
27/09/12
Soalan Percubaan SPM BERSIH Tidak Wajar..!!!
Pelbagai cara digunakan oleh pihak kerajaan dalam menanamkan rasa benci rakyat kepada perhimpunan BERSIH yang jawatankuasanya diiktiraf penubuhannya.
Terbaru, dalam kertas soalan pendidikan moral untuk peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipergunakan dengan mempersoalkan kewajaran perhimpunan BERSIH.
Walaupun ia sudah diiktiraf oleh Mahkamah Tinggi bahawa BERSIH bukanlah pertubuhan haram, namun berdasarkan soalan yang dibuat pada kertas peperiksaan itu seolah-olah menggambarkan bahawa ia pertubuhan haram.
11/09/12
Saham FGVH terus merudum...!!
Semakan pagi ini menunjukkan harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) terus merudum.
Pada jam 11.30 pagi ini, harga saham itu berada pada tahap RM4.58 – turun 10 sen berbanding harga ketika kaunter ditutup semalam.
Setakat ini, saham itu mencatat harga paling rendah di tahap RM4.57, menghampiri harga tawaran pemulaannya pada RM4.55.
Trend ini berterusan walaupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja terus meningkatkan pegangannya daripada lima peratus kepada 6.8 peratus.
Jun lalu, FGV mengeluarkan IPO kedua paling besar di dunia.
Harga saham itu turun melampaui tahap psikologi RM5 minggu lalu dan trend itu berterusan sejak Julai lalu.
Dagangan saham di Bursa Malaysia jatuh 15 mata daripada 1,618 mata ketika berita ini ditulis.
Sumber: Malaysiakini.com
FGVH: kejatuhan dan pujuk rayu pegawai Felda
![]() |
Carta saham FGVH mencatatkan penurunan di paras RM4.70 pada 10 September 2012. |
Saham Felda Global Ventures Holding terus mencatatkan
penurunan sehingga ke paras RM4.70 pada 10 September 2012 serta mencatatkan RM4.60 pada 11 September 2012 dan dijangka akan terus jatuh.
Keadaan ini mungkin membingungkan para peneroka yang tahu
serba sedikit mengenai permainan saham namun bagi peneroka yang hanya mengikut trend sahaja
sudah pastinya melopong.
Melihatkan kepada kesungguhan Isa Samad dan DS Najib ‘memujuk’
peneroka mengambil bahagian dalam pembelian saham itu pun sudah menunjukkan ada
udang di sebalik batu.
Penulis sendiri telah beberapa kali meyakinkan peneroka di
tanah kelahiran penulis yang merupakan tanah rancangan Felda agar berfikir
banyak kali sebelum membuat keputusan membeli saham ini.
Namun apa yang menyedihkan, mereka tetap dengan keputusan
mereka untuk meneruskan pembelian saham alaupun sudah diterangkan mengenai
musibah yang bakal mereka alami jika berlaku penurunan.
Tidak semua warga peneroka ini berpendidikan tinggi, malah
rata-rata yang memilih untuk mengambil bahagian dalam pembelian saham ini hanya
ikutan trend di mana apabila melihat ramai yang mengambil bahagian di tambah
pula dengan ‘rasuah’ sebanyak RM15,000 yang merupakan duit mereka sendiri tanpa
mereka sedari menambahkan lagi ‘gelap mata’.
Penulis kecewa kerana segala penerangan sudah pun penulis
perjelaskan kepada peneroka di kampung halaman penulis. Hanya bapa penulis
sahaja yang enggan berganjak dengan keputusan untuk tidak menerima ‘durian
runtuh’ dan saham ini.
Itu pun setelah dijelaskan oleh penulis dengan penerangan
ringkas yang mudah difahami bagi memberi gambaran sebenar apa itu saham FGVH
dan ‘durian runtuh’ yang didakwa ‘pemberian’ DS Najib.
Dalam kes melibatkan bapa penulis, beliau berterusan diasak
oleh pegawai Felda di tanah rancangan itu yang tidak putus asa dan berterusan
memujuk rayu beliau untuk menerima durian runtuh macam orang gila talak layaknya.
Keadaan ini memaksa penulis membuat
keputusan untuk menulis surat rasmi menyatakan bahawa bapa penulis tidak akan
menerima ‘durian runtuh’ dnegan alasan masih ramai lagi golongan yang
memerlukan duit itu.
Biarlah ‘durian runtuh’ itu disalurkan kepada pihak yang
memerlukan. Alhamdulillah, setelah surat berkenaan dihantar kepada pejabat
Felda, bapa penulis tidak lagi didatangi oleh pegawai Felda ini.
Dalam usaha memujuk itu, penulis melihat sendiri kesungguhan
mereka yang menerangkan bahawa tiada tanah peneroka yang akan tergadai, apa
yang dicagarkan ialah tanah plantation Felda.
Itulah omongan yang dijelaskan kepada penulis dan bapa,
namun bila penulis jelaskan bahawa penulis sendiri pernah melihat dan menyemak
setiap surat perjanjian serta menyatakan bahawa penulis ialah seorang petugas
media, serta merta air muka pegawai Felda ini berubah dan terus meminta diri
untuk berlalu pergi.
Mungkin pegawai Felda itu menyangka bahawa penulis hanyalah
pekerja kilang biasa kerana selama ini bila pulang ke kampung halaman, penulis
tidak pernah menyatakan pada sesiapa tentang pekerjaan hakiki penulis. Sekadar
menyatakan bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur.
Mungkin ramai yang
termakan dengan kata-kata penulis, bukan niat untuk berbohong apatah lagi menipu
tapi penulis lontarkan ia dalam bentuk gurauan tanpa menyatakan pekerjaan
sebenar .
Tambahan pula, pegawai Felda berkenaan ternampak kad petugas
media yang memang sentiasa tergantung dalam kereta penulis, lagilah menambahkan
riak cemas pada wajah beliau.
Itu antara peristiwa yang tidak dapat penulis lupakan
tentang kesungguhan pegawai Felda berkenaan. Mungkin pegawai berkenaan termakan
dengan bonus yang diperolehnya atau mungkin juga mereka menerima komisen dari
pujukan ini. Wallahuallam.
Melihatkan kepada kejatuhan saham FGVH sekarang ini, penulis
sendiri tidak sabar untuk pulang ke kampong dan berjumpa pegawai Felda
berkenaan. Mungkin sekadar bertanya khabar di samping mengeratkan silaturahim
sahaja.
Sama-samalah kita nantikan perkembangan selanjutnya saham
FGVH ini. Buat para peneroka yang terjebak dengan saham ini, bersabarlah. Mungkin
ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Siapa tahu mungkin dalam dua tiga hari
nanti tiba-tiba saham melonjak naik pula.
5/09/12
Perundangan Malaysia: Boleh pakai ke??
![]() |
Yang ini diambil tindakan.. |
Pelbagai tanggapan negatif dan persepsi yang berbeza
dilontarkan saat penulis mengutarakan isu berkenaan dengan undang-undang di
Malaysia dan pengamal undang-undang.
Namun ia bukanlah diutarakan pada sidang DUN atau di
Parlimen, hanya sekadar cakap-cakap kosong seorang rakyat biasa di kedai kopi
sahaja.
Namun ia dikongsi bukan dengan calang-calang orang, tetapi
jika nama mereka disebut di sini sudah pasti ramai yang terperanjat dan
terkesima..namun tak perlulah penulis menyebut nama-nama rakan-rakan minum kopi
penulis yang tersohor dalam arena dunia media tanah air.
Berbalik kepada persepsi masyarakat tentang perundangan di
Malaysia, ramai yang mencebik dan tidak kurang juga yang menjuihkan bibir bak
Angelina Jolie disuntik lagi dengan botox layaknya.
“Benci dan marah betul deme nih, ” getus penulis dalam hati.
Namun bila difikirkan sejenak memang wajarlah timbul perasaan demikian dalam
hati mereka sebagai rakyat di negara ini.
![]() |
Yang ini diambil tindakan.. |
Masakan tidak, lihat sahaja dengan kadar peratusan jenayah
dalam negara kini. Banyak menimbulkan kecelaruan. Ada yang kata betul tak
kurang juga yang membangkang kenyataan tersebut.
Tapi dalam benak penulis, rakyat tidak perlu bergantung
kepada peratusan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu sahaja dalam menentukan
benar atau tidak peratusan yang dinyatakan.
Jika benar, mengapa saban hari rakyat dihidangkan dengan
pelbagai kes jenayah malah ada juga yang langsung tidak dapat diterima akal
perlakuan jenayahnya.
Nak tahu kebenaran tidak sukar, ambil masa dalam seminggu,
beli akhbar berlainan setiap pagi dalam tempoh masa seminggu itu dan tandakan
berapa banyak berita jenayah yang melibatkan pelbagai perlakuan di luar norma
manusia waras.
Mudah bukan? Jadi jangan hanya bergantung kepada peratusan
yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak sahaja sedangkan kesahihannya diragui.
Berbalik kepada sistem perundangan di Malaysia, setelah
pelbagai kejadian dan isu hangat yang membabitkan sistem perundangan
terutamanya apabila ia berkaitan dengan politik, ramai yang menidakkan
ketelusan pihak berwajib dalam usaha menegakkan undang-undang dan keadilan
dalam negara.
Terkini, isu tunjuk punggung di Dataran Merdeka baru-baru
ini. Mengikut sejarah terdekat, perkara ini bukanlah perkara baru malah ia
pernah ‘dipraktikkan’ kepada gambar-gambar pemimpin pembangkang.
Yang membezakannya ialah perlakuannya yang tidak serupa tapi
kedua-duanya sama tidak senonoh. Gambar pemimpin negara dan isteri hanya
ditunjukkan punggung, tetapi gambar pemimpin pembangkang dikencingnya, bukan
secara tersorok tetapi secara LIVE!
![]() |
Bagaimana dengan yang ini?? |
Namun hanya tindakan menunjuk punggung pada gambar pemimpin
sahaja disiasat dan menyebabkan salah seorang pelakunya ditahan. Berbeza pula
dengan senario yang sama tapi perlakuannya berbeza melibatkan pemimpin
pembangkang. Gambar dikencing namun hingga kini tiada sebarang tindakan malah
langsung tidak menjadi isu.
Dari satu isu ini sahaja sudah menggambarkan betapa hebatnya
sistem perundangan dalam negara ini diperkotak-katikkan oleh golongan
pemerintah zalim yang secara terang-terangan membuatkan timbangan keadilan
berat sebelah.
Itu hanya sekelumit isu yang jelas berat sebelah dan
menyimpang dari norma sistem perundangan yang adil dan telus. Kes yang lain
rasanya tak perlu penulis tintakan di sini sebab ia mungkin akan merosakkan
papan kekunci komputer penulis dek kerana terlalu banyak kebobrokan yang
berlaku.
Persoalannya? Sampai bila ketelusan berat sebelah ini akan
menjadi wadah yang perlu ditatap sebagai makan pagi harian rakyat di Malaysia?
Kebimbangan dengan kadar jenayah yang semakin meningkat dan berleluasa tidak
pernah lekang dalam hati sanubari setiap lapisan masyarakat.
Namun dek kerana hanya mementingkan isu remeh hingga
siasatan dan misi mencari buruan pun memakan masa yang sangat singkat sedangkan
banyak lagi kes jenayah berat yang masih belum tentu punca musababnya.
![]() |
Dan yang ini?? |
Bila dah terlampau banyak kes beku yang gagal diselesaikan,
akhirnya ia dilupakan dan kes ditutup. Penjenayah dengan senang hatinya lepas
bebas dan kebarangkalian untuk mengulangi perbuatannya itu pasti tinggi
melangit.
Yang terpaksa menanggung ialah rakyat sendiri yang
berterusan hidup dalam ketakutan kerana jenayah berlaku di sana sini. Ibu bapa
juga risau dengan keselataman anak-anak dan juga kediaman masing-masing.
Itu belum kira jenayah yang boleh berlaku ketika berada di
luar. Jelas sekali masyarakat kita kembali kepada kehidupan jahiliyah malah
tidak keterlaluan jika penulis katakan kita kembali ke zaman puntung berasap di
mana seolah-olah undang-undang rimba digunapakai.
Apa yang penting ialah dahulukan kemahuan rakyat yang ingin
hidup dalam persekitaran bebas jenayah dan jangan sesekali biarkan rakyat
merasa rugi kerana membayar cukai yang langsung tidak memberi apa-apa makna
kepada mereka.
Terkini: Pejabat Keadilan diserang samseng Umno??
Sekumpulan 30 samseng didakwa mengadakan demonstrasi dan bertindak
ganas dengan menyerang ibu pejabat KEADILAN, dekat sini tengahari tadi.
Setiausaha Wanita KEADILAN, Juwairiya Zulkifli mendakwa kumpulan
itu memakai kemeja-T Umno dan Barisan Nasional.
“Mereka memegang kain rentang sambil menjerit antaranya, ‘Jalur
Gemilang’ dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
“Tak cukup dengan itu, kumpulan itu akhirnya bertindak ganas
dengan cuba menumbuk mereka yang cuba mengawal keadaan,” dakwa beliau.
Demonstrasi pada jam 12.30 tengahari itu tadi dileraikan sepuluh
minit kemudian dengan bantuan polis seramai 20 anggota yang terpaksa membuat
sekatan di hadapan pejabat.
Kejadian ini merupakan insiden terbaru samseng Umno yang dilihat
semakin berani menyerang Pembangkang sejak kebelakangan ini.
Ahad lalu, Anwar turut diserang di Masjid Al-Hussain, Seberang
Pumpong, Alor Setar, Kedah ketika sedang menyampaikan tazkirah Maghrib, selepas
bas jelajah Merdeka Rakyat dibaling batu dan disimbah cat merah di Kelantan
sehari sebelumnya.
Keadaan ini menampakkan segelintir masyarakat kita semakin berani bertindak ala samseng dengan membuat provokasi dan menyerang secara terang-terangan.
Diharap pihak berwajib memainkan peranan menangkap mereka yang terlibat kerana ia jelas merupakan satu tindakan jenayah.
Peguam tipu: Cemar institusi perundangan negara...
Penulis terkedu seketika apabila menerima panggilan telefon
daripada seorang sahabat pagi ini. Sahabat penulis itu menyatakan beliau ditipu
oleh sebuah syarikat guaman dalam urusan jual beli sebuah rumah di Bandar
Saujana Putra.
Menurutnya, semuanya berlaku disebabkan kelewatan yang
berpunca daripada masalah dalaman syarikat guaman itu sendiri.
Semuanya bermula apabila beliau dan isterinya berminat untuk
membeli sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah kawasan perumahan di Bandar
Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor.
Harga rumah berkenaan adalah bernilai RM250,000 dan ia
dibeli daripada orang perseorangan yang berpangkat ‘Datuk’. Sahabat saya ini
bertanya kepada pihak Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) tentang kelayakan
maksimum untuk pinjaman perumahan.
Pihak BPP menyatakan bahawa sahabat ini boleh mendapatkan
pinjaman sehingga RM300,000 dan sahabat penulis merancang untuk membuat pinjaman
sebanyak RM270,000 di mana RM250,000 untuk harga rumah dan selebihnya akan
digunakan untuk membayar kos pengubahsuaian.
Segalanya diuruskan oleh sebuah syarikat guaman yang diperkenalkan
oleh pemilik rumah memandangkan peguam berkenaan adalah rakan karib pemilik
rumah berkenaan.
Dalam urusan permohonan pinjaman, berlaku kesulitan apabila
kerani yang menguruskan hal ehwal pembelian rumah sahabat penulis ini menghilangkan
diri dan membawa lari wang syarikat hingga menyebabkan penangguhan yang agak
lama.
Difahamkan sebarang penangguhan daripada tarikh yang
ditetapkan oleh BPP, peminjam perlu membayar ‘faedah’ berdasarkan berapa bulan
penangguhan tersebut. Memandangkan masalah yang berlaku adalah masalah dalaman
syarikat guaman berkenaan, sahabat penulis menghubungi syarikat berkenaan untuk
bertanyakan sama ada beliau perlu membayar faedah atau tidak sedangkan masalah
berlaku adalah di pihak syarikat tersebut.
Dan pemilik rumah juga menyatakan bahawa sahabat penulis ini
tidak perlu membayar sebarang kos faedah dan ia ditanggung oleh syarikat guaman
kerana ia masalah dalaman syarikat hingga menyebabkan urusan pembelian ini
tertangguh.
Setelah sekian lama tertangguh, sahabat penulis sekali lagi
menghubungi syarikat guaman untuk mendapat kepastian tentang perkembangan
urusan jual beli ini, malangnya sekali lagi masalah dalaman syarikat itu
berlaku apabila budak pejabat yang sepatutnya mengambil dokumen dari pejabat
tanah menghilangkan diri dan membawa lari semua dokumen berkaitan.
Keadaan ini sekali lagi menyebabkan urusan ini tertangguh
untuk sekian lama dan pada hemat penulis sudah pasti kos untuk faedah yang
dikenakan BPP meningkat naik.
Setelah segala urusan selesai tanpa pengetahuan sahabat
penulis ini, sahabat penulis sekali lagi menghubungi pemilik rumah untuk
bertanyakan sama ada pemilik ini sudah menerima bayaran atau sebaliknya. Apa
yang mengejutkan sahabat penulis ialah segalanya sudah selesai dan pemilik
sudahpun menerima wang pembelian rumah tersebut.
Apa yang menjadi tanda tanya mengapakah urusan jual beli
yang sudah selesai ini langsung tidak dimaklumkan kepada sahabat penulis yang
merupakan pembeli dan apa yang memeranjatkan sahabat penulis ialah baki
sebanyak RM20,000 daripada pinjaman itu lesap.
Apabila sahabat penulis menghubungi syarikat guaman
berkenaan untuk kepastian, jawapannya sangat menghampakan. Menurut kakitangan
syarikat guaman berkenaan, baki RM20,000 itu dibayar kepada BPP sebagai kos
faedah atas kelewatan yang berlaku.
Sahabat penulis merasakan dirinya ditipu kerana sebelum itu
pihak pemilik menyatakan bahawa pembeli tidak perlu membayar sebarang faedah
kerana masalah kelewatan adalah berpunca daripada masalah dalaman namun
akhirnya sebaliknya yang berlaku.
Yuran guaman juga telah pun dilangsaikan oleh sahabat
penulis ini menggunakan sedikit wang simpanan beliau walaupun ketika itu urusan
jual beli rumah berkenaan belum pun selesai.
Apabila sahabat penulis ini meminta penjelasan daripada
pihak syarikat guaman berkenaan, peguam yang bercakap itu meletakkan telefon
secara tiba-tiba seolah-olah mahu lari dari masalah ini.
Ini menyebabkan sahabat penulis berasa tertipu dengan segala
perjanjian lisan dalam urusan jual beli itu. Sebenarnya ini hanya salah satu
kes penipuan yang melibatkan syarikat guaman, Mereka sewenangnya mengambil
kesempatan ke atas pelanggan mereka yang tidak tahu menahu tentang hak dan
undang-undang yang ada.
Malah peguam berkenaan juga terdiam apabila sahabat penulis
ini menceritakan kembali apa yang berlaku melibatkan masalah dalaman syarikat
berkenaan. Mungkin peguam ini menyangka sahabat penulis ini akan lupa dengan
apa yang berlaku namun sebenarnya beliau silap kerana semua perkara yang
berlaku direkod oleh sahabat penulis.
Sebagai pengamal undang-undang, pihak syarikat guaman tidak
sepatutnya mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Walaupun memang
terang pengamal undang-undang ini tahu dan arif pasal perundangan negara, janganlah
ia disalahgunakan untuk menipu orang lain.
Yang menanggung pinjaman adalah pembeli, bukan syarikat
guaman. Dalam kes ini juga penulis lihat banyak berlaku kemusykilan di mana
setiap perkembangan urusan jual beli rumah itu tidak pernah dimaklumkan kepada
pembeli bahkan pembeli sendiri yang terpaksa menghubungi syarikat guaman
berkenaan.
Malah ada ketikanya urusan jual beli berkenaan seolah-oleh
menyepi seketika. Adakah ia salah satu permainan yang memberi keuntungan kepada
syarikat guaman ini dengan menangguhkan urusan atas sebab masalah dalaman
syarikat yang belum pasti kesahihannya?
Kepada semua pembaca yang merancang untuk membeli rumah atau
hartanah, berwaspadalah kerana kini bukan semua orang boleh kita percayai
100%. Sedangkan pengamal undang-undang sendiri pun boleh melakukan jenayah
penipuan dan menjadikan mereka yang kurang arif tentang hal perundangan ini
sebagai mangsa.
Keadaan ini mencemar institusi keadilan yang dipandang
tinggi dalam masyarakat. Jika keadaan ini berterusan di mana lagi hak rakyat
untuk mendapatkan keadilan?
Penulis akan menyiarkan perkembangan lanjut tentang masalah
penipuan urusan jual beli ini dan juga dalam kalangan pengamal undang-undang untuk
tatapan kita semua sebagai peringatan agar lebih berwaspada di hari mendatang.
Langgan:
Catatan (Atom)