27/12/11

Setinggi langitkah darjat DS Najib?

Nama Adam Adli Abdul Halim sebelum ini tidak pernah dikenali umum namun nama ini tiba-tiba menggemparkan negara berikutan tindakan pemilik nama itu yang menurunkan bendera DS Najib di hadapan PWTC selepas SMM menyerahkan memorandum menuntut kebebasan akademik kepada Timbalan Menteri Pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Suruhajaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Adam bukan sahaja berjaya menggemparkan negara, beliau serta ahli keluarganya turut menerima tamparan, ancaman dan ugutan hebat dari seluruh penyokong fanatik Umno yang membuat pelbagai provokasi hingga menjadi jenaka di laman Youtube.

Beliau turut menerima surat panggilan ke jawatankuasa disiplin UPSI dan berdepan dua pertuduhan, iaitu mencemarkan nama universiti serta memberi ancaman kepada ketenteraman awam pada 23 Disember lalu.

Namun bagi penulis, tindakan Adam bukanlah satu kesalahan melampau yang mampu menganggu-gugat ketenteraman negara hinggakan di kenakan tindakan sedemikian.

Beliau hanya menjalankan hak sivil sebagai warganegara untuk bersuara terhadap ketidakpuasan hatinya pada kerajaan dan pertuduhan ini tidak berasas sama sekali.

Apa yang menghairankan penulis ialah, bagaimana perlakuan yang remeh sebegini menimbulkan kecelaruan hingga ada yang bagai cacing kepanasan bila bendera DS Najib diturunkan. Tetapi golongan ini hanya diam membisu tatkala ada pihak yang menghina serta mempermainkan agama.

Dalam hal ini, golongan yang mengaku ‘cerdik pandai’ turut menerima tempias bila ada yang secara spontan terpekik terlolong di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

Malah ada di antara mereka yang mengaku pernah menuntut di universiti berkenaan. Jika benar dakwaan itu, ke mana hilangnya keprofesionalan mereka sebagai orang yang terpelajar? Atau apakah dakwaan itu hanya omongan kosong untuk membolehkan mereka mendabik dada di khalayak umum?

Ada juga yang meluahkan ketidakpuasan hati dengan memuatnaikkan ke dalam laman Youtube dan melemparkan kata-kata berunsur ugutan sambil mengaku diri mereka ‘panglima perang’.

Penulis sendiri tersenyum melihat gelagat golongan fanatik Melayu yang mungkin ketandusan idea serta wang elaun atau upah dari pihak tertentu hinggakan sanggup memperbodohkan diri di khalayak umum.

Andai kata ada yanag bertanya apakah agama mereka, sudah tentu semua mengaku Islam tapi mengapa bila agama dipersenda dan dipermainkan langsung tiada kelibat pekikan dan lolongan dari golongan ini?

Apakah DS Najib lebih tinggi dan mulia darjatnya berbanding agama Islam? Terjejaskan DS Najib bila bendera yang hanya sehelai kain bercetakkan potret beliau diturunkan bukannya dipijak, dibakar dan dihina.

Yang pasti, rakyat tetap terjejas walau setinggi mana pun bendera DS Najib dikibarkan, minyak tetap naik, harga barang tetap melambung, rasuah dan salah laku pemimpin tetap berlaku.

 Fikir-fikirkan...

Tiada ulasan: