21/02/12

Generasi kita kian parah...




Siri serangan samseng yang bermotifkan politik di negara ini semakin menjadi-jadi apabila golongan ini bertindak di luar batasan dengan merosakkan harta benda orang lain.

Semalam, empat individu telah dipanggil bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian di Sembrong pada malam Ahad lalu.

Penulis difahamkan ketika serangan berlaku, lebih 30 buah motosikal dan belasan buah kereta turut mengiringi dan mengganggu ceramah yang dibuat oleh pihak pembangkang.

Ini bermakna kumpulan ini tidak bertindak dalam kumpulan yang kecil yang mana mungkin melibatkan puluhan orang, namun dalam ramai-ramai samseng itu hanya empat sahaja yang berjaya dikesan dan dipanggil polis untuk siasatan.

Apa yang penulis faham, ketika ceramah melibatkan parti pembangkang berlangsung, ia sudah pasti dikawal selia oleh pihak polis bagi menjamin keamanan dan mengelakkan timbul perkara yang tidak diingini.

Adakah ceramah yang diadakan di Sembrong Ahad lalu tidak dikawal oleh pihak berkuasa? Jika ada, mengapa mereka dilihat tidak memainkan peranan mengawal keadaan hingga berlaku kerosakan harta benda akibat perbuatan kumpulan samseng ini?

Timbul lagi banyak tanda tanya dalam benak penulis, apakah kumpulan samseng ini diupah untuk mengkucar-kacirkan sebarang aktiviti melibatkan parti pembangkang? Jika benar, oleh siapa?

Membanteras budaya samseng memang sudah dimulakan oleh pihak berwajib bermula di peringkat sekolah lagi, namun ianya tidak akan berkesan jika di pihak kepimpinan sendiri menggunakan ‘khidmat’ samseng untuk berpolitik.

Jadi, jangan salahkan ibu bapa dan pihak sekolah jika ada generasi pelapis kita yang terlibat dengan gejala samseng ini. Ini sama macam ‘ketam nak mengajar anaknya berjalan lurus’.

Bukan niat penulis untuk menyalahkan mana-mana pihak dalam hal ini, tetapi apa yang penulis cuba sampaikan ini lahir dari pemikiran penulis yang tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan golongan cerdik pandai lain.

Semalam, dalam satu siding akhbar, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata, kejadian di pejabat PKR di Jalan Mersing di Sembrong itu membabitkan kira-kira 50 hingga 80 anak muda yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 18 tahun.

Jika benar dakwaan yang dibuat oleh Saifuddin, maknanya generasi pelapis kita makin parah dan sanggup terjebak dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang ini.

Tiada ulasan: