5/09/12

Terkini: Pejabat Keadilan diserang samseng Umno??



Sekumpulan 30 samseng didakwa mengadakan demonstrasi dan bertindak ganas dengan menyerang ibu pejabat KEADILAN, dekat sini tengahari tadi.

Setiausaha Wanita KEADILAN, Juwairiya Zulkifli mendakwa kumpulan itu memakai kemeja-T Umno dan Barisan Nasional.

“Mereka memegang kain rentang sambil menjerit antaranya, ‘Jalur Gemilang’ dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tak cukup dengan itu, kumpulan itu akhirnya bertindak ganas dengan cuba menumbuk mereka yang cuba mengawal keadaan,” dakwa beliau.

Demonstrasi pada jam 12.30 tengahari itu tadi dileraikan sepuluh minit kemudian dengan bantuan polis seramai 20 anggota yang terpaksa membuat sekatan di hadapan pejabat.

Kejadian ini merupakan insiden terbaru samseng Umno yang dilihat semakin berani menyerang Pembangkang sejak kebelakangan ini.

Ahad lalu, Anwar turut diserang di Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor Setar, Kedah ketika sedang menyampaikan tazkirah Maghrib, selepas bas jelajah Merdeka Rakyat dibaling batu dan disimbah cat merah di Kelantan sehari sebelumnya.

Keadaan ini menampakkan segelintir masyarakat kita semakin berani bertindak ala samseng dengan membuat provokasi dan menyerang secara terang-terangan. 

Diharap pihak berwajib memainkan peranan menangkap mereka yang terlibat kerana ia jelas merupakan satu tindakan jenayah. 

Peguam tipu: Cemar institusi perundangan negara...



Penulis terkedu seketika apabila menerima panggilan telefon daripada seorang sahabat pagi ini. Sahabat penulis itu menyatakan beliau ditipu oleh sebuah syarikat guaman dalam urusan jual beli sebuah rumah di Bandar Saujana Putra.

Menurutnya, semuanya berlaku disebabkan kelewatan yang berpunca daripada masalah dalaman syarikat guaman itu sendiri.

Semuanya bermula apabila beliau dan isterinya berminat untuk membeli sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah kawasan perumahan di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor.

Harga rumah berkenaan adalah bernilai RM250,000 dan ia dibeli daripada orang perseorangan yang berpangkat ‘Datuk’. Sahabat saya ini bertanya kepada pihak Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) tentang kelayakan maksimum untuk pinjaman perumahan.

Pihak BPP menyatakan bahawa sahabat ini boleh mendapatkan pinjaman sehingga RM300,000 dan sahabat penulis merancang untuk membuat pinjaman sebanyak RM270,000 di mana RM250,000 untuk harga rumah dan selebihnya akan digunakan untuk membayar kos pengubahsuaian.

Segalanya diuruskan oleh sebuah syarikat guaman yang diperkenalkan oleh pemilik rumah memandangkan peguam berkenaan adalah rakan karib pemilik rumah berkenaan.

Dalam urusan permohonan pinjaman, berlaku kesulitan apabila kerani yang menguruskan hal ehwal pembelian rumah sahabat penulis ini menghilangkan diri dan membawa lari wang syarikat hingga menyebabkan penangguhan yang agak lama.

Difahamkan sebarang penangguhan daripada tarikh yang ditetapkan oleh BPP, peminjam perlu membayar ‘faedah’ berdasarkan berapa bulan penangguhan tersebut. Memandangkan masalah yang berlaku adalah masalah dalaman syarikat guaman berkenaan, sahabat penulis menghubungi syarikat berkenaan untuk bertanyakan sama ada beliau perlu membayar faedah atau tidak sedangkan masalah berlaku adalah di pihak syarikat tersebut.

Dan pemilik rumah juga menyatakan bahawa sahabat penulis ini tidak perlu membayar sebarang kos faedah dan ia ditanggung oleh syarikat guaman kerana ia masalah dalaman syarikat hingga menyebabkan urusan pembelian ini tertangguh.

Setelah sekian lama tertangguh, sahabat penulis sekali lagi menghubungi syarikat guaman untuk mendapat kepastian tentang perkembangan urusan jual beli ini, malangnya sekali lagi masalah dalaman syarikat itu berlaku apabila budak pejabat yang sepatutnya mengambil dokumen dari pejabat tanah menghilangkan diri dan membawa lari semua dokumen berkaitan.

Keadaan ini sekali lagi menyebabkan urusan ini tertangguh untuk sekian lama dan pada hemat penulis sudah pasti kos untuk faedah yang dikenakan BPP meningkat naik.

Setelah segala urusan selesai tanpa pengetahuan sahabat penulis ini, sahabat penulis sekali lagi menghubungi pemilik rumah untuk bertanyakan sama ada pemilik ini sudah menerima bayaran atau sebaliknya. Apa yang mengejutkan sahabat penulis ialah segalanya sudah selesai dan pemilik sudahpun menerima wang pembelian rumah tersebut.

Apa yang menjadi tanda tanya mengapakah urusan jual beli yang sudah selesai ini langsung tidak dimaklumkan kepada sahabat penulis yang merupakan pembeli dan apa yang memeranjatkan sahabat penulis ialah baki sebanyak RM20,000 daripada pinjaman itu lesap.

Apabila sahabat penulis menghubungi syarikat guaman berkenaan untuk kepastian, jawapannya sangat menghampakan. Menurut kakitangan syarikat guaman berkenaan, baki RM20,000 itu dibayar kepada BPP sebagai kos faedah atas kelewatan yang berlaku.

Sahabat penulis merasakan dirinya ditipu kerana sebelum itu pihak pemilik menyatakan bahawa pembeli tidak perlu membayar sebarang faedah kerana masalah kelewatan adalah berpunca daripada masalah dalaman namun akhirnya sebaliknya yang berlaku.

Yuran guaman juga telah pun dilangsaikan oleh sahabat penulis ini menggunakan sedikit wang simpanan beliau walaupun ketika itu urusan jual beli rumah berkenaan belum pun selesai.

Apabila sahabat penulis ini meminta penjelasan daripada pihak syarikat guaman berkenaan, peguam yang bercakap itu meletakkan telefon secara tiba-tiba seolah-olah mahu lari dari masalah ini.

Ini menyebabkan sahabat penulis berasa tertipu dengan segala perjanjian lisan dalam urusan jual beli itu. Sebenarnya ini hanya salah satu kes penipuan yang melibatkan syarikat guaman, Mereka sewenangnya mengambil kesempatan ke atas pelanggan mereka yang tidak tahu menahu tentang hak dan undang-undang yang ada.

Malah peguam berkenaan juga terdiam apabila sahabat penulis ini menceritakan kembali apa yang berlaku melibatkan masalah dalaman syarikat berkenaan. Mungkin peguam ini menyangka sahabat penulis ini akan lupa dengan apa yang berlaku namun sebenarnya beliau silap kerana semua perkara yang berlaku direkod oleh sahabat penulis.

Sebagai pengamal undang-undang, pihak syarikat guaman tidak sepatutnya mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Walaupun memang terang pengamal undang-undang ini tahu dan arif pasal perundangan negara, janganlah ia disalahgunakan untuk menipu orang lain.

Yang menanggung pinjaman adalah pembeli, bukan syarikat guaman. Dalam kes ini juga penulis lihat banyak berlaku kemusykilan di mana setiap perkembangan urusan jual beli rumah itu tidak pernah dimaklumkan kepada pembeli bahkan pembeli sendiri yang terpaksa menghubungi syarikat guaman berkenaan.

Malah ada ketikanya urusan jual beli berkenaan seolah-oleh menyepi seketika. Adakah ia salah satu permainan yang memberi keuntungan kepada syarikat guaman ini dengan menangguhkan urusan atas sebab masalah dalaman syarikat yang belum pasti kesahihannya?

Kepada semua pembaca yang merancang untuk membeli rumah atau hartanah, berwaspadalah kerana kini bukan semua orang boleh kita percayai 100%. Sedangkan pengamal undang-undang sendiri pun boleh melakukan jenayah penipuan dan menjadikan mereka yang kurang arif tentang hal perundangan ini sebagai mangsa.

Keadaan ini mencemar institusi keadilan yang dipandang tinggi dalam masyarakat. Jika keadaan ini berterusan di mana lagi hak rakyat untuk mendapatkan keadilan?

Penulis akan menyiarkan perkembangan lanjut tentang masalah penipuan urusan jual beli ini dan juga dalam kalangan pengamal undang-undang untuk tatapan kita semua sebagai peringatan agar lebih berwaspada di hari mendatang.

3/09/12

Perkasa, Pekida: Berjuang untuk Melayu atau politik??



Penulis terkedu dengan tindakan Pertubuhan Pribumi Perkasa yang menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) ketika beliau menyampaikan tazkirah maghrib di Masjid Seberang Pumpong, Alor Setar, Kedah semalam.

Tindakan provokasi tidak matang ini pada penulis langsung tidak menggambarkan perjuangan sebenar yang dibawa oleh Perkasa iaitu untuk memperjuangkan bangsa Melayu.

Adakah tindakan membaling kasut dan mengganggu tazkirah maghrib ini satu perbuatan yang boleh diterima akal jika difikirkan berdasarkan moral?

Ini bukan sahaja mencemarkan majlis ilmu malah turut menyebabkan terpalitnya satu titik kotor pada agama Islam itu sendiri. Jangan hanya kerana bencikan penyampai tazkirah hinggakan isi tazkirah yang jelas dari al-Quran dan Hadis turut ditolak dan dicemuh mentah-mentah.

Perkasa perlu mengawal semua ahlinya agar tidak bertindak diluar batasan. Jika benar mereka memperjuangkan bangsa, di mana mereka ketika orang Melayu diserang oleh sekumpulan 20 pendatang Myanmar di Puchong baru-baru ini?

Mangsa yang mengalami patah kaki dan tengkuk itu bukan sahaja dibelasah malah turut ditetak dengan parang. Di mana Perkasa? Mana Pekida? Mana mereka tatkala orang Melayu dibelasah sewenangnya oleh PENDATANG Myanmar?

Adakah pendatang Myanmar ini diberi lesen atau kebenaran untuk bebas melakukan apa saja di bumi bertuah ini? Takkan Perkasa dan Pekida hanya berani bila melibatkan bangsa sendiri sahaja.

Sekurang-kurangnya pergilah berhimpun dan nyatakan bantahan di kedutaan Myanmar. Apa yang cuba penulis sampaikan di sini bukanlah untuk menghasut bangsa Melayu bangkit dan bertindak sendiri tanpa lunas undang-undang.

Malah tidak ada sedikit pun niat untuk menghasut rakyat agar menentang pendatang asing. Tapi bila dah hari-hari terpampang pelbagai cerita negatif puak pendatang ini di dada akhbar, hati siapa tidak panas??

Sekurang-kurangnya mereka yang kononnya memperjuangkan bangsa ini  bersuara apabila bangsa sendiri dihenyak oleh kaum pendatang. Mereka ini (Pendatang Myanmar) bukan sahaja menindas orang Islam di negara mereka sahaja malah turut berkelakuan biadap di negara orang.

Setidak-tidaknya ia tidaklah menampakkan mereka hanya berani berdepan dengan bangsa sendiri, tetapi bila membabitkan pendatang asing, semua tunduk menikus….

Bendera baru: Siapa dalangnya...?



PERBUATAN segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mencemar sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka dengan membawa ‘bendera baru’ serta melakukan pelbagai aksi tidak senonoh amat mengecewakan. 

Penulis sendiri tertanya-tanya sama ada kumpulan ini adalah dari pro kerajaan atau pun pembangkang namun usahlah kita menekankan sangat mereka dari pihak mana yang penting ialah kita mengetahui siapa mereka sebenarnya.

Tindakan mereka yang tidak matang langsung tidak menggambarkan perilaku rakyat Malaysia yang sememangnya sudah sebati dengan bendera sedia ada malah ia diterima dan dikenali di peringkat antarabangsa.

Tindakan inilah yang mencemarkan setiap perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak pro pembangkang malah ia turut diselar keras oleh pemimpin pembangkang.

Jelas sekali tindakan yang berupa provokasi ini juga dikutuk oleh pemimpin pembangkang sendiri jadi tidak mungkin ia mendapat arahan dari mereka.

Jadi siapakah mereka? Adakah mereka dibayar untuk melakukan provokasi itu? Atau adakah mereka menerima arahan dari pihak tertentu untuk mencemari perhimpunan Janji Bersih. Setidak-tidaknya akan ada isu yang boleh dibangkitkan dengan adanya tindakan kurang matang ini.

Bagi penulis, wajarlah mereka diburu dan diambil keterantgan serta disiasat dibawak akta yang sedia ada bagi memastikan tiada sebarang tindakan berunsur ancaman serta boleh menimbulkan kacau bilau dalam negara.

Itu antara beberapa ‘insiden’ yang mencemari sambutan hari kemerdekaan di Dataran Merdeka. Malah pada waktu yang sama juga, terdapat beberapa lagi insiden yang kurang enak didengar. Di Kota Bharu, Kelantan, sebuah bas yang membawa peserta  program Jelajah Merdeka Rakyat PKR di sini disimbah cat dan diserang.

Namun semua provokasi ini tidak memungkinkan pihak penganjur perhimpunan Janji Bersih dipersalahkan atas alasan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2011. Jelas sekali sejak mula perhimpunan ini dirancang memang terdapat cubaan untuk menggagalkannya termasuk daripada agensi kerajaan dan juga pihak berwajib sendiri.

Apa tidaknya, awal-awal lagi permit serta kebenaran untuk berhimpun disekat malah jika difikirkan mengikut logik perlukah rakyat Malaysia yang berhimpun untuk meraikan hari kemerdekaan yang bersejarah meminta kebenaran dan perlu memohon permit dari pihak berwajib?

Adakah sambutan merdeka negara sendiri memerlukan kebenaran untuk diraikan oleh rakyat jelata? Ini juga satu tindakan yang kurang bijak oleh pihak berkenaan dalam usaha menggagalkan himpunan rakyat dan ia sememangnya bermotifkan politik semata-mata. 

Mungkinkah di masa akan datang, setiap rakyat yang mahu merayakan sebarang perayaan wajib mendapatkan permit dan meminta kebenaran? Jika benar, ini bermakna rakyat bukan sahaja bakal menghadapi kesesakan lalulintas ketika pulang berhari raya malah mereka juga perlu beratur panjang di balai polis berdekatan untuk meminta kebenaran..!!!