31/01/13
Antara Malaysiakini dan Berita Harian
Syabas penulis ucapkan kepada akhbar Berita Harian yang menyiarkan kajian populariti yang dijalankan oleh Yayasan Hal Ehwal Siswazah (YES).
Kajian tersebut menyebut bahawa akhbar tersebut dan New Straits Times menjadi pilihan utama mahasiswa sebagai sumber maklumat politik media cetak.
Bahkan ia turut menyiarkan tentang populariti Datuk Seri Najib dalam kalangan mahasiswa yang kini menurut kajian tersebut ia diterajui oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 75.1%, diikuti dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) 67.4% dan Universiti Malaya (UM) 41.4%.
Keadaan ini seolah-olah memberi peluang kepada Najib untuk menyatakan kepada rakyat bahawa beliau masih lagi popular dan menjadi calon pilihan untuk PRU nanti.
Berbeza dengan laporan portal berita Malaysiakini di mana ia menjadi pilihan dalam kalangan mahasiswa di mana kajian oleh Yayasan Hal Ehwal Siswazah (YES) itu juga menunjukkan Malaysiakini merupakan portal berita dan paling kerap dilayari mahasiswa Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kajian berkenaan membanding kewibawaan Malaysiakini berbanding laman web politik dan blog lain di kalangan pembaca berkenaan.
Seramai 66.4 peratus dari kalangan 1,009 siswa di UM berpendapat demikian berbanding laman berita lain – The Malaysian Insider (30.6 peratus) dan laman milik Umno, Utusan Online (23.6 peratus).
Malaysiakini juga merupakan laman berita paling popular di kalangan siswa berkenaan (71.1 peratus) berbanding Utusan Online (24 peratus), The Malaysian Insider (21.2 peratus) dan laman berita milik MCA, MStar (19.7 peratus).
Trend sama juga dilihat di UKM – seramai 39.4 peratus daripada 1,006 siswa yang dikaji memilih Malaysiakini sebagai sumber maklumat politik yang paling dipercayai berbanding laman lain.
Utusan Online juga menjadi sumber kedua yang paling dipercayai di kalangan siswa UKM (31.5%), diikuti Mstar (19.4%) dan lidah parti PAS Harakahdaily (15 peratus).
Itu perbezaan antara media cetak dan portal, tetapi bagi penulis ia langsung tidak melambangkan kewibawaan media cetak berkenaan. Umum mengetahui bahawa dalam dunia media portal, terlalu banyak rangkaian portal berita baik pro-kerajaan mahupun pro-pembangkang.
Ini kerana media portal adalah tidak terikat dengan mana-mana aturan ketat yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Berbeza dengan media cetak yang penerbitannya banyak dimonopoli oleh KDN seperti pengeluaran permit dan sebagainya.
Andaikata KDN memberi pelepasan kepada mana-mana media bebas untuk menerbitkan akhbar harian mereka sendiri tanpa sebarang sekatan seperti mana yang dialami oleh akhbar pro-pembangkang, ada atau tidak kemungkinan bahawa media cetak mereka akan terus menjadi pilihan?
Jika KDN memberi kebenaran, jadi kajian yang dibuat oileh YES ini dikira Valid dan adil bagi penulis. Jika dalam keadaan kini dibuat perbandingan sebegini ibarat kata MASUK BAKUL ANGKAT SENDIRI..!!!!!
22/01/13
Kak Pah #Listen kena banned oleh UUM
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Datuk Mohamed Mustafa Ishak menegaskan tidak akan membuka pintu kepada Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin daripada sebarang program di universiti itu.
Beliau berkata demikian ekoran kontroversi yang timbul pada sebuah forum yang diadakan di universiti itu pada 8 Disember tahun lalu melibatkan Sharifah.
Walaupun banyak penafian yang dibuat oleh Sharifah, namun tindakan bodoh beliau pada forum itu tidak dapat diterima oleh masyarakat. Terang dan nyata beliau bertindak di luar batasan dan menafikan hak mahasiswa untuk bersuara.
Namun dek krana keegoannya yang tinggi, beliau enggan memohon maaf sebaliknya bertindak membuat kenyataan memaafkan Bawani dan semua yang terlibat mencaci serta mengeji beliau secara tidak langsung.
Biasanya kalau orang yang buat silap tapi enggan mengakui kesilapan itu dipanggil bodoh sombong dan langsung tak layak digelar golongan intelektual. Keangkuhan ini pasti akan menghancurkan tuan punya badan dari segi moral dan juga pandangan serong masyarakat terhadap beliau.
Tapi dalam masa yang sama penulis ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Sharifah kerana telah memberi fenomena #LISTEN #LISTEN #LISTEN di Malaysia yang pasti akan menewaskan Gangnam Style.
Indonesia kritik politik diam mahasiswa Malaysia..???
Memang demokrasi yang dilaung dan dicanangkan pemerintah di
negara kita tidak seindah amalan demokrasi itu sendiri. Kebebasan bersuara
dinafikan malah kebebasan media juga disekat, malah kebangkitan rakyat juga ditentang.
Mahasiswa sendiri tidak diberi peluang menyatakan hak dalam
kebebasan untuk mereka menyuarakan pendapat serta bantahan semuanya hasil
didikan pemerintah.
Sedar tak sedar, perkara ini mendapat liputan meluas media
di negara jiran kita, Indonesia. Negara dikritik hebat melalui satu siaran
rancangan televisyen di bawah saluran Metro Kampus. Indonesia bukanlah negara maju sebagaimana negara kita, jadi apa perasaan kita bila dikritik sedemikian?
Tetapi kritikan itu ada benarnya, rancangan ini menyiarkan tentang hak kebebasan bersuara
dalam kalangan mahasiswa di seluruh IPT tanah air yang dinafikan sejak sekian
lama. Penulis tidak berniat untuk mengagungkan Indonesia, jauh sekali menyokong tetapi cuba kita perhatikan dan analisiskan ke dalam bentuk pemikiran ilmiah.
Setelah berbagai kritikan dan rungutan yang timbul serta
berlakunya beberapa siri tindakan bantahan oleh mahasiswa, barulah pemimpin
memberi lampu hijau untuk mahasiswa bergiat dalam politik.
Namun kebebasan ini juga bukanlah seratus peratus
sebagaimana yang didambakan oleh rakyat dan juga yang tertakluk dalam amalan
demokrasi di negara ini kerana ia memerlukan syarat tertentu.
Syarat yang dikenakan juga berupa tapisan dan aturan
larangan yang masih lagi mengekang suara mahasiswa dalam menyatakan pendapatan
serta bantahan terhadap sesuatu perkara.
Fenomena politik diam di Malaysia menjadi satu isu dalam
kalangan mahasiswa di Indonesia malah di negara jiran itu, boleh dikatakan
saban minggu mahasiswa turun ke jalanan menyatakan sebarang bantahan melalui “unjuk
rasa” atau tunjuk perasaan.
Di sini kita boleh melihat bahawa, penerapan nilai kebebasan
bersuara dalam kalangan mahasiswa di negara jiran itu mampu melahirkan golongan
pemikir yang bebas mengkritik serta menyatakan rasa ketidakpuasan hati mereka
terhadap ekonomi, pendidikan mahupun sistem pemerintahan dan kerajaan mereka
sendiri.
Penulis sendiri tidak melihat kesan negatif yang timbul
jika kebebasan bersuara ini dipraktikkan dalam kalangan mahasiswa di IPT kerana
jelas sekali bila mahasiswa diberi kebebasan, kerajaan tidak akan sewenangnya
mengambil sebarang tindakan bodoh dalam tampuk pemerintahan.
Antara tindakan bodoh yang digubal oleh penggubal dasar
terdiri daripada pimpinan kerajaan berkenaan masalah kesesakan jalan raya. Rakyat
diminta mencontohi negara China yang rata-rata rakyatnya berbasikal untuk ke
tempat kerja.
Namun dasar yang digubal ini seolah-olah tiada kajian
terperinci dengan mengira faktor perbezaan antara Malaysia dan China. Secara
mudahnya, ialah perbezaan dari segi cuaca dan suhu. Rakyat China boleh
berbasikal berkilometer sehari untuk ke tempat kerja, namun penggubal dasar ini
sedar atau tidak bahawa semua rakyat China ini berpakaian tebal..!!
Ini kerana suhu di China lebih rendah berbanding Malaysia
jadi secara tidak langsung berbasikal tidak akan mendatangkan masalah kepada
mereka. Berbeza dengan Malaysia yang berdepan dengan suhu panas dan hujan
sepanjang tahun. Kalau hujan, basah, jika panas, bahangnya kadangkala adalah
melampau.
Jika ini pun penggubal dasar tidak nampak, macam mana nak
jadi pemimpin dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat? Nampak
tidak cerdik di situ bukan??
Jika kebebasan bersuara dapat diterapkan dalam kalangan
mahasiswa di Malaysia, ini secara tidak langsung mampu membantu kerajaan dengan
memberikan idea atau pandangan terhadap sesuatu dasar yang digubal itu. Itu
hanya satu contoh penggubalan dasar, terdapat puluhan lagi dasar yang digubal
yang mana pada pandangan penulis langsung tidak relevan untuk diamalkan di
Malaysia.
Tetapi, oleh kerana pemimpin Malaysia adalah bacul untuk
memberi peluang kepada mahasiswa bersuara, maka pelbagai aturan dan alasan diberi
bagi menyekat kebebasan bersuara. Inilah yang berlaku dalam realiti dunia
kampus di Malaysia.
Kerajaan sedaya yang mampu menutup mulut mahasiswa dari
bersuara menyatakan pendapat. Jadi di mana amalan demokrasi yang dicanangkan
dari dulu hingga kini?? Penulis percaya, jika ditanya kepada mana-mana menteri
sekalipun, tiada seorang pun yang mampu jawab untuk memastikan periuk nasi
mereka terlindung dari balingan pasir….!!! Jelas sekali dasar digubal dengan sekadar melepas batuk di tangga...
Saham FGVH merudum, peneroka terduduk...
Saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) mencatatkan penurunan yang drastik hingga mampu membuatkan peneroka terduduk.
Walau pun banyak suntikan yang dibuat oleh pihak berkenaan bagi memastikan kelangsungan peningkatan saham ini, namun pasaran semasa kini tidak memihak kepada FGVH.
Apakah nasib yang bakal diterima oleh para peneroka yang terlibat selepas ini? Mungkin mereka tidak menyedari penurunan yang sangat drastik ini bakal menjejaskan mereka kerana tidak ramai yang tahu bagaimana cara mendapatkan info mengenai jatuh naik saham itu.
Mainan isu semasa yang hangat sana-sini menenggelamkan isu saham ini hinggakan kejatuhannya pun tidak disedari ramai peneroka yang terlibat.
Dari isu air, kalimah Allah hinggalah kepada pergolakan dalaman membuatkan rakyat terleka dengan isu lain sampai lupa dengan saham yang melibatkan nasib ramai peneroka.
Apa boleh buat....dah dberitahu, dah dikhabarkan...dah diterangkan, tapi kerana terlalu dambakan keuntungan duniawi secara sekelip mata tanpa mengeluarkan keringat, masing-masing jadi keras hati.
Ingatlah wahai peneroka sekalian, tiada apa yang percuma di dunia ini, tiada apa yang boileh dicapai dengan hanya goyang kaki, hatta nak buang air sekalipun dah kena bayar. Air kosong pun sudah dijual sana sini (mineral).
Semuanya kena ada usaha sendiri...kalau ada pun skim yang membolehkan pesertanya goyang kaki menunggu durian runtuh, pasti lambat laun mereka akan ternganga menanggung rugi.
Dalih Kak Pah #Listen untuk selamat diri...
Presiden NGO Suara Wanita 1Malaysia Sharifah Zohra Jabeen
Syed Shah Miskin mempersoalkan sama ada siswi Universiti Utara Malaysia KS
Bawani sengaja "menyusup untuk mencetuskan provokasi" dalam forum
kontroversi 8 Januari lalu.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menafikan bahawa
beliau telah bersetuju untuk menghadiri satu forum di Dewan Perhimpunan Cina
Selangor yang dijadualkan berlangsung pada mala mini (22 Jan 2013).
Beliau turut mengakui bahawa beliau dipengaruhi ‘emosi’
sewaktu berdepan dengan Bawani dan enggan memohon maaf sebaliknya beliau pula
yang memaafkan semua yang terlibat mengkritik serta kepada Bawani sendiri.
Bukan itu sahaja, beliau juga dilihat enggan bersemuka dengan
Bawani dalam mana-mana forum atau debat walaupun dijemput secara rasmi.
Pandangan penulis mendapati, beliau seorang yang angkuh dan
enggan meminta maaf sebaliknya mendakwa video berkenaan dimanipulasi dan diolah
bagi menampakkan kesalahan di pihak Bawani.
Hasil pemerhatian setelah video itu diulang tonton oleh penulis,
ia nyata tidak menampakkan sebarang olahan. Malah langsung tiada perubahan
babak di mana video berkenaan dirakam secara terus tanpa peralihan babak.
Jadi bagaimana beliau boleh mendakwa demikian sedangkan
video itu tulen dan pembaca sendiri boleh menilai dengan melihat sendiri
rakamannya di Youtube.
Beliau turut mendakwa bahawa Bawani melanggar peraturan
forum di mana mahasiswi itu bertanyakan seoalan setelah tamat sesi soal jawab.
Kalau sesi soal jawab pun hanya dua soalan dibenarkan itupun mungkin setelah
ditapis oleh penganjur, maka forum itu langsung tidak menggambarkan kewibawaan
dan tidak melambangkan keintelektualan penganjur dan panelisnya.
Berkenaan dengan kenyataan “Bawani menyusup masuk untuk memprovokasi”,
pada pandangan penulis, ia langsung tidak relevan. Siapa Bawani? Bawani adalah
salah seorang mahasiswi yang berdaftar dengan UUM dan forum itu sendiri memaksa
pelajar untuk hadir.
Jadi di sini tidak timbul soal menyusup masuk untuk membuat
provokasi melainkan beliau (Bawani) bukan pelajar UUM. Terlalu banyak alasan yang
sengaja diada-adakan oleh Sharifah bagi menyelamatkan diri.
Daripada kenyataan yang beliau buat pun, pembaca mampu
menilai sejauh mana keintelektualan dan keprofesionalan beliau (Kak Pah) dalam
soal ini. Beliau juga harus ingat bahawa masalah ini mendapat perhatian
daripada golongan pemimpin Umno dan juga timbalan menteri.
19/01/13
'Brainwash' mahasiswa dah lama berakar umbi di IPT...
Mahasiswa jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Bawani KS menegaskan bahawa pihak kampus itu harus bertanggungjawab terhadap penganjuran forum mahasiswa dan politik yang didakwanya sebagai satu 'brainwash'.
Bawani berkata demikian dalam satu temubual yang dijalankan oleh pihak portal Malaysiakini petang semalam. Beliau turut mempersoalkan mengapa mahsiswa diwajibkan hadir khususnya kepada penghuni Dewan Penginapan Pelajar Proton.
Perkara ini nyata berbeza dengan kenyataan yang dijawab oleh Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mustafa Ishak yang berkata pihaknya hanya menyediakan dewan untuk forum itu.
Di sini penulis begitu tertarik dengan isu 'brainwash' dalam kalangan mahasiswa khususnya daripada IPT di bawah naungan kerajaan seperti U***.
Penulis sendiri berpengalaman dalam menghadiri program 'brainwash' ketika bergelar mahasiswa suatu ketika dahulu. Benar...ia memang diwajibkan kepada semua pelajar dengan alasan (ugutan layaknya) sesiapa yang tidak hadir akan dikenakan tindakan tatatertib atau dibuang universiti.
Penulis bersama beberapa rakan seperjuangan diwajibkan menghadiri kursus Biro Tatanegara yang berlangsung di musim cuti semester. Sebenarnya, program berkenaan dibuat dengan objektif untuk melahirkan graduan yang trahu serta memahami perjuangan pejuang kemerdekaan terdahulu sekaligus meningkatkan jati diri pelajar terhadap negara.
Namun ia nyata sekali disalahgunakan oleh pihak berkenaan untuk mem'brainwash' mahasiswa agar menyokong penuh tampuk pemerintahan negara, dalam bahasa mudah ialah Barisan Nasional dan Umno.
Penulis masih ingat kenyataan salah seorang Fasilitator yang ditugaskan ketika itu, lebih kurang begini bunyinya, "Kamu beruntung berada di U***, universiti ini tolong Melayu, jadi kamu kena balas budi kerajaan. Ini adalah universiti milik Umno jadi kamu semua kenalah sokong Umno"...
Silap penulis ketika itu ialah tidak merekodkan atau mencatat nama fasilitator berkenaan. Mungkin ketika itu penulis terlalu mentah untuk memahami erti perjuangan sebenar serta mana yang baik dan buruk.
Mahasiswa ketika itu sememangnya dimomokkan dengan ugutan demi ugutan...antaranya ialah mahasiswa patut bersyukur kerana yuran universiti berkenaan murah, kerajaan tolong jadi semkua wajib kena tolong dan sokong kerajaan.
Mahasiswa ketika itu senang nak diugut atau ditakutkan...kenakan syarat, siapa langgar buang universiti atau tatatertib..Disebabkan terkenang mak dan ayah di kampung yang bersusah payah hantar masuk universiti, jadi ramai yang akur dan langsung takde yang berani nak angkat kepala sekalipun.
Jadi budaya sebegini sudah lama berakar umbi. Tidak hairanlah jika mahasiswa kita kini kurang berkualiti jika dibandingkan dengan generasi mahasiswa terdahulu. Mahasiswa terdahulu melahirkan banyak tokoh politik yang lantang bersuara. Ini adalah hasil daripada didikan IPT dulu yang tidak melibatkan campur tangan pihak kerajaan dan mahasiswa bebas bersuara serta menyatakan pendapat.
Sekarang jauh sekali perbezaan jika dibandingkan dengan dahulu...semua mahasiswa ikut telunjuk sahaja, jika arahan ke longkang, maka longkang lah tempat mereka, jika ke tangki najis sekalipun, tangki najis lah mereka berkubang...Bebaskanlah mahasiswa kita dari belenggu ini untuk melahirkan generasi berkepimpinan serta berkualiti.
18/01/13
Forum Yang dinanti-nanti telah tiba....
Forum yang dinantikan ramai telah tiba...Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi....Hebat-hebat ahli panel yang dijemput dan yang paling dinantikan pun akan hadir...KS Bawani dan Kak Pah #Listen...
Harap-harap tiada yang tarik diri di saat akhir...Jika ada pun mungkin beliau ada masalah peribadi atau masalah yang tidak dapat dielakkan....sekurang-kurangnya berani untuk berdepan dengan rakyat setelah buat salah.
Tak macam pemimpin negara yang kata No.1 tu. Cakap belakang berkobar-kobar, bila ajak berdebat menikus tak tentu arah. Alasan berkepuk-kepuk diwar-warkan pada rakyat.
Malulah sikit pada rakyat...bila orang ajak berdebat, selaku pemimpin yang duk kata No.1 sahut la cabaran. Jangan hanya pandai menyalak di belakang khalayak saje. Siapa pemimpin yang duk kata No.1 tu?? Hehehehehee....
Langgan:
Catatan (Atom)




