27/04/12

Keadaan Dataran Merdeka Jam 11.45 Pagi Tadi (27 April 2012)

Anggota polis mula ditempatkan di Dataran Merdeka. Gambar ini dirakam sekitar jam 11.45 tengah hari.






Para anggota diberi taklimat tentang tugasan mereka seterusnya. Ketika ini, penulis diperhatikan oleh semua anggota polis yang ada di situ.

Bilangan anggota polis dipecahkan di beberapa kawasan sekitar Dataran Merdeka. Pada waktu ini Dataran Merdeka dipagar oleh pihak DBKL.

Kawasan ini bakal menyaksikan kebangkitan rakyat pada 28 April 2012.

25/04/12

Jangan gentar, ayuh bangkit..!!!

Setinggi mana pun badai tsunami melanda, jangan gentar teruskan ke Dataran.
Sehebat mana pun FRU dan Water Canon, jangan gentar teruskan ke Dataran.
Sepedih mana pun Gas Pemedih Mata, jangan gentar teruskan ke Dataran.
Sekuat mana pun penendang dan penumbuk polis, jangan gentar, teruskan ke Dataran.

Ingat,

28 April 2012 bakal mencatat sejarah.
28 April bakal menjadi tarikh keramat yang mengubah masa depan
28 April juga bakal mengubah nasib generasi baru Malaysia.

Ingat,

Sebanyak mana pun halangan, jangan sesekali gentar kerana berjuang ke arah kebaikan dituntut dalam Islam dan ganjaran pahala yang menanti.

Ayuh bangkit saudara-saudara serta anak-anak muda.!!

Jangan biarkan diri serta generasi akan datang terus bergelumang hidup dalam negara yang kotor..

BERSIHKAN NEGARA KITA

Jumpa di DATARAN MERDEKA.

28 APRIL 2012...

Panduan Peserta BERSIH 3.0



Sumber Bersih.org

PENTING!

*Panduan bagi peserta Perhimpunan Bersih 3.0 *

TOLONG SEBARKAN dan BUAT PERSEDIAAN PERLU dgn KAWAN-KAWAN.


Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012, 2 petang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

BERSIH 3.0 DUDUK BANTAH

Tuntutan Bersih 2.0 :
1. BERSIH kan Senarai Undi (Daftar Pemilih)
2. Reformasikan Undi Pos
3. Gunakan Dakwat Kekal
4. Akses Media Yang Bebas & Adil
5. Tempoh Berkempen Minima 21 Hari
6. Kukuhkan Institusi Awam
7. Hentikan Rasuah
8. Hentikan Politik Kotor

Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0 :
Dipengerusikan Oleh Dato Ambiga Sreenavasaan (Mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia). Anggotanya Adalah Daripada Kalangan Pimpinan Dan Aktivis NGO’s.

Kami menjangkakan pelbagai kaum akan muncul, pelbagai ideologi dan kepercayaan akan berhimpun untuk menyatakan pandangan mereka khususnya dalam mendesak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia untuk mereformasikan pilihanraya.

Oleh itu bagi melancarkan perhimpunan ini, pihak kami mengeluarkan satu garis panduan yang diharapkan dapat membantu anda dan kami diperingkat penganjur dalam memastikan perhimpunan ini dapat berjalan dengan lancar dan aman.

CONTACT
Setiausaha Bersih 3.0 H/P: 016 9670921; Email: media@bersih.org

*Perkara yang perlu anda bawa/sediakan *
1. Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja.
2. Duit-maksimum RM100 sahaja.
3. Memakai pakaian yang sopan-T-shirt /baju berwarna Kuning. Sebaiknya ada logo Bersih 3.0
4. Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.
5. Aksesori kempen-Button, kopiah, arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Bersih 3.0 / Bersihkan Pilihanraya/Tunaikan 8 Tuntutan SAHAJA boleh digunakan.
6. Bendera Malaysia atau negeri masing-masing.
7. Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula.
8. Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata.
9. Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata.
10. Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis *N100 Respirator, N95 Respirator *dan* Surgical facemask* untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau.
11. Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri.
12. Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.
13. Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.
14. Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha Bersih 3.0.

*Perkara yang tidak dibenarkan*
1. Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.
2. Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kredit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.
3. Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal yang menghalang pergerakkan.
4. Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.
5. Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 3.0 / Bersihkan Pilihanraya.
6. Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi.
7. Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 3.0 tidak dibenarkan.
8. Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.
9. Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov *****tail dan mercun.
10. Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.
11. Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.
12. Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.
13. Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah.

*Perkara yang perlu anda lakukan sebelum perhimpunan*
1. Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.
2. Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.
3. Pastikan anda telah menunaikan ‘hajat’ sebelum memasuki perhimpunan.
4. Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.
5. Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.
6. Maklumkan mereka tujuan anda keluar.
7. Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.
8. Jangan lupa *charge*bateri handphone dan kamera.
9. Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan – Dataran Merdeka.
10. Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.
11. Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.
12. Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Dataran Merdeka (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).
13. Jangan memakai baju Bersih 3.0 sebelum perhimpunan bermula.

*Semasa perhimpunan dan perarakan*
1. Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan di Dataran Merdeka dan tunggu arahan dari *Field Commander* yang dilantik
2. Ikutilah arahan dari Unit Amal atau *Field Commander* sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepada *Field Commander*
3. Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan *Field Commander*.
4. Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.
5. Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.
6. Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.
7. Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.
8. Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati dijalanraya.
9. Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.
10. Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.
11. Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi *sound system* akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.
12. Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.
13. Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.
14. Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukan dalam beg plastik yang anda bawa.
15. Rakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email / talipon: Setiausaha Bersih 3.0.
16. Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.

*Selepas perhimpunan*
1. Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.
2. Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan. Jika tiada, sila laporkan kepada Setiausaha Bersih 3.0.
3. Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik.
Dapatkan maklumat dari Setiausaha Bersih 3.0.
4. Jangan tinggalkan apa-apa sampah ditempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah.
5. Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan Keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.
6. Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir. Segala info dan maklumat bolehlah diemailkan kepada kami di email Setiausaha Bersih 3.0.

*Apa anda perlu buat jika kumpulan Anti-tuntutan Bersih 3.0 buat Provokasi*
1. Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan *Field Commander* Unit Amal.
2. Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.
3. Jangan hampiri mereka.
4. Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.
5. Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.
6. Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.

*Apa anda perlu buat jika polis buat provokasi dan serbuan*
1. Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.
2. Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon.
3. Duduk jika pimpinan arahkan.
4. Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air *water canon* berwarna kuning.
5. Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.
6. Ambil gambar mereka jika sempat.
7. Buat laporan Polis jika anda dikasari.

*Apa yang anda perlu buat jika ditahan*
APABILA DISOAL OLEH POLIS
1. PengenaIan Anda
2. Anda cuma perlu berikan nama, kad pengenalan dan alamat sahaja.
3. Seandainya ditanya soalan-soaian lain: Anda boleh bertanya, “Adakah saya ditahan? ”

BILAKAH ANDA DITAHAN
4. Anda ditahan apabila anggota polis itu
• menjawab “ya” pada soalan di atas
• beliau tidak membenarkan anda meninggalkan tempat tersebut atau ingin membawa anda ke balai polis apabila anda digari

5. Jika anda tidak ditahan anda boleh berlepas dari tempat tersebut atau enggan mematuhi arahan beliau untuk ke balai polis atau tempat lain jika diarahkan.

BILAKAH ANDA TIDAK BOLEH DITAHAN
6. Polis tidak boleh menahan anda semata-mata kerana anda berkemungkinan menjadi seorang saksi dan polis ingin mengambil kenyataan saksi daripada anda (Kenyataan saksi/112).

*Apa yang anda buat selepas dibebaskan*
1. Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.
2. Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.
3. Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan.
4. Ceritakan dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.
5. Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.
6. Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.
7. Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.
8. Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.
9. Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.
10. Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.
11. Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.

*Perhatian!*
1. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan ini.
2. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang provokasi atau tindakan ganas yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara berkumpulan atau individu.
3. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian atau tindakan diluarkan arahan penganjur.
4. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang penangkapan yang dibuat kerana pergaduhan atau aktiviti agreasif yang tiada kaitan dengan arahan himpunan ini

Secara keseluruhannya, kita berharap Perhimpunan ini dapat berjalan lancar tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan.

Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak SPR dan kerajaan persekutuan mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan sistem perundangan dan proces implementasi negara kita.

Ingat, Perhimpunan Bersih berjaya pada 10 November 2007 dan 9 Julai 2011 kerana kesungguhan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk mereformasikan pilihanraya, mengkukuhkan berbadanan institusi dan hentikan korupsi.

Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah ini.

28/02/12

Lynas: Suka hati dialah nak sokong siapa....




Insiden wartawan tercedera dalam perhimpunan anti-Lynas di Pulau Pinang semalam meletus akibat provokasi dan penampilan mereka sendiri, yang digambarkan mengambil sikap memihak, dakwa Pemuda Umno setempat.

Dakwaan Umno terhadap wartawan  Kwong Wah Jit Poh, Adam Chew sebagai kurang ajar dilihat langsung tidak berasas.

Timbalan Ketua Pemuda Umno Bukit Gelugor, Novandri Hasan Basri yang mengatakan bahawa tindakan Adam menjadi banteng manusia untuk melindungi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika perhimpunan Hijau menimbulkan kemarahan langsung tidak masuk akal.

Malah Novandri berkata, tindakan Adam menjadi banteng manusia itu memperlihatkan sokongan sebenar Adam terhadap Lim Guan Eng dan menimbulkan kemarahan anak muda Melayu.

Bagi penulis tindakan Adam melindungi Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak semestinya menunjukkan sokongan beliau terhadap mana-mana pihak.

Wartawan juga mempunyai tanggungjawab bukan sekadar melaporkan berita, malah wartawan turut memiliki tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan.

Apa yang Adam buat itu hanya melindungi Ketua Menteri Pulau Pinang sahaja dan jika benar sekalipun beliau menyokong Lim Guan Eng, salahkah beliau? Bukankah Umno sendiri mewar-warkan demokrasi dalam negara, jadi suka hati dialah nak sokong belah mana pun.

Mungkin Novandri sendiri rasa terkesan bila mana orang media pun mengambil tindakan menyokong pembangkang tapi beliau tidak sepatutnya membuat kenyataan bodoh sebegitu rupa.

Dah nama negara demokrasi, Adam mempunyai hak untuk menyokong parti mana sekalipun selagi ia tidak mengganggu gugat ketenteraman awam dan juga keselamatan negara, jadi Novandri jangan cepat melatah dan ambil tindakan membabi buta kelak diri sendiri yang nampak bodoh. 

The Star: Pemimpin terus jadi boneka



Satu demi satu penghinaan terhadap orang Islam dilakukan oleh akhbar rasmi MCA, The Star dan setiap kali selepas melakukan perbuatan itu, The Star hanya perlu memohon maaf sahaja dalam ruang yang tidak sampai setengah inci di akhbar itu.

Nampaknya semakin hari akhbar lidah CSL itu terus maju dengan agendanya tersendiri. KDN sekali lagi digesa mengambil tindakan kerana ini bukanlah kali pertama kesalahan sedemikian rupa dilakukan oleh The Star.

Malah akhbar itu juga semakin berani mungkin kerana pihak berkenaan sedar bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Setelah mengulangi perbuatan menghina Islam ini beberapa kali sebelum ini, pihak KDN hanya memanggil dan meminta pihak The Star member penjelasan sahaja tanpa sebarang tindakan.

Ini menyebabkan akhbar itu semakin lantang dan berani menyuarakan penghinaan kepada agama Islam. Apa yang menyedihkan, KDN sendiri diterajui oleh menteri Melayu yang mengakui dirinya Islam, namun apa yang beliau lakukan hanyalah memanggil wakil The Star dan memohon penjelasan sahaja.

Apakah tindakan penakut yang ditunjukkan KDN adalah kerana bimbang Umno/BN kehilangan undi masyarakat Cina (MCA) hingga sanggup membiarkan agama diperlekehkan. Inikah perjuangan sebenar yang dilaungkan oleh Umno untuk membela nasib bangsa dan agama?

Manakah suara-suara sumbang Perkasa yang sebelum ini sibuk mencanangkan perjuangabn mereka memperkasakan bangsa dan agama?

Semua nilai perjuangan hanya mainan mulut sahaja, malah mereka tidak berani pun untuk melaksanakan perjuangan yang dilaung-laungkan.

Kepada Perkasa dan KDN, jika benar anda berani memperjuangkan nasib bangsa dan agama, ambil tindakan tegas terhadap akhbar yang menghina kesucian agama Islam itu...

  

22/02/12

Debat Anwar-Najib: Tengku Adnan buka pekung sendiri...




Pihak kerajaan telah menyatakan pendirian mereka untuk menolak cadangan debat antara Perdana Menteri, DS Najib dan Ketua Pembangkang, DS Anwar kerana di dakwa tiada keperluan.

Tetapi apa yang dikatakan oleh pihak kerajaan ialah DS Anwar sepatutnya berdebat dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kenyataan itu dibuat oleh Tengku Adnan Mansor yang sebelum ini membuat kenyataan kesediaan pihak kerajaan untuk berdebat dengan DS Anwar.

“Saya bukan maksudkan sokong atau mahu realisasikan debat antara Perdana Menteri dan Anwar. Saya juga tidak rela PM buang masa berdebat kosong dengan Anwar. Banyak lagi urusan penting yang perlu beliau selesaikan,” katanya.

Yang pastinya, DS Najib tidak akan berani turun ke gelanggang untuk berdebat dengan DS Anwar dan di sini, Tengku Adnan telah menunjukkan kebodohannya sendiri.

Jika debat antara DS Najib dan DS Anwar adalah tidak perlu dan membuang masa, bagaimana pula dengan debat antara DS Anwar dengan bekas pembantu beliau, Saiful Bukhari Azlan itu member faedah kepada rakyat?

Siapakah yang menerajui Umno dan kerajaan persekutuan, DS Najib atau Saiful Bukhari? Debat antara DS Najib dan DS Anwar sudah pasti akan menjelaskan apa isu-isu yang perlu diketahui oleh rakyat berkenaan dengan masalah ekonomi dan isu semasa negara.

Ketua Kerajaan VS Ketua Pembangkang barulah kena dengan kedudukan dan tempatnya. Kalau Ketua Pembangkang VS Bekas Pembantu, apa yang rakyat dapat??? 

Kebebasan Media: Malaysia di tangga ke-122




Media Malaysia sekali lagi menunjukkan pretasi buruk dengan menduduki tangga ke-122 dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2011/2012 yang direkodkan oleh Reporters Without Borders.

Ini tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun pada tahun 2010, indeks tersebut mencatatkan Malaysia berada di tangga ke-141

Namun, disebalik rekod yang agak buruk itu, Malaysia dilihat mendahului negara serantau lain seperti Singapura (135), Thailand (137), Filipina (140) dan Indonesia (146).

Finland dan Norway bersama-sama menduduki tempat teratas dalam kajian kebebasan akhbar yang melibatkan 179 negara, diikuti Estonia dan Belanda yang terikat di tempat ketiga, manakala Austria di tempat kelima.

Lima lagi antara 10 negara teratas daripada segi kebebasan akhbar adalah Iceland dan Luxembourg di tempat keenam, Switzerland (lapan), Cape Verde (sembilan), serta Kanada dan Denmark yang terikat bersama di tempat ke-10.

Menduduki tempat terbawah dalam senarai adalah Turkmenistan (177), Korea Utara (178) dan Eritrea (179).

Menurut laporan itu, Pakistan (151) merupakan negara paling bahaya bagi wartawan untuk tahun kedua berturut-turut.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat, yang menduduki tempat ke-47, jatuh 27 tempat daripada tahun sebelumnya berikutan penahanan ramai wartawan semasa membuat liputan tunjuk perasaan bantahan "Occupy Wall Street".

Mengulas Indeks Kebebasan Akhbar tahun ke-10, Reporters Without Borders berkata: "Indeks pada tahun ini menyaksikan banyak perubahan kedudukan, perubahan yang menggambarkan perkembangan pesat dan drastik terutamanya di dunia Arab."

Ia menyatakan banyak media terpaksa menanggung risiko tinggi bagi membuat liputan aspirasi demokrasi.

"Tahun yang berlalu juga memperlihatkan peranan yang diterajui pengguna Internet dalam menghasilkan dan menyebarkan berita," menurut pertubuhan, yang turut memaklumi penyertaan Cape Verde dan Namibia dalam kalangan 20 negara teratas.

Jelas sekali ia menunjukkan bahawa Malaysia belum lagi layak diiktiraf sebagai negara yang mengamalkan kebebasan media sepenuhnya.

Apa yang berlaku ini adalah hasil daripada kawalan ketat yang dibuat oleh pihak kerajaan bagi memastikan survival politik mereka dalam negara.

Ini juga membuktikan bahawa media di Malaysia masih lagi dicengkam oleh pemerintahan kuku besi yang menjadikan media terutamanya media arus perdana sebagai wadah untuk mereka memperluaskan empayar dengan menyebarkan berita-berita yang telah dimanipulasikan untuk kepentingan politik.

Timbul persoalan dalam diri penulis, sampai bila agaknya media akan terus menerus diperkotak-katikkan untuk kepentingan mereka. Umum mengetahui bahawa kelulusan bagi lessen untuk penerbitan sesebuah akhbar atau operasi stesen televisyen terletak pada Kementerian Dalam Negeri yang diterajui oleh Menterinya, Hishammuddin Tun Hussein.

Sepanjang pembabitan penulis dalam dunia media juga, dapat penulis lihat betapa ketatnya kawalan yang dikenakan ke atas setiap bilik berita. Segalanya dikawal oleh KDN, yang mana tugas sebenar KDN adalah memantau media agar tidak menyiarkan sebarang berita yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum serta maklumat yang boleh mengancam keselamatan negara.

Namun apa yang diwar-warkan oleh media tanah air kini jelas terpesong dari etika kewartawanan yang sebenarnya. Apa tidaknya, jika berita-berita yang berkaitan dengan parti pembangkang dimanipulasikan bagi memperbodohkan rakyat.

Mungkin bila kerajaan pusat bertukar tangan, barulah media di Malaysia dapat menikmati sepenuhnya kebebasan serta hak mereka dalam melaporkan setiap berita dengan tepat dan telus.