa mengambil tindakan kerana ini bukanlah kali pertama kesalahan sedemikian rupa dilakukan oleh The Star.

Malah akhbar itu juga semakin berani mungkin kerana pihak berkenaan sedar bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Setelah mengulangi perbuatan menghina Islam ini beberapa kali sebelum ini, pihak KDN hanya memanggil dan meminta pihak The Star member penjelasan sahaja tanpa sebarang tindakan.

Ini menyebabkan akhbar itu semakin lantang dan berani menyuarakan penghinaan kepada agama Islam. Apa yang menyedihkan, KDN sendiri diterajui oleh menteri Melayu yang mengakui dirinya Islam, namun apa yang beliau lakukan hanyalah memanggil wakil The Star dan memohon penjelasan sahaja.

Apakah tindakan penakut yang ditunjukkan KDN adalah kerana bimbang Umno/BN kehilangan undi masyarakat Cina (MCA) hingga sanggup membiarkan agama diperlekehkan. Inikah perjuangan sebenar yang dilaungkan oleh Umno untuk membela nasib bangsa dan agama?

Manakah suara-suara sumbang Perkasa yang sebelum ini sibuk mencanangkan perjuangabn mereka memperkasakan bangsa dan agama?

Semua nilai perjuangan hanya mainan mulut sahaja, malah mereka tidak berani pun untuk melaksanakan perjuangan yang dilaung-laungkan.

Kepada Perkasa dan KDN, jika benar anda berani memperjuangkan nasib bangsa dan agama, ambil tindakan tegas terhadap akhbar yang menghina kesucian agama Islam itu...

  

22/02/12

Debat Anwar-Najib: Tengku Adnan buka pekung sendiri...




Pihak kerajaan telah menyatakan pendirian mereka untuk menolak cadangan debat antara Perdana Menteri, DS Najib dan Ketua Pembangkang, DS Anwar kerana di dakwa tiada keperluan.

Tetapi apa yang dikatakan oleh pihak kerajaan ialah DS Anwar sepatutnya berdebat dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kenyataan itu dibuat oleh Tengku Adnan Mansor yang sebelum ini membuat kenyataan kesediaan pihak kerajaan untuk berdebat dengan DS Anwar.

“Saya bukan maksudkan sokong atau mahu realisasikan debat antara Perdana Menteri dan Anwar. Saya juga tidak rela PM buang masa berdebat kosong dengan Anwar. Banyak lagi urusan penting yang perlu beliau selesaikan,” katanya.

Yang pastinya, DS Najib tidak akan berani turun ke gelanggang untuk berdebat dengan DS Anwar dan di sini, Tengku Adnan telah menunjukkan kebodohannya sendiri.

Jika debat antara DS Najib dan DS Anwar adalah tidak perlu dan membuang masa, bagaimana pula dengan debat antara DS Anwar dengan bekas pembantu beliau, Saiful Bukhari Azlan itu member faedah kepada rakyat?

Siapakah yang menerajui Umno dan kerajaan persekutuan, DS Najib atau Saiful Bukhari? Debat antara DS Najib dan DS Anwar sudah pasti akan menjelaskan apa isu-isu yang perlu diketahui oleh rakyat berkenaan dengan masalah ekonomi dan isu semasa negara.

Ketua Kerajaan VS Ketua Pembangkang barulah kena dengan kedudukan dan tempatnya. Kalau Ketua Pembangkang VS Bekas Pembantu, apa yang rakyat dapat??? 

Kebebasan Media: Malaysia di tangga ke-122




Media Malaysia sekali lagi menunjukkan pretasi buruk dengan menduduki tangga ke-122 dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2011/2012 yang direkodkan oleh Reporters Without Borders.

Ini tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun pada tahun 2010, indeks tersebut mencatatkan Malaysia berada di tangga ke-141

Namun, disebalik rekod yang agak buruk itu, Malaysia dilihat mendahului negara serantau lain seperti Singapura (135), Thailand (137), Filipina (140) dan Indonesia (146).

Finland dan Norway bersama-sama menduduki tempat teratas dalam kajian kebebasan akhbar yang melibatkan 179 negara, diikuti Estonia dan Belanda yang terikat di tempat ketiga, manakala Austria di tempat kelima.

Lima lagi antara 10 negara teratas daripada segi kebebasan akhbar adalah Iceland dan Luxembourg di tempat keenam, Switzerland (lapan), Cape Verde (sembilan), serta Kanada dan Denmark yang terikat bersama di tempat ke-10.

Menduduki tempat terbawah dalam senarai adalah Turkmenistan (177), Korea Utara (178) dan Eritrea (179).

Menurut laporan itu, Pakistan (151) merupakan negara paling bahaya bagi wartawan untuk tahun kedua berturut-turut.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat, yang menduduki tempat ke-47, jatuh 27 tempat daripada tahun sebelumnya berikutan penahanan ramai wartawan semasa membuat liputan tunjuk perasaan bantahan "Occupy Wall Street".

Mengulas Indeks Kebebasan Akhbar tahun ke-10, Reporters Without Borders berkata: "Indeks pada tahun ini menyaksikan banyak perubahan kedudukan, perubahan yang menggambarkan perkembangan pesat dan drastik terutamanya di dunia Arab."

Ia menyatakan banyak media terpaksa menanggung risiko tinggi bagi membuat liputan aspirasi demokrasi.

"Tahun yang berlalu juga memperlihatkan peranan yang diterajui pengguna Internet dalam menghasilkan dan menyebarkan berita," menurut pertubuhan, yang turut memaklumi penyertaan Cape Verde dan Namibia dalam kalangan 20 negara teratas.

Jelas sekali ia menunjukkan bahawa Malaysia belum lagi layak diiktiraf sebagai negara yang mengamalkan kebebasan media sepenuhnya.

Apa yang berlaku ini adalah hasil daripada kawalan ketat yang dibuat oleh pihak kerajaan bagi memastikan survival politik mereka dalam negara.

Ini juga membuktikan bahawa media di Malaysia masih lagi dicengkam oleh pemerintahan kuku besi yang menjadikan media terutamanya media arus perdana sebagai wadah untuk mereka memperluaskan empayar dengan menyebarkan berita-berita yang telah dimanipulasikan untuk kepentingan politik.

Timbul persoalan dalam diri penulis, sampai bila agaknya media akan terus menerus diperkotak-katikkan untuk kepentingan mereka. Umum mengetahui bahawa kelulusan bagi lessen untuk penerbitan sesebuah akhbar atau operasi stesen televisyen terletak pada Kementerian Dalam Negeri yang diterajui oleh Menterinya, Hishammuddin Tun Hussein.

Sepanjang pembabitan penulis dalam dunia media juga, dapat penulis lihat betapa ketatnya kawalan yang dikenakan ke atas setiap bilik berita. Segalanya dikawal oleh KDN, yang mana tugas sebenar KDN adalah memantau media agar tidak menyiarkan sebarang berita yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum serta maklumat yang boleh mengancam keselamatan negara.

Namun apa yang diwar-warkan oleh media tanah air kini jelas terpesong dari etika kewartawanan yang sebenarnya. Apa tidaknya, jika berita-berita yang berkaitan dengan parti pembangkang dimanipulasikan bagi memperbodohkan rakyat.

Mungkin bila kerajaan pusat bertukar tangan, barulah media di Malaysia dapat menikmati sepenuhnya kebebasan serta hak mereka dalam melaporkan setiap berita dengan tepat dan telus.

21/02/12

Debat: KDN perlu main peranan...




Akhbar harian milik MCA, The Star sekali lagi membuat onar dengan menyiarkan laporan palsu berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika berdebat dengan Presiden MCA, Datuk Ser Dr Chua Soi Lek.

Kesilapan itu didakwa berlaku apabila kenyataan Lim Guan Eng disalah tafsirkan oleh media milik MCA itu hinggakan ia jelas berbaur perkauman dan hasutan.

Ini bukan sekali kebiadapan yang dibuat oleh akhbar milik MCA itu di mana sebelum ini akhbar berkenaan pernah menyiarkan iklan buffet Ramadhan yang terkandung hidangan babi.

Hal ini jelas menunjukkan pihak editorial akhbar itu tidak peka terhadap isu yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum di negara ini.

Semua orang tahu bahawa akhbar berkenaan telah lama bertapak di Malaysia dan merupakan antara sebuah media yang kukuh dalam negara, jadi perkara yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum tidak seharusnya timbul.

Ramai juga yang tahu terutamanya bagi pengamal media bahawa dalam proses penerbitan sesebuah akhbar, setiap bahan berita akan melalui beberapa proses penyuntingan termasuk suntingan yang dibuat pada layout dan agak mustahil jika mereka yang bertanggungjawab menjalankan proses tapisan ini ‘terlepas pandang’ dengan perkara ini.

Hal ini juga jelas melanggar etika kewartawanan, namun apa ada pada etika itu jika ia secara jelas sudah tidak lagi diamalkan di negara ini akibat kekangan daripada pihak berkenaan.

Setidak-tidaknya pihak kerajaan perlu memikirkan jalan penyelesaian bagi menguatkuasakan semula etika kewartawanan untuk diaplikasikan oleh setiap pengamal media dalam negara ini.

Jadi tidak hairanlah jika media alternatif lebih menjadi pilihan berbanding media arus perdana yang dilihat hanya condong kepada sebelah pihak sahaja.

Hal ini tidak mustahil akan menimbulkan rasa benci dan meluat masyarakat kepada akhbar arus perdana seterusnya membuatkan mereka lebih selesa memilih media alternatif yang akhirnya membawa kepada kerugian seterusnya menyebabkan syarikat gulung tikar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlulah memainkan peranan dengan telus tanpa sebarang diskriminasi terhadap akhbar arus perdana mahupun saluran media alternatif.

Ini kerana, media merupakan salah satu sumber maklumat yang memainkan peranan dalam menyampaikan berita, maklumat serta info yang penting pada mereka. Justeru ketelusan media dalam menjalankan amanah menyampaikan berita perlu dititikberatkan.

Pada pandangan penulis, pihak KDN perlu mengambil tindakan terhadap akhbar The Star yang jelas mempunyai niat tertentu dalam menyampaikan berita berkenaan. Paling tidak pun mereka perlu disiasat dan diberi tindakan sewajarnya.

Jangan kerana MCA salah satu komponen Barisan Nasional/Umno, maka mereka boleh terlepas dengan begitu sahaja kerana ini akan mengundang persepsi negatif rakyat terhadap kementerian itu. Jika akhbar saluran alternatif boleh diambil tindakan, digantung lesen dan sebagainya, mengapa tidak mereka..???