15/02/12

Samseng: Polis duk buat apa??




Program jelajah seluruh Negara bagi menuntut kebebasan akademik diteruskan meskipun menerima pelbagai halangan dan tentang daripada pihak samseng Umno.

Malaysia sudah maju, namun pemikiran segelintir masyarakat masih jumud. Entah apa yang nak ditakutkan sangat dengan kebangkitan golongan akademik sedangkan mereka sendiri tahu golongan ini diperlukan dalam memajukan lagi negara.

Tindakan ganas yang mencetuskan huru-hara di setiap ceramah yang diadakan oleh  Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dilihat sangat tidak bertamadun dan dangkal.

Apa tidaknya, golongan yang ganas ini secara terang-terangan tidak mahu menerima golongan akademik bangkit memperjuangkan hak akademik di Malaysia. Nampak sangat mereka sendiri bukan dari golongan terpelajar.

Pada kejadian 12 Februari lalu, 14 aktivis pelajar telah dikepung oleh sekumpulan samseng di Kampung Idaman sehingga memaksa mereka berlindung di sebuah gerai makanan berhampiran.

Pada kejadian itu kira-kira 100 samseng yang bermotosikal memecahkan kerusi dan menyelerakkan dewan serbaguna itu sebelum ceramah bermula. Mereka kemudiannya mengekori pelajar yang cuba membuat laporan polis.

Walaupun diiringi polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang untuk membuat laporan, kumpulan samseng bermotosikal itu membaling batu dan memukul kereta pelajar berkenaan dengan kayu sehingga salah sebuah kereta remuk.

Apa yang musykil dalam kejadian ini ialah polis sendiri seolah-olah tidak punya kuasa untuk menghalang kegiatan samseng dalam Malaysia. 

Terang-terangan pihak samseng ini membuat onar berhampiran balai polis, mengapa tidak ditangkap sahaja mereka. Sedangkan mereka sudah jelas melakukan perkara bertentangan dengan undang-undang.