13/02/12

Beza pencari ilmu dunia dan pencari ilmu akhirat...




Perbuatan atau perkara menimba ilmu tidak pernah terhenti sejak kita lahir hinggalah ke liang lahad. Pelbagai definisi ilmu di terjemahkan oleh para ilmuan di seluruh dunia.

Namun hakikat kepayahan dalam menuntut ilmu sudah menjadi asam garam dan memang tidak boleh diubah. Ada yang mensia-siakan segala kemudahan yang ada untuk menuntut ilmu dan hanya segelintir sahaja yang memanfaatkan setiap peluang yang ada.

Di negara kita, pelbagai peluang menuntut ilmu disediakan oleh pelbagai pihak, baik kerajaan, swasta, mahupun pertubuhan bukan kerajaan. Cuma bergantung kepada masyarakat kita sendiri sama ada untuk mengambil peluang itu atau membiarkan ia berlalu begitu sahaja dengan sia-sia.

Apa yang terang dalam senario menimba ilmu dalam negara kita ialah perbezaan yang jelas dan ketara antara ilmu dunia dan ilmu akhirat.

Perbezaan nisbah antara dua ilmu ini amat jauh jurangnya di mana pengajian dalam ilmu dunia lebih dititikberatkan dan yang paling menyedihkan ialah pencari ilmu akhirat terpaksa menempuhi pelbagai ranjau dan duri untuk mendapatkan ilmu yang mana ia sangat jauh berbeza dengan pencari ilmu dunia.

Jangan fikir terlalu jauh, hanya ambil satu topik sahaja iaitu infrastruktur sudah cukup untuk menerangkan senario sebenar pengajian agama dan pengajian dunia.

Secara terang dan nyata dapat kita perhatikan di sini pembinaan sekolah-sekolah menengah dan rendah kerajaan semakin rancak hinggakan sampai satu tahap sekolah mengalami kekurangan pelajar ekoran daripada pembinaan sekolah yang berlebihan.

Ini dapat dilihat di kawasan luar bandar yang mana para pemimpin mengambil kesempatan membina sekolah-sekolah tanpa memikirkan jumlah murid atau pelajar dan guru yang bakal ditempatkan di situ.

Natijahnya, berlaku pelbagai pembaziran dari segi kewangan serta tenaga kerja. Ini berpunca daripada pemimpin sendiri yang berlumba-lumba untuk menunjukkan kepada rakyat yang mereka ‘amat prihatin’ dengan pendidikan generasi muda.

Hasil daripada ‘keprihatinan’ golongan ini ialah lahirnya generasi muda yang haru-biru, malah masalah moral dan gejala sosial semakin meningkat.

Itu dari sudut pandangan sekolah aliran biasa, jauh pula bezanya dengan sekolah agama dan juga sekolah pondok. Kerajaan ada menyediakan sekolah agama rakyat namun tidak semua yang penuh hinggakan ada yang dipandang sepi, beza dengan sekolah pondok yang dibina oleh golongan ulama, dimana pencari ilmu akhirat ini berlumba- lumba mendaftarkan diri walaupun boleh dilihat dengan mata kasar kemudahan infrastrukturnya amatlah menyedihkan.

Keadaan tempat tinggal pelajarnya amat daif dan jauh bezanya dengan sekolah kerajaan yang bertilam empuk, berkipas serta disediakan hidangan yang bagus untuk pelajar.

Pelajar sekolah pondok pula terpaksa memasak sendiri makanan harian mereka namun ini memberi peluang kepada mereka untuk berdikari dan belajar menguruskan diri dari kecil. Kekurangan kemudahan asas langsung tidak menghalang niat cekal mereka dalam mengejar ilmu akhirat. Ini adalah hasil usaha tarbiyah yang dijalankan oleh golongan kepimpinan ulama.

Hakikatnya, walau sehebat mana pun dugaan yang mereka tempuhi, ilmu yang ditimba jauh lebih tinggi berbanding mereka yang  bersenang-senang dalam mengejar ilmu dunia.
Jelas, generasi muda zaman kini amat mendahagakan ilmu akhirat hingga sanggup menempuh pelbagai dugaan untuk mencari ilmu. Namun apa yang menyedihkan ialah terdapat segelintir pihak yang zalim dan dilihat cuba untuk menjatuhkan dan menghalang usaha murni golongan ulama menyampaikan ilmu.

Jika tanah yang dikhaskan untuk pembinaan sekolah agama dirampas dengan sewenangnya oleh golongan pemimpin yang korup, tidakkah ini merupakan salah satu jalan yang mereka ambil untuk menyekat penyebaran ilmu akhirat?

Setelah sekian lama tanah berkenaan diperuntukkan untuk pembinaan Sekolah Rendah Agama Darul Bayan di Paka, Terengganu dirampas dengan mudah oleh Ketua JKKK, setiausaha, naib dan ajk JKKK sendiri sanggup mengambil tanah sekolah tersebut untuk kepentingan individu. Perkara ini hanya disedari pada akhir Januari 2012.

Lihatlah dunia, betapa zalimnya golongan yang enggan menerima agama sebagai jalan hidup mereka. Kepada pejuang-pejuang Islam di Paka yang dipimpin oleh Ustaz Saiful Bahri Mamat, teruskan usaha murni kalian, jangan biarkan golongan zalim terus menindas pencinta Islam.

Tiada ulasan: