6/10/11

Bila ulama ditolak ke tepi...




Pelakon komedi Enot, mengakui sangat tertekan apabila dikecam gara-gara TERSILAP mengeluarkan kenyataan tentang hukum HUDUD di akhbar Sinar Harian, semalam.

Selain dikecam menerusi twitter dan facebook, perniagaan keknya turut terjejas, apabila ada pelanggan yang menarik balik tempahan GARA-GARA kurang senang dengan komennya. Enot turut kesal apabila arwah ibu bapanya turut dicemuh.

Dalam pertemuan dengan Sinar Harian sebentar tadi, Enot menyatakan kekesalannya dan memohon maaf di atas kesilapan itu. Ikuti kenyataan selanjutnya dalam akhbar Sinar Harian esok.

Inilah jadinya kalau bertuhankan hiburan semata-mata, agama ditolak ke tepi. Sepatutnya dalam isu agama ini orang yang lebih layak untuk bersuara dan diminta pandangan ialah golongan ulama dan juga mufti yang bertauliah.

Namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya, natijahnya sang artis yang langsung tidak tahu pasal hukum agama membuat kenyataan semberono tanpa merujuk dahulu dari mana-mana pihak terpaksa menerima tamparan hebat.

Dalam kes ini, pada pandangan penulis, kita tidak boleh menyalahkan artis terbabit semata-mata, wartawan dan juga pihak editorial Sinar Harian sepatutnya lebih peka mengenai isu sensitif ini.

Takkanlah tiada seorang pun editor atau kakitangan Sinar Harian yang arif dalam agama hinggakan ada yang menjadi mangsa keadaan. Namun artis berkenaan juga ada silapnya, beliau tidak sepatutnya dengan yakin memberi komen terhadap isu yang beliau sendiri tidak tahu.

Pihak Karangkraf juga sepatutnya tidak mengambil mudah dengan meminta pandangan artis semata-mata terhadap sesuatu isu. Jika benarpun mahu menarik pembaca atau ada agenda tersembunyi, janganlah buat hingga nampak diri sendiri yang bodoh.

Sekarang tengok apa dah jadi, artis yang jahil ini menjadi mangsa keadaan. Pihak Sinar Harian seharusnya membuat kenyataan maaf secara terbuka kerana ramai yang terguris dengankenyataan sensitif artis terbabit.

Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata hinggakan ada yang merana. Ingatlah semua sumber rezeki itu adalah dari Allah S.W.T. Walau sekaya dan sebanyak mana sekalipun harta yang diperoleh, itu hanyalah pinjaman dunia semata-mata.

Jika Allah nak tarik balik nikmat itu, Dia boleh menariknya sekelip mata. Justeru gunakan akal fikiran yang waras dan berfikir dahulu sebelum melakukan apa-apa tindakan jika tidak mahu perkara ini berulang.

Terlajak perahu boleh diundur, tapi terlajak kata buruk padahnya.

Guna duit rakyat untuk tembak rakyat...



Sejumlah 262 kanister gas pemedih mata telah digunakan untuk menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai, demikian menurut satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menjawab soalan ahli parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng, Kementerian Dalam Negeri berkata 226 peluru gas pemedih mata (TS Shell) dan 36 bom gas pemedih mata (TS Grenades) digunakan ke atas penunjuk perasaan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kos TS Shell TS dan TS Grenades ialah masing-masing RM79.76 dan RM135 (tiap satu).

Katanya, kerajaan membelanjakan RM22,855.76 untuk membelinya.

Dahsyat bukan? Untuk satu PERHIMPUNAN AMAN sahaja, sebanyak hampir RM23,000 dibelanjakan untuk tembak rakyat sedangkan ketika itu langsung tiada demonstrans yang melepaskan tembakan, membaling molotov cocktail, merejam lembing atau buluh runcing jauh sekali memanah.

Apa tujuannya? Dan atas dasar apa duit sebanyak itu dihabiskan semata-mata nak menyuraikan satu PERHIMPUNAN AMAN? Ini salah satu pembaziran duit rakyat yang tidak sepatutnya berlaku.

Rakyat tidak membayar cukai yang tinggi semata-mata untuk ditembak dan disembur dengan meriam air, tapi duit cukai itu diamanahkan kepada pemimpin untuk memaju dan memakmurkan negara bukan memenuhkan tembolok sendiri.

Walaupun jumlah sebanyak itu kecil sahaja bagi pihak kerajaan namun ia lebih wajar dibelanjakan untuk membantu mereka yang lebih memerlukan sebab bagi golongan miskin RM22,855.76 bukanlah satu nilai yang kecil.

Sedangkan Rejim Zionis menggunakan gas pemedih mata ke atas bangsa yang asing bagi mereka untuk menakluk negara orang, ini sudahlah menggunakan duit rakyat, untuk tembak rakyat sendiri pula itu.

Drama menikus musim kedua...

 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan ‘suami’nya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan tampil ke mahkamah sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan kes liwat II.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang hari ini menolak sepina yang menuntut mereka hadir sebagai saksi pembelaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membenarkan permohonan Najib dan Rosmah bagi mengketepikan sepina itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, memutuskan mereka adalah tidak relevan dan bukan saksi utama dalam perbicaraan itu.

Jika sebelum ini, beliau dengan lantang bak perajurit yang sedia untuk berkorban demi negara mengatakan bahawa beliau tidak takut dan boleh bersemuka dengan DS Anwar bila-bila masa sahaja, tapi sekarang lain pula jadinya.

Pihak pembelaan telah cuba mewawancara Najib dan Rosmah pada Ogos lalu tetapi mereka enggan menjadi saksi pembelaan dan berkata akan hanya tampil jika disepina.

Namun apabila sepina dikeluarkan, mereka memilih untuk mengketepikannya pula.

Sepina meminta perdana menteri tampil itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung mesyuarat pada 24 Jun 2008, berikutan satu pertemuan yang diaturkan oleh pembantu Najib, Datuk Khairil Annas dengan pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini jelas sekali menunjukkan Najib hanya berani dan lantang di belakang tabir sahaja namun bila diminta tampil di barisan hadapan, beliau dengan menikus menyorok dan enggan tampil.

Pemimpin beginikah yang perlu disokong oleh rakyat? Rasanya kalaulah berlaku perang dalam Malaysia, orang pertama yang akan melarikan diri ke luar negara dengan pesawat Boeing A319 tidak lain dan tidak bukan Najib dan ‘suaminya’.

Bukan beliau pun yang akan didakwa, beliau hanya perlu hadir dan beri keterangan sahaja di mahkamah takkan itu pun nak takut. Sebelum itu beriya sangat nak kena ada Sepina baru nak pergi mahkamah, tapi bila dah disepina, menikus pula.

Berani kerana benar, takut kerana penakut...

Yang seorang pun gagal didakwa...



Pihak polis sekali lagi menunjukkan ke’profesional’an mereka apabila gagal mendakwa anggotanya yang dikenal pasti melanggar SOP ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0.

Walaupun anggota tersebut telah DIKENALPASTI, namun tiada pendakwaan yang boleh dibuat ke atasnya kerana mendakwa ketiadaan saksi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin menyatakan pihak polis telah mengenal pasti SEORANG anggotanya dari 11,045 anggota polis yang dikerahkan untuk menyurai perhimpunan tersebut.

Hari ini pula, tiada dakwaan yang boleh dibuat ke atas anggotanya yang seorang ini kerana ketiadaan saksi. Pusing, putar, belit dan lingkup, senang cerita tiada seorang pun anggota polis yang melanggar SOP pada perhimpunan itu.

Jadi segala siasatan dan pengumpulan video dari saksi dan internet adalah sia-sia belaka. Pada penulis, segala video yang tersebar di internet sudah cukup untuk dijadikan sebagai bukti, namun dibelit dan putar jadi ketiadaan saksi.

Pada penulis, kenyataan yang dibuat oleh pihak berkenaan dalam menangani isu ini hanyalah sekadar melepas batuk di tangga dan langsung tidak bertanggungjawab.

Yang paling pelik, boleh dikatakan hampir semua anggota polis kecuali pegawai atasan tidak memakai nombor badan yang sepatutnya wajib dipakai oleh anggota polis.

Apabila soalan ini diajukan kepada Hishammuddin dalam satu sesi temuramah, beliau mendakwa anggota polis berkenaan adalah polis simpanan dan tidak perlu memakai tanda nombor sebagai anggota.

Seingat penulis, bukan setakat polis simpanan sahaja yang mempunyai nombor di badan, malah anggota polis bantuan bagi mana-mana organisasi pun memiliki nombor ini.

Apakah ia salah satu cara yang digunakan pihak berkenaan untuk mengelakkan anggota mereka dikenalpasti melanggar SOP? Jika benar, ia pastinya perancangan yang bijak kerana mereka sudah pun berjaya ‘meloloskan’ diri dari sebarang pendakwaan.

Ini seorang, bagaimana pula anggota lain yang secara terang-terangan melanggar SOP sebagaimana yang ditayangkan dalam ratusan video di laman Youtube?