10/05/12

Penerangan mudah 'Durian Runtuh' untuk peneroka




Terdapat banyak persoalan mengenai pengagihan ‘Durian Runtuh’ yang diumumkan oleh DS Najib kepada peneroka Felda baru-baru ini.

Ada yang bersyukur, malah tidak kurang juga yang mencebik bibir tanda tidak bersetuju dengan agihan yang menimbulkan tanda tanya.

Ramai yang tertanya-tanya  dari mana datangnya duit sebanyak RM1.689 billion untuk diagihkan kepada peneroka sedangkan umum mengetahui bahawa untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13, kerajaan memerlukan dana yang besar.

Banyak analisis dibuat untuk merungkai apa sebenarnya permainan yang direncanakan oleh DS Njaib dan konco-konconya.

Berikut adalah hasil analisis terhadap ‘Durian Runtuh’ yang diumumkan DS Najib untuk peneroka Felda.

1. Peneroka perlu memajakkan tanah mereka untuk mendapatkan wang durian runtuh sebanyak RM15K. Mana-mana peneroka yang tidak setuju memajakkan tanah mereka maka tidak akan dapat wang tersebut. Secara umumnya duit berkenaan adalah milik peneroka yang bersetuju memajakkan tanah mereka.

2. Peneroka perlu menandatangani perjanjian pinjaman untuk memberi saham FGVH. Dalam erti kata lain, peneroka perlu MEMINJAM daripada bank untuk membeli saham.

3. Duit pinjaman disalurkan terus ke FGVH dengan harga bagi seunit saham sebanyak RM4.65.

4.  FGVH mengeluarkan pelan perancangan yang menyatakan mereka akan menjual pegangan saham mereka sebanyak 59% kepada pelabur baru.

5. FGVH juga menyatakan bahawa mereka akan menerbitkan saham baru berjumlah RM980,000,000. Saham ini akan dijual kepada pelabur baru san saham baru inilah dipercayai akan dijual kepada peneroka.

6. Ini bermakna, peneroka Felda telah meminjam untuk beli saham dalam FGVH dan akhirnya menjadi wang yang mana disifatkan oleh DS Najib sebagai ‘Durian Runtuh’.

Kesimpulannya:

Peneroka gadai tanah = bank bagi pinjaman beli saham = peneroka bagi duit pinjaman kepada FGV = DS Najib bagi duit pada peneroka = Peneroka gumbira sakan hingga mengalirkan air mata sebab terlalu gembira dengan ‘pemberian’ ini.

9/05/12

Cerita untuk mudahkan peneroka faham tentang Durian Runtuh & FGVH

 
Cerita untuk direnungkan para peneroka....
09 Mei 2012

Di sebuah kampung, Allah kurniakan tanah yang amat subur kepada penduduknya.

Segala yang ditanam akan menghasilkan buah dan pulangan. Walaupun tanah itu tidaklah besar, tapi hasil pertaniannya cukup untuk menyara sebuah kampung malah ada lebihan.

Pada satu hari, datang seorang ahli perniagaan kaya, yang berkata kepada penduduk, ada pelan untuk durian runtuh, dapat duit dengan cepat.

Pelannya begini:

Penduduk cagarkan tanah yang subur itu kepada peniaga - dengan 2 syarat:

1. peniaga akan bayar balik sejumlah wang dan

2. "batu istimewa" akan dijualkan kepada pengguna - "batu istimewa" ini dijamin peniaga akan meningkat nilai pasarannya buat selama-lamanya.

Penduduk kena membeli "batu istimewa" ini yang diwar-warkan sebagai telur emas, dengan pinjaman atau duit sendiri.

Asalkan penduduk tidak menjual "batu istimewa" tersebut, "batu istimewa" tersebut akan menghasilkan wang tunai, sekiranya peniaga untung besar.

Di sebalik itu, yang tidak diketahui penduduk kampung tersebut ialah - peniaga yang mencagarkan tanah tersebut mendapat RM50. Yang diberi balik pada peneroka hanyalah RM15, bersama satu "batu istimewa" yang dijamin dapat membawa pulangan lumayan.

Ada pihak B yang kenali sikap peniaga ini cuba menasihati penduduk kampung ini, tapi penduduk kampung hanya nampak kebesaran RM15.

Pihak B memberitahu penduduk - faham maksud cagaran. Peniaga kaya itu memberitahu tanah itu masih milik penduduk kampung - betul kata pihak B, sekiranya tiada masalah berlaku.
Sekiranya apa-apa berlaku kepada peniaga kaya tersebut, tanah itu akan hilang daripada penduduk kampung, kerana ia hak milik orang lain, pihak yang membayar peniaga kaya untuk tanah itu.

Penduduk kampung yang tertarik dengan tawaran tersebut, disuruh menandatangani satu perjanjian secara cepat - di mana perjanjian tersebut tertulis "jika berlaku kerugian, penduduk kena tanggung semua, dan tak boleh saman peniaga."

Penduduk teruja dengan tawaran tersebut kerana tanah yang Allah kurniakan hanya dapat menghasilkan RM2 sebulan.

Kini, peniaga beri RM15 sekaligus, 7 bulan hasil. Tapi mereka lupa, RM15 ini sekali sahaja, RM2 yang dijana adalah berterusan sampai bila-bila sehingga generasi kedua atau ketiga.

Bukan main seronok penduduk berterima kasih kepada peniaga ketika menerima RM15. Tapi keperitan datang selepas setahun, dua apabila "batu istimewa" yang dijanjikan tidak mendatangkan hasil, tanah yang dicagarkan peniaga bukan lagi milik sendiri.

Peniaga berkata perjanjian dah kata dengan jelas, kerugian perlu ditanggung sepenuhnya oleh penduduk kampung dan anda tak boleh saman.

Menangislah penduduk, menyuruh orang pihak B menyelamatkannya. Nak selamat macam mana?

Ini sekadar cerita luahan untuk renungan bersama. Alhamdulilah, ada masa untuk menceritakannya untuk dikongsikan.

------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat dan juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Sumber:  http://www.tranungkite.net

3/05/12

AL-FATIHAH: Bob Kuman Menemui Ilahi Jam 4.38 petang tadi







Bob Kuman meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh. Menurut kakitangan hospital, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 4.38 petang tadi (Khamis, 3 Mei 2012). Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman…

BERSIH 3.0: senarai 49 dikehendaki polis






Polis hari ini mengeluarkan gambar senarai 49 yang dikehendaki ekoran penglibatan mereka dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata, kenyataan mereka diperlukan untuk membantu siasatan dalam perbagai kesalahan bawah Kanun Keseksaan.

Dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, Mohmad berkata, kesemua 49 nama itu diminta menyerahkan diri di balai polis berdekatan secepat mungkin.

Katanya, polis menerima 258 laporan berkaitan perhimpunan itu daripada pelbagai pihak.

sumber: MKini

Bebaskan Media Malaysia



Selamat menyambut hari kebebasan media sedunia. 3 Mei setiap tahun dunia menyambut hari kebebasan media. Namun bebaskan media dalam negara kita?








2/05/12

Media dibelasah: Alasan polis tak masuk akal...





Ketua Polis Negara pada hari ini (2 Mei 2012) memohon maaf kepada jurugambar akhbar The Malay Mail, Muhammad Arif Kartono yang mendakwa dirinya dikasari polis ketika membuat liputan pada perhimpunan BERSIH 3.0 Sabtu lepas.

Beliau memberi alasan bahawa polis bertindak demikian kerana tidak dapat membezakan antara peserta perhimpunan dan media dalam kekalutan itu.

Sabtu lepas, Muhammad Arif cedera di muka dan anggota badan setelah dikatakan dikasari polis ketika membuat liputan perhimpunan badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang di Dataran Merdeka.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh menyarankan kepada media agar menggunakan pakaian khas seperti ‘vest media’ bagi mengelakkan insiden tidak diingini seperti pada Sabtu lepas.

Mohmad turut mengulas bahawa insiden wartawan dan jurugambar dikasari bukan disengajakan kerana keadaan kelam-kabut serta sukar untuk dikawal menjadikan pihak polis sukar membezakan antara orang awam dan pengamal media.  

"Saya rasa cara itu (memakai vest media) merupakan cara terbaik buat masa ini kerana pihak polis boleh membezakan antara media dan peserta perhimpunan sekiranya berlaku tindakan di luar kawalan," katanya.

Semua sedia maklum bahawa dalam kejadian keganasan itu, pihak media sudahpun menunjukkan kad pengenalan media mereka kepada polis, namun ada yang bertindak menarik kad media tersebut hingga putus dan jatuh ke lantai dan bertindak menendang kad media ke arah wartawan itu.

Kebanyakan petugas media yang mendakwa menjadi mangsa kekejaman polis pada hari berkenaan telah pun menunjukkan kad media masing-masing namun ia langsung tidak diendahkan oleh polis malah terus dibelasah.

Bukan itu sahaja, petugas media turut mendakwa dihalang merakam sebarang keganasan polis pada hari kejadian. Malah ada anggota polis yang bertindak merampas dan merosakkan kamera serta merosakkan kad memori yang dipercayai mengandungi gambar keganasan polis.             

Keadaan ini juga secara terang-terangan menafikan hak petugas media dalam melaporkan berita yang telus dan benar kepada masyarakat dan peranan Kad Media untuk membezakan orang awam dan petugas media nyatakan diketepikan. 

Jika perkara ini berlarutan, tidak mustahil warga media di negara ini akan memboikot sebarang liputan membabitkan polis dan juga kerajaan kerana ia nyata satu arahan dari pihak atasan.  

Jadi, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur dan KPN nyata tidak boleh diterima akal. Penulis yang turut berada di tempat kejadian dapat mengecam dengan mudah petugas media walaupun terpaksa menahan keperitan terhidu gas pemedih mata.

Mungkin pihak polis perlu mengadakan tapisan bagi memeriksa sama ada terdapat anggota yang cacat atau mempunyai masalah penglihatan.

Kalau ada apa-apa, jangan cari media…!!!



SETELAH lima hari berlalu, pelbagai reaksi tersebar di internet baik dari peserta mahupun dari pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri. Semuanya saling menuding jari mencari kesalahan masing-masing. 

Malah rakyat yang tidak terlibat turut memberi pendapat mereka dalam ruangan akhbar untuk disiarkan secara umum. Namun tahukah mereka apa sebenarnya yang berlaku? Atau mereka hanya menyebarkan khabar angin yang didengar dari mulut ke mulut sahaja?

Adakah pendapat mereka ini yang langsung tidak berada di tempat kejadian dan hanya mengikut rentak laporan media arus perdana sahaja boleh diterima pakai oleh masyarakat?

Tidak kurang juga yang cuba menunjukkan kejaguhan masing-masing apabila memberi reaksi macam nak bergaduh untuk menunjukkan betapa marahnya mereka kepada BERSIH 3.0.

Hakikat sebenarnya amat jauh menyimpang dari apa yang dilaporkan oleh media arus perdana. Malah kenyataan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga bertentangan dengan apa yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Menurut Hishammuddin, tindakan polis yang merampas dan merosakkan kamera milik petugas media pada BERSIH 3.0 merupakan Standard Operation Procedure (SOP) polis. Namun kenyataan ini bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh Ismail Omar bahawa tindakan itu bukanlah SOP polis.

Malah, sepanjang  penulis menceburi dunia media ini, tidak pernah didengar dalam mana-mana benua sekalipun bahawa polis berhak merampas kamera atau peralatan dan menghalang petugas media di mana-mana situasi sekalipun selagi tidak melanggar undang-undang.

Petugas media hanya memainkan peranan mereka dalam melaporkan situasi terkini dan apa sebenarnya yang berlaku kepada umum dan mereka juga mengikut arahan dari bilik berita untuk bertugas.

Bukan mereka saja suka-suka untuk turun ke lokasi kejadian. Tanyalah mana-mana wartawan sekalipun sudah tentu mereka tidak suka jika ditugaskan dalam keadaan sebegini. Sudahlah panas, terpaksa bersesak-sesak mengharungi lautan manusia dan menghidu gas pemedih mata pula.

Kali ini petugas media sendiri berdepan dengan provokasi dari polis seolah-olah mereka seorang pesalah yang melakukan jenayah berat. Walhal, mereka hanya cuba merakamkan situasi dari sudut pandang media sahaja.

Mungkin pihak polis juga menerima arahan tertentu dari pihak atasan agar provokasi dan tindakan ganas polis tidak dirakam dan tersebar di internet serta portal media-media alternatif lain.

Pada pendapat penulis, tidak wajar petugas media diperlakukan sebagaimana pesalah jenayah. Jika enggan perbuatan ganas mereka dirakam, janganlah menimbulkan provokasi dan bertindak ganas. Mudah bukan?

Kini pihak kerajaan terpaksa memainkan peranan mereka untuk ‘memujuk’ kembali pihak media kerana bimbang tidak akan mendapat liputan pada PRU-13 nanti. Senang saja, lepas pukul separuh mati, minta maaf.

Yang menerima padah dan menanggung azab dibelasah dan juga kerugian akibat kerosakan peralatan ialah petugas media sendiri. 

Apakah petugas media yang cedera ini akan menerima pampasan? Sudah tentu tidak. Menteri yang melawat pun tak bawa buah tangan, inikan pula nak mendapat pampasan walaupun petugas media ini mengalami kerugian yang besar.

Memetik kata-kata dua anggota polis yang tidak dibenarkan buang air di dalam sebuah premis pada BERSIH 3.0 baru-baru ini:

“KALAU ADA APA-APA, JANGAN CARI MEDIA”  …..!!!!!