21/09/11

Cerita lama, tajuk serupa...



Pertama sekali tahniah penulis ucapkan kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) kerana telah ‘berjaya’ membuka minda untuk membuatkan DS Najib sanggup bertukar fikiran dan memansuhkan terus akta zalim ini.

Ini bermakna segala perih jerih yang dilalui oleh mereka yang terlibat dengan demonstrasi Anti-ISA sebelum ini nyata berbaloi dan membuahkan hasil.

Namun dalam pengumuman yang dibuat mengenai pemansuhan ini, DS Najib turut menyatakan akan menggubal dua akta baru bagi menggantikan ISA yang mana ia berfungsi sama seperti akta itu iaitu bagi mengekang sebarang bentuk aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

Pelbagai reaksi timbul apabila DS Najib mengumumkan detik bersejarah ini namun tidak kurang pula yang menguntumkan senyum sinis tatkala melihat golongan berkenaan bersorak gembira dengan pengumuman itu.

Apa yang bermain di fikiran penulis, bagaimanakah dua bentuk akta baru yang bakal digubal itu? Dan kini, sedikit persoalan itu telah pun terjawab. Mendengar sahaja kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, penulis sudah dapat menjangkakan apa permainan yang sedang dimainkan.

Nazri dalam kenyataannya menyatakan bahawa amalan penahanan tanpa bicara akan tetap diteruskan walaupun ISA telah dimansuhkan. Katanya ia bagi menjamin keselamatan dalam negara dari anasir-anasir luar yang ingin melihat negara kita kacau bilau.

Tapi bagaimana dengan hak asasi manusia jika amalan itu diteruskan? Wajarkan ISA dimansuhkan sedangkan amalan yang sama tetap diteruskan. Inilah yang penulis katakan cerita lama dengan tajuk baru.

Sebelum ini banyak kes penangkapan tanpa bicara di bawah akta ISA dikenakan terhadap orang yang tidak bersalah. Cuba bayangkan mereka terpaksa meringkuk di Kem Kamunting tanpa sebarang bicara bukan hanya seminggu dua malah ada yang bertahun-tahun.

Natijahnya, anak isteri dan keluarga mereka yang menanggung bahana kerana hilang tempat bergantung kerana si bapa inilah yang bekerja menanggung keluarga.

Tidak mustahil jika amalan kejam ini diteruskan, ia juga akan menjadi satu alat politik sama sebagaimana akta ISA yang digunakan sebelum ini oleh rejim pemerintah.  Yang pasti, pemansuhan ISA hanya satu gimik mainan politik semata-mata memandangkan PRU semakin dekat.

Tiada ulasan: