21/02/12

Debat: KDN perlu main peranan...




Akhbar harian milik MCA, The Star sekali lagi membuat onar dengan menyiarkan laporan palsu berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika berdebat dengan Presiden MCA, Datuk Ser Dr Chua Soi Lek.

Kesilapan itu didakwa berlaku apabila kenyataan Lim Guan Eng disalah tafsirkan oleh media milik MCA itu hinggakan ia jelas berbaur perkauman dan hasutan.

Ini bukan sekali kebiadapan yang dibuat oleh akhbar milik MCA itu di mana sebelum ini akhbar berkenaan pernah menyiarkan iklan buffet Ramadhan yang terkandung hidangan babi.

Hal ini jelas menunjukkan pihak editorial akhbar itu tidak peka terhadap isu yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum di negara ini.

Semua orang tahu bahawa akhbar berkenaan telah lama bertapak di Malaysia dan merupakan antara sebuah media yang kukuh dalam negara, jadi perkara yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum tidak seharusnya timbul.

Ramai juga yang tahu terutamanya bagi pengamal media bahawa dalam proses penerbitan sesebuah akhbar, setiap bahan berita akan melalui beberapa proses penyuntingan termasuk suntingan yang dibuat pada layout dan agak mustahil jika mereka yang bertanggungjawab menjalankan proses tapisan ini ‘terlepas pandang’ dengan perkara ini.

Hal ini juga jelas melanggar etika kewartawanan, namun apa ada pada etika itu jika ia secara jelas sudah tidak lagi diamalkan di negara ini akibat kekangan daripada pihak berkenaan.

Setidak-tidaknya pihak kerajaan perlu memikirkan jalan penyelesaian bagi menguatkuasakan semula etika kewartawanan untuk diaplikasikan oleh setiap pengamal media dalam negara ini.

Jadi tidak hairanlah jika media alternatif lebih menjadi pilihan berbanding media arus perdana yang dilihat hanya condong kepada sebelah pihak sahaja.

Hal ini tidak mustahil akan menimbulkan rasa benci dan meluat masyarakat kepada akhbar arus perdana seterusnya membuatkan mereka lebih selesa memilih media alternatif yang akhirnya membawa kepada kerugian seterusnya menyebabkan syarikat gulung tikar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlulah memainkan peranan dengan telus tanpa sebarang diskriminasi terhadap akhbar arus perdana mahupun saluran media alternatif.

Ini kerana, media merupakan salah satu sumber maklumat yang memainkan peranan dalam menyampaikan berita, maklumat serta info yang penting pada mereka. Justeru ketelusan media dalam menjalankan amanah menyampaikan berita perlu dititikberatkan.

Pada pandangan penulis, pihak KDN perlu mengambil tindakan terhadap akhbar The Star yang jelas mempunyai niat tertentu dalam menyampaikan berita berkenaan. Paling tidak pun mereka perlu disiasat dan diberi tindakan sewajarnya.

Jangan kerana MCA salah satu komponen Barisan Nasional/Umno, maka mereka boleh terlepas dengan begitu sahaja kerana ini akan mengundang persepsi negatif rakyat terhadap kementerian itu. Jika akhbar saluran alternatif boleh diambil tindakan, digantung lesen dan sebagainya, mengapa tidak mereka..???  

Generasi kita kian parah...




Siri serangan samseng yang bermotifkan politik di negara ini semakin menjadi-jadi apabila golongan ini bertindak di luar batasan dengan merosakkan harta benda orang lain.

Semalam, empat individu telah dipanggil bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian di Sembrong pada malam Ahad lalu.

Penulis difahamkan ketika serangan berlaku, lebih 30 buah motosikal dan belasan buah kereta turut mengiringi dan mengganggu ceramah yang dibuat oleh pihak pembangkang.

Ini bermakna kumpulan ini tidak bertindak dalam kumpulan yang kecil yang mana mungkin melibatkan puluhan orang, namun dalam ramai-ramai samseng itu hanya empat sahaja yang berjaya dikesan dan dipanggil polis untuk siasatan.

Apa yang penulis faham, ketika ceramah melibatkan parti pembangkang berlangsung, ia sudah pasti dikawal selia oleh pihak polis bagi menjamin keamanan dan mengelakkan timbul perkara yang tidak diingini.

Adakah ceramah yang diadakan di Sembrong Ahad lalu tidak dikawal oleh pihak berkuasa? Jika ada, mengapa mereka dilihat tidak memainkan peranan mengawal keadaan hingga berlaku kerosakan harta benda akibat perbuatan kumpulan samseng ini?

Timbul lagi banyak tanda tanya dalam benak penulis, apakah kumpulan samseng ini diupah untuk mengkucar-kacirkan sebarang aktiviti melibatkan parti pembangkang? Jika benar, oleh siapa?

Membanteras budaya samseng memang sudah dimulakan oleh pihak berwajib bermula di peringkat sekolah lagi, namun ianya tidak akan berkesan jika di pihak kepimpinan sendiri menggunakan ‘khidmat’ samseng untuk berpolitik.

Jadi, jangan salahkan ibu bapa dan pihak sekolah jika ada generasi pelapis kita yang terlibat dengan gejala samseng ini. Ini sama macam ‘ketam nak mengajar anaknya berjalan lurus’.

Bukan niat penulis untuk menyalahkan mana-mana pihak dalam hal ini, tetapi apa yang penulis cuba sampaikan ini lahir dari pemikiran penulis yang tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan golongan cerdik pandai lain.

Semalam, dalam satu siding akhbar, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata, kejadian di pejabat PKR di Jalan Mersing di Sembrong itu membabitkan kira-kira 50 hingga 80 anak muda yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 18 tahun.

Jika benar dakwaan yang dibuat oleh Saifuddin, maknanya generasi pelapis kita makin parah dan sanggup terjebak dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang ini.

20/02/12

Debat: Beranikah DS Najib??




Lim Guan Eng dan Chua Soi Lek telah menunjukkan kredibiliti mereka sebagai pemimpin yang berani untuk berdebat secara terbuka bagi membicarakan isu-isu berkaitan.

Penulis percaya, kini rakyat amat mendambakan debat terbuka sebegini diadakan dengan menampilkan dua orang penting dalam negara iaitu DS Najib dan DS Anwar.

DS Anwar telah menyatakan kesudian beliau untuk berhadapan dengan DS Najib dalam debat bila-bila masa sahaja untuk meberi peluang kepada rakyat menilai pemimpin yang bakal mereka pilih pada PRU-13 nanti.

Pelbagai andaian dan tidak kurang juga tohmahan yang dibuat oleh pelbagai lapisan masyarakat bila mana DS Najib hanya mengambil tindakan berdiam diri apabila dicabar oleh DS Anwar untuk berdebat.

Timbul persoalan dalam diri setiap masyarakat, adakah DS Najib berani untuk menyahut cabaran ini? Atau apakah beliau hanya berani menghantar wakilnya sahaja sebagaimana yang berlaku sebelum ini?

Amat malang bagi DS Najib bila wakil yang dihantar untuk berdebat hanya mampu melemparkan kata-kata berunsur serangan peribadi tanpa menghujahkan sebarang fakta berkaitan isu-isu dalam Negara.

Jika wakilnya pun sudah dilihat gagal, apakah beliau sendiri mampu mengatasi hujah-hujah yang bakal diutarakan oleh DS Anwar?

Penulis dapat merasakan pisang bakal berbuah dua kali. Malah mungkin lebih teruk daripada wakil beliau, Datuk Sabri Cheek. Buat masa ini, DS Najib hanya berani melontarkan kata-kata ‘bernas’nya di dalam siri ceramah yang beliau adakan di seluruh Negara sahaja tanpa berhadapan dengan orang yang sepatutnya.

Mungkin DS Najib berpegang teguh pada peribahasa ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Takut-takut kalau terlepas poin-poin bernas yang mampu melingkupkan BN/Umno di Pulihan raya umum nanti.

Harap-harap, DS Najib akan lebih berani dan bersifat terbuka serta menyahut cabaran yang dibuat oleh DS Anwar untuk berdebat yang mana dalam masa yang sama ia akan merungkaikan setiap permasalahan Negara, berkaitan defisit hutang, masalah dalaman parti serta perkembangan ekonomi terkini negara yang masih lagi samar.  

Penulis juga percaya, jika debat ini diadakan, secara tidak langsung rakyat akan lebih menaruh kepercayaan kepada pemimpin yang berani menyahut setiap cabaran dari pembangkang.

Secara tidak langsung juga akan meningkatkan jumlah undi dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun semua ini hanya tinggal andaian semata-mata seandainya DS Najib masih lagi belum mendapat ‘seru’ untuk berada di pentas debat dan berhadapan dengan musuh politik beliau.

Namun.. Beranikah DS Najib???

16/02/12

Najib buat aku loya di pagi hari...




Loya tekak bila mendengar DS Najib membuat kenyataan berhubung Himpunann Hijau 2.0 yang menbantah tindakan kerajaan membenarkan Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) membina pusat memproses nadir bumi di Gebeng pada 26 Februari ini.

Apabila ditanya adakah beliau akan mengambil tindakan terhadap peserta perhimpunan itu, beliau berkata, semua orang mempunyai hak untuk berhimpun dan tiada sebab untuknya mengambil tindakan terhadap  peserta perhimpuan itu. 

"Mengapa kita harus bertindak terhadap perhimpunan itu? Setiap orang mempunyai hak untuk berhimpun.

"Jika mereka mematuhi undang-undang, kenapa kita perlu untuk bertindak terhadap mereka?" soalnya lagi.

Najib turut berkata, di bawah Akta Perhimpunan yang baru diluluskan kerajaan, rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman.

Mengapa DS Najib tidak berkata demikian ketika perhimpunan BERSIH sebelum ini? Mungkin perhimpunan Hijau ini tidak menggugat survival politik beliau sebagaimana BERSIH.

Sebab itulah DS Najib dengan penuh yakin menyatakan perlembagaan yang sepatutnya diamalkan. 
Maknanya Najib tahu hak rakyat untuk berhimpun termaktub dalam perlembagaan, asalkan himpunan itu tidak menjejaskan periuk nasi beliau dalam politik.

Jangan pula lepas perhimpunan, penganjurnya dipanggil pihak polis dan dituduh mengadakan perhimpunan haram sebagaimana yang berlaku pada perhimpunan 901 baru-baru ini.

Sebelum perhimpunan, sceara terang-terangan pihak polis member kelulusan untuk berhimpun dengan beberapa syarat dan semua syarat yang dikenakan dipatuhi oleh penganjur dan peserta, namun selepas beberapa minggu, lain pula jadinya.

Semuanya cakap tak serupa bikin.. Dah kena tipu macam ni pun masih ramai lagi yang buta mata dan buta hati menyokong penipu dan perompak…



15/02/12

Pilihan Raya Malaysia: Masih perlu pemBERSIHan





Menjelang pilihan raya umum pelbagai spekulasi serta provokasi berlaku di mana-mana sahaja dalam negara baik dari pemimpin mahupun antara penyokong parti lain.

Di mana sahaja pasti berlaku insiden pergaduhan yang mana langsung tidak boleh diterima akal sebab musababnya.

Namun bukan isu pergaduhan yang perlu dicari penyelesaian utama kerana perkara ini sudah nberlarutan sejak berkurun lamanya dalam negara.

Apa yang cuba disampaikan penulis ialah berkenaan dengan ketelusan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam menjalankan tugas memastikan kelancaran serta proses pilihan raya.

Pelbagai sistem dan cara dicadangkan oleh pelbagai pihak sebagai usaha untuk menjamin pilihanraya yang telus. Namun, walau secanggih mana pun sistem yang digunakan tidask kiralah biometrik atau sistem dakwat kekal, masih lagi berlaku kepincangan dalam isu daftar pemilih.

Terbaru, sebanyak 60 pengundi dengan alamat palsu dikesan di Lobak, Negeri Sembilan. Dalam kes terbaru ini, 60 pengundi berkenaan didaftarkan sebagai penduduk Taman Sri Amber, Seremban, tetapi nombor rumah yang diberikan tidak wujud.

Rumah-rumah di Taman Sri Amber bermula dengan nombor 400. Tetapi dalam system daftar pemilih ‘tercipta’ pula nombor rumah lain seperti nombor 24, 32, 48, 101, 131, 180, 201, 222 dan 301, sedangkan ia jelas tidak wujud.

Rumah pangsa itu hanya mempunyai satu blok, tetapi dalam daftar pemilih tambahan terdapat beberapa pengundi yang didaftarkan dengan alamat "Blok B" dan "Blok C", yang tidak wujud.

Satu lagi keanehan dalam daftar pemilih itu ialah 90 peratus daripada 670 pengundi baru yang didaftarkan pada suku terakhir itu terdiri dari bangsa tertentu sahaja.

Pengundi dengan latar belakang yang mencurigakan itu dipercayai telah didaftarkan, Ini adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana memberikan maklumat palsu dalam borang pendaftaran pengundi.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Jelas di sini, Pilihan Raya Malaysia amat memerlukan pemBERSIHan bagi memastikan ia berjalan dengan telus dan adil.

Kepada pihak yang berkenaan..”Jika takut dilanda tsunami, jangan berumah di tepi pantaiiii”…..