22/01/13

Indonesia kritik politik diam mahasiswa Malaysia..???




Memang demokrasi yang dilaung dan dicanangkan pemerintah di negara kita tidak seindah amalan demokrasi itu sendiri. Kebebasan bersuara dinafikan malah kebebasan media juga disekat, malah kebangkitan rakyat juga ditentang.

Mahasiswa sendiri tidak diberi peluang menyatakan hak dalam kebebasan untuk mereka menyuarakan pendapat serta bantahan semuanya hasil didikan pemerintah.

Sedar tak sedar, perkara ini mendapat liputan meluas media di negara jiran kita, Indonesia. Negara dikritik hebat melalui satu siaran rancangan televisyen di bawah saluran Metro Kampus. Indonesia bukanlah negara maju sebagaimana negara kita, jadi apa perasaan kita bila dikritik sedemikian?

Tetapi kritikan itu ada benarnya, rancangan ini menyiarkan tentang hak kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa di seluruh IPT tanah air yang dinafikan sejak sekian lama. Penulis tidak berniat untuk mengagungkan Indonesia, jauh sekali menyokong tetapi cuba kita perhatikan dan analisiskan ke dalam bentuk pemikiran ilmiah.

Setelah berbagai kritikan dan rungutan yang timbul serta berlakunya beberapa siri tindakan bantahan oleh mahasiswa, barulah pemimpin memberi lampu hijau untuk mahasiswa bergiat dalam politik.

Namun kebebasan ini juga bukanlah seratus peratus sebagaimana yang didambakan oleh rakyat dan juga yang tertakluk dalam amalan demokrasi di negara ini kerana ia memerlukan syarat tertentu.

Syarat yang dikenakan juga berupa tapisan dan aturan larangan yang masih lagi mengekang suara mahasiswa dalam menyatakan pendapatan serta bantahan terhadap sesuatu perkara.

Fenomena politik diam di Malaysia menjadi satu isu dalam kalangan mahasiswa di Indonesia malah di negara jiran itu, boleh dikatakan saban minggu mahasiswa turun ke jalanan menyatakan sebarang bantahan melalui “unjuk rasa” atau tunjuk perasaan.

Di sini kita boleh melihat bahawa, penerapan nilai kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa di negara jiran itu mampu melahirkan golongan pemikir yang bebas mengkritik serta menyatakan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap ekonomi, pendidikan mahupun sistem pemerintahan dan kerajaan mereka sendiri.

Penulis sendiri tidak melihat kesan negatif yang timbul jika kebebasan bersuara ini dipraktikkan dalam kalangan mahasiswa di IPT kerana jelas sekali bila mahasiswa diberi kebebasan, kerajaan tidak akan sewenangnya mengambil sebarang tindakan bodoh dalam tampuk pemerintahan.

Antara tindakan bodoh yang digubal oleh penggubal dasar terdiri daripada pimpinan kerajaan berkenaan masalah kesesakan jalan raya. Rakyat diminta mencontohi negara China yang rata-rata rakyatnya berbasikal untuk ke tempat kerja.

Namun dasar yang digubal ini seolah-olah tiada kajian terperinci dengan mengira faktor perbezaan antara Malaysia dan China. Secara mudahnya, ialah perbezaan dari segi cuaca dan suhu. Rakyat China boleh berbasikal berkilometer sehari untuk ke tempat kerja, namun penggubal dasar ini sedar atau tidak bahawa semua rakyat China ini berpakaian tebal..!!

Ini kerana suhu di China lebih rendah berbanding Malaysia jadi secara tidak langsung berbasikal tidak akan mendatangkan masalah kepada mereka. Berbeza dengan Malaysia yang berdepan dengan suhu panas dan hujan sepanjang tahun. Kalau hujan, basah, jika panas, bahangnya kadangkala adalah melampau.

Jika ini pun penggubal dasar tidak nampak, macam mana nak jadi pemimpin dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat? Nampak tidak cerdik di situ bukan??

Jika kebebasan bersuara dapat diterapkan dalam kalangan mahasiswa di Malaysia, ini secara tidak langsung mampu membantu kerajaan dengan memberikan idea atau pandangan terhadap sesuatu dasar yang digubal itu. Itu hanya satu contoh penggubalan dasar, terdapat puluhan lagi dasar yang digubal yang mana pada pandangan penulis langsung tidak relevan untuk diamalkan di Malaysia.

Tetapi, oleh kerana pemimpin Malaysia adalah bacul untuk memberi peluang kepada mahasiswa bersuara, maka pelbagai aturan dan alasan diberi bagi menyekat kebebasan bersuara. Inilah yang berlaku dalam realiti dunia kampus di Malaysia.

Kerajaan sedaya yang mampu menutup mulut mahasiswa dari bersuara menyatakan pendapat. Jadi di mana amalan demokrasi yang dicanangkan dari dulu hingga kini?? Penulis percaya, jika ditanya kepada mana-mana menteri sekalipun, tiada seorang pun yang mampu jawab untuk memastikan periuk nasi mereka terlindung dari balingan pasir….!!! Jelas sekali dasar digubal dengan sekadar melepas batuk di tangga...

Tiada ulasan: