5/10/11

Nampak sangat bohongnya..

 
 
Seramai 11,045 anggota polis dikerah dari seluruh negara bagi menyuraikan demonstrasi Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Namun dalam ribuan anggota polis itu hanya seorang sahaja dikenalpasti telah melanggar Standard Operation Procedure (SOP) ketika cuba menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 di Hospital Tung Shin.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien kejadian berkenaan telah diperbesar-besarkan dan polis tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya terhadap situasi semasa perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya itu.

Nampak tak apa yang sedang berlaku sekarang? Siapa yang tak nampak? Nampak ke tidak? Penulis nampak dengan jelas. Apa yang penulis nampak? Penulis nampak dengan jelas dan nyata Hishammudddin sedang kencing bersepah.

Nampak sangat bohongnya..bukan setakat dalam Youtube, malah boleh dikatakan ribuan gambar kekejaman pihak polis ketika menyuraikan perhimpunan itu tersebar di internet.

Jangan ingat rakyat buta dan pekak dalam menilai setiap tindak tanduk dan apa sahaja yang berlaku dalam negara ini. Sememangnya media arus perdana memainkan peranan penting dalam menyebarkan apa yang berlaku pada ketika itu kepada umum.

Namun harus diingat, tidak semua media arus perdana itu menjadi pilihan pembaca kerana terlalu banyak penipuan dan putar belit yang dimainkan mereka. Tak perlulah penulis menerangkan satu persatu tentang etika kewartawanan sebab dalam negara ini etika tersebut ibarat sampah. Langsung tiada guna.

Maka internetlah menjadi wadah utama pembaca untuk mendapatkan berita yang benar-benar telus mengenai apa sahaja isu hangat dalam negara.

Kalau tahun 70-an dan 80-an boleh dikatakan tidak semua yang mempunyai kemudahan internet di rumah tapi sekarang bukan setakat di rumah, malah di kedai-kedai mamak mahu pun restoran makanan segera sudah mempunyai akses.

Kini boleh dikatakan juga setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya sebuah komputer dan juga talian internet. Itu di rumah, tidak termasuk komputer riba milik anak-anak mereka yang belajar di universiti dan juga komputer riba 1Malaysia pemberian kerajaan.

Kepada pihak yang berkenaan, bukalah mata dan minda anda. Jangan ingat rakyat akan menerima setiap kenyataan yang dibuat secara bulat-bulat. Semuanya akan dinilai dan disiasat kesahihannya melalui internet.

Sebagai seorang pengamal media, penulis malu dan kesal kerana etika sebenar kewartawanan tidak dapat dipraktikkan di negara kita. Inilah realiti sebenar sebuah negara yang bernama Malaysia.

4/10/11

Patutlah naik bas, rupa-rupanya...



Dalam usaha untuk memenangi hati rakyat, Najib dan ‘suaminya’ Rosmah Mansor baru-baru ini sanggup mencemar duli menaiki bas menjelajah negeri Perak untuk bertemu rakyat.

Namun apa yang menjadi pertikaian sesetengah pihak ialah bas yang digunakan oleh Perdana Menteri itu tersangatlah mewah dan jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan bas yang menjadi pengangkutan seharian rakyat marhaen.

Ruang dalaman bas itu boleh disamakan dengan ruang jet peribadi yang lengkap dengan sofa. Kos bagi membina sebuah bas mewah itu bukanlah murah.

Namun bukan isu bas yang sedang bermain di fikiran penulis sekarang tapi berkenaan pesawat peribadi Airbus A319 yang digunakan oleh Perdana Menteri dan ‘suaminya’ ketika BERCUTI di Perth Australia pada Hari Kemerdekaan baru-baru ini.

Kos penyewaan pesawat berkenaan berjumlah RM9.1 juta yang mana menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kekerapan penggunaan pesawat itu adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara.

Nazri berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam Dewan Rakyat.

Menurut Nazri, kos penggunaan berjumlah RM9.1 juta itu meliputi kos bahan api pesawat, caj tempat dan kendali, sajian serta logistik krew pesawat.

Nazri juga mendedahkan pesawat itu disewa daripada Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) itu bermula 3 Ogos 2007 lagi untuk kegunaan pemimpin terpenting di dalam kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Patutlah langsung tiada pengumuman rasmi bahawa perdana menteri sedang bercuti sebagaimana lazim dilakukan oleh pejabatnya.

Lepas tu cuba nak kelentong rakyat dengan mengesahkan bahawa Najib memang berada di Perth bagi mendapat rawatan fisioterapi berikutan pembedahan di lututnya dan juga untuk bercuti.

Persoalannya ialah adil atau tidak bagi seseorang perdana menteri untuk bercuti dengan menggunakan dana kerajaan dan kapal terbang milik negara.

Kapalterbang Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) itu adalah dimiliki sepenuhnya oleh badan pelaburan kerajaan persekutuan Khazanah Nasional Bhd.

Sebelum ini, Dewan Rakyat tahun lalu juga dimaklumkan bahawa Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membelanjakan RM21.4 juta wang rakyat bagi pelbagai lawatan di luar negara sejak 2008.

Cincin hikmat misteri tengah cari tuan...


Isu cincin berlian bernilai RM24 Juta yang didakwa mempunyai kaitan dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kini kembali hangat apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan cincin berlian RM24 juta yang didakwa dibeli Rosmah benar-benar wujud.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tiada pembelian dibuat terhadap cincin itu. Ini bermakna, cincin berkenaan hanya ‘singgah’ sebentar di Malaysia untuk meninjau keadaan negara ini.

Pelik tapi benar. Bagaimana cincin yang bernilai tinggi itu mempunyai rekod kemasukan dalam negara ini namun ia tiada pembeli. Apakah ia sedang melancong, atau ia sebentuk cincin hikmat yang masih tercari-cari orang yang layak memilikinya.

Mungkin disebabkan terlalu banyak pengaruh-pengaruh tahyul yang kini banyak disiarkan di kaca televisyen menerusi slot drama dan juga filem-filem terkini.

Itulah...cakap ulama semua tak nak dengar. Orang suruh sokong ulama semua tarik muka. Sekarang bila dah timbul isu misteri ini tiada siapa yang dapat merungkai kemisterian cincin itu.

Kan dah susah, sekarang siapa nak jawab? Takkan nak mengharapkan bomoh-bomoh cabul yang ‘banyak’ dalam negara ni. Tak percaya cuba la belek-belek akhbar. Tahun ini sahaja dah berapa ramai ‘bomoh cabul’ kena tangkap.

Tapi yang membongkarkan kemisterian cincin hikmat yang mahal ini bukanlah bomoh atau pawang tapi hanyalah bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin yang langsung tiada ilmu-ilmu ghaib.

Badrul dapat mengesan kemasukan cincin itu bukanlah dari geluk air sakti atau mangkuk jampi tapi melalui INTERNET pada Julai lalu yang mana dakwanya ia diperoleh menerusi rekod kastam.

Dakwanya, rekod itu menunjukkan nama Rosmah dimuatkan dalam ruang penerima dalam borang pelanggan, yang didakwanya bukti menunjukkan pembabitan ‘suami’ Datuk Seri Najib Razak itu.

Badrul Hisham yang juga pengerusi NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melaporkannya kepada SPRM pada 13 Julai lalu.

Rosmah bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak mahu melayannya selepas dua minggu ia ditimbulkan.

29/09/11

Beza antara kita dan mereka...



 
Pada zaman yang serba canggih ini masih ada lagi segelintir rakyat di Malaysia yang terperangkap dalam pemikiran yang dangkal yang mana mereka sanggup bertindak seperti manusia di zaman purba.

Golongan ini langsung tiada pendirian yang kukuh dalam setiap apa yang diperjuangkan di atas tiket memperkasakan Melayu. Namun apa yang jelas, pemikiran politik serta tindakan mereka yang langsung tidak menampakkan mereka masyarakat yang moden dan terbuka.

Apa yang diperlihatkan oleh golongan ini hanyalah pemikiran dangkal dunia keempat yang mana mereka terlalu asyik dalam dunia samseng dan suka dengan pergaduhan.

Yang peliknya, mereka hanya berani jika jumlah ‘geng’ mereka lebih besar daripada pihak lawan, dan
jika sebaliknya, mereka hanya menikus dan mengambil pendekatan untuk ‘bersiar-siar sahaja di Taman Tasik Titiwangsa.

Inikah golongan pejuang yang mendakwa diri mereka memperkasakan bangsa dan agama? Apa yang penulis nampak mereka hanya lebih kepada memalukan bangsa dan agama sendiri.

Jika benar mereka pejuang bangsa, mengapa hanya bangsa sendiri yang berbeza idealogi dan pendapat dari segi perjuangan dan juga politik yang menjadi sasaran mereka?

Ini lebih kepada perjuangan yang mementingkan agenda politik khususnya dalam memberi sokongan kepada Umno dan langsung tiada usaha ke arah memeperjuangkan nasib bangsa dan rakyat sendiri.

Yang nyata, ahli mereka hanya akan memberi komitmen penuh jika mereka dijanjikan wang ringgit sebagai menyatakan sokongan mereka dalam sesuatu isu. Lihat sahaja ketika berlangsungnya perhimpunan BERSIH 2.0.

Sebelum perhimpunan lagi, golongan inilah yang lantang membantah rakyat daripada bangkit menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.

Namun bila tiba sahaja hari perhimpunan, ketua mereka tanpa rasa malu mengarahkan agar semua ahli bersiar-siar di Taman Tasik Titiwangsa.

Sudah tentu mereka sepatutnya merasa gerun dengan gelombang rakyat yang bangkit memperjuangkan hak bersuara. Apa yang lebih membanggakan, golongan rakyat yang turun ke jalanan pada BERSIH 2.0 langsung tidak diberi apa-apa insentif mahupun bayaran.

Apa yang pasti, mereka bukanlah terdiri daripada golongan yang kaya dan rata-ratanya hanyalah berpendapatan sederhana dan rendah, namun berkat dari keberkatan dan kesungguhan dalam memperjuangkan agama Allah, bangsa dan hak, mereka sanggup turun.

Umum mengetahui beberapa hari sebelum perhimpunan, semua akses untuk memasuki Kuala Lumpur disekat sepenuhnya sebagai usaha untuk menghalang kemaraan rakyat.

Namun apa kuasa mereka untuk menyekat ketentuan Allah S.W.T? Segala urusan golongan pejuang ini dipermudahkan. Malah ada segelintir yang menceritakan mereka seolah-olah ‘halimunan’ ketika melalui setiap sekatan jalan raya yang diadakan.

Terang bukan, segala apa yang diperjuangkan dengan niat ke jalan Allah sudah pasti akan dipermudahkan segala urusan oleh-Nya. Inilah perbezaan yang jelas antara kita dan mereka...

28/09/11

Barang Naik kembali lagi...


 
Dalam duk sibuk-sibuk pasal politik, isu hudud, isu gereja, isu liwat, isu Ahmad Sarbaini dan pelbagai isu lain, dalam senyap-senyap sempat juga ‘menyelitkan’ kenaikan harga.

Harga minyak sudah, susu tepung sudah, gula pun sudah, tarif elektrik sudah, Astro pun sudah, kali ini harga telur ayam pula yang naik. Bukan sesetengah gred, tapi harga telur ayam bagi semua gred dinaikkan sebanyak dua sen sebiji.

Alasan bagi kenaikan ini ialah kekurangan bekalan. Kenaikan itu menjadikan peningkatan RM2 untuk setiap 30 biji telur dari peringkat ladang, borong serta runcit.

Harga baru bagi telur ayam gred AA peringkat runcit meningkat kepada RM32.50 untuk 30 biji berbanding RM30.50 sebelum ini manakala telur gred A berharga RM32 berbanding RM30 bagi jumlah sama dan telur gred B RM31 berbanding RM29.

Sementara itu, harga untuk 30 biji telur ayam gred C ialah RM30 berbanding RM28 manakala gred D RM29 berbanding RM27. Kenaikan itu sudah tentu disambut baik oleh penyokong Umno di felda-felda, kampung-kampung, peniaga kuih berasaskan telur dan banyak golongan lain termasuk mereka yang berpendapatan rendah.

Angin tidak, ribut pun tidak tiba-tiba dinaikkan harga. Ketika ini, antara barangan keperluan yang naik di pasaran ialah bawang besar, bawang putih, kacang dal, rempah, ayam, daging, daging kambing, ikan, udang, sayur-sayuran, tepung beras, susu pekat manis, biji kopi dan serbuk teh.

Pasti ramai yang tersenyum terutama cai-cai Umno yang sememangnya menunggu berita kenaikan harga barangan ini. Sudah terang dan nyata, kerajaan mempunyai agendanya sendiri untuk mengumpul kekayaan dengan memerah hasil rakyat sementara masa masih ada sebelum PRU-13.

Mungkin kerana mereka takut dengan bayang-bayang sendiri bila memikirkan nasib yang bakal mereka hadapi jika gagal mempertahankan Putrajaya kelak. Dan mereka seharusnya berterima kasih kepada barangan runcit serta minyak petrol yang banyak membantu mereka menjadi kaya-raya.

Mana-mana penyokong Umno terutamanya di luar bandar, inilah masanya untuk anda berterima kasih dengan pemimpin yang selama ini leka menjerut leher rakyat.

Yang pastinya, akibat kenaikan harga barangan yang melampau itu, penulis sendiri turut menerima kesannya yang mana kini penulis sedang mengalami masalah kenaikan tekanan darah.

27/09/11

ZZzzZZ...Nak raih..zzZZzz undi aje tu..ZZzzz....



Lepas Shafie Apdal, Tun Abdullah juga tidak mahu ketinggalan untuk membuat kenyatakaan berhubung isu hudud yang hangat diperkatakan kini.

Dalam kenyataannya, beliau berkata isu pelaksanaan hudud yang dibangkitkan PAS baru-baru ini dilihat sebagai usaha parti itu menarik perhatian dan sokongan rakyat, memandangkan pilihan raya umum boleh diadakan bila-bila masa.

Menurut beliau yang baru bangkit dari tidur, ia kerana bukan sahaja pelaksanaan hudud, bahkan PAS sudahpun tidak mengambil peduli tentang penubuhan negara Islam sejak ia ‘berkawan’ dengan DAP.

Alahai..Tun..Tun..Nak bersuara tapi masih dalam keadaan mamai. Tak sedarkah Tun, siapa yang sibuk nak bangkitkan isu hudud ni kalau bukan Umno.

Gerakan sendiri pun enggan menerima hudud malah sanggup ‘bercerai’ dengan Umno. Semuanya kerana apa? Golongan bukan Islam dalam kalangan pemimpin Umno sendiri pun pada penulis masih belum mengerti apa sebenarnya hukum Hudud.

Malah mereka masih lagi berpaksikan kepada tanggapan negatif terhadap hukum Allah ini. Langsung tiada sebarang usaha oleh pihak yang mengaku Islam di dalam Umno untuk menerangkan apa sebenarnya hukum Allah ini.

Bukan sahaja tidak diberi penerangan, ditambah pula dengan momokan-momokan negatif yang membuatkan golongan bukan Islam ‘kecut perut ‘ bila mendengarnya.

Terima kasih buat Umno yang mengaku Islam hingga berjaya memberi penerangan mengenai kaedah sebenar hukum Allah ini kepada golongan bukan Islam hinggakan bak kata Tok Guru Nik Aziz, dengar saja hudud, takut macam jumpa hantu.

Cermin diri sebelum 'sound' orang lain...



Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menempelak ‘demokrasi’ pembangkang berhubung perbalahan mereka dalam isu pelaksanaan hukum hudud yang dakwanya bertentangan dengan kebebasan bersuara dan demokrasi yang dilaung-laungkan selama ini.

Shafie berkata, pakatan pembangkang terdiri DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat sentiasa berkata mereka memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara, namun mereka sendiri sebenarnya menyekat hak untuk bersuara bagi anggota mereka.

Terlebih dahulu, penulis ingin bertanya, siapa yang terlebih dahulu menghancurkan sistem Demokrasi di Malaysia, pembangkan atau kerajaan yang dinaungi oleh Umno?

Sebelum ini, hak kebebasan bersuara untuk rakyat secara terang-terangan dinafikan oleh kerajaan. Rakyat langsung tidak berpeluang menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan.

Seperti biasa, polis digunakan oleh kerajaan untuk menidakkan hak rakyat dalam kebebasan bersuara sedangkan dalam demokrasi termaktub bahawa rakyat boleh menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka. Tapi ia dinafikan dengan sekeras-kerasnya oleh pihak pemerintah.

Ini jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi yang didakwa diamalkan di Malaysia. Mungkin mereka tidak faham apa yang dimaksudkan dengan demokrasi sebenar.

Biar penulis jelaskan, konsep demokrasi adalah mengenai kerajaan yang dikawal oleh rakyat. Untuk berlakunya sistem sedemikian, pengundi yang mengetahui isu-isu semasa amat penting. Untuk mengetahui pula, tidak harus ada batasan berkenaan laluan maklumat dan idea.

Di negara ini langsung amalan demokrasi langsung tidak wujud kerana mereka yang berkuasa boleh memanipulasikan pengundi dengan menghalang maklumat dan menyekat kritikan.

Hak kebebasan bersuara pun dinafikan, inikan pula nak berhujah pasal demokrasi sedangkan ia diiktiraf sebagai hak asasi manusia di dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politikal (ICCPR).

ICCPR mengiktiraf hak kebebasan bersuara sebagai "hak mendapatkan pendapat tanpa gangguan. Kesemua manusia akan mempunyai hak untuk menyatakan pendapat".

Jadi kepada pihak yang berkenaan, jika nak bersuara sekalipun cermin diri dahulu sebelum menempelak orang lain..!!