21/09/11

Musim ‘janji manismu’ hampir tiba...



Demam PRU dah hampir tiba, ini juga salah satu tanda besar kehadiran PRU-13. Banyak sangat janji dan tuntutan rakyat yang sudah dikota sampai penulis sendiri naik hairan dengan ‘kemurahan’ pemimpin untuk bersetuju dengan rakyat.

Jika dulu puak-puak BN tidak leka dan alpa serta tidak memandang rendah tahap pemikiran rakyat sudah pasti negeri Selangor dan beberapa negeri lain tidak akan jatuh ke tangan pembangkang.

Kemaruk benar kerajaan BN/Umno untuk merampas kembali negeri Selangor sampai perlu mengumpulkan 240 wakil rakyat mereka untuk ‘berkubu’ di Kuala Selangor.

Ini tidak lain, pastinya salah satu pelan mereka yang merangka strategi untuk merampas kembali negeri yang dahulunya ‘didakwa’ sebagai kubu kuat BN.

Dan sudah pastinya pelbagai janji manis akan ditabur sama sebagaimana yang kita lalui pada siri pilihan raya yang lepas. Seronok melihat gelagat pemimpin yang akan turun padang dan di sini kita boleh lihat betapa caknanya mereka kepada golongan marhaen.

Inilah masa untuk kita imbas kembali sewaktu kita berada di zaman kepayahan di mana harga minyak dinaikkan dengan sewenangnya, cukai yang dikenakan tanpa memikirkan nasib golongan bawahan dan segala macam bentuk penindasan hinggakan hampir lemas kita dibuatnya.

Namun apakah rentak permainan yang dimainkan itu sama seperti siri-siri pilihan raya terdahulu? Cukup-cukuplah menyempitkan kotak pemikiran yang sedia sempit. Sebagai rakyat yang mampu berfikir, seharusnya setiap apa yang dikatakan oleh pemimpin pada musim ini harus dijadikan peringatan.

Sebelum ini segala tuntutan rakyat langsung tidak diendahkan hinggakan rakyat terpaksa mengambil pendekatan untuk mengadakan demonstrasi jalanan. Ini perlu diingat oleh setiap rakyat, jangan hanya kerana tertunai secebis tuntutan, maka jiwa sudah terbeli.

Perlu diingat, mungkin selepas pilihan raya rakyat akan kembali menjalani kehidupan perit dengan kenaikan sana-sini dan mungkin rakyat hanya dipandang sebelah mata sahaja sebagaimana yang kita semua lalui sebelum ini. Kini sudah masuk zaman ‘janji manismu’.

Cuba ingat balik kalau-kalau janji yang ditabur pada pilihan raya umum sebelum ini masih ada yang belum tertunai. Fikirkanlah...

Tiada ulasan: