21/02/12

Debat: KDN perlu main peranan...




Akhbar harian milik MCA, The Star sekali lagi membuat onar dengan menyiarkan laporan palsu berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika berdebat dengan Presiden MCA, Datuk Ser Dr Chua Soi Lek.

Kesilapan itu didakwa berlaku apabila kenyataan Lim Guan Eng disalah tafsirkan oleh media milik MCA itu hinggakan ia jelas berbaur perkauman dan hasutan.

Ini bukan sekali kebiadapan yang dibuat oleh akhbar milik MCA itu di mana sebelum ini akhbar berkenaan pernah menyiarkan iklan buffet Ramadhan yang terkandung hidangan babi.

Hal ini jelas menunjukkan pihak editorial akhbar itu tidak peka terhadap isu yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum di negara ini.

Semua orang tahu bahawa akhbar berkenaan telah lama bertapak di Malaysia dan merupakan antara sebuah media yang kukuh dalam negara, jadi perkara yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum tidak seharusnya timbul.

Ramai juga yang tahu terutamanya bagi pengamal media bahawa dalam proses penerbitan sesebuah akhbar, setiap bahan berita akan melalui beberapa proses penyuntingan termasuk suntingan yang dibuat pada layout dan agak mustahil jika mereka yang bertanggungjawab menjalankan proses tapisan ini ‘terlepas pandang’ dengan perkara ini.

Hal ini juga jelas melanggar etika kewartawanan, namun apa ada pada etika itu jika ia secara jelas sudah tidak lagi diamalkan di negara ini akibat kekangan daripada pihak berkenaan.

Setidak-tidaknya pihak kerajaan perlu memikirkan jalan penyelesaian bagi menguatkuasakan semula etika kewartawanan untuk diaplikasikan oleh setiap pengamal media dalam negara ini.

Jadi tidak hairanlah jika media alternatif lebih menjadi pilihan berbanding media arus perdana yang dilihat hanya condong kepada sebelah pihak sahaja.

Hal ini tidak mustahil akan menimbulkan rasa benci dan meluat masyarakat kepada akhbar arus perdana seterusnya membuatkan mereka lebih selesa memilih media alternatif yang akhirnya membawa kepada kerugian seterusnya menyebabkan syarikat gulung tikar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlulah memainkan peranan dengan telus tanpa sebarang diskriminasi terhadap akhbar arus perdana mahupun saluran media alternatif.

Ini kerana, media merupakan salah satu sumber maklumat yang memainkan peranan dalam menyampaikan berita, maklumat serta info yang penting pada mereka. Justeru ketelusan media dalam menjalankan amanah menyampaikan berita perlu dititikberatkan.

Pada pandangan penulis, pihak KDN perlu mengambil tindakan terhadap akhbar The Star yang jelas mempunyai niat tertentu dalam menyampaikan berita berkenaan. Paling tidak pun mereka perlu disiasat dan diberi tindakan sewajarnya.

Jangan kerana MCA salah satu komponen Barisan Nasional/Umno, maka mereka boleh terlepas dengan begitu sahaja kerana ini akan mengundang persepsi negatif rakyat terhadap kementerian itu. Jika akhbar saluran alternatif boleh diambil tindakan, digantung lesen dan sebagainya, mengapa tidak mereka..???  

Tiada ulasan: