15/02/12

Pilihan Raya Malaysia: Masih perlu pemBERSIHan





Menjelang pilihan raya umum pelbagai spekulasi serta provokasi berlaku di mana-mana sahaja dalam negara baik dari pemimpin mahupun antara penyokong parti lain.

Di mana sahaja pasti berlaku insiden pergaduhan yang mana langsung tidak boleh diterima akal sebab musababnya.

Namun bukan isu pergaduhan yang perlu dicari penyelesaian utama kerana perkara ini sudah nberlarutan sejak berkurun lamanya dalam negara.

Apa yang cuba disampaikan penulis ialah berkenaan dengan ketelusan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam menjalankan tugas memastikan kelancaran serta proses pilihan raya.

Pelbagai sistem dan cara dicadangkan oleh pelbagai pihak sebagai usaha untuk menjamin pilihanraya yang telus. Namun, walau secanggih mana pun sistem yang digunakan tidask kiralah biometrik atau sistem dakwat kekal, masih lagi berlaku kepincangan dalam isu daftar pemilih.

Terbaru, sebanyak 60 pengundi dengan alamat palsu dikesan di Lobak, Negeri Sembilan. Dalam kes terbaru ini, 60 pengundi berkenaan didaftarkan sebagai penduduk Taman Sri Amber, Seremban, tetapi nombor rumah yang diberikan tidak wujud.

Rumah-rumah di Taman Sri Amber bermula dengan nombor 400. Tetapi dalam system daftar pemilih ‘tercipta’ pula nombor rumah lain seperti nombor 24, 32, 48, 101, 131, 180, 201, 222 dan 301, sedangkan ia jelas tidak wujud.

Rumah pangsa itu hanya mempunyai satu blok, tetapi dalam daftar pemilih tambahan terdapat beberapa pengundi yang didaftarkan dengan alamat "Blok B" dan "Blok C", yang tidak wujud.

Satu lagi keanehan dalam daftar pemilih itu ialah 90 peratus daripada 670 pengundi baru yang didaftarkan pada suku terakhir itu terdiri dari bangsa tertentu sahaja.

Pengundi dengan latar belakang yang mencurigakan itu dipercayai telah didaftarkan, Ini adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana memberikan maklumat palsu dalam borang pendaftaran pengundi.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Jelas di sini, Pilihan Raya Malaysia amat memerlukan pemBERSIHan bagi memastikan ia berjalan dengan telus dan adil.

Kepada pihak yang berkenaan..”Jika takut dilanda tsunami, jangan berumah di tepi pantaiiii”…..

Samseng: Polis duk buat apa??




Program jelajah seluruh Negara bagi menuntut kebebasan akademik diteruskan meskipun menerima pelbagai halangan dan tentang daripada pihak samseng Umno.

Malaysia sudah maju, namun pemikiran segelintir masyarakat masih jumud. Entah apa yang nak ditakutkan sangat dengan kebangkitan golongan akademik sedangkan mereka sendiri tahu golongan ini diperlukan dalam memajukan lagi negara.

Tindakan ganas yang mencetuskan huru-hara di setiap ceramah yang diadakan oleh  Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dilihat sangat tidak bertamadun dan dangkal.

Apa tidaknya, golongan yang ganas ini secara terang-terangan tidak mahu menerima golongan akademik bangkit memperjuangkan hak akademik di Malaysia. Nampak sangat mereka sendiri bukan dari golongan terpelajar.

Pada kejadian 12 Februari lalu, 14 aktivis pelajar telah dikepung oleh sekumpulan samseng di Kampung Idaman sehingga memaksa mereka berlindung di sebuah gerai makanan berhampiran.

Pada kejadian itu kira-kira 100 samseng yang bermotosikal memecahkan kerusi dan menyelerakkan dewan serbaguna itu sebelum ceramah bermula. Mereka kemudiannya mengekori pelajar yang cuba membuat laporan polis.

Walaupun diiringi polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang untuk membuat laporan, kumpulan samseng bermotosikal itu membaling batu dan memukul kereta pelajar berkenaan dengan kayu sehingga salah sebuah kereta remuk.

Apa yang musykil dalam kejadian ini ialah polis sendiri seolah-olah tidak punya kuasa untuk menghalang kegiatan samseng dalam Malaysia. 

Terang-terangan pihak samseng ini membuat onar berhampiran balai polis, mengapa tidak ditangkap sahaja mereka. Sedangkan mereka sudah jelas melakukan perkara bertentangan dengan undang-undang.

13/02/12

Beza pencari ilmu dunia dan pencari ilmu akhirat...




Perbuatan atau perkara menimba ilmu tidak pernah terhenti sejak kita lahir hinggalah ke liang lahad. Pelbagai definisi ilmu di terjemahkan oleh para ilmuan di seluruh dunia.

Namun hakikat kepayahan dalam menuntut ilmu sudah menjadi asam garam dan memang tidak boleh diubah. Ada yang mensia-siakan segala kemudahan yang ada untuk menuntut ilmu dan hanya segelintir sahaja yang memanfaatkan setiap peluang yang ada.

Di negara kita, pelbagai peluang menuntut ilmu disediakan oleh pelbagai pihak, baik kerajaan, swasta, mahupun pertubuhan bukan kerajaan. Cuma bergantung kepada masyarakat kita sendiri sama ada untuk mengambil peluang itu atau membiarkan ia berlalu begitu sahaja dengan sia-sia.

Apa yang terang dalam senario menimba ilmu dalam negara kita ialah perbezaan yang jelas dan ketara antara ilmu dunia dan ilmu akhirat.

Perbezaan nisbah antara dua ilmu ini amat jauh jurangnya di mana pengajian dalam ilmu dunia lebih dititikberatkan dan yang paling menyedihkan ialah pencari ilmu akhirat terpaksa menempuhi pelbagai ranjau dan duri untuk mendapatkan ilmu yang mana ia sangat jauh berbeza dengan pencari ilmu dunia.

Jangan fikir terlalu jauh, hanya ambil satu topik sahaja iaitu infrastruktur sudah cukup untuk menerangkan senario sebenar pengajian agama dan pengajian dunia.

Secara terang dan nyata dapat kita perhatikan di sini pembinaan sekolah-sekolah menengah dan rendah kerajaan semakin rancak hinggakan sampai satu tahap sekolah mengalami kekurangan pelajar ekoran daripada pembinaan sekolah yang berlebihan.

Ini dapat dilihat di kawasan luar bandar yang mana para pemimpin mengambil kesempatan membina sekolah-sekolah tanpa memikirkan jumlah murid atau pelajar dan guru yang bakal ditempatkan di situ.

Natijahnya, berlaku pelbagai pembaziran dari segi kewangan serta tenaga kerja. Ini berpunca daripada pemimpin sendiri yang berlumba-lumba untuk menunjukkan kepada rakyat yang mereka ‘amat prihatin’ dengan pendidikan generasi muda.

Hasil daripada ‘keprihatinan’ golongan ini ialah lahirnya generasi muda yang haru-biru, malah masalah moral dan gejala sosial semakin meningkat.

Itu dari sudut pandangan sekolah aliran biasa, jauh pula bezanya dengan sekolah agama dan juga sekolah pondok. Kerajaan ada menyediakan sekolah agama rakyat namun tidak semua yang penuh hinggakan ada yang dipandang sepi, beza dengan sekolah pondok yang dibina oleh golongan ulama, dimana pencari ilmu akhirat ini berlumba- lumba mendaftarkan diri walaupun boleh dilihat dengan mata kasar kemudahan infrastrukturnya amatlah menyedihkan.

Keadaan tempat tinggal pelajarnya amat daif dan jauh bezanya dengan sekolah kerajaan yang bertilam empuk, berkipas serta disediakan hidangan yang bagus untuk pelajar.

Pelajar sekolah pondok pula terpaksa memasak sendiri makanan harian mereka namun ini memberi peluang kepada mereka untuk berdikari dan belajar menguruskan diri dari kecil. Kekurangan kemudahan asas langsung tidak menghalang niat cekal mereka dalam mengejar ilmu akhirat. Ini adalah hasil usaha tarbiyah yang dijalankan oleh golongan kepimpinan ulama.

Hakikatnya, walau sehebat mana pun dugaan yang mereka tempuhi, ilmu yang ditimba jauh lebih tinggi berbanding mereka yang  bersenang-senang dalam mengejar ilmu dunia.
Jelas, generasi muda zaman kini amat mendahagakan ilmu akhirat hingga sanggup menempuh pelbagai dugaan untuk mencari ilmu. Namun apa yang menyedihkan ialah terdapat segelintir pihak yang zalim dan dilihat cuba untuk menjatuhkan dan menghalang usaha murni golongan ulama menyampaikan ilmu.

Jika tanah yang dikhaskan untuk pembinaan sekolah agama dirampas dengan sewenangnya oleh golongan pemimpin yang korup, tidakkah ini merupakan salah satu jalan yang mereka ambil untuk menyekat penyebaran ilmu akhirat?

Setelah sekian lama tanah berkenaan diperuntukkan untuk pembinaan Sekolah Rendah Agama Darul Bayan di Paka, Terengganu dirampas dengan mudah oleh Ketua JKKK, setiausaha, naib dan ajk JKKK sendiri sanggup mengambil tanah sekolah tersebut untuk kepentingan individu. Perkara ini hanya disedari pada akhir Januari 2012.

Lihatlah dunia, betapa zalimnya golongan yang enggan menerima agama sebagai jalan hidup mereka. Kepada pejuang-pejuang Islam di Paka yang dipimpin oleh Ustaz Saiful Bahri Mamat, teruskan usaha murni kalian, jangan biarkan golongan zalim terus menindas pencinta Islam.

Lagi kebobrokan yang dibuat oleh JKKK Umno





JKKK sekali lagi memainkan peranan merampa hak orang lain di bumi Terengganu Darul Iman. Kali ini yang menjadi mangsa ialah tanah yang disediakan khas untuk pembinaan ekolah agama Sri Bayan di Paka, Dungun.

Menurut sumber, surat telah pun dikeluarkan oleh Pejabat Tanah yang menyatakan tanah berkenaan diberi untuk kerja pembinaan sekolah agama, namun baru-baru ini tanah berkenaan terlucut hak milik dan jatuh ke tangan JKKK dan keluarga mereka.

Apa sudah jadi pada negara ini? Pihak yang berkenaan dengan sewenangnya merampas hak milik orang lain yang diperuntukkan untuk pembinaan sekolah agama.

Beginilah jadinya jika ada segelintir pihak yang enggan menerima agama dalam diri mereka. Mereka lebih suka hidup dalam golongan orang zalim.

Hapuskan Kepimpinan Korup..!!!

8/02/12

Hapuskan JKKK songlap..



Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turun padang dan memainkan peranan membuat laporan bagi mengetahui masalah penduduk yang memerlukan bantuan. 

Menurut beliau, golongan ini (JKKK) merupakan orang yang terdekat dengan masyarakat dan mereka harus lebih peka terhadap sebarang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

Sebagai seorang rakyat biasa, penulis terpanggil untuk menyatakan apa yang dihadapi oleh sebahagian daripada rakyat terutamanya di kawasan luar Bandar dalam berhadapan dengan JKKK.

Ada sesetengah JKKK yang dilihat terlalu berat sebelah dan memilih bulu dalam mengagihkan sebarang bantuan serta mengambil tindakan terhadap golongan yang bermasalah.

Penulis pun tidak tahu sama ada kes ini adalah terpencil atau sebaliknya namun hakikatnya, JKKK perlu memainkan peranan secara telus dan tidak berat sebelah dalam menyelesaikan masalah penduduk.
Ada juga yang sanggup menangguk di air keruh dengan menggelapkan wang bantuan yang sepatutnya diagihkan kepada golongan yang memerlukan. 

Ada satu kes yang berlaku di daerah Kemaman di mana seorang warga emas yang tinggal seorang diri di sebuah rumah usang memerlukan bantuan kewangan bagi membaik pulih kediaman, namun apa yang menyedihkan ialah, golongan yang dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan bantuan berkenaan bertindak menggelapkan wang tersebut. 

Bantuan yang sepatutnya diterima sebanyak RM10,000, namun jumlah yang sampai ke tangan warga emas berkenaan hanyalah sebanyak RM5,000 sahaja. Ke mana hilangnya separuh daripada jumlah wang berkenaan?

Pendek kata,pelantikan seorang JKKK perlu ditapis semula bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada orang yang sepatutnya dengan jumlah yang betul.

Itu bagi yang memerlukan bangtuan, ada juga segelintir JKKK yang boleh dilabel sebagai ‘makan gaji buta’. Sebelum pilihan raya, semua tak menang tangan turun padang malah mereka sendiri bertindak mencari golongan susah untuk diberikan bantuan, namun selepas pilihan raya, ada yang langsung tidak nampak batang hidung hinggakan masyarakat sendiri pun tidak pernah kenal dengan JKKK yang dilantik. 

Masalah ini menimbulkan pelbagai persepsi negatif masyarakat terhadap kerajaan apatah lagi golongan ini (JKKK) merupakan wakil yang dilantik oleh kerajaan.

Justeru, sebagai orang yang diamanahkan untuk membantu rakyat, JKKK wajar memainkan peranan mereka dengan telus. Jangan hanya buat kerja sekadar melepas batuk di tangga, kelak orang tak suka, malah parti juga binasa...

27/12/11

Kata-kata Sang Murabbi...



"Jangan masuk PAS kalau anda cari dunia. Jangan panggil diri anda pejuang Islam kalau anda nak manusia puji anda. Anda jangan perasan macam anda ulama kalau perjuangan setakat serban, jubah dan kopiah. PAS bukan untuk orang yang buru dunia. PAS adalah untuk orang yang buru akhirat. Hidup mulia atau mati syahid. Mati beriman. Hidup bermaruah. Minta ampun dengan Allah Taala kalau ada buat dosa tapi jangan putus asa dengan Allah Taala."

Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz Fadzil Nor.

Imbasan Sejarah Parti Islam Se-Malaysia (PAS)



Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara.

Sejak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor.

Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik.

Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya.

Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai.

Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.

Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia.

Kesedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu.

Longgokan kesedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.

Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan.

Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan.

Dalam tulisannya, "Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan", Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain.

Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.

Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS.

Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema "Ulamak ke Jalan Allah" bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951.

Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.

Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953.

Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam.

Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin, "Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci".

Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah.

Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.

Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik.

Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk.

Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara.

Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971. PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan.

PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam disampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan.

Walaubagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.

Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan.

Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC).

Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.

Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan.

Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990.

Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasanya.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi.

PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004.

Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.

Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang).

Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang).

Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang). Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995).

Sumber: http://sejarahpas.blogspot.com/