6/10/11

Guna duit rakyat untuk tembak rakyat...



Sejumlah 262 kanister gas pemedih mata telah digunakan untuk menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai, demikian menurut satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menjawab soalan ahli parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng, Kementerian Dalam Negeri berkata 226 peluru gas pemedih mata (TS Shell) dan 36 bom gas pemedih mata (TS Grenades) digunakan ke atas penunjuk perasaan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kos TS Shell TS dan TS Grenades ialah masing-masing RM79.76 dan RM135 (tiap satu).

Katanya, kerajaan membelanjakan RM22,855.76 untuk membelinya.

Dahsyat bukan? Untuk satu PERHIMPUNAN AMAN sahaja, sebanyak hampir RM23,000 dibelanjakan untuk tembak rakyat sedangkan ketika itu langsung tiada demonstrans yang melepaskan tembakan, membaling molotov cocktail, merejam lembing atau buluh runcing jauh sekali memanah.

Apa tujuannya? Dan atas dasar apa duit sebanyak itu dihabiskan semata-mata nak menyuraikan satu PERHIMPUNAN AMAN? Ini salah satu pembaziran duit rakyat yang tidak sepatutnya berlaku.

Rakyat tidak membayar cukai yang tinggi semata-mata untuk ditembak dan disembur dengan meriam air, tapi duit cukai itu diamanahkan kepada pemimpin untuk memaju dan memakmurkan negara bukan memenuhkan tembolok sendiri.

Walaupun jumlah sebanyak itu kecil sahaja bagi pihak kerajaan namun ia lebih wajar dibelanjakan untuk membantu mereka yang lebih memerlukan sebab bagi golongan miskin RM22,855.76 bukanlah satu nilai yang kecil.

Sedangkan Rejim Zionis menggunakan gas pemedih mata ke atas bangsa yang asing bagi mereka untuk menakluk negara orang, ini sudahlah menggunakan duit rakyat, untuk tembak rakyat sendiri pula itu.

Drama menikus musim kedua...

 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan ‘suami’nya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan tampil ke mahkamah sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan kes liwat II.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang hari ini menolak sepina yang menuntut mereka hadir sebagai saksi pembelaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membenarkan permohonan Najib dan Rosmah bagi mengketepikan sepina itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, memutuskan mereka adalah tidak relevan dan bukan saksi utama dalam perbicaraan itu.

Jika sebelum ini, beliau dengan lantang bak perajurit yang sedia untuk berkorban demi negara mengatakan bahawa beliau tidak takut dan boleh bersemuka dengan DS Anwar bila-bila masa sahaja, tapi sekarang lain pula jadinya.

Pihak pembelaan telah cuba mewawancara Najib dan Rosmah pada Ogos lalu tetapi mereka enggan menjadi saksi pembelaan dan berkata akan hanya tampil jika disepina.

Namun apabila sepina dikeluarkan, mereka memilih untuk mengketepikannya pula.

Sepina meminta perdana menteri tampil itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung mesyuarat pada 24 Jun 2008, berikutan satu pertemuan yang diaturkan oleh pembantu Najib, Datuk Khairil Annas dengan pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini jelas sekali menunjukkan Najib hanya berani dan lantang di belakang tabir sahaja namun bila diminta tampil di barisan hadapan, beliau dengan menikus menyorok dan enggan tampil.

Pemimpin beginikah yang perlu disokong oleh rakyat? Rasanya kalaulah berlaku perang dalam Malaysia, orang pertama yang akan melarikan diri ke luar negara dengan pesawat Boeing A319 tidak lain dan tidak bukan Najib dan ‘suaminya’.

Bukan beliau pun yang akan didakwa, beliau hanya perlu hadir dan beri keterangan sahaja di mahkamah takkan itu pun nak takut. Sebelum itu beriya sangat nak kena ada Sepina baru nak pergi mahkamah, tapi bila dah disepina, menikus pula.

Berani kerana benar, takut kerana penakut...

Yang seorang pun gagal didakwa...



Pihak polis sekali lagi menunjukkan ke’profesional’an mereka apabila gagal mendakwa anggotanya yang dikenal pasti melanggar SOP ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0.

Walaupun anggota tersebut telah DIKENALPASTI, namun tiada pendakwaan yang boleh dibuat ke atasnya kerana mendakwa ketiadaan saksi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin menyatakan pihak polis telah mengenal pasti SEORANG anggotanya dari 11,045 anggota polis yang dikerahkan untuk menyurai perhimpunan tersebut.

Hari ini pula, tiada dakwaan yang boleh dibuat ke atas anggotanya yang seorang ini kerana ketiadaan saksi. Pusing, putar, belit dan lingkup, senang cerita tiada seorang pun anggota polis yang melanggar SOP pada perhimpunan itu.

Jadi segala siasatan dan pengumpulan video dari saksi dan internet adalah sia-sia belaka. Pada penulis, segala video yang tersebar di internet sudah cukup untuk dijadikan sebagai bukti, namun dibelit dan putar jadi ketiadaan saksi.

Pada penulis, kenyataan yang dibuat oleh pihak berkenaan dalam menangani isu ini hanyalah sekadar melepas batuk di tangga dan langsung tidak bertanggungjawab.

Yang paling pelik, boleh dikatakan hampir semua anggota polis kecuali pegawai atasan tidak memakai nombor badan yang sepatutnya wajib dipakai oleh anggota polis.

Apabila soalan ini diajukan kepada Hishammuddin dalam satu sesi temuramah, beliau mendakwa anggota polis berkenaan adalah polis simpanan dan tidak perlu memakai tanda nombor sebagai anggota.

Seingat penulis, bukan setakat polis simpanan sahaja yang mempunyai nombor di badan, malah anggota polis bantuan bagi mana-mana organisasi pun memiliki nombor ini.

Apakah ia salah satu cara yang digunakan pihak berkenaan untuk mengelakkan anggota mereka dikenalpasti melanggar SOP? Jika benar, ia pastinya perancangan yang bijak kerana mereka sudah pun berjaya ‘meloloskan’ diri dari sebarang pendakwaan.

Ini seorang, bagaimana pula anggota lain yang secara terang-terangan melanggar SOP sebagaimana yang ditayangkan dalam ratusan video di laman Youtube?

5/10/11

Nampak sangat bohongnya..

 
 
Seramai 11,045 anggota polis dikerah dari seluruh negara bagi menyuraikan demonstrasi Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Namun dalam ribuan anggota polis itu hanya seorang sahaja dikenalpasti telah melanggar Standard Operation Procedure (SOP) ketika cuba menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 di Hospital Tung Shin.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien kejadian berkenaan telah diperbesar-besarkan dan polis tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya terhadap situasi semasa perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya itu.

Nampak tak apa yang sedang berlaku sekarang? Siapa yang tak nampak? Nampak ke tidak? Penulis nampak dengan jelas. Apa yang penulis nampak? Penulis nampak dengan jelas dan nyata Hishammudddin sedang kencing bersepah.

Nampak sangat bohongnya..bukan setakat dalam Youtube, malah boleh dikatakan ribuan gambar kekejaman pihak polis ketika menyuraikan perhimpunan itu tersebar di internet.

Jangan ingat rakyat buta dan pekak dalam menilai setiap tindak tanduk dan apa sahaja yang berlaku dalam negara ini. Sememangnya media arus perdana memainkan peranan penting dalam menyebarkan apa yang berlaku pada ketika itu kepada umum.

Namun harus diingat, tidak semua media arus perdana itu menjadi pilihan pembaca kerana terlalu banyak penipuan dan putar belit yang dimainkan mereka. Tak perlulah penulis menerangkan satu persatu tentang etika kewartawanan sebab dalam negara ini etika tersebut ibarat sampah. Langsung tiada guna.

Maka internetlah menjadi wadah utama pembaca untuk mendapatkan berita yang benar-benar telus mengenai apa sahaja isu hangat dalam negara.

Kalau tahun 70-an dan 80-an boleh dikatakan tidak semua yang mempunyai kemudahan internet di rumah tapi sekarang bukan setakat di rumah, malah di kedai-kedai mamak mahu pun restoran makanan segera sudah mempunyai akses.

Kini boleh dikatakan juga setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya sebuah komputer dan juga talian internet. Itu di rumah, tidak termasuk komputer riba milik anak-anak mereka yang belajar di universiti dan juga komputer riba 1Malaysia pemberian kerajaan.

Kepada pihak yang berkenaan, bukalah mata dan minda anda. Jangan ingat rakyat akan menerima setiap kenyataan yang dibuat secara bulat-bulat. Semuanya akan dinilai dan disiasat kesahihannya melalui internet.

Sebagai seorang pengamal media, penulis malu dan kesal kerana etika sebenar kewartawanan tidak dapat dipraktikkan di negara kita. Inilah realiti sebenar sebuah negara yang bernama Malaysia.

4/10/11

Patutlah naik bas, rupa-rupanya...



Dalam usaha untuk memenangi hati rakyat, Najib dan ‘suaminya’ Rosmah Mansor baru-baru ini sanggup mencemar duli menaiki bas menjelajah negeri Perak untuk bertemu rakyat.

Namun apa yang menjadi pertikaian sesetengah pihak ialah bas yang digunakan oleh Perdana Menteri itu tersangatlah mewah dan jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan bas yang menjadi pengangkutan seharian rakyat marhaen.

Ruang dalaman bas itu boleh disamakan dengan ruang jet peribadi yang lengkap dengan sofa. Kos bagi membina sebuah bas mewah itu bukanlah murah.

Namun bukan isu bas yang sedang bermain di fikiran penulis sekarang tapi berkenaan pesawat peribadi Airbus A319 yang digunakan oleh Perdana Menteri dan ‘suaminya’ ketika BERCUTI di Perth Australia pada Hari Kemerdekaan baru-baru ini.

Kos penyewaan pesawat berkenaan berjumlah RM9.1 juta yang mana menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kekerapan penggunaan pesawat itu adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara.

Nazri berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam Dewan Rakyat.

Menurut Nazri, kos penggunaan berjumlah RM9.1 juta itu meliputi kos bahan api pesawat, caj tempat dan kendali, sajian serta logistik krew pesawat.

Nazri juga mendedahkan pesawat itu disewa daripada Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) itu bermula 3 Ogos 2007 lagi untuk kegunaan pemimpin terpenting di dalam kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Patutlah langsung tiada pengumuman rasmi bahawa perdana menteri sedang bercuti sebagaimana lazim dilakukan oleh pejabatnya.

Lepas tu cuba nak kelentong rakyat dengan mengesahkan bahawa Najib memang berada di Perth bagi mendapat rawatan fisioterapi berikutan pembedahan di lututnya dan juga untuk bercuti.

Persoalannya ialah adil atau tidak bagi seseorang perdana menteri untuk bercuti dengan menggunakan dana kerajaan dan kapal terbang milik negara.

Kapalterbang Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) itu adalah dimiliki sepenuhnya oleh badan pelaburan kerajaan persekutuan Khazanah Nasional Bhd.

Sebelum ini, Dewan Rakyat tahun lalu juga dimaklumkan bahawa Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membelanjakan RM21.4 juta wang rakyat bagi pelbagai lawatan di luar negara sejak 2008.

Cincin hikmat misteri tengah cari tuan...


Isu cincin berlian bernilai RM24 Juta yang didakwa mempunyai kaitan dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kini kembali hangat apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan cincin berlian RM24 juta yang didakwa dibeli Rosmah benar-benar wujud.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tiada pembelian dibuat terhadap cincin itu. Ini bermakna, cincin berkenaan hanya ‘singgah’ sebentar di Malaysia untuk meninjau keadaan negara ini.

Pelik tapi benar. Bagaimana cincin yang bernilai tinggi itu mempunyai rekod kemasukan dalam negara ini namun ia tiada pembeli. Apakah ia sedang melancong, atau ia sebentuk cincin hikmat yang masih tercari-cari orang yang layak memilikinya.

Mungkin disebabkan terlalu banyak pengaruh-pengaruh tahyul yang kini banyak disiarkan di kaca televisyen menerusi slot drama dan juga filem-filem terkini.

Itulah...cakap ulama semua tak nak dengar. Orang suruh sokong ulama semua tarik muka. Sekarang bila dah timbul isu misteri ini tiada siapa yang dapat merungkai kemisterian cincin itu.

Kan dah susah, sekarang siapa nak jawab? Takkan nak mengharapkan bomoh-bomoh cabul yang ‘banyak’ dalam negara ni. Tak percaya cuba la belek-belek akhbar. Tahun ini sahaja dah berapa ramai ‘bomoh cabul’ kena tangkap.

Tapi yang membongkarkan kemisterian cincin hikmat yang mahal ini bukanlah bomoh atau pawang tapi hanyalah bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin yang langsung tiada ilmu-ilmu ghaib.

Badrul dapat mengesan kemasukan cincin itu bukanlah dari geluk air sakti atau mangkuk jampi tapi melalui INTERNET pada Julai lalu yang mana dakwanya ia diperoleh menerusi rekod kastam.

Dakwanya, rekod itu menunjukkan nama Rosmah dimuatkan dalam ruang penerima dalam borang pelanggan, yang didakwanya bukti menunjukkan pembabitan ‘suami’ Datuk Seri Najib Razak itu.

Badrul Hisham yang juga pengerusi NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melaporkannya kepada SPRM pada 13 Julai lalu.

Rosmah bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak mahu melayannya selepas dua minggu ia ditimbulkan.

29/09/11

Beza antara kita dan mereka...



 
Pada zaman yang serba canggih ini masih ada lagi segelintir rakyat di Malaysia yang terperangkap dalam pemikiran yang dangkal yang mana mereka sanggup bertindak seperti manusia di zaman purba.

Golongan ini langsung tiada pendirian yang kukuh dalam setiap apa yang diperjuangkan di atas tiket memperkasakan Melayu. Namun apa yang jelas, pemikiran politik serta tindakan mereka yang langsung tidak menampakkan mereka masyarakat yang moden dan terbuka.

Apa yang diperlihatkan oleh golongan ini hanyalah pemikiran dangkal dunia keempat yang mana mereka terlalu asyik dalam dunia samseng dan suka dengan pergaduhan.

Yang peliknya, mereka hanya berani jika jumlah ‘geng’ mereka lebih besar daripada pihak lawan, dan
jika sebaliknya, mereka hanya menikus dan mengambil pendekatan untuk ‘bersiar-siar sahaja di Taman Tasik Titiwangsa.

Inikah golongan pejuang yang mendakwa diri mereka memperkasakan bangsa dan agama? Apa yang penulis nampak mereka hanya lebih kepada memalukan bangsa dan agama sendiri.

Jika benar mereka pejuang bangsa, mengapa hanya bangsa sendiri yang berbeza idealogi dan pendapat dari segi perjuangan dan juga politik yang menjadi sasaran mereka?

Ini lebih kepada perjuangan yang mementingkan agenda politik khususnya dalam memberi sokongan kepada Umno dan langsung tiada usaha ke arah memeperjuangkan nasib bangsa dan rakyat sendiri.

Yang nyata, ahli mereka hanya akan memberi komitmen penuh jika mereka dijanjikan wang ringgit sebagai menyatakan sokongan mereka dalam sesuatu isu. Lihat sahaja ketika berlangsungnya perhimpunan BERSIH 2.0.

Sebelum perhimpunan lagi, golongan inilah yang lantang membantah rakyat daripada bangkit menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.

Namun bila tiba sahaja hari perhimpunan, ketua mereka tanpa rasa malu mengarahkan agar semua ahli bersiar-siar di Taman Tasik Titiwangsa.

Sudah tentu mereka sepatutnya merasa gerun dengan gelombang rakyat yang bangkit memperjuangkan hak bersuara. Apa yang lebih membanggakan, golongan rakyat yang turun ke jalanan pada BERSIH 2.0 langsung tidak diberi apa-apa insentif mahupun bayaran.

Apa yang pasti, mereka bukanlah terdiri daripada golongan yang kaya dan rata-ratanya hanyalah berpendapatan sederhana dan rendah, namun berkat dari keberkatan dan kesungguhan dalam memperjuangkan agama Allah, bangsa dan hak, mereka sanggup turun.

Umum mengetahui beberapa hari sebelum perhimpunan, semua akses untuk memasuki Kuala Lumpur disekat sepenuhnya sebagai usaha untuk menghalang kemaraan rakyat.

Namun apa kuasa mereka untuk menyekat ketentuan Allah S.W.T? Segala urusan golongan pejuang ini dipermudahkan. Malah ada segelintir yang menceritakan mereka seolah-olah ‘halimunan’ ketika melalui setiap sekatan jalan raya yang diadakan.

Terang bukan, segala apa yang diperjuangkan dengan niat ke jalan Allah sudah pasti akan dipermudahkan segala urusan oleh-Nya. Inilah perbezaan yang jelas antara kita dan mereka...