29/09/11

Beza antara kita dan mereka...



 
Pada zaman yang serba canggih ini masih ada lagi segelintir rakyat di Malaysia yang terperangkap dalam pemikiran yang dangkal yang mana mereka sanggup bertindak seperti manusia di zaman purba.

Golongan ini langsung tiada pendirian yang kukuh dalam setiap apa yang diperjuangkan di atas tiket memperkasakan Melayu. Namun apa yang jelas, pemikiran politik serta tindakan mereka yang langsung tidak menampakkan mereka masyarakat yang moden dan terbuka.

Apa yang diperlihatkan oleh golongan ini hanyalah pemikiran dangkal dunia keempat yang mana mereka terlalu asyik dalam dunia samseng dan suka dengan pergaduhan.

Yang peliknya, mereka hanya berani jika jumlah ‘geng’ mereka lebih besar daripada pihak lawan, dan
jika sebaliknya, mereka hanya menikus dan mengambil pendekatan untuk ‘bersiar-siar sahaja di Taman Tasik Titiwangsa.

Inikah golongan pejuang yang mendakwa diri mereka memperkasakan bangsa dan agama? Apa yang penulis nampak mereka hanya lebih kepada memalukan bangsa dan agama sendiri.

Jika benar mereka pejuang bangsa, mengapa hanya bangsa sendiri yang berbeza idealogi dan pendapat dari segi perjuangan dan juga politik yang menjadi sasaran mereka?

Ini lebih kepada perjuangan yang mementingkan agenda politik khususnya dalam memberi sokongan kepada Umno dan langsung tiada usaha ke arah memeperjuangkan nasib bangsa dan rakyat sendiri.

Yang nyata, ahli mereka hanya akan memberi komitmen penuh jika mereka dijanjikan wang ringgit sebagai menyatakan sokongan mereka dalam sesuatu isu. Lihat sahaja ketika berlangsungnya perhimpunan BERSIH 2.0.

Sebelum perhimpunan lagi, golongan inilah yang lantang membantah rakyat daripada bangkit menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.

Namun bila tiba sahaja hari perhimpunan, ketua mereka tanpa rasa malu mengarahkan agar semua ahli bersiar-siar di Taman Tasik Titiwangsa.

Sudah tentu mereka sepatutnya merasa gerun dengan gelombang rakyat yang bangkit memperjuangkan hak bersuara. Apa yang lebih membanggakan, golongan rakyat yang turun ke jalanan pada BERSIH 2.0 langsung tidak diberi apa-apa insentif mahupun bayaran.

Apa yang pasti, mereka bukanlah terdiri daripada golongan yang kaya dan rata-ratanya hanyalah berpendapatan sederhana dan rendah, namun berkat dari keberkatan dan kesungguhan dalam memperjuangkan agama Allah, bangsa dan hak, mereka sanggup turun.

Umum mengetahui beberapa hari sebelum perhimpunan, semua akses untuk memasuki Kuala Lumpur disekat sepenuhnya sebagai usaha untuk menghalang kemaraan rakyat.

Namun apa kuasa mereka untuk menyekat ketentuan Allah S.W.T? Segala urusan golongan pejuang ini dipermudahkan. Malah ada segelintir yang menceritakan mereka seolah-olah ‘halimunan’ ketika melalui setiap sekatan jalan raya yang diadakan.

Terang bukan, segala apa yang diperjuangkan dengan niat ke jalan Allah sudah pasti akan dipermudahkan segala urusan oleh-Nya. Inilah perbezaan yang jelas antara kita dan mereka...

Tiada ulasan: