27/12/11

Setinggi langitkah darjat DS Najib?

Nama Adam Adli Abdul Halim sebelum ini tidak pernah dikenali umum namun nama ini tiba-tiba menggemparkan negara berikutan tindakan pemilik nama itu yang menurunkan bendera DS Najib di hadapan PWTC selepas SMM menyerahkan memorandum menuntut kebebasan akademik kepada Timbalan Menteri Pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Suruhajaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Adam bukan sahaja berjaya menggemparkan negara, beliau serta ahli keluarganya turut menerima tamparan, ancaman dan ugutan hebat dari seluruh penyokong fanatik Umno yang membuat pelbagai provokasi hingga menjadi jenaka di laman Youtube.

Beliau turut menerima surat panggilan ke jawatankuasa disiplin UPSI dan berdepan dua pertuduhan, iaitu mencemarkan nama universiti serta memberi ancaman kepada ketenteraman awam pada 23 Disember lalu.

Namun bagi penulis, tindakan Adam bukanlah satu kesalahan melampau yang mampu menganggu-gugat ketenteraman negara hinggakan di kenakan tindakan sedemikian.

Beliau hanya menjalankan hak sivil sebagai warganegara untuk bersuara terhadap ketidakpuasan hatinya pada kerajaan dan pertuduhan ini tidak berasas sama sekali.

Apa yang menghairankan penulis ialah, bagaimana perlakuan yang remeh sebegini menimbulkan kecelaruan hingga ada yang bagai cacing kepanasan bila bendera DS Najib diturunkan. Tetapi golongan ini hanya diam membisu tatkala ada pihak yang menghina serta mempermainkan agama.

Dalam hal ini, golongan yang mengaku ‘cerdik pandai’ turut menerima tempias bila ada yang secara spontan terpekik terlolong di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

Malah ada di antara mereka yang mengaku pernah menuntut di universiti berkenaan. Jika benar dakwaan itu, ke mana hilangnya keprofesionalan mereka sebagai orang yang terpelajar? Atau apakah dakwaan itu hanya omongan kosong untuk membolehkan mereka mendabik dada di khalayak umum?

Ada juga yang meluahkan ketidakpuasan hati dengan memuatnaikkan ke dalam laman Youtube dan melemparkan kata-kata berunsur ugutan sambil mengaku diri mereka ‘panglima perang’.

Penulis sendiri tersenyum melihat gelagat golongan fanatik Melayu yang mungkin ketandusan idea serta wang elaun atau upah dari pihak tertentu hinggakan sanggup memperbodohkan diri di khalayak umum.

Andai kata ada yanag bertanya apakah agama mereka, sudah tentu semua mengaku Islam tapi mengapa bila agama dipersenda dan dipermainkan langsung tiada kelibat pekikan dan lolongan dari golongan ini?

Apakah DS Najib lebih tinggi dan mulia darjatnya berbanding agama Islam? Terjejaskan DS Najib bila bendera yang hanya sehelai kain bercetakkan potret beliau diturunkan bukannya dipijak, dibakar dan dihina.

Yang pasti, rakyat tetap terjejas walau setinggi mana pun bendera DS Najib dikibarkan, minyak tetap naik, harga barang tetap melambung, rasuah dan salah laku pemimpin tetap berlaku.

 Fikir-fikirkan...

2/11/11

Menteri takut gaji kena potong....


 
Pertikaman lidah berlaku di Dewan Rakyat hari ini ketika ahli parlimen berbahas berhubung usul untuk memotong sebulan gaji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berjumlah RM22,826.65.

Usul itu, bagaimanapun ditolak dengan undi majoriti setelah dibahaskan oleh beberapa orang ahli parlimen termasuk dari Pakatan Rakyat dan kerajaan. Ia mendapat tentangan hebat dari BN termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Perkara itu diusulkan atas sebab tindakan Najib yang didakwa tidak sensitif dengan kesusahan yang dihadapi rakyat apatah lagi dengan kadar inflasi yang tidak terkawal.

Malah laporan audit, masalah dan kepincangan yang berlaku sejak Najib menjawat jawatan itu pada April 2009 juga menjadi salah satu sebab mengapa usul potong gaji PM itu timbul.

Sebenarnya bukan hanya gaji DS Najib sahaja yang patut dipotong, tapi semua pemimpin yang tidak menunjukkan prestasi yang baik ketika menjawat jawatan menteri wajib dipotong bagi memnyedarkan mereka.

Bukan semua menteri yang ada telus menjalankan tanggungjawab, namun apa yang penulis perhatikan rata-rata menteri ini hanyalah memegang jawatan untuk mengumpul harta sahaja.

Yang lain hampeh...semua nak tunggu media buka cerita dahulu baru sibuk nak buat kerja..Sebelum ni duk sibuk buat apa? Apa cerita projek hospital di Shah Alam? Mana menteri yang terbabit? Apa cerita kes projek perumahan terbengkalai yang lain? - Mana menterinya?

Jalan raya tetap berlopak sana, berlubang sini sedangkan tol tak pernah pulak dikurangkan, tetap sama kena bayar, makin naik adalah. Mana menterinya?

Dalam zaman yang serba canggih dengan internet, bangunan tinggi melangit, jalan raya, lebuh raya bertingkat-tingkat namun masih ada yang tinggal dalam pondok buruk yang langsung tak layak dipanggil rumah!!!- Mana menterinya?

Cuba fikirkan kalau menteri yang berkenaan turun padang bagi bantuan peda golongan ini, rasanya TV3 tak perlu nak buat rancangan BERSAMAMU tuh!! Di sebalik rancangan tu, secara terang-terangan membuka pekung pemimpin yang gagal membantu rakyat.

Masalah banjir dari dulu, kini dan mungkin selamanya tak ada perubahan, tetap sama. Masuk musim tengkujuh, tenggelam..sedangkan musim tengkujuh sudah saban tahun berlaku, apa penambahbaikan yang dibuat oleh menteri?

Setakat nak tambah bot, sediakan bantuan kopi, gula, beras tanpa sebarang usaha untuk menebat banjir jawabnya setiap tahun la wajib harung limpahan sungai. - Mana menterinya?

Rosmah boleh berbelanja RM24 juta hanya untuk sebentuk cincin, anaknya pulak boleh berbelanja sebanyak A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, di Australia dalam masa sehari, jadi kenapa tidak boleh potong gaji PM jika terang terangan gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin??

Baru gertak nak potong gaji sikit bukan main lagi menteri-menteri ni takut..padahal apa lah sangat nak dibandingkan potong gaji sebulan dengan jutaan duit rakyat yang sudah dibazirkan dan dirompak oleh mereka.

1/11/11

Waran tangkap dikeluarkan ke atas Bob Lokman...




Jabatan Agama Islam Selangor telah mendapat waran tangkap ke atas saudara Bob Lokman atas dakwaan menyampaikan ceramah tanpa tauliah.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin memberitahu wartawan di Shah Alam bahawa waran tangkap itu dikeluarkan pada 28 Oktober lalu yang membolehkan Bob ditangkap jika dikesan di negeri itu.

Bob ditahan di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 10 Oktober lalu kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah kepada kira-kira 70 hadirin.

Meskipun diminta tampil memberi keterangannya oleh JAIS, Bob yang kini bergiat aktif bersama PAS berkata tiada sebab untuknya bekerjasama kerana tindakan itu tidak ada kepentingan untuk Islam.

Ekoran pendiriannya itu, beliau sanggup menghadapi sebarang tindakan, termasuk kemungkinan menghadapi waran tangkap daripada mahkamah.

"Nak tangkap, tangkaplah. Saya tidak akan hadir. Sifat (JAIS) begini bukan hendak jaga keharmonian agama," katanya sambil memberitahu dia akan hanya berserah pada Allah.

Bob nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, disiasat mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Ini bukan kes pertama seumpama itu, sebelum ini Dr Asri Zainul Abidin yang sah-sah mempunyai terlebih tauliah (Bekas Pensyarah UIAM) turut berhadapan dengan tuduhan yang sama.

Hinggakan ada yang mengatakan tindakan JAIS itu tidak wajar dan langsung tidak masuk akal. Apa tidaknya, Dr Asri yang memang berkelulusan dari sebuah universiti di Mesir dikatakan tidak layak untuk mengajar dan didakwa tidak mempunyai tauliah. Memang tidak masuk akal.

Kini Bob pula yang menerima tuduhan sama walhal setahu penulis, Bob hanya diundang pada majlis ilmu tersebut untuk menceritakan pengalaman beliau dalam industri hiburan dan bukanlah menyampaikan ceramah ilmiah.

US 1.7 bilion mengalir ke negara seberang



Pekerja Indonesia di Malaysia mengirim pulang ke tanah air mereka wang berjumlah US$1.7 bilion di suku ketiga tahun ini (2011), demikian menurut catatan bank pusat, Bank Indonesia (BI).

Angka itu mewakili lebih daripada separuh jumlah wang sebanyak US$2.91 bilion yang dikirim pulang oleh tenaga kerja Indonesia (TKI) yang bekerja di kawasan Asia Pasifik.

Jurucakap BI, Difi Johansyah berkata, kiriman wang oleh pekerja Indonesia di luar negara ke tanah air mencapai US$5.05 bilion atau kira-kira Rp43 trilion sepanjang suku ketiga tahun ini dan TKI yang bekerja di kawasan Asia mengirim pulang paling banyak wang.

"TKI di kawasan Asia Pasifik mengirim wang ke Indonesia mencapai US$2.91 bilion. Terbesar dibandingkan kawasan lain," kata Difi seperti yang dipetik detikfinance di portal berita detik.com di Jakarta, hari ini.

Beliau berkata, TKI yang bekerja di kawasan Timur Tengah dan Afrika mengirim pulang wang berjumlah US$2.01 bilion dan daripada jumlah itu mereka yang bekerja di Arab Saudi menyumbang jumlah paling besar iaitu sebanyak US$1.68 bilion.

Itu antara angka yang mengalir keluar ke negara Indonesia hasil titik peluh bekerja di Malaysia, belum termasuk ringgit yang mengalir keluar negara hasil perbelanjaan mewah DS Najib anak beranak...

Lepas mak, anak dia pulak...



Dalam suasana rakyat yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang menggila, pemimpin masih lagi belum bangkit dari tidur dan terus menerus hanyut dibuai kemewahan.

Belum pun reda isu cincin bernilai RM24 juta yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor, kini timbul pula isu yang membabitkan anak perempuan beliau.

Akhbar The West Australian, mendakwa anak gadis perdana menteri membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia.

Walaupun DS Najib dilihat gagal sebagai Perdana Menteri untuk merangka strategi dalam membantu rakyat dan menghalang ketirisan serta pembaziran sebagaimana yang diumumkan laporan audit, ia tidak menghalang beliau dan kerabatnya untuk bermewah di saat rakyat dirundung kesukaran.

Kerana kegagalan beliau itu, ada pihak bertindak memfailkan satu usul untuk memotong gaji perdana menteri ekoran "masalah dan kepincangan" yang berlaku sejak Datuk Seri Najib Razak menjawat jawatan sebagai perdana menteri pada April 2009.

12/10/11

RM4.7 bilion dibazirkan untuk PLKN...


 
Sebanyak RM4.7 bilion dibelanjakan oleh kerajaan bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak ditubuhkan pada 2004 sehingga 31 Ogos tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, program itu berjaya memberi kesedaran awam kepada pelatih untuk menjadi warganegara yang baik melalui imej dan perlakuan positif dan tidak mudah terlibat dengan kes jenayah.

Dr Abdul Latiff berkata, peserta yang menyertai program PLKN didapati berjaya mengawal diri daripada terjebak dengan kes jenayah berdasarkan peningkatan pendaftaran pelatih dalam Pasukan Sukarela dari tahun ke tahun.

Bagi penulis, program ini bukanlah satu aktiviti yang mampu merubah pemikiran golongan remaja di negara ini, malah dengan pendekatan yang diambil tanpa pengukuhan dari aspek keagamaan, ia umpama perkara yang sia-sia.

Malah ia juga dibuat bukan atas dasar kerelaan pelatih kerana mereka dipaksa dan didakwa sekiranya gagal melaporkan diri pada program berkenaan.

Umum mengetahui bahawa ketika program berkenaan berlangsung terdapat banyak kes-kes salah laku melibatkan pelatih terutama melibatkan moral sebagai orang Islam.

Program berkenaan yang dijalankan secara bercampur gaul antara pelatih lelaki dan wanita dilihat langsung tidak membantu dalam pembentukan jati diri mereka terutamanya dari aspek keagamaan.

Ini kerana pendekatan yang dibuat secara bebas tanpa batasan pergaulan juga menjadi anatara punca utama golongan ini terdedah dengan gejala sosial.

Antara kes yang berlaku ketika program itu dijalankan ialah kejadian rogol seorang peserta PLKN oleh
seorang jurulatih di Kem Merang, Terengganu, pelatih melahirkan anak hingga menyebabkan kematian bayi itu di belakang sebuah asrama di kem Cancun Park, Pasir Mas, Kelantan, Pergaduhan antara pelatih di Kem Kisana Beach Resort, Pasir Puteh, Kelantan, kes cabul, potong rambut pelatih lain keracunan makanan dan juga kes kematian.

Dan banyak lagi kes-kes terpencil yang memang tak habis kalau nak dirungkaikan satu persatu dan ini dengan jelas menafikan dakwaan yang dibuat oleh Datuk Abdul Latiff Ahmad bahawa program PLKN itu berjaya memberi kesedaran kepada pelatih mengenai imej dan perlakuan positif.

Malah ia merupakan pembaziran yang tersangatlah besar melibatkan duit rakyat sedangkan pada masa kini ramai lagi rakyat menderita hidup dalam keadaan serba daif yang memerlukan bantuan.

Justeru, wajarlah kiranya program yang hanya membazirkan duit rakyat ini dibubarkan terus bagi memberi laluan kepada perkara yang lebih penting untuk kesejahteraan rakyat.

TERKINI: Satu lagi projek jual negara dikesan...



PAS hari ini berjaya mengesan satu operasi yang disyaki cuba memberikan warganegara kepada lebih 200 penduduk tetap (PR) di sebuah resort berhampiran Putrajaya di sini.

Kesemua yang majoritinya warga Indonesia itu didakwa dibawa dengan bas dari negeri Johor untuk diberi MyKad yang dipercayai ada kaitan untuk pengundian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Exco Pemuda PAS, Mohd Adram Musa (gambar) berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada perisikan jentera PAS berhubung perkara itu malam tadi yang mengatakan lapan buah bas membawa warga asing akan menuju ke Putrajaya untuk diberi MyKad.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Pemuda PAS bersama beberapa anggota dewan itu kemudiannya menunggu bas-bas tersebut yang tiba di Masjid Putra, Putrajaya kira-kira jam 7 pagi.

Bagaimanapun hanya enam buah bas didapati tiba di Putrajaya yang didapati beredar beberapa jam kemudian.

Mereka mengekori bas-bas tersebut sehingga ke sebuah resort di sini. Bas-bas berkenaan bagaimanapun beredar dari situ, dan meninggalkan kumpulan penumpang tersebut di resort berkenaan.

Petugas media yang kemudiannya tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengahari juga sempat melihat sebuah kereta Proton Tiara dipercayai membawa ‘ketua operasi’ itu memecut laju keluar dari resort melalui jalan belakang.

"Saya sendiri masuk ke dalam resort berkenaan, dan mendapati memang warga asing di dalamnya. Kita tanya mereka bagitahu datang untuk kursus," katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, kehadiran mereka bagaimanapun tidak disenangi ‘ketua’ rombongan itu dan mereka mengambil pendirian untuk keluar dari kawasan resort tersebut yang pagarnya kemudian dikunci pemilik resort.

Ekoran itu juga mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.
Turut serta pada sidang media di hadapan resort itu AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.

Menurut Mazlan, beliau turut mendapat maklumat dari sumber dalaman yang tidak mahu bersubahat dengan operasi jahat itu.

"Dia hubungi saya bagitahu terdapat dokumen tebal dalam bas serta mendengar cakap-cakap penumpang bas yang mendakwa akan mendapat MayKad hari ini.

"Dia bagitahu saya maklumat ini kerana beliau tidak mahu bersubahat," katanya.

Menurut Mazlan lagi, beliau juga dimaklumkan sewaktu bas berhenti di Masjid Putra, beberapa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara menemui ketua rombongan bas tersebut dan mengarahkan mereka ke sebuah resort di kawasan berdekatan ekoran rahsia operasi mereka didakwa sudah diketahui.

"Saya difahamkan ini trip ke sepuluh untuk operasi ini. Modus operandi mereka adalah untuk mengalahkan Pakatan Rakyat Selangor," tambahnya.

Dalam pada itu satu sidang media khas berhubung perkara itu akan diadakan di Parlimen esok.

Sumber: HARAKAH DAILY