7/10/11

Bajet 2012: Untuk rakyat atau pilihan raya?

 
 
Intipati bajet yang dibentangkan oleh DS Najib hari ini agak mengecewakan kerana ia tidak memberi kelebihan kepada rakyat secara menyeluruh.

Kebanyakan belanjawan bagi tahun hadapan disalurkan ke arah kemajuan infrastruktur semata-mata tanpa mementingkan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

Bagi kakitangan kerajaan mereka boleh tersenyum namun tidak selebar yang diharapkan dengan pengumuman bonus setengah bulan gaji namun apa pula nasib kakitangan swasta dan juga golongan yang bekerja sendiri dengan pendapatan yang tidak seberapa?

Ramai yang menjangkakan kakitangan kerajaan pasti mendapat imbuhan sekurang-kurangnya sebulan gaji namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Dalam jangkaan penulis, walau setinggi manapun bonus atau kenaikan gaji yang diberikan kepada kakitangan kerajaan ia masih tetap sama.

Kalau tak percaya, tunggu selepas PRU-13 jika Umno/BN menang, pasti harga barangan akan naik, subsidi tentu ada yang ditarik balik dan segala apa yang dikatakan untuk membantu rakyat menanggung kos sara hidup sudah jauh tercampak ke laut.

Alasan yang diberi oleh pak menteri yang terlibat cukup mudah, "Kita menaikkan harga selaras dengan harga pasaran dunia." Yang peliknya takkan kenaikan harga kangkung pun nak kena ikut harga pasaran dunia.

Pembentangan bajet bagi penulis hanyalah salah satu drama lama yang diulang tayang setiap tahun di bulan Oktober. Seingat penulis, pada pembentangan belanjawan tahun lalu, kerajaaan turut mengumumkan pemansuhan yuran persekolahan tapi sekarang ibu bapa tetap dikenakan bayaran yang tukar hanyalah namanya sahaja.

Ada yang mengatakan bahawa bayaran itu dikenakan oleh pihak sekolah dan bukan ditetapkan oleh kerajaan. Jika benar mengapa kementerian pelajaran tidak mengambil tindakan ke atas pihak pengurusan sekolah terbabit?

Sebagaimana yang penulis katakan tadi, tidak semua yang menikmati ‘hasil’ pembentangan bajet bagi tahun 2012. Sebagai contoh, pasal pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi mengimport kereta hibrid serta elektrik yang akan dilanjutkan sehingga 2013. Berapa ramai rakyat Malaysia yang mampu beli kereta hibrid ni? Harganya paling bangang pun RM98,000.

Inilah yang yang penulis katakan ulang tayang filem lama, mana yang tak mampu nak fikir panjang tu sudah pasti tersenyum lebar dengan bonus setengah bulan. Yang lain pula ternganga la gigit jari. Apa yang penulis harapkan hanyalah pengumuman penurunan harga barangan, itu pun sudah cukup membuatkan seluruh rakyat marhaen tersenyum lega....namun, hampa juga..

Senang cerita, bajet ini bukan untuk rakyat tapi untuk undian rakyat....

INTIPATI BAJET 2012


Jumlah bajet - RM232.8 bilion
Perbelanjaan Operasi - RM181.6 bilion
Perbelanjaan Pembangunan - RM51.2 bilion

Tahun lalu, perkembangan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia paling kukuh di Asia bagi enam bulan pertama tahun ini dan mencecah RM21.2 bilion.

Kerajaan menjangkakan pertumbuhan ekonomi terus mantap antara 5 dan 5.5 peratus bagi tahun ini. Pertumbuhan bagi 2012 dijangkakan antara 5 dan 6 peratus, meskipun ekonomi global diramalkan perlahan.

Defisit bajet buat kali ke-15 akan diturunkan kepada 4.7 peratus daripada GDP 2012.
Ini lebih kecil daripada 5.4% bagi 2011. Defisit berjaya dikurangkan daripada 7.4 peratus pada 2009 kepada 5.6 peratus pada 2010.

Peruntukan rancakkan pembangunan
Kerajaan memperuntukan RM978 juta untuk merancakkkan pembangunan untuk lima projek: (1) lebuh raya JB-Nusa Jaya, (2) muzium warisan Taiping, (3) projek agropolitan Besut, (4) projek tandan sawit Lahad Datu dan (5) bekalan air Samalaju.

Kereta hibrid
Pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi mengimport kereta hibrid serta elektrik akan dilanjutkan sehingga 2013.

RM1 bilion untuk sekolah
Kerajaan akan wujudkan RM1 bilion untuk penambahkaikan sekolah.
RM500 juta diberikan pada sekolah kebangsaan.
Manakala RM100 juta diperuntukkan masing-masing kepada sekolah jenis kebangsaan (Cina), sekolah jenis kebangsaan (Tamil), sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

FELDA Global Ventures Holdings
Peneroka Felda akan terima "durian runtuh". Jumlahnya akan diumumkan sebelum Felda GVH disenarai di Bursa Malaysia sebelum pertengahan 2012.
Penyenaraian dilakukan dalam dalam usaha mengumpul dana menjadikan Felda syarikat konglomerat global.
RM400 juta diperuntuk untuk naik taraf infrastuktur bekalan air di kawasan Felda terpilih.

Yuran sekolah
Kerajaan memansuhkan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan.
Ini termasuk pemansuhan bayaran bagi kegiatan ko-kurikulum, insurans takaful dan sebagainya. Semua ini bermula penggal sekolah tahun depan.

Pencen
Seramai 600,000 pesara kerajaan akan menikmati kenaikan pencen tahunan sebanyak 2 peratus.
Umur wajib bersara dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Kakitangan awam
Kerajaan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimun lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus.
Kakitangan awam akan mendapat kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320.

Polis
RM200 juta peruntukan khas akan diberikan untuk perbelanjaan pembangunan polis, meliputi projek perumahan anggota, penambahbaikan balai dan pusat latihan.

Keluarga tentera
RM3,000 akan diberi secara one off kepada angggota keluarga, duda dan balu anggota berjumlah 62,000 orang.

Subsidi
Beras - Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan 60 sen.
Gula - bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen.
Minyak masak - harga RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50
Tepung - harga asal RM1.90, rakyat bayar RM1.35

Skim rumah pertama
Kerajaan cadangkan had maksimum harga rumah Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000.

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia
Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100,000 isu rumah. Pelabur boleh mohon pinjaman RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun.

Subsidi rumah
Kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000 untuk pembelian Program Rumah Mesra Rakyat.
Mereka yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usah boleh dapatkan pembiayaan untuk membeli rumah berharga RM65,000 dengan harga RM45,000. RM200 juta diperuntukkan untuk program ini.

Teksi persendirian
Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.
Pengecualian bayaran balik duti eksasis dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih tujuh tahun yang dijual atau tukar milik.
Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian.
Pemberian bantuan RM3,000 bagi melupuskan teksi lama berusia lebih tujuh tahun tetapi kurang 10 tahun. Bagi teksi berusia 10 tahun dan ke bawah, bantuan RM1,00 akan diberikan.

Perlindungan kepada gelandangan
Kerajaan menyediakan pusat khidmat sosial dikenali Anjung Singgah sebagai perlindungan sementara kepada gelandangan sekitar Kuala Lumpur.
Seramai 1,400 orang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 250 dengan Anjung Singgah.

Simpanan persaraan - KWSP
Caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.

Pinjaman TEKUN
Menteri kewangan mencadangkan peruntukan TEKUN ditambah sekali ganda daripada RM120 juta kepada RM300 juta.

Penjawat Awam
Tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM 500 ringgit untuk penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 ringgit kepada pesara kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011.

Meringankan Kos Sara Hidup
Bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit.
Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;
Bantuan persekolahan RM100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.
Pemberian baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

Rancangan Tebatan Banjir
Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit.
Di Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan.
Di Perak, tiga projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah.
Manakala bagi Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.

6/10/11

Bila ulama ditolak ke tepi...




Pelakon komedi Enot, mengakui sangat tertekan apabila dikecam gara-gara TERSILAP mengeluarkan kenyataan tentang hukum HUDUD di akhbar Sinar Harian, semalam.

Selain dikecam menerusi twitter dan facebook, perniagaan keknya turut terjejas, apabila ada pelanggan yang menarik balik tempahan GARA-GARA kurang senang dengan komennya. Enot turut kesal apabila arwah ibu bapanya turut dicemuh.

Dalam pertemuan dengan Sinar Harian sebentar tadi, Enot menyatakan kekesalannya dan memohon maaf di atas kesilapan itu. Ikuti kenyataan selanjutnya dalam akhbar Sinar Harian esok.

Inilah jadinya kalau bertuhankan hiburan semata-mata, agama ditolak ke tepi. Sepatutnya dalam isu agama ini orang yang lebih layak untuk bersuara dan diminta pandangan ialah golongan ulama dan juga mufti yang bertauliah.

Namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya, natijahnya sang artis yang langsung tidak tahu pasal hukum agama membuat kenyataan semberono tanpa merujuk dahulu dari mana-mana pihak terpaksa menerima tamparan hebat.

Dalam kes ini, pada pandangan penulis, kita tidak boleh menyalahkan artis terbabit semata-mata, wartawan dan juga pihak editorial Sinar Harian sepatutnya lebih peka mengenai isu sensitif ini.

Takkanlah tiada seorang pun editor atau kakitangan Sinar Harian yang arif dalam agama hinggakan ada yang menjadi mangsa keadaan. Namun artis berkenaan juga ada silapnya, beliau tidak sepatutnya dengan yakin memberi komen terhadap isu yang beliau sendiri tidak tahu.

Pihak Karangkraf juga sepatutnya tidak mengambil mudah dengan meminta pandangan artis semata-mata terhadap sesuatu isu. Jika benarpun mahu menarik pembaca atau ada agenda tersembunyi, janganlah buat hingga nampak diri sendiri yang bodoh.

Sekarang tengok apa dah jadi, artis yang jahil ini menjadi mangsa keadaan. Pihak Sinar Harian seharusnya membuat kenyataan maaf secara terbuka kerana ramai yang terguris dengankenyataan sensitif artis terbabit.

Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata hinggakan ada yang merana. Ingatlah semua sumber rezeki itu adalah dari Allah S.W.T. Walau sekaya dan sebanyak mana sekalipun harta yang diperoleh, itu hanyalah pinjaman dunia semata-mata.

Jika Allah nak tarik balik nikmat itu, Dia boleh menariknya sekelip mata. Justeru gunakan akal fikiran yang waras dan berfikir dahulu sebelum melakukan apa-apa tindakan jika tidak mahu perkara ini berulang.

Terlajak perahu boleh diundur, tapi terlajak kata buruk padahnya.

Guna duit rakyat untuk tembak rakyat...



Sejumlah 262 kanister gas pemedih mata telah digunakan untuk menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai, demikian menurut satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menjawab soalan ahli parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng, Kementerian Dalam Negeri berkata 226 peluru gas pemedih mata (TS Shell) dan 36 bom gas pemedih mata (TS Grenades) digunakan ke atas penunjuk perasaan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kos TS Shell TS dan TS Grenades ialah masing-masing RM79.76 dan RM135 (tiap satu).

Katanya, kerajaan membelanjakan RM22,855.76 untuk membelinya.

Dahsyat bukan? Untuk satu PERHIMPUNAN AMAN sahaja, sebanyak hampir RM23,000 dibelanjakan untuk tembak rakyat sedangkan ketika itu langsung tiada demonstrans yang melepaskan tembakan, membaling molotov cocktail, merejam lembing atau buluh runcing jauh sekali memanah.

Apa tujuannya? Dan atas dasar apa duit sebanyak itu dihabiskan semata-mata nak menyuraikan satu PERHIMPUNAN AMAN? Ini salah satu pembaziran duit rakyat yang tidak sepatutnya berlaku.

Rakyat tidak membayar cukai yang tinggi semata-mata untuk ditembak dan disembur dengan meriam air, tapi duit cukai itu diamanahkan kepada pemimpin untuk memaju dan memakmurkan negara bukan memenuhkan tembolok sendiri.

Walaupun jumlah sebanyak itu kecil sahaja bagi pihak kerajaan namun ia lebih wajar dibelanjakan untuk membantu mereka yang lebih memerlukan sebab bagi golongan miskin RM22,855.76 bukanlah satu nilai yang kecil.

Sedangkan Rejim Zionis menggunakan gas pemedih mata ke atas bangsa yang asing bagi mereka untuk menakluk negara orang, ini sudahlah menggunakan duit rakyat, untuk tembak rakyat sendiri pula itu.

Drama menikus musim kedua...

 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan ‘suami’nya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan tampil ke mahkamah sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan kes liwat II.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang hari ini menolak sepina yang menuntut mereka hadir sebagai saksi pembelaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membenarkan permohonan Najib dan Rosmah bagi mengketepikan sepina itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, memutuskan mereka adalah tidak relevan dan bukan saksi utama dalam perbicaraan itu.

Jika sebelum ini, beliau dengan lantang bak perajurit yang sedia untuk berkorban demi negara mengatakan bahawa beliau tidak takut dan boleh bersemuka dengan DS Anwar bila-bila masa sahaja, tapi sekarang lain pula jadinya.

Pihak pembelaan telah cuba mewawancara Najib dan Rosmah pada Ogos lalu tetapi mereka enggan menjadi saksi pembelaan dan berkata akan hanya tampil jika disepina.

Namun apabila sepina dikeluarkan, mereka memilih untuk mengketepikannya pula.

Sepina meminta perdana menteri tampil itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung mesyuarat pada 24 Jun 2008, berikutan satu pertemuan yang diaturkan oleh pembantu Najib, Datuk Khairil Annas dengan pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini jelas sekali menunjukkan Najib hanya berani dan lantang di belakang tabir sahaja namun bila diminta tampil di barisan hadapan, beliau dengan menikus menyorok dan enggan tampil.

Pemimpin beginikah yang perlu disokong oleh rakyat? Rasanya kalaulah berlaku perang dalam Malaysia, orang pertama yang akan melarikan diri ke luar negara dengan pesawat Boeing A319 tidak lain dan tidak bukan Najib dan ‘suaminya’.

Bukan beliau pun yang akan didakwa, beliau hanya perlu hadir dan beri keterangan sahaja di mahkamah takkan itu pun nak takut. Sebelum itu beriya sangat nak kena ada Sepina baru nak pergi mahkamah, tapi bila dah disepina, menikus pula.

Berani kerana benar, takut kerana penakut...

Yang seorang pun gagal didakwa...



Pihak polis sekali lagi menunjukkan ke’profesional’an mereka apabila gagal mendakwa anggotanya yang dikenal pasti melanggar SOP ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0.

Walaupun anggota tersebut telah DIKENALPASTI, namun tiada pendakwaan yang boleh dibuat ke atasnya kerana mendakwa ketiadaan saksi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin menyatakan pihak polis telah mengenal pasti SEORANG anggotanya dari 11,045 anggota polis yang dikerahkan untuk menyurai perhimpunan tersebut.

Hari ini pula, tiada dakwaan yang boleh dibuat ke atas anggotanya yang seorang ini kerana ketiadaan saksi. Pusing, putar, belit dan lingkup, senang cerita tiada seorang pun anggota polis yang melanggar SOP pada perhimpunan itu.

Jadi segala siasatan dan pengumpulan video dari saksi dan internet adalah sia-sia belaka. Pada penulis, segala video yang tersebar di internet sudah cukup untuk dijadikan sebagai bukti, namun dibelit dan putar jadi ketiadaan saksi.

Pada penulis, kenyataan yang dibuat oleh pihak berkenaan dalam menangani isu ini hanyalah sekadar melepas batuk di tangga dan langsung tidak bertanggungjawab.

Yang paling pelik, boleh dikatakan hampir semua anggota polis kecuali pegawai atasan tidak memakai nombor badan yang sepatutnya wajib dipakai oleh anggota polis.

Apabila soalan ini diajukan kepada Hishammuddin dalam satu sesi temuramah, beliau mendakwa anggota polis berkenaan adalah polis simpanan dan tidak perlu memakai tanda nombor sebagai anggota.

Seingat penulis, bukan setakat polis simpanan sahaja yang mempunyai nombor di badan, malah anggota polis bantuan bagi mana-mana organisasi pun memiliki nombor ini.

Apakah ia salah satu cara yang digunakan pihak berkenaan untuk mengelakkan anggota mereka dikenalpasti melanggar SOP? Jika benar, ia pastinya perancangan yang bijak kerana mereka sudah pun berjaya ‘meloloskan’ diri dari sebarang pendakwaan.

Ini seorang, bagaimana pula anggota lain yang secara terang-terangan melanggar SOP sebagaimana yang ditayangkan dalam ratusan video di laman Youtube?

5/10/11

Nampak sangat bohongnya..

 
 
Seramai 11,045 anggota polis dikerah dari seluruh negara bagi menyuraikan demonstrasi Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Namun dalam ribuan anggota polis itu hanya seorang sahaja dikenalpasti telah melanggar Standard Operation Procedure (SOP) ketika cuba menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 di Hospital Tung Shin.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien kejadian berkenaan telah diperbesar-besarkan dan polis tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya terhadap situasi semasa perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya itu.

Nampak tak apa yang sedang berlaku sekarang? Siapa yang tak nampak? Nampak ke tidak? Penulis nampak dengan jelas. Apa yang penulis nampak? Penulis nampak dengan jelas dan nyata Hishammudddin sedang kencing bersepah.

Nampak sangat bohongnya..bukan setakat dalam Youtube, malah boleh dikatakan ribuan gambar kekejaman pihak polis ketika menyuraikan perhimpunan itu tersebar di internet.

Jangan ingat rakyat buta dan pekak dalam menilai setiap tindak tanduk dan apa sahaja yang berlaku dalam negara ini. Sememangnya media arus perdana memainkan peranan penting dalam menyebarkan apa yang berlaku pada ketika itu kepada umum.

Namun harus diingat, tidak semua media arus perdana itu menjadi pilihan pembaca kerana terlalu banyak penipuan dan putar belit yang dimainkan mereka. Tak perlulah penulis menerangkan satu persatu tentang etika kewartawanan sebab dalam negara ini etika tersebut ibarat sampah. Langsung tiada guna.

Maka internetlah menjadi wadah utama pembaca untuk mendapatkan berita yang benar-benar telus mengenai apa sahaja isu hangat dalam negara.

Kalau tahun 70-an dan 80-an boleh dikatakan tidak semua yang mempunyai kemudahan internet di rumah tapi sekarang bukan setakat di rumah, malah di kedai-kedai mamak mahu pun restoran makanan segera sudah mempunyai akses.

Kini boleh dikatakan juga setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya sebuah komputer dan juga talian internet. Itu di rumah, tidak termasuk komputer riba milik anak-anak mereka yang belajar di universiti dan juga komputer riba 1Malaysia pemberian kerajaan.

Kepada pihak yang berkenaan, bukalah mata dan minda anda. Jangan ingat rakyat akan menerima setiap kenyataan yang dibuat secara bulat-bulat. Semuanya akan dinilai dan disiasat kesahihannya melalui internet.

Sebagai seorang pengamal media, penulis malu dan kesal kerana etika sebenar kewartawanan tidak dapat dipraktikkan di negara kita. Inilah realiti sebenar sebuah negara yang bernama Malaysia.