5/04/13

PRU-13: Perebutan batang kelapa bermula


Ini merupakan keganasan pertama yang berlaku selepas pembubaran parlimen dibuat bagi memberi laluan kepada proses Pilihan Raya Umum ke-13.

Keganasan ini melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar di mana keretanya disimbah cat merah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jika diikutkan perkiraan sebenar, ini bukanlah keganasan pertama yang berlaku menjelang PRU-13. Bahkan banyak lagi siri keganasan telah tercertus melibatkan segelintir penyokong parti yang terlalu fanatik dan taksub.

Ia jelas memperlihatkan amalan berpolitik tidak matang masih lagi berakar umbi di minda rakyat Malaysia. Keadaan ini memberi petunjuk bahawa pemikiran kita masih di takuk lama atau masih di tahap dunia ketiga.

Apakah cara yang boleh dipraktikkan bagi mengubah amalan politik kotor sebegini? Ini baru satu kes keganasan selepas parlimen dibubarkan, Pada hemat penulis, tidak mustahil akan berlaku lagi siri keganasan dalam dunia politik tanah air.

Dari dulu sampai sekarang ia seakan sudah tersemat kukuh di minda masyarakat yang terlalu taksub dengan pemikiran politik dangkal.

Di kawasan luar bandar khususnya, hasil daripada pemerhatian secara rawak yang dibuat oleh penulis tempoh hari sudah menggambarkan suasanan panas yang bakal berlaku.

Masing-masing sudah mula merebut kawasan untuk memacakkan bendera masing-masing hatta batang pokok kelapa sekalipun menjadi rebutan walaupun selama ini langsung tiada siapa yang peduli.

Sudahnya bila berlaku perebutan batang kelapa untuk ditampalkan poster parti yang dipilih, maka tercetuslah pertarungan epik yang tidak pernah kunjung surut dari dulu hingga sekarang.

Nasihat penulis kepada semua pengundi dan penyokong parti, ubahlah dari ekarang, tonjolkan kematangan dalam berpolitik. Jangan terlalu taksub dan fanatik hingga menyerlahkan kebodohan dan kedangkalan diri sendiri..!!

Selamat Mengundi..!!

   

Tiada ulasan: