18/07/12

Pro dan kontra kebenaran pelajar bawa telefon bimbit ke sekolah



Isu berkenaan kebenaran pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kini kian hangat diperkatakan. Ada yang bersetuju malah tidak kurang juga yang tidak bersetuju dengan pelbhagai alasan yang diberi.

Ada yang menyatakan ia wajar kerana pelajar dapat mengaplikasikan teknologi yang ada pada telefon bimbit dalam pelajaran malah dapat merekod setiap aktiviti pembelajaran di kelas.

Tidak terkecuali juga yang membantah di mana banyak yang memikirkan soal penyalahgunaannya terutama apabila timbul kes rakaman video tidak senonoh pelajar sekolah menggunakan kamera telefon bimbit.

Namun bagi penulis apa yang perlu diberi perhatian ialah bukan masalah penyalahgunaan gajet komunikasi itu sendiri tetapi melibatkan soal keselamatan anak-anak kita.

Kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah bagi penulis wajar diberi pertimbangan sebetulnya memandangkan keadaan negara masa kini yang tidak pernah lari dengan aktiviti jenayah.

Lihat sahaja di dada akhbar, saban hari menghidangkan berita-berita jelik yang melibatkan pelajar sekolah menjadi mangsa. Terbaru ialah beberapa siri cubaan menculik menggunakan van putih.

Kes yang menggunakan modus operandi ini dianggap selesai setelah beberapa penculik yang menculik kanak-kanak warga Belanda, Nayati Moodliar berjaya ditahan.

Namun perkara ini masih berulang dan ia mungkin dijalankan oleh pelaku berlainan tetapi menggunakan modus operandi yang sama.

Keadaan inilah pada penulis menjadikan isu kebenaran membawa telefon bimbit di sekolah wajar. Perlu diingat ia hanya KEBENARAN MEMBAWA telefon bimbit di sekolah dan bukanlah KEBENARAN MENGGUNAKANNYA dalam sesi pembelajaran.

Malah, kebenaran membawa telefon bimbit pada pelajar sekolah ini juga perlu diiringi dengan syarat atau peraturan tertentu dan bodohlah jika hanya memberi kebenaran semata-mata tanpa syarat atau peraturan.

Pelajar mungkin hanya dibenarkan menggunakan gajet komunikasi ini diluar sesi pembelajaran dan semua telefon bimbit perlu diserahkan kepada guru yang bertugas dalam satu-satu masa sahaja.

Malah telefon yang dibawa itu juga perlulah terhad aplikasinya yang mana ia hanya boleh digunakan untuk panggilan dan sistem pesanan ringkas (SMS) sahaja.

Larangan yang perlu dikuatkuasakan ialah penggunaan telefon berteknologi tinggi yang mana ia mampu merakam video atau gambar bagi mengelakkan ia disalahgunakan oleh pelajar.

Pihak sekolah juga perlu mengehadkan penggunaannya di kawasan tertentu sahaja seperti di ruang menunggu ibu bapa selepas tamat sesi persekolahan untuk menghubungi ibu bapa penjaga selepas pulang dari sekolah.

Ini pada pandangan penulis amat perlu dalam usaha untuk ibu bapa memantau pergerakan anak mereka dan memastikan mereka berada dalam keadaan selamat ketika pulang dari sekolah.

Bukan itu sahaja, malah banyak lagi peraturan yang perlu diberi perhatian bila perkara ini mahu dilaksanakan di sekolah-sekolah Malaysia.

Ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) serta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu duduk semeja dan memperbincangkan tentang pro dan kontra jika hal ini dilaksanakan.   

Ada yang menyatakan bahawa dulu tidak pelajar terutamanya di kawasan luar bandar tidak perlu dan mampu membawa telefon bimbit kemana-mana sahaja namun tetap berjaya dalam pelajaran.

Ini sedikit sebanyak menggeletek hati penulis sebenarnya. Pihak berkenaan perlu memikirkan tentang situasi semasa yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia kini dan tidak membandingkan zaman tok kaduk dulu dengan masa kini.

Suatu ketika dahulu, ibu bapa tidak perlu risau malah langsung tidak mempedulikan tentang pergerakan anak-anak mereka kerana situasi jenayah suatu ketika dahulu tidak seruncing sekarang.

Malah penulis sendiri di zaman kanak-kanak dulu juga tidak mampu nak bertelefon bimbit tetapi penulis dan rakan seusia bebas meneroka setiap ceruk hutan, baruh (paya), sungai, laut dan air terjun tanpa perlu dipantau oleh ibu bapa penulis.

Ibu bapa juga memberi kebebasan sepenuhnya untuk penulis kemana-mana sahaja bersama rakan sebaya kerana mereka tidak perlu bimbang tentang isu keselamatan membabitkan jenayah.

Tapi itu dulu, jauh sekali perbezaannya jika mahu dibandingkan dengan zaman sekarang jadi buatlah pilihan tepat yang terbaik untuk anak-anak generasi kita yang bakal mewarisi negara.  

16/07/12

Santai: Perihal Kuih Edisi Ramadhan...

Kuih

kuih mat rempit: semperit

kuih orang tak mandi: bau lu

kuih suka pukul orang: kuih lompang

kuih paling kotor: kuih tahi itik....

kuih paling mahal: kuih jala emas

kuih paling bahaya : lompat tikam...

kuih penyakit lelaki kronik: batang buruk.....hehe

Ramadhan: Peniaga jangan ambil kesempatan...



PENULIS ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak. Minta maaf jika ada terkasar bahasa terkhilaf bicara sepanjang berblog ni.

Dalam debaran menanti Ramadhan, penulis nak juga sentuh beberapa isu yang memang dah tak boleh lari lagi dari dihadapi oleh masyarakat kita.

Biasanya bila tiba Ramadhan sudah pasti banyaklah bazaar yang tumbuh bak cendawan tumbuh lepas hujan. Namun yang menarik perhatian penulis ialah HARGA yang perlu dibayar oleh masyarakat yang berkunjung di bazaar ini.

Kebiasaannya, sebelum Ramadhan, pastinya semua dapat melihat juadah seperti lauk pauk dan kuih muih yang boleh dikatakan ‘tembam-tembam’ saiznya. Malah rasanya juga pasti tidak lari dari kebiasaan.

Namun bila menjelangnya bulan rahmat ini, semuanya adalah jauh berbeza. Dari segi saiz sudah tentu semuanya akan ‘mengecut’. Kalau apam pun kita lihat sebelum Ramadhan ‘sihat-sihat’ belaka saiznya, tapi bila sampai Ramadhan semuanya dah slim mengalahkan orang puasa.

Murtabak misalnya, sebelum puasa memang tak kalah dari segi saiz, malah intinya juga padat dengan daging dan telur tapi masuk bulan puasa tidak keterlaluan kalau penulis samakan dengan kertas tisu tandas yang dilipat dua tiga lapis….nipis semacam aje.

Intinya pula memang menghampakan, boleh dikira ketulan daging atau ayam yang menjadi ‘tulang belakang’ makanan kegemaran ramai ini.  

Dari segi rasa pun tidak kurang hebatnya. Jauh tergelincir daripada asal. Sebelum tu semua juadah yang ada di kedai-kedai dan gerai makan memang sedap dan boleh membuatkan kita berulang dua tiga kali ke kedai sama.

Tapi bila masuk sahaja bulan puasa, rasanya sangat menghampakan. Mungkin tukang masak puasa, jadi beliau tak boleh nak rasa sama ada cukup ke tidak rencah yang dimasukkan dalam hidangan.

Pada hemat penulis, rata-rata peniaga hanya mementingkan keuntungan sahaja dengan mengambil kesempatan bulan yang mulia ini. Kalau benar nak untung sekalipun biarlah kena dengan harga yang dibayar.

Bila ditanya kepada peniaga kenapa saiz atau rasanya agak kurang ‘kick’, jawapan klise yang biasa penulis dengar setiap tahun…”Harga barang dah naik dik, semuanya kena cut ”…

Nak kejar untung tidak siapa pun melarang tapi biarlah berhemat agar perniagaan yang dijalankan dengan keuntungan yang diperolehi pun mendapat berkat.

4/07/12

Dasar baru SPA: Antara realiti dan fantasi



DUA dasar baru yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mendapat menimbulkan pelbagai reaksi dari masyarakat khususnya golongan berpendidikan tinggi.

Dasar pertama SPA ialah membenarkan pemegang Ijazah Sarjana Muda memohon jawatan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan semua calon bersaing dalam memohon mana-mana jawatan yang bersesuaian tanpa sekatan tahap kelayakan akademik.

Manakala dasar kedua pula membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan dalam Borang Permohonan Pekerjaan Online SPA8i berbanding lima jawatan sebelum ini.

Apa penulis lihat ialah kita sedang menuju ke arah hala tuju yang salah. Cuba perhatikan dalam sektor pekerjaan amat jarang sekali kita lihat kaum lain menjadi posmen, jarang sekali kaum lain menjadi pengawal keselamatan dan jarang sekali kaum lain menjadi jurutol.

Apakah bangsa Melayu menuju ke arah kemunduran tatkala bangsa lain berlumba-lumba mengejar kemajuan?

Universiti India dan Cina menyediakan pelajarnya ke alam realiti, namun universiti Melayu menyediakan pelajarnya ke alam fantasi yang pastinya akan berkesudahan dengan melahirkan graduan yang tiada masa depan!

Bukan itu sahaja, mereka berkelayakan ijazah ke atas ini bakal menanggung kos sara hidup yang tinggi bila berdepan dengan dunia realiti kelak. Apa tidaknya dengan gaji bertaraf SPM, terpaksa pula menanggung hutang PTPTN sudah pasti mereka akan terbeban.

Inikah masa depan yang didambakan oleh rakyat untuk meneruskan kehidupan di bawah pimpinan kerajaan yang terang terangan menjadikan fahaman secular sebagai landasan untuk metadbir negara?

25/06/12

Mesir: Wadah perjuangan baru


 
MOHAMMED Morsi telah diisytiharkan sebagai Presiden Mesir secara rasmi oleh suruhanjaya pilihanraya pada Ahad lalu sekaligus menumpaskan pemerintahan tentera sejak enam dekad lalu.

Rakyat Mesir kini telah bersatu di belakang Morsi sebagai peluang untuk menghapuskan negara rejim sebelum ini yang sekian lama mengcengkam rakyat negara itu.

Morsi meraih sokongan 51.7 peratus undi mengalahkan pencabarnya, Ahmed Shafiq dalam pusingan kedua pilihan raya presiden yang diadakan minggu lalu.    

Kemenangan Morsi itu sekaligus menggangikan Hosni Mubarak yang digulingkan 16 bulan lalu dan pengumuman itu disambut dengan sorakan gemuruh penyokong Ikhwan di Dataran Tahrir.

Laungan takbir Allahuakbar bergema di segenap ceruk rantau negara itu sambil diiringi tepukan dan dimeriahkan lagi dengan kibaran bendera kebangsaan serta bunga api.  

Kemenangan itu juga memecah tradisi Mesir kerana negara tu biasanya dikuasai pemimpin tentera yang menjadi pemimpin negara itu sejak sistem monarki tamat 60 tahun lalu.  

Diharapkan dengan kebangkitan parti yang berdasarkan Islam di Mesir itu memberi cetusan semangat serta wadah baru dalam perjuangan menegakkan negara Islam di Malaysia.

22/06/12

Terengganu Darul Runtuh: Kronisme atau kelalaian (Gambar)


Stadium Negeri, Gong Badak.

RUNTUHAN demi runtuhan berlaku tanpa sebarang gegaran. Malah alat pengukur gempa langsung tidak mencatatkan sebarang angka pada skala Richter.

Semua runtuhan misteri ini berlaku di negeri yang terletak di koridor Timur Semenanjung Malaysia iaitu Terengganu.

Siri runtuhan bermula dengan runtuhan stadium negeri di Gong Badak yang masih dalam proses pembinaan. Nasib baiklah ia masih dalam pembinaan.

Bayangkan jika ia runtuh ketika berlangsungnya satu-satu acara besar, pasti gamat dengan kecederaan dan mungkin ada nyawa yang melayang.

Selepas runtuhan di stadium negeri, siri runtuhan ini terus berserakan dengan runtuhan sebuah astaka di Jertih di mana ia juga masih lagi dalam pembinaan.

Astaka, Jertih.
 Runtuhan astaka ini menyebabkan enam pekerja warga Indonesia terperangkap dalam runtuhan namun semuanya berjaya diselamatkan.  

Runtuhan yang paling baru dan masih lagi belum dapat dipastikan kesahihannya didakwa berlaku di Kompleks Tekstil juag dalam pembinaan di Kijal.

Gambar-gambar yang dirakamkan menunjukkan memang terdapat beberapa runtuhan terutamanya pada struktur siling bangunan.

Kompleks Tekstil, Kijal.
 Apa yang menjadi tanda tanya penulis ialah, apakah pihak yang berwajib tidak mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terhadap stadium negeri di Gong Badak dan mengapa wabak runtuh ini berterusan?

Apakah tiada sebarang tindakan yang diambil terhadap kontraktor yang bertanggungjawab menjalankan pembinaan? Mungkinkah ini ada kaitan dengan kontraktor kroni yang memang banyak memegang projek namun gagal melaksanakannya dengan sempurna.

Kompleks Tekstil, Kijal.
Semua ini harus dihentikan bagi menjamin keselamatan orang ramai dan mengelakkan kerugian yang berterusan.

5/06/12

Tun M dah kering modal agaknya....



TAHNIAH kepada kepimpinan PAS apabila berjaya mengumpulkan segenap lapisan masyarakat dalam himpunan hijau ke Putrajaya di Kedah baru-baru ini.

Namun dalam kejayaan ini, pasti ada suara sumbang yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas. Suara ini pastinya bimbang dengan kebanjiran rakyat yang dilihat membanjiri stadium.

Terbaru, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat tuduhan yang tidak berasas dengan menyatakan bahawa semua peserta dibayar untuk menghadiri program tersebut.

Lawak spastic ini sudah pasti membuatkan penulis terhibur di pagi hari. Agaknya Tun M ni memang dah nyanyuk kot. Mana PAS nak korek duit banyak-banyak untuk saingi himpunan jutaan belia yang menghabiskan wang rakyat?


Pelik, PAS bergantung dengan duit sumbangan dan langsung tidak memiliki sebarang modal jika nak dibandingkan dengan Umno. Ini dapat dilihat apabila Umno membelanjakan jutaan ringgit untuk menarik golongan muda.

Malah wang yang dibelanjakan itu juga dilihat tidak masuk akal apabila untuk tandas bergerak sahaja dibelanjakan sebanyak setengah juta. 


Tapi adakah PAS mempunyai modal sebesar itu untuk menarik masyarakat ke perhimpunan anjuran mereka? Sudah pasti tidak, malah pada program himpunan hijau itu langsung tiada artis K-POP yang dijemput untuk menjojolkan biji mata anak muda.

Melihat kepada gambar yang dirakam sepanjang program berlangsung memang tak masuk akal malah PAS mungkin bankrap jika semuanya dibayar untuk hadir. Kesian Tun M dah kering modal.