9/01/13

Tahniah Malaysiakini..!!!!

Jangan biarkan perkara ini berulang !!

Penulis ingin mengucapkan tahniah kepada portal berita Malaysiakini di atas pendirian yang teguh untuk bersama-sama rakyat menghadapai sebarang kemungkinan pada #KL112 Sabtu ini.

Pendirian yang ditunjukkan oleh Malaysiakini nyata berpihak kepada rakyat yang mendambakan ketelusan pihak media dalam melaporkan sesebuah isu.

Semalam pihak polis menggesa pihak media yang ingin membuat liputan pada #KL112 agar memohon pas yang dikeluarkan oleh polis.

Malaysiakini bagaimanapun merupakan satu-satunya setakat ini media yang enggan mematuhi arahan berkenaan atas alasan pihak polis sepatutnya menjaga keselamatan seluruh warga bukan kepada pihak media sahaja.

Malah, tindakan pihak polis itu nyata memberi pelbagai persepsi negatif masyarakat terhadap kredibiliti mereka dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan awam.

Apakah pas media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan itu sudah tidak relevan lagi? Sekiranya setiap acara memerlukan penganjur atau pihak berwajib mengeluarkan pas untuk media, jadi Jabatan Penerangan tidak perlu lagi membazirkan wang rakyat untuk kos pengeluaran kad perakuan media.

Persoalan yang bermain di fikiran penulis ketika ini ialah, bagaimana pula dengan pengamal media bebas yang kini telah wujud secara tidak langsung dengan banyakkanya di negara kita?

Apakah hak mereka dinafikan bagi membuat liputan sekiranya ia melibatkan pembangkang? Di sini sahaja sudah menunjukkan bahawa sistem demokrasi parlimen yang diamalkan di negara ini sudah tercemar kerana tiada langsung hak untuk bersuara dan penyampaian maklumat yang telus.

Penulis difahamkan, pas media yang dikeluarkan oleh Pusat Media, Bukit Aman itu hanya diperuntukkan kepada media arus perdana sahaja dan tidak kepada media alternatif lain.

Walhal peranan pengamal media adalah sama iaitu melaporkan sebarang situasi atau perkara yang berlaku secara telus dan adil. Di sinilah terpampang jelas betapa tercemarnya etika kewartawanan di Malaysia apabila melibatkan campur tangan politik.

Penulis 100% tidak bersetuju dengan tindakan polis mengeluarkan pas mereka sendiri atas alasan untuk mengelakkan kejadian silap pukul wartawan berulang sebagaimana yang berlaku pada BERSIH 3.0.

Jadi, keadaan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan peserta dan juga pengamal media seperti penulis. Apakah mereka yang tidak memiliki pas berkenaan diberi kebenaran untuk dipukul dan dibelasah?

Pada pagi ini, taklimat untuk media sedang berjalan di Bukit Aman berkenaan dengan himpunan #KL112. Penulis akan cuba mengemaskini perjalanan taklimat tersebut. Tungguuuu.....


Tiada ulasan: