19/01/13

'Brainwash' mahasiswa dah lama berakar umbi di IPT...


Mahasiswa jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Bawani KS menegaskan bahawa pihak kampus itu harus bertanggungjawab terhadap penganjuran forum mahasiswa dan politik yang didakwanya sebagai satu 'brainwash'.

Bawani berkata demikian dalam satu temubual yang dijalankan oleh pihak portal Malaysiakini petang semalam. Beliau turut mempersoalkan mengapa mahsiswa diwajibkan hadir khususnya kepada penghuni Dewan Penginapan Pelajar Proton.

Perkara ini nyata berbeza dengan kenyataan yang dijawab oleh Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mustafa Ishak yang berkata pihaknya hanya menyediakan dewan untuk forum itu.

Di sini penulis begitu tertarik dengan isu 'brainwash' dalam kalangan mahasiswa khususnya daripada IPT di bawah naungan kerajaan seperti U***.

Penulis sendiri berpengalaman dalam menghadiri program 'brainwash' ketika bergelar mahasiswa suatu ketika dahulu. Benar...ia memang diwajibkan kepada semua pelajar dengan alasan (ugutan layaknya) sesiapa yang tidak hadir akan dikenakan tindakan tatatertib atau dibuang universiti.

Penulis bersama beberapa rakan seperjuangan diwajibkan menghadiri kursus Biro Tatanegara yang berlangsung di musim cuti semester. Sebenarnya, program berkenaan dibuat dengan objektif untuk melahirkan graduan yang trahu serta memahami perjuangan pejuang kemerdekaan terdahulu sekaligus meningkatkan jati diri pelajar terhadap negara.

Namun ia nyata sekali disalahgunakan oleh pihak berkenaan untuk mem'brainwash' mahasiswa agar menyokong penuh tampuk pemerintahan negara, dalam bahasa mudah ialah Barisan Nasional dan Umno.

Penulis masih ingat kenyataan salah seorang Fasilitator yang ditugaskan ketika itu, lebih kurang begini bunyinya, "Kamu beruntung berada di U***, universiti ini tolong Melayu, jadi kamu kena balas budi kerajaan. Ini adalah universiti milik Umno jadi kamu semua kenalah sokong Umno"...

Silap penulis ketika itu ialah tidak merekodkan atau mencatat nama fasilitator berkenaan. Mungkin ketika itu penulis terlalu mentah untuk memahami erti perjuangan sebenar serta mana yang baik dan buruk.

Mahasiswa ketika itu sememangnya dimomokkan dengan ugutan demi ugutan...antaranya ialah mahasiswa patut bersyukur kerana yuran universiti berkenaan murah, kerajaan tolong jadi semkua wajib kena tolong dan sokong kerajaan.

Mahasiswa ketika itu senang nak diugut atau ditakutkan...kenakan syarat, siapa langgar buang universiti atau tatatertib..Disebabkan terkenang mak dan ayah di kampung yang bersusah payah hantar masuk universiti, jadi ramai yang akur dan langsung takde yang berani nak angkat kepala sekalipun.

Jadi budaya sebegini sudah lama berakar umbi. Tidak hairanlah jika mahasiswa kita kini kurang berkualiti jika dibandingkan dengan generasi mahasiswa terdahulu. Mahasiswa terdahulu melahirkan banyak tokoh politik yang lantang bersuara. Ini adalah hasil daripada didikan IPT dulu yang tidak melibatkan campur tangan pihak kerajaan dan mahasiswa bebas bersuara serta menyatakan pendapat.

Sekarang jauh sekali perbezaan jika dibandingkan dengan dahulu...semua mahasiswa ikut telunjuk sahaja, jika arahan ke longkang, maka longkang lah tempat mereka, jika ke tangki najis sekalipun, tangki najis lah mereka berkubang...Bebaskanlah mahasiswa kita dari belenggu ini untuk melahirkan generasi berkepimpinan serta berkualiti. 








  

Tiada ulasan: