22/09/11

Dah terang tak payah nak suluh-suluh lagi...




Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya bersetuju untuk menggugurkan 52 nama yang disyaki warga asing daripada daftar pemilih di kawasan Shah Alam dan ia adalah daripada 58 nama yang disenaraikan dalam bantahan PAS kepada SPR.

Sudah nyata, terang dan tak perlu nak disuluh-suluh lagi kerana inilah yang cuba diperjuangkan oleh pihak BERSIH bagi mengelakkan berlakunya penipuan terutama dalam pilihan raya.

Hal ini tidak sepatutnya timbul kerana SPR sebagai sebuah suruhanjaya perlu telus dan adil dalam melaksanakan tugas mereka dalam pilihan raya.

Namun ini bukan perkara baru dalam pilihan raya, malah portal Wikileaks pernah mendedahkan tentang penyelewengan dalam pilihan raya yang berlaku di Sabah pada tahun 90-an.

Menurut portal itu, Kabel diplomatik Amerika Syarikat yang bocor mendedahkan, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengakui pernah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu kepada pekerja asing di Sabah sekitar 90-an, atas arahan Umno.

Kabel yang dimuat naik di portal Wikileaks memetik bekas ketua NGO pemantau pilihan raya Mafrel, Malek Husin sebagai mendakwa Rashid mengakui perkara itu dalam pertemuan peribadi di rumahnya pada 25 Oktober, 2006.

Jika tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang, namun itu hanyalah sekelumit politik kotor yang terdedah, yang belum dilondehkan bagaimana? Asyik duk londeh cerita dalam kain orang sahaja, tapi kain sendiri terselak sampai ke pusat, siapa mahu jawab?

Apa yang penulis hairan, DS Najib tetap dengan selambanya membuat kenyataan bahawa kerajaan tidak tahu bagaimana hendak menipu rakyat apatah lagi menyeleweng fakta sejarah seperti mana yang dilakukan pembangkang.

Sedangkan rakyat yang kini sudah celik dengan agenda dan mainan politik Umno telah pun menyedari bahawa mereka ditipu sejak puluhan tahun dulu.

Mungkinkan akibat terlalu kerap ke luar negara dan sibuk dengan aktiviti yang boleh mendatangkan keuntungan, DS Najib tak nampak atau ‘buat-buat tak nampak’ dengan kemajuan rakyat dari segi pemikiran dan penggunaan aplikasi teknologi yang ada.

Tiada ulasan: